Sunday, April 26, 2015

Tahukah Anda Siapa Pencipta Mesin Rumput?

Tahukah Anda Siapa Pencipta Mesin Rumput?

Pernahkah anda bertanya, siapa yang mencipta mesin rumput yang memudahkan kerja anda itu?

Edwin Beard Budding Grass Cutter
Mesin rumput pertama di dunia.

Sebenarnya, mesin rumput yang pertama telah dicipta oleh Edwin Beard Budding pada tahun 1830. Edwin merupakan seorang jurutera yang berasal dari Stroud, Bloucesterhire, England.

Edwin mendapat idea selepas melihat sebuah mesin dalam kilang fabrik. Mesin tersebut menggunakan mata pisau berbentuk silinder untuk memotong lebihan kain yang tidak sekata.

Dari situ, Edwin merasakan teknologi yang sama boleh digunakan untuk memotong rumput jika mekanismenya ditukar kepada bentuk roda yang boleh berpusing.

Bersama John Ferrabee, seorang jurutera tempatan, Edwin mula mencipta mesin rumput dalam sebuah kilang di Stoud.

Mesin rumput pertama dicipta menggunakan besi dan sebuah roda besar yang mempunyai mata pisau dihujungnya. Secara keseluruhannya, mesin rumput tersebut tidak banyak bezanya dengan mesin rumput yang digunakan pada masa kini.

Pada tahun 1919, mesin rumput automatik dengan menggunakan gas mula diperkenal dan digunakan.

Sehingga kini, ciptaan mesin rumput pertama Edward Budding masih boleh dilihat di Muzium Stroud, London.

BACA INI JUGA: Motosikal Yang Menggunakan UDARA Untuk Bergerak!

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, April 25, 2015

Lesung Pipit, Kecantikan Akibat Kecacatan Gen!

Lesung Pipit, Kecantikan Akibat Kecacatan Gen!

Tanggapan masyarakat mengatakan bahawa individu yang memiliki lesung pipit itu cantik. Dan kata orang, memiliki lesung pipit adalah sesuatu yang sangat istimewa.

Lesung Pipit
Gambar hiasan.

Namun, tahukah anda lesung pipit adalah suatu kecacatan? Lesung pipit terjadi disebabkan oleh otot wajah yang dinamakan Zygomaticus Major terbelah dua. Ia menyebabkan otot wajah lebih pendek daripada biasa.

Kesannya, apabila anda bercakap, senyum dan sebagainya, kulit wajah akan tertarik dan membentuk lekukan pada pipi.

Lesung pipit terjadi disebabkan oleh faktor keturunan. Ia memerlukan gen dominan untuk diturunkan kepada generasi seterusnya. Jika ibu bapa memiliki lesung pipit, maka potensi untuk anak-anak memilikinya juga tinggi iaitu antara 50 hingga 100 peratus.

Sementara itu, jika salah seorang daripada ibu bapa sahaja yang memiliki lesung pipit, maka potensi untuk diwarisi hanya sebanyak 25 hingga 50 peratus sahaja.

Bagaimanapun, ada juga individu yang memiliki lesung pipit walaupun ibu bapa mereka tidak memilikinya. Ia terjadi disebabkan oleh faktor 'Gen Skip' generasi. Ini kerana banyak gen yang tidak diwarisi dari sesuatu generasi ke generasi yang lain.

Sebaliknya, ia berlaku secara berselang-seli. Jika keadaan ini terjadi, bermakna keturunan anda dulu ada memiliki lesung pipit. Oleh itu, anda insan bertuah kerana memilikinya semula.

Lesung pipit hilang

Meskipun begitu, lesung pipit juga boleh hilang selaras dengan peningkatan umur individu. Ia biasanya terjadi kepada bayi yang baru lahir dengan lesung pipit, kemudian hilang apabila mereka dewasa.

Ianya terjadi kerana semasa proses tumbesaran, terdapat beberapa otot di wajah akan mengalami proses pembentukan sempurna dan menjadi normal seperti orang lain. Keadaan ini yang menyebabkan lesung pipit ini hilang.

Jenis-jenis lesung pipit

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa lesung pipit hanya terdapat di wajah sama ada di kedua-dua pipi atau salah satu pipi sahaja.

Tetapi sebenarnya, ia boleh terbentuk dari dagu hingga ke bahagian punggung.

1. Lesung pipit dagu berbelah

Lesung pipit di dagu juga dikenali sebagai dagu berbelah. Bentuknya seperti huruf Y. Namun ada juga yang berbentuk lubang. Ia terjadi disebabkan oleh pembentukan tulang rahang yang tidak sempurna di bahagian kiri dan kanan ketika masih dalam kandungan. Lekukan pada dagu juga sebenarnya merupakan keturunan sama seperti lesung pipit.

2. Lesung pipit pada punggung

Secara umumnya, lesung pipit pada punggung dikenali sebagai Sacral Dimple. Ia terdapat di sekitar atas belahan punggung atau di sekitar bahagian bawah saraf tunjang berhampiran tulang punggung, berbentuk seperti lekukan kecil.

Lesung pipit jenis ini selalu dilihat pada bayi yang baru lahir. Bagaimanapun, ia tidaklah begitu merisaukan. Namun begitu, terdapat kes Sacral Dimple menjadi petanda kecacatan pada saraf tunjang.

Sacral Dimple yang bermasalah atau tidak selalunya boleh dilihat melalui bentuk lekukan tersebut. Pun begitu, kes sedemikian sangat jarang terjadi.

Jika sekiranya lesung pipit pada punggung berlekuk kecil, ia tidaklah membahayakan. Bagaimanapun, jika bentuknya besar dan dalam, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor.

Walaupun ia jarang terjadi, namun tidak mustahil ia boleh berlaku.

BACA INI JUGA: "Senyumannya Ikhlas Dan Suaranya Seperti Malaikat"

-SENTIASAPANAS.COM

Pernahkah Anda Terfikir, Kenapa Adanya Cincin Perkahwinan?

Pernahkah Anda Terfikir, Kenapa Adanya Cincin Perkahwinan?

Tahukah anda kenapa kita memakai cincin semasa bertunang dan selepas berkahwin? Cincin ini kemudiannya akan disarung pada jari manis?

Cincin Perkahwinan

Dan kenapa bukan disarung pada jari telunjuk, jari hantu atau jari kelengking?

Sebenarnya, sejarah cincin perkahwinan itu sendiri tidak begitu jelas. Terdapat dua versi yang sering diperkatakan iaitu sejarah Mesir Kuno dan Rom Kuno.

Namun, bagi sejarawan mereka lebih mempercayai versi Mesir Kuno yang memulakan tradisi cincin pernikahan ini.

Tiga ribu tahun lalu, orang Mesir menggunakan cincin yang dibuat daripada tulang, gading, akar atau kulit.

Cincin perkahwinan diibaratkan sebagai simbol cinta abadi antara lelaki dan wanita.

Bentuk lingkaran bulat cincin juga mempunyai alasan tersendiri. Bentuk bulat yang tidak putus melambangkan cinta, keabadian, tanpa awal dan tanpa akhir, walaupun selepas mati.

Manakala lubang ditengah lingkaran cincin pula melambangkan sebuah pintu yang mengarah kepada kejadian yang diketahui mahupun tidak diketahui.

Memberi cincin pada wanita yang dikahwini bermaksud tanda cinta abadi yang tiada pengakhiran.

Persoalannya, kenapa cincin disarung pada jari manis tangan kiri sahaja? Sebenarnya ditangan manapun cincin disarung, ianya bergantung kepada adat dan budaya sesebuah masyarakat.

Bagi kepercayaan Mesir Kuno, menyarung cincin pada jari manis tangan kiri kerana jari ini memiliki saluran pembuluh darah khusus yang berhubung dengan jantung.

Konsep ini kemudiannya diikuti sampai sekarang dan diberi istilah vena amoris atau vein of love, yang bererti 'pembuluh darah cinta'.

Bagi orang Islam, memakai cincin di jari manis merupakan salah satu sunnah Nabi.

Anas bin Malik r.a. pernah meriwayatkan, "Bahawasanya Nabi SAW memakai cincin pada jari ini - sambil mengisyaratkan pada jari manis tangan kirinya". (Muslim)

BACA INI JUGA: Kenapa Cincin Tunang Dipakai Di Jari Manis?

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, April 24, 2015

Tahukah Anda Bagaimana Hot Dog (Sosej) Mendapat Nama?

Tahukah Anda Bagaimana Hot Dog (Sosej) Mendapat Nama?

Rasanya hampir semua orang pernah memakan hot dog. Tapi tahukah anda bagaimana makanan ini mendapat namanya?

Hot-Dog

Pada tahun 1852, sebuah syarikat sosej di Frankfurt, Jerman, telah mencipta sosej jenis baru yang dinamakan frankfurter.

Bentuknya panjang dan langsing, tidak besar dan gemuk seperti biasa. Sarungnya nipis sebelum diisi dengan daging cincang.

Apa yang menarik, salah seorang pembuat sosej ini memiliki seekor anjing jenis dachshund (anjing tekel), yang berkaki pendek dan berbadan panjang.

Sambil berseloroh, dia mencadangkan agar sosej yang dibuat itu dibengkokkan sedikit, seperti tubuh anjing tekel. Baginya itu perkara yang lucu namun tanpa disangka ideanya diterima oleh rakan-rakannya sehingga mereka menggelar sosej itu dengan nama dachshund.

Kemudian, pada tahun 1880an, di St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat, Antoine Feuchtwanger, seorang lelaki Jerman yang berasal dari Frankfurt, telah menjual sosej ini. Sosej yang dijualnya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Namun, ada satu masalah, orang Amerika sukar menyebut nama sosej ini. Bagi memudahkannya, ada yang menyebut frank(s), wiener dan lauvlain.

Hinggalah pada suatu hari, di New York City, seorang pengusaha franks bernama Harry Stevens menyuruh rakan-rakannya menjaja franks di setiap pertandingan baseball sambil berteriak, "Red-hot dachshund sausages! (Sosej anjing tekel yang merah dan panas)."

Dachshund-Dog
Anjing Dachshund.

Kejadian itu telah dilihat oleh seorang pelukis kartun akhbar terkenal bernama Ted Dorgan. Dia mendapat ilham lalu melukis seekor anjing tekal (dachshund), berlumuran mustard di atasnya dan diletakkan pula di celah sebuku roti ban.

Disebabkan tidak tahu bagaimana untuk mengeja dachshund, Ted telah menulis di atas lukisannya dengan, Let's get a hot dog.

Gambar itu kemudiannya dimuat dipelbagai media. Ramai pembaca yang tergelak kerana menganggap ia sesuatu yang lucu.

Selepas gambar kartun Ted menjadi viral, tiada lagi yang menyebut sosej tersebut dengan panggilan frankfurter atau Wieners.

Sejak itu, sebutan hot dog pun menjadi terkenal dan diguna pakai sehinggalah sekarang.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Asal-usul Penciptaan Payung?

-SENTIASAPANAS.COM

Ampo, Makanan Pelik Dari Tanah Liat

Ampo, Makanan Pelik Dari Tanah Liat

Terdapat sebuah perkampungan di Tuban, Jawa Barat, yang mana penduduknya betul-betul berbakti kepada tanah.

Makan Ampo

Bukan sekadar memanfaatkan tanah untuk bercucuk tanam, malah mereka turut memakannya!

Tanah sawah padi yang bersih dan bebas dari batu kerikil diambil dan diketuk kuat dengan kayu supaya menjadi seperti batu-bata.

Ampo Dimasak

Dengan menggunakan buluh yang berbentuk seperti pisau, tanah tadi akan ditolak keluar menjadi gulungan kecil.

Gulungan tanah ini akan dibakar dan diasap selama sejam. Selepas proses pembakaran selesai, gulungan itu akan dimakan seperti snek.

Makan Ampo [2]

Bagi penduduk Tuban, snek ini dipanggil 'ampo'. Mereka percaya yang ampo merupakan penahan sakit semulajadi dan mampu membuatkan kulit bayi menjadi lembut jika dimakan oleh wanita mengandung.

Pelik kan..

BACA INI JUGA: Burger Paling Pelik Pernah Dicipta

-SENTIASAPANAS.COM

Awas! Ini Petanda Terakhir Anda Bakal Disambar Petir!

Awas! Ini Petanda Terakhir Anda Bakal Disambar Petir!

Gambar menakjubkan ini diambil hanya beberapa minit sebelum mereka disambar petir. Keduanya tersenyum kerana berasa lucu melihat rambut mereka tercacak ke atas.

Micheal McQuilken and Sean
Micheal McQuilken (kanan) dan Sean.

Akan tetapi, mereka berdua tidak tahu itu sebenarnya amaran terakhir sebelum menjadi sasaran panahan petir!

Pada 20 Ogos 1975, Micheal McQuilken, 18, (kanan) dan adiknya Sean, 12, telah melakukan pendakian ke puncak Moro Rock di Sequoia National Park, California. Turut serta dalam ekspedisi keluarga itu ialah kakak Sean, Mary, 15 tahun.

Sebaik tiba dipuncak Moro Rock, awan berubah menjadi gelap. Ia petanda hari hendak hujan. Bagaimanapun, keluarga ini mendapati ada sesuatu yang lucu berlaku iaitu rambut mereka tiba-tiba terangkat ke atas. Tercacak seperti terkena renjatan elektrik. Perkara itu benar-benar menggelikan hati sehingga mereka tidak berhenti daripada ketawa.

McQuilken cuba mengambil gambar Mary dengan gaya rambut menggerbang ke atas. Kemudian, dia meminta pula adiknya itu menangkap gambar dia bersama Sean. Momen lucu dan keceriaan mereka begitu terserlah pada gambar-gambar tersebut.

Menurut pakar keselamatan kilat, cas elektron yang wujud dalam atmosfera sebelum ledakan berlaku boleh mengangkat rambut seseorang ke udara. Apabila hal begini terjadi, ia sebenarnya amaran terakhir kepada individu terbabit supaya menjauhi kawasan tersebut. Dengan kata lain, ia petanda supaya seseorang perlu mencari tempat perlindungan dengan segera.

Misteri alam

Petir merupakan fenomena alam yang biasanya muncul beberapa saat dilangit dalam keadaan bercahaya ketika hujan. Selalu terjadi dimana cahaya kilat yang menyilaukan akan diikuti dengan bunyi ledakan, disebut guruh.

Kejadiannya masih lagi menjadi misteri sehingga ke hari ini. Adapun yang diketahui, petir berlaku melalui proses elektrifikasi di awan. Elektrik statik terbentuk kerana adanya geseran antara udara panas dengan awan yang membawa partikel-partikel air dari laut dan kawasan industri.

Cukup masanya, guruh akan berdentum dan ia sangat berbahaya kepada manusia kerana boleh menyebabkan kematian. Betapa tidak, kilat boleh memanaskan udara kepada hampir 28,000 darjah selsius. Cukup bertenaga untuk memecahkan molekul di udara, inikan pula sekadar nyawa manusia!

Malang

Mary Lightning
Mary.

Malangnya, McQuilken, Sean dan Mary sangat naif - langsung tidak menyedari bahawa mereka berada dalam keadaan bahaya yang mungkin boleh membawa maut ketika itu. Sehinggalah hujan batu turun diikuti dentuman guruh yang kuat, Sean serta-merta tersungkur diatas tanah.

Sejurus ledakan, McQuilken mendapati Sean telah mengalami kecederaan parah akibat dipanah petir dan membunuh pejalan kaki lain yang berdekatan. Belakang badannya berasap, rambut terbakar dan pakaiannya hancur.

Sean kemudiannya dikejarkan ke hospital. Daripada hasil pemeriksaan klinikal, Sean disahkan melecur tahap ketiga dimana dia mengalami kerosakan penuh pada bahagian kulit, terutama dibelakang badan dan siku.

Sean koma selama enam bulan sebelum pulih sepenuhnya. Dia bernasib baik kerana panahan maut itu tidak meragut nyawanya.

Bahaya petir

Walaupun orang yang disambar petir boleh selamat, kebanyakan saraf akan mengalami kecederaan kekal. Malah boleh menjadi pencetus kepada serangan jantung, pekak dan buta sementara.

Satu petunjuk - berhati-hati dengan rambut yang secara tiba-tiba terangkat ke atas. Itu ialah petanda terakhir anda mungkin bakal disambar petir.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Jenis-jenis Petir Yang Sangat Merbahaya

-SENTIASAPANAS.COM

Kenapa Kita Menyebut Nama Nabi Ibrahim Dalam Tahiyat Akhir?

Kenapa Kita Menyebut Nama Nabi Ibrahim Dalam Tahiyat Akhir?

Pasti ada segelintir umat Islam yang tertanya-tanya, kenapa hanya nama Nabi Ibrahim a.s. yang disebut bersama Nabi Muhammad SAW di dalam tahiyat akhir. Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberi manfaat kepada semua.

Tahiyyat Ibrahim

Setelah Allah SWT menciptakan Adam a.s., kalimah pertama yang dilihat oleh Nabi Adam adalah 'Laa ilaaha illallaah, Muhammad Rasuulullah'.

Lalu Nabi Adam bertanya tentang siapakah Muhammad itu? Lantas Allah menjawab, Muhammad SAW adalah penutup segala nabi dan rasul, serta insan paling mulia diantara semua (rasul). Umatnya juga diberi banyak kemuliaan berbanding umat-umat yang lain.

Diceritakan bahawa Nabi Adam a.s. berkata, "Sesungguhnya Allah memberi 4 kemuliaan kepada umat Muhammad SAW yang tidak diberikan kepaduku, iaitu:

1. Penerimaan taubatku di Makkah, sedangkan umat Muhammad boleh bertaubat dimana-mana tempat.

2. Aku berpakaian ketika aku melakukan dosa. Kemudian Allah menjadikanku telanjang bulat. Sedangkan umat Muhammad tetap diberi pakaian, walaupun dia derhaka kepada Allah dalam keadaan bertelanjang.

3. Ketika aku berbuat dosa, Allah memisahkan aku dan isteriku (Adam dikaki gunung Himalaya, Hawa di Jeddah). Sedangkan umat Muhammad yang berbuat dosa tidak dipisahkan dari isterinya.

4. Aku berbuat kesalahan di syurga. Lalu Allah mengusirku dari syurga ke dunia. Sedangkan umat Muhammad berbuat dosa diluar syurga, Allah tetap memasukkan mereka ke syurga apabila mereka bertaubat.

Umat Nabi Muhammad SAW

Menyedari ketinggian darjat Nabi Muhammad SAW di sisi Allah SWT, Nabi Adam a.s. memohon kepada Allah agar diberi anugerah iaitu cukuplah sekadar menjadi umat Nabi Muhammad SAW, namun permintaannya ditolak Allah SWT.

Begitu juga dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Musa a.s. Sehinggakan Allah SWT sendiri menegur sikap Nabi Musa a.s. agar reda dengan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya.

Dalam banyak-banyak nabi yang memohon untuk menjadi umat Nabi Muhammad SAW, hanya ada seorang nabi sahaja yang Allah perkenankan permohonannya. Dia ialah Nabi Ibrahim a.s.

Secara dasarnya, Allah SWT tidak memperkenankan permohonan Nabi Ibrahim a.s. untuk menjadi umat Nabi Muhammad SAW, tetapi Allah menjanjikan kepada Nabi Ibrahim a.s. yang Rasulullah SAW akan lahir daripada salasilah keturunannya.

Nama Nabi Ibrahim a.s. juga akan meniti dibibir umat Nabi Muhammad SAW, iaitu akan selalu disebut-sebut oleh umat baginda Rasulullah SAW.

Maka, sebab itulah kita disunatkan untuk menyebut nama Nabi Ibrahim a.s. dalam solat lima waktu, semasa bacaan tahiyat akhir seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada Nabi Ibrahim a.s.

Selawat Ibrahimiyah adalah selawat yang dibaca pada separuh kedua dalam bacaan Tahiyyat Akhir di dalam solat.

Selawat Ibrahimiyah dalam Tahiyat Akhit adalah:

1. Mazhab Syafie. Imam syaraf An-Nawawi: Syarah Muslim (4/123): Kita hanya perlu membaca selawat atas nabi sahaja. Selawat atas keluarga baginda dan selawat Ibrahimiyah adalah sunat.

2. Mazhab Imam Maliki dan Imam Hanafi. Sunat hukumnya selawat ini baik atas Nabi SAw, keluarga dan ke atas Nabi Ibrahim a.s.

3. Mazhab Imam Hambali. Wajib selawat ke atas Nabi SAW, keluarga dan selawat Ibrahimiyah.

Begitu besar penghargaan yang Allah berikan kepada Nabi Ibrahim, sehingga selawat kepadanya di syiarkan dalam solat kita. Selawat ini menggabungkan dua ucapan salam dan hormat ke atas kedua-dua Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim a.s.

Lafaz selawat ini sebagus-bagus, selengkap-lengkap dan sesempurna lafaz ke atas junjungan Nabi SAW. Sebab itu selawat ini ditentukan bacaannya di dalam solat.

Ibnu Taimiyyah berkata, "Selawat yang paling sempurna untuk Rasulullah adalah selawat Ibrahimiyah."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, April 23, 2015

Ladang Giza, Pengeluar Kapas Terbaik Di Dunia

Ladang Giza, Pengeluar Kapas Terbaik Di Dunia

Semua orang tahu kapas digunakan untuk industri tekstil tapi tahukah anda di antara kapas yang ada di dunia, kapas dari negara Mesir adalah yang terbaik.

Giza Cotton

Masyarakat Eropah dan Amerika mengelaskan kapas ini sebagai kapas Giza. Mengikut rekod, pada tahun 1920an, industri kapas Mesir dikenali sebagai emas putih Afrika dan merupakan sumber penting dunia.

Nama Cotton (kapas) dalam bahasa Inggeris sebenarnya datang daripada bahasa Arab.

Mengikut beberapa pandangan sejarahwan, tanah sungai Nil telah lama menjadi tapak pengeluaran kapas.

Tekstur kapas di kawasan ini dikatakan terbaik di dunia dan industri penanaman ini telah berlangsung sejak tamadun Mesir kuno lagi.

Malangnya, hari ini, sumber penting ekonomi Mesir ini tidak lagi diendahkan. Banyak ladang kapas telah ditutup dan tidak lagi beroperasi.

Keadaan berbeza pada tahun 1960 dan 1970 dimana negara Mesir merupakan pengeluar utama kapas dunia dengan purata 80% kapas dunia berasal daripada ladang Giza.

BACA INI JUGA: Diet Melampau Makan Kapas Bulat!

-SENTIASAPANAS.COM

Penyakit Parasomnia, Tabiat Pelik Makan Ketika Tidur

Penyakit Parasomnia, Tabiat Pelik Makan Ketika Tidur

Kate Archibald runsing mengenangkan berat badannya yang semakin bertambah.

Kate Archibald

Apa tidaknya, daripada saiz 10, pelajar jurusan Falsafah dan Agama Dunia di Universiti Aberdeen di Scotland itu kini perlu mengenakan pakaian bersaiz 16 mengikut saiz standard Britain.

Menurut gadis berusia 20 tahun itu, dia tidak tahu mengapa berat badannya semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu kerana dia sangat mementingkan aspek pemakanan.

Sehinggalah pada suatu hari dia ternampak pelbagai jenis bungkusan makanan berada di atas katilnya sebaik bangun daripada tidur.

“Pada mulanya saya berasa hairan bagaimana pembungkus makanan itu boleh berada situ. Kemudian, baru saya sedar, saya telah makan makanan itu ketika tidur,” katanya.

Tanpa disedari, Kate mengambil kalori berlebihan daripada makanan ringan seperti keropok, bertih jagung dengan karamel, bar coklat dan kekacang.

“Saya tidak suka snek tersebut, malah saya mempunyai alahan terhadap kacang tetapi entah macam mana, saya boleh makan makanan tersebut ketika tidur.

“Kesan alergi daripada memakan kacang pun akan dirasai keesokan harinya selepas terjaga,” jelasnya.

Kesan ubat

Menurut Kate, dia mengetahui penyakitnya itu bertambah teruk selepas terjumpa sebungkus keju yang telah dimakan separuh diletakkan di tepi katil.

“Saya cuba pelbagai cara untuk menghentikan tabiat ini, namun semuanya tidak berjaya.

“Saya pernah gantikan makanan di dalam peti sejuk dengan snek yang lebih menyihatkan tetapi saya masih makan makanan ringan milik kawan-kawan. Pernah sekali saya menguncikan diri di dalam bilik tetapi cara itu pun tidak berhasil,” ceritanya.

Katanya, dia terus mendapatkan pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui punca sebenar di sebalik tabiat peliknya itu.

Menurut doktor yang merawat Kate, penyakit yang dihidapinya merupakan salah satu simptom kepada penyakit parasomnia iaitu gangguan ketika tidur.

Penyakit makan tanpa sedar ketika tidur (nocturnal eating disorder) yang jarang ditemui itu membuatkan tubuh berasa lapar lebih-lebih lagi pada waktu malam sehingga menyebabkan pesakit boleh mengalami kenaikan berat badan jika tidak dikawal.

Dalam kes Kate, penyakit itu didapati mungkin berpunca daripada kesan sampingan ubat sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) yang diambilnya.

“Saya kerap mengambil Adderall ketika masih kecil. Seingat saya, ubat itu menyekat selera makan tetapi apabila kesannya hilang, saya asyik berasa lapar.

“Selepas meningkat dewasa, saya berhenti mengambil ubat ini. Saya sangka ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan, namun saya silap,” ceritanya.

Pakar psikiatri di Fakulti Perubatan Universiti Harvard, Cambridge, Amerika Syarikat, Dr. John Winkleman memberitahu, penyakit itu biasanya berpunca daripada masalah kesihatan seperti tekanan akibat trauma, kemurungan dan gangguan tidur.

Luar kawalan

Katanya, keadaan penyakit itu juga didapati berkaitan dengan sindrom makan pada waktu malam (NES).

Bagaimanapun, jelasnya, NES dan penyakit makan tanpa sedar ketika tidur mempunyai perbezaan yang sangat ketara.

“Pesakit NES menyedari setiap tindak-tanduk dan perlakuan mereka manakala pesakit makan tanpa sedar ketika tidur berlaku di luar kawalan dan kesedaran pesakit,” katanya.

Winkleman menambah, kira-kira satu daripada lima peratus orang dewasa terdedah kepada penyakit ini.

“Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal usia, namun golongan wanita dilihat lebih cenderung untuk menghidap penyakit ini,” jelasnya sambil memberitahu, ubat-ubatan seperti lithium, proxilin dan desipromin boleh menyumbang kepada penyakit berkenaan.

Katanya, pesakit akan mengalami gejala seperti tidak cukup tidur, lesu dan sering mengantuk selain mengalami pertambahan berat badan.

“Ubat-ubatan seperti topiramate boleh diambil untuk merawat gangguan itu, kerana ia berfungsi di pusat selera makan otak untuk mengurangkan rasa lapar,” ujarnya.

BACA INI JUGA: Top 10 Penyakit Paling Pelik

Sumber: Kosmo.com.my