Thursday, April 23, 2015

Penyakit Parasomnia, Tabiat Pelik Makan Ketika Tidur


Kate Archibald runsing mengenangkan berat badannya yang semakin bertambah.

Kate Archibald

Apa tidaknya, daripada saiz 10, pelajar jurusan Falsafah dan Agama Dunia di Universiti Aberdeen di Scotland itu kini perlu mengenakan pakaian bersaiz 16 mengikut saiz standard Britain.

Menurut gadis berusia 20 tahun itu, dia tidak tahu mengapa berat badannya semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu kerana dia sangat mementingkan aspek pemakanan.

Sehinggalah pada suatu hari dia ternampak pelbagai jenis bungkusan makanan berada di atas katilnya sebaik bangun daripada tidur.

“Pada mulanya saya berasa hairan bagaimana pembungkus makanan itu boleh berada situ. Kemudian, baru saya sedar, saya telah makan makanan itu ketika tidur,” katanya.

Tanpa disedari, Kate mengambil kalori berlebihan daripada makanan ringan seperti keropok, bertih jagung dengan karamel, bar coklat dan kekacang.

“Saya tidak suka snek tersebut, malah saya mempunyai alahan terhadap kacang tetapi entah macam mana, saya boleh makan makanan tersebut ketika tidur.

“Kesan alergi daripada memakan kacang pun akan dirasai keesokan harinya selepas terjaga,” jelasnya.

Kesan ubat

Menurut Kate, dia mengetahui penyakitnya itu bertambah teruk selepas terjumpa sebungkus keju yang telah dimakan separuh diletakkan di tepi katil.

“Saya cuba pelbagai cara untuk menghentikan tabiat ini, namun semuanya tidak berjaya.

“Saya pernah gantikan makanan di dalam peti sejuk dengan snek yang lebih menyihatkan tetapi saya masih makan makanan ringan milik kawan-kawan. Pernah sekali saya menguncikan diri di dalam bilik tetapi cara itu pun tidak berhasil,” ceritanya.

Katanya, dia terus mendapatkan pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui punca sebenar di sebalik tabiat peliknya itu.

Menurut doktor yang merawat Kate, penyakit yang dihidapinya merupakan salah satu simptom kepada penyakit parasomnia iaitu gangguan ketika tidur.

Penyakit makan tanpa sedar ketika tidur (nocturnal eating disorder) yang jarang ditemui itu membuatkan tubuh berasa lapar lebih-lebih lagi pada waktu malam sehingga menyebabkan pesakit boleh mengalami kenaikan berat badan jika tidak dikawal.

Dalam kes Kate, penyakit itu didapati mungkin berpunca daripada kesan sampingan ubat sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) yang diambilnya.

“Saya kerap mengambil Adderall ketika masih kecil. Seingat saya, ubat itu menyekat selera makan tetapi apabila kesannya hilang, saya asyik berasa lapar.

“Selepas meningkat dewasa, saya berhenti mengambil ubat ini. Saya sangka ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan, namun saya silap,” ceritanya.

Pakar psikiatri di Fakulti Perubatan Universiti Harvard, Cambridge, Amerika Syarikat, Dr. John Winkleman memberitahu, penyakit itu biasanya berpunca daripada masalah kesihatan seperti tekanan akibat trauma, kemurungan dan gangguan tidur.

Luar kawalan

Katanya, keadaan penyakit itu juga didapati berkaitan dengan sindrom makan pada waktu malam (NES).

Bagaimanapun, jelasnya, NES dan penyakit makan tanpa sedar ketika tidur mempunyai perbezaan yang sangat ketara.

“Pesakit NES menyedari setiap tindak-tanduk dan perlakuan mereka manakala pesakit makan tanpa sedar ketika tidur berlaku di luar kawalan dan kesedaran pesakit,” katanya.

Winkleman menambah, kira-kira satu daripada lima peratus orang dewasa terdedah kepada penyakit ini.

“Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal usia, namun golongan wanita dilihat lebih cenderung untuk menghidap penyakit ini,” jelasnya sambil memberitahu, ubat-ubatan seperti lithium, proxilin dan desipromin boleh menyumbang kepada penyakit berkenaan.

Katanya, pesakit akan mengalami gejala seperti tidak cukup tidur, lesu dan sering mengantuk selain mengalami pertambahan berat badan.

“Ubat-ubatan seperti topiramate boleh diambil untuk merawat gangguan itu, kerana ia berfungsi di pusat selera makan otak untuk mengurangkan rasa lapar,” ujarnya.

BACA INI JUGA: Top 10 Penyakit Paling Pelik

Sumber: Kosmo.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon