Tuesday, December 03, 2013

Menangi RM500 Contest SEO Eridy

Menangi RM500 Contest SEO Eridy

Menyertai sebuah contest bermakna anda bersedia berperang secara sihat dan menguji tahap sebenar blog anda dengan ilmu yang anda ada.

SEO-contest

Contest ini adalah contest sihat dimana ia lebih kepada menguji dan mencabar diri sendiri sebagai seorang yang memiliki blog.

Jadi, rugi jika anda tidak sertai contes ini segera untuk bersama-sama merebut wang tunai berjumlah RM500 buat para pemenang.

Contest SEO Eridy yang di anjurkan oleh blogger Eridy ini hanya meletakkan syarat buat entri dengan keyword Contest SEO Eridy.

Jadi syaratnya sangat mudah;

Contest SEO Eridy

Tarikh

Tarikh pendaftaran/penyertaan dibuka: 2.12.13 .
Tarikh pendaftaran ditutup: 11.12.13
Contest bermula: 2.12.13 – 30.12.13

Syarat Contest SEO ERIDY

Peserta bertandingan atas keyword "Contest SEO Eridy".
Entri mengikuti kreativiti tersendiri .

Hadiah

Hadiah untuk contest ini ialah wang tunai berjumlah RM500.00

Tempat pertama: RM200 x 1
Tempat kedua: RM 100 x 1
Tempat ketiga: RM 80 x 1
Saguhati: RM 20 x 6

Jangan lupa post entry anda di ruangan komen blog Eridy.

Pemenang akan ditentukan melalui blog yang berada di kedudukan muka surat pertama carian Google bagi keyword “Contest SEO Eridy”.

Carian dibuat di Google.com menggunakan private browsing.

Contest SEO ini dianjur sepenuhnya oleh BLOG ERIDY.

Selamat bertanding buat para blogger..:)

BACA INI JUGA: Panduan Belajar Buat Blog Cara Paling Mudah

-SENTIASAPANAS.COM

Misteri Pusara Di Lebuh Raya Utara Selatan

Misteri Pusara Di Lebuh Raya Utara Selatan

Malam Jumaat itu selepas pulang daripada kerja, saya merasa amat bosan dengan suasana hiruk-pikuk di ibu kota Kuala Lumpur. Kira-kira pukul 10.00 malam selepas berehat seketika, saya memutuskan untuk pulang menziarahi ibu bapaku di kampung.

Misteri Pusara Di Lebuh Raya Utara Selatan
Gambar hiasan.

Seperti selalu, saya sering bertolak dari Kuala Lumpur sendirian selewat-lewatnya pukul 12.00 malam.

Selepas mengemas pakaian dan memeriksa motosikal, saya memulakan perjalanan dari Kampung Baru dan memasuki lebuh raya di Kepong.

Lebih kurang dua jam perjalanan, saya singgah sebentar di Hentian Rehat Tapah untuk mengisi minyak. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 3.00 pagi.

Malam itu, jalan sunyi tidak seperti biasa. Kedua-dua hala kenderaan sangat kurang. Bulan cerah, sejuk dan berkabus. Selepas mengisi minyak, saya meneruskan perjalanan.

Saya berhenti di tepi jalan selepas exit Hulu Berang. Saya mematikan enjin motosikal di bawah deretan lampu sorot berkuasa tinggi di tepi jalan masuk ke lebuh raya.

Semasa berhenti, saya berasa tenang dan damai kerana jalan sangat sunyi dan damai kerana jalan sangat sunyi dan lengang. Kiranya saya boleh memecut motosikal tanpa risau.

Sambil duduk di atas pembahagi jalan menghadap motosikal, saya mengeluarkan sebatang rokok. Jam ditangan menunjukkan lebih kurang pukul 3.40 pagi.

Cuaca semakin sejuk walaupun saya memakai jaket kulit. Sesekali di sebelah sana jalan menghala ke Kuala Lumpur, kereta melintasiku.

Jalan raya mula berkabus seolah-olah saya sudah melepasi Terowong Menora di Ipoh. Habis sahaja sebatang rokok untuk menghilangkan mengantuk, saya campakkan ke atas aspal.

Saya menoleh ke belakang. Ah..ketika itu saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Saya tergamam seketika, terpaku dengan pemandangan disajikan.

Saya kelipkan mata, menggosok-gosok wajahku dengan kedua-dua telapak tangan. Tapi apa yang saya nampak masih berada di situ.

Ya..saya bukannya bermimpi..

Dalam kesamaran cahaya bulan dan limpahan lampu sorot di tepi lebuh raya itu, saya melihat sebuah kawasan perkuburan lama memenuhi bukit-bukau dihadapanku.

Langsung tidak ada sebatang pokok pun yang berada di atas bukit tersebut kecuali ribuan tiang batu nisan yang diperbuat dari kayu usang berceratuk di sana-sini.

Saya nampak jelas dengan bantuan cahaya bulan dan lampu jalan ada tiga buah bukit yang dipenuhi batu-batu nisan lama. Ketika itu, saya langsung tidak berasa seram atau takut.

Saya hanya berasa sedikit pelik kerana setahu saya, tidak pernah ada kawasan perkuburan seluas itu di kawasan ini. Bukan sekali dua saya menggunakan jalan ini.

Pertanyaan demi pertanyaan menerobos benak mindaku. Apakah ini khayalan atau realiti?

Saya perhatikan ke segenap ruang selagi mataku mampu melihat. Sungguh, ia adalah perkuburan lama yang telah berusia dipenuhi dengan batu-batu nisan yang senget dan berceratuk di serata pelosok bukit. Tapi, ini tanah perkiburan siapa?

Kira-kira 10 hingga 15 minit saya terpaku sendirian di situ. Saya merasa amat takjub! Memang saya sedar, tiada sebarang kenderaan yang lalu-lalang.

Selepas itu, saya perlahan-lahan berundur ke arah motosikal. Mengambil helmet dan menyarungkan sarung tangan sambil mata tidak lepas memerhatikan kawasan perkuburan tersebut.

Katika itulah saya terasa seram sejuk dan bulu tengkuk meremang secara tiba-tiba. Argh! Alamatnya ini petanda..

Lalu saya hidupkan enjin motosikal dan tanpa menoleh lagi saya terus memecut. Sepanjang perjalanan, tidak putus-putus soalan demi soalan menerjah dalam fikiranku. Kubur siapakah itu?

Saya hairan sebab baru tadi berasa seolah-olah berada di sebuah perkuburan yang sangat asing.

Ribuan batu-batu nisan yang senget dan berceratuk di serata pelosok bukit adalah sesuatu yang luar biasa, yang tidak pernah saya saksikan.

Setelah tiba di rumah, saya tidak bercerita apa-apa pada ayahku. Hanya pada keesokan paginya barulah saya cuba bertanya tentang kewujudan tanah perkuburan itu.

Ayah pun terkejut dan menegaskan memang tiada sebarang perkuburan Islam begitu terdapat di tepi Lebuh Raya Utara Selatan.

Jadi, kubur siapakah yang saya lihat malam tadi?

Barulah saya mengucap syukur. Saya yakin telah diberi peluang seketika oleh Allah untuk melihat 'dunia lain' buat sementara waktu ketika berseorangan.

Sehingga kini, setiap kali tiba ditempat kejadian, saya cuba mengingat semula pemandangan menakjubkan apabila disajikan dengan ribuan batu-batu nisan berceratuk memenuhi tiga buah bukit.

Subhanallah! Allah Maha Besar. Hanya Dia yang lebih mengetahui kewujudan ciptaan-Nya.

*Kisah benar yang misteri ini adalah seperti yang telah disiarkan di majalah Mastika.

-Sentiasapanas.com

Pekerja Rajin Paling Malang Di Dunia!

Pekerja Rajin Paling Malang Di Dunia!

Seorang tukang kebun kurang upaya yang tidak pernah ponteng bakal kehilangan pekerjaan yang digemarinya itu selepas 27 tahun berkhidmat.

Daniel White,44
Daniel White.

Media melaporkan, Daniel White, 44, mula bertugas di bandar kelahirannya, Collett Park di Shepton Mallet, Somerset, sejak berusia 17 tahun.

Namun, dia bakal kehilangan pekerjaan itu dalam tempoh 11 minggu lagi akibat masalah lambakan pekerja selepas firma baru mengambil alih kontrak di taman tempat dia bekerja.

Saudara-mara White kemudian melancarkan petisyen di Internet untuk menyelamatkan pekerjaan lelaki terbabit dan mendapat sambutan menggalakkan.

Setakat ini lebih 6,000 penduduk di Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Itali menandatangani petisyen berkenaan.

Ibu White, Rachel Williams semalam tindakan majikan anaknya sungguh kejam.

Kata Rachel, hanya pekerjaan itu yang mampu dilakukan dan digemari White.

“Dia melakukan semua kerja memotong rumput, merapikan kawasan taman permainan dan mengutip sampah.

“Kelmarin, dia berkata kepada saya: Ibu, saya tidak fikir saya mampu menghadapi situasi ini.

“Kata-katanya melukakan hati saya,” katanya.

White asalnya diambil bekerja oleh Majlis Perbandaran Shepton Mallet untuk merapikan Collett Park.

Dia masih dibenarkan terus bekerja apabila sebuah firma swasta mengambil alih kontak berkenaan pada 2002.

Bagaimanapun, November tahun lalu, Landscape Group memenangi kontrak pembersihan di situ.

Kini kakitangan taman akan menjadi sebahagian pasukan yang bertugas di kawasan lebih luas.

White yang tidak boleh memandu berkata, tidak selamat untuknya diambil bekerja di tempat lain.

Dia dipercayai satu-satunya pekerja yang akan dipecat.

Marylou Gillingham dari Australia yang menandatangani petisyen itu berkata, tindakan memecat White yang tidak pernah lewat datang bekerja selama 27 tahun sangat menjengkelkan.

Sementara itu, Landscape Group berkata, pihaknya sudah cuba mencari tempat yang selamat selama setahun untuk White bekerja tetapi tidak menemuinya. -Agensi

Tips Bagi Wanita Mengenali Lelaki Buaya Darat

Tips Bagi Wanita Mengenali Lelaki Buaya Darat

Soalan klise kawan baik, “Eh apa cerita dengan lelaki tu? Kau dah ‘couple’ ke dengan dia?” Jawapannya mungkin lambat dengan senyuman sinis.

“Serius aku tak tahu. Dia memang baik dan aku pun dah mula suka kat dia, cuma tiba-tiba aku rasa macam lain dengan dia.”

Lelaki Buaya Darat
Gambar hiasan.

Sudah tentu si kawan pelik. “Kenapa pula? Bukan kau suka kat dia sampai nak teman aku makan pun tak boleh sebab asyik bercakap telefon dengan dia?”

Dalam nada malu dan sedikit rasa menyesal, menjawab persoalan ‘maut’ itu.

“Entahlah, aku sebenarnya rasa yang dia sudah ada kekasih lain ataupun dia memang jenis ‘playboy’. Tapi salah aku sebab ‘feeling’ lebih.”

Macam mana tu? Parah bunyinya. Dua minggu pertama, langsung tak pernah terfikir soal untuk mengenali sedalam-dalamnya.

Ketika itu sibuk melayan perasaan kerana setiap masa mulutnya tidak henti memuji, mengusik dan begitu ‘caring’ terhadap kamu.

Selepas makin hanyut dalam pujian dan kasih sayang yang ‘kononnya’, jiwa si gadis makin mudah menerima kehadirannya dan ketika itu semuanya ‘boleh’.

Persoalannya, adakah lelaki yang begitu mengambil berat itu jujur dan ikhlas atau dia hanya jenis kebiasaan lelaki yang suka mengambil berat terhadap perempuan, ‘womanizer’ dan ayat manis?

Justeru, jangan terlalu cepat menyambut kata cintanya kerana mungkin dia sengaja ingin menguji atau dia memang jenis yang suka ‘pasang banyak’.

Perlu diingat, faktanya, lelaki suka perempuan yang susah untuk ditangkap.

Kalau kamu mudah menerima cintanya, dia segera nampak kelemahan kamu dan meninggalkan persepsi yang kamu memang wanita yang ‘gatal’.

Apa kata kamu si gadis belajar beberapa rahsia dan strategi sebelum terus menerima lamarannya untuk menjadikan kamu kekasihnya.

Mudah diayat

Pertamanya, perhatikan gerak-geri si lelaki itu. Tidak perlu mengendap ataupun mengintip. Cukuplah sekadar kamu ‘pasang mata’ apabila bersamanya.

Perhatikan gerak-gerinya apabila berinteraksi dengan perempuan lain.

Adakah si dia jenis suka ‘mengurat’ dan bagaimana dia tangani situasi jika dia sendiri ‘diayat’ oleh perempuan lain. Ini memang berkesan dan strategi paling berharga kerana sikap dan personalitinya boleh dilihat dengan jelas.

Jika dia memberi reaksi positif atau begitu peramah melayan, itu bermakna dia memang berada di dalam ‘open relationship’ dan tidak terikat dengan mana-mana hubungan.

Dia memang lelaki yang bebas daripada mana-mana komitmen dan sememangnya menganggap kamu di sebelahnya pun sebagai kawan biasa.

Jangan marah atau menunjukkan sikap cemburu jika dia melayan terhadap usikan gadis lain kerana lelaki akan terus menganggap kamu jenis yang kuat cemburu dan ‘over acting’.

Baru keluar beberapa kali, sudah menunjukkan sikap marah kerana dia melayan gadis lain. Buat ‘cool’ dan tidak perlu melenting. Ini akan membuatkan lelaki itu terfikir yang kamu juga menganggapnya sebagai teman biasa.

Jika dia cuba elakkan diri ketika ada perempuan lain datang mengusiknya, itu bermakna dia sebenarnya sudah berpunya dan sudah meletakkan fokusnya untuk memiliki kamu. Dia cuba menghalang dan menjauhkan diri daripada ‘minat’ individu lain.

Keduanya, apa kata kamu mengendap dengan gaya moden. Tiada salahnya ‘stalk’ dulu media sosial milik dia sebelum menerima lamarannya. Penting untuk kamu ketahui siapakah dan apakah statusnya di sebalik pengetahuan kamu.

Dari situ juga kamu dapat mengenali rakan-rakan dan lihat sendiri bagaimana pergaulannya. Adakah dia jenis yang boleh dipercayai atau tidak.

Seperkara yang mungkin boleh dijadikan panduan adalah jika dia mempunyai bilangan kawan perempuan yang ramai, itu bermakna kamu perlu berhati-hati kerana dalam ramai itu pasti ada salah seorang yang dia pernah mencuba.

Jika sebaliknya, kamu boleh menarik nafas lega sedikit kerana besar kemungkinan kamu satu-satunya gadis yang bertuah memilikinya.

Ekor mata

Ketiga, lihat bahasa tubuhnya. Jika sepanjang bersama kamu matanya mudah tertarik dengan gadis lain yang asyik lalu-lalang di depan atau sebelahnya, itu menunjukkan yang dia seorang yang tidak berpuas hati dengan apa yang dia ada.

Kemungkinan besar juga dia sebenarnya memang sudah berpunya, cuma dia mahu mencari dan meneroka sesuatu yang terbaik. Maka tidak hairanlah me­ngapa dia keluar dan mula mendekati kamu. Betul tak?

Lelaki mudah tertarik dengan benda yang cantik dan menarik. Jika kamu lihat ‘ekor mata’ asyik mengikut pergerakan gadis lain, itu bermakna kamu bukanlah gadis terakhir dalam hidupnya. Jadi berhati-hatilah dengan lelaki seperti ini.

Keempat adalah nasihat klise yang ramai kawan kamu berikan iaitu jadilah kawannya dulu. Jangan terburu-buru dan terlalu gopoh untuk memulakan cinta. Minta dia sedikit masa untuk kamu lebih mengenali dirinya.

Menerima lamarannya untuk jadi pasangan bukanlah sesuatu yang ‘suka-suka’ sebaliknya kamu harus mengenali dengan lebih mendalam dengan siapa kamu selalu bersama. Percayalah, makin kamu rapat, makin kamu mengenali siapa dirinya yang sebenar.

Dari situ kamu bukan saja dapat mengenalinya de­ngan lebih rapat, malah kamu juga boleh melihat segala tindak-tanduknya adakah dia benar-benar ‘single’ atau sudahpun berpunya.

Gigit jari

Kelima, kenali kawan-kawannya. Kamu boleh menilai di manakah tahap status ‘bakal kekasih’ kamu daripada rakan-rakannya.

Jika kehadiran kamu disambut baik oleh rakan-rakannya dan dapat merasakan ada keserasian, itu menunjukkan kamu satu-satunya kekasihnya.

Tapi kalau rakan-rakannya memberi reaksi biasa atau sedikit pelik, itu perlu berhati-hati. Besar kemungkinan kamu bukanlah orang pertama yang pernah berjumpa dengan rakan-rakannya.

Peringatan, kalau seorang lelaki berani dan sanggup memperkenalkan kamu sebagai kekasihnya, itu bermakna kamu dialu-alukan untuk masuk ke dalam dunianya.

Terakhirnya yang mungkin sedikit peribadi namun memerlukan kamu untuk mengesan sejauh mana kejujurannya adalah dengan bersembang mengenai hubu­ngan lampau.

Perlu diingatkan, jangan cepat melenting atau menunjukkan reaksi kurang selesa.

Cuba tanya mengapa dan apa punca utama bekas kekasihnya meninggalkan dirinya. Dari situ kamu pasti dapat mengagak dia seorang yang macam mana dan adakah dia benar-benar masih ‘single’.

Lihat terus ke matanya kerana lelaki tidak dapat menipu bila seseorang memandang tepat ke matanya apabila dia sedang bercakap.

Jadi kamu boleh lihat kebenaran adakah orang itu benar-benar sudah menjadi bekas kekasih ataupun masih bergelar kekasih.

Baca dengan perlahan semula semua strategi ini dan analisis sendiri. Kamu perlu bertindak sebelum gigit jari pada akhir hubungan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, December 02, 2013

Lana Nordin Bomohkan Johan As'ari?

Lana Nordin Bomohkan Johan As'ari?

Tatkala kekasihnya Johan As’ari membuat pengakuan berani, melamar dirinya selepas tiga hari mereka berkenalan, ramai juga yang mendoakan kebahagian mereka berdua.

Lana Nordin main bomoh

Bagaimanapun timbul pula cerita Lana kononnya menggunakan ilmu hitam untuk memikat hati Johan.

Membidas tuduhan tersebut, Lana sebaliknya memberitahu cinta mereka ibarat cinta pandang pertama.

“Itu benda bodoh (guna ilmu hitam). Saya kenal dia sehari. Tiga hari lepas tu dia lamar saya. Saya ada tanya dia apa yang dia suka dengan saya? Dia cakap, bila pertama kali dia tengok saya, dia dah suka.

“Saya harap semua boleh doakan yang terbaik. Saya memang nak cari lelaki beriman, lelaki yang menerima keburukan saya sebelum saya berubah. Johan ada ilmu dalam agama dan saya percaya dia bukan main-main bila bercakap hal kahwin. Saya hormati Johan sebab dia berani suarakan hasrat dia pada saya.

“Saya juga anggap ini sebagai wake up call untuk saya. Pada usia begini, saya mencari orang yang boleh membimbing saya.

"Mungkin inilah masanya saya berubah. Johan tak paksa saya. Kalau saya nak berubah kerana diri saya sendiri. Dia sokong saya. Dan saya buat perubahan perlahan-lahan”, katanya ketika ditemui pada Sabtu lalu.



Dalam masa sama Lana juga berkata, pada awalnya dia ada bertanyakan pada Johan mengenai hubungan aktor itu dengan Shila Amzah.

“Masa Johan luahkan hasrat dia pada saya, saya ingat dia main-main. Saya ada bertanyakan tentang hubungannya dengan Shila. Johan beritahu dia dan Shila sekadar kawan.

"Dia sendiri telefon ibu bapa Shila dan beritahu hal kami dan sewaktu tu saya dengar perbualan mereka. Dan masa tu lah saya betul-betul yakin yang Johan serius dengan saya”, ujarnya lagi.

Mengenai khabar dia bakal berhijab kerana Johan, Lana menyangkal hal tersebut dengan mengatakan kenyataan sebegitu tidak pernah keluar dari mulutnya.

“Kenyataan macam tu tak pernah keluar dari mulut saya. Kalau saya nak bertudung, kerana Allah. Bukan kerana Johan.

"Saya hanya kata kalau saya dah berkahwin, kalau suami saya suruh saya bertudung, saya akan pakai sebab dosa saya suami saya yang tanggung.

“Tapi Johan ada bagi syarat kat saya, dia tak nak tengok saya pakai skirt. Perlahan-lahan saya cuba berubah. Saya rasa tak ada masalah”, ujarnya.

Sumber: Malaysian Digest

'Ayu' 20 Sen Dalam Filem P. Ramlee Kini Bergelar Nenek!

'Ayu' 20 Sen Dalam Filem P. Ramlee Kini Bergelar Nenek!

Sehingga kini, watak Ayu yang mulutnya perlu ‘ditutup’ dengan wang 20 sen agar tidak membuka rahsia percintaan di antara Sudin dan Zaiton di dalam filem Bujang Lapok terus diingati.

SRI RAHAYU SUDARMAJI

Tidak ramai yang mengambil peduli siapa empunya diri, apatah lagi untuk mengetahui nama sebenarnya, tetapi karakter Ayu tetap popular sehingga gambar aksinya meminta 20 sen daripada Zaiton dan Sudin dimuat naik secara meluas di laman sosial sebagai sebahagian daripada jenaka sewaktu kenaikan harga minyak dalam jumlah yang sama baru-baru ini.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Ayu yang dahulunya nakal dan sering berseluar pendek tanpa berbaju, kini sudah pun berusia 61 tahun dan sedang menanti kelahiran cucunya yang kelima.

Seperkara lagi yang tidak ramai pihak tahu, pemilik nama Sri Rahayu Sudarmaji itu adalah anak kepada pengarah filem yang mempunyai hubungan cukup rapat dengan P. Ramlee, S. Sudarmaji.

Menceritakan detik bagaimana dia ditawarkan berlakon, Ayu berkata ketika berusia empat tahun setengah, bapanya sebaik sahaja pulang dari studio memberitahu yang P. Ramlee mahu mengambilnya berlakon.

“Disebabkan saya menganggap semua yang bekerja di Jalan Ampas termasuk jurusolek terdiri daripada pak cik dan mak cik kawan bapa, saya tidak takut dan terus memberi persetujuan.

Adegan pertama ketika P. Ramlee membelanja Rokiah dan 10 lagi adik-beradiknya makan. Saya menjadi adik Rokiah dan melompat-lompat di atas meja makan restoran tersebut.

“Hanya selepas itu, rambut saya dipotong pendek seperti lelaki dan kemudian, barulah adegan-adegan lain dilakonkan. Tiada masalah buat saya dengan watak sebegitu kerana sewaktu kecil, saya memang tidak suka berbaju seperti dalam filem itu," katanya.

Ayu menambah, sewaktu adegan Sudin dan Zaiton berbincang di bawah sampan mengenai perkahwinan mereka, beliau menghadapi kesukaran untuk menuturkan dialog akibat mengantuk.

“Rakaman dijalankan pada pukul 12 malam menyebabkan saya tidak dapat fokus. Setelah berkali-kali gagal, P. Ramlee menghentikan rakaman untuk berehat dan kami minum kopi ‘o’ (Minuman kegemaran P. Ramlee). Apabila habis saja minum kopi, saya terus dapat melakukannya tanpa ada masalah," katanya.

Bagaimanapun tugas Ayu sebenarnya tidak terhenti di situ. Beliau selepas itu perlu menjalani proses ‘dubbing’ untuk memasukkan suara.

“Saya duduk berdua dengan ayah di bilik rakaman itu. Apabila sampai adegan yang memerlukan saya bersuara, ayah akan menepuk di bahagian belakang badan sebagai isyarat supaya saya bercakap, sama seperti yang dituturkan ketika berlakon," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui tidak ramai daripada kenalannya tahu dirinya adalah Ayu yang cukup menarik perhatian di dalam filem tersebut.

“Bekas rakan sekerja tidak tahu, malah jiran pun sama. Jiran di sebelah rumah ini pun hanya mengetahui tentang perkara itu setelah saya terserempak dengan pelakon drama, Osman Zailani yang selalu datang ke rumahnya pada setiap kali Ramadan," katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Sumber: Utusan Malaysia

Siti Aishah Enggan Pulang, Setia Perjuang Idealogi?

Siti Aishah Enggan Pulang, Setia Perjuang Idealogi?

”Saya tidak akan lagi memujuk Siti Aishah pulang,” kata Kamar Mahtum Abdul Wahab kakak kepada mangsa yang menjadi “perhambaan psikologi” selama 30 tahun di London.

Kamar Mahtum Abdul Wahab

Menurut Kamar Mahtum, misi bertemu Siti Aishah untuk kembali ke Malaysia sudah berakhir apabila melihat adiknya kini hidup sihat dan gembira di London.

“Tidak akan ada tindakan susulan untuk memujuk dia kerana segala-galanya sudah diperjelaskan.

“Dahulu saya tidak tahu dia masih hidup atau tidak tapi kini selepas pertemuan tersebut saya yakin Aishah benar-benar sihat dan juga menghayati apa yang kami rasa,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini.

Kamar Mahtum merupakan bekas guru sekolah terbang ke London pada Selasa dalam impiannya untuk bertemu adiknya.

Hampir lima hari di sana setelah menempuhi perjalanan berjam-jam lamanya Kalthum Mahtum akhirnya pulang ke negara hari ini.

Beliau tiba kira-kira jam 7.40 pagi tadi bersama bekas aktivis mahasiswa 1970-an, Hishamuddin Rais.

Ketibaan Kamar Mahtum disambut dengan penuh kesedihan oleh ahli keluarganya yang berada di KLIA seawal jam 7.00 pagi lagi.

Biarpun tidak dapat membawa pulang Siti Aishah, bekas guru itu berkata, adiknya ada berjanji dengannya untuk pulang ke pangkuan keluarga kelak.

Ini kerana Siti Aishah mendakwa bahawa ramai yang memerlukan pertolongannya di London dan menyifatkan masih ada kerja yang belum diselesaikan.

“Semasa berjumpa, saya suruh dia balik.. baliklah Aishah tapi dia cakap di Malaysia dia cuma ada keluarga namun di sana ramai yang memerlukan bantuannya,” katanya dalam keadaan sebak.

Sumber: The Malaysian Insider

Luarbiasa! Kanak-kanak Yang Mampu Melihat Dalam Gelap!

Luarbiasa! Kanak-kanak Yang Mampu Melihat Dalam Gelap!

Manusia biasanya memerlukan cahaya untuk melihat sesuatu dengan jelas, terutamanya ketika malam. Namun, tidak bagi Nong Yousui. Kanak-kanak yang berasal dari Dahua, China, ini dilahirkan dengan mata biru cerah dan boleh melihat jelas di dalam gelap seperti mata kucing.

Tapetum_Lucidum - Nong_Eyes

Mata biru cerah Nong bukan hanya membuatkannya unik, malah gurunya juga mendakwa mata Nong berubah menjadi bersinar dan berwarna hijau neon ketika disuluh dengan lampu.

Seorang wartawan tempatan dari China telah menjalankan satu ujian bagi menguji kemampuan Nong.

Nong telah diminta untuk duduk di dalam bilik yang gelap gelita. Menakjubkan, Nong berjaya menyelesaikan semua ujiannya dan membuktikan bahawa penglihatannya pada waktu malam atau dalam keadaan gelap sama dengan penglihatan pada waktu siang.

Tapetum_Lucidum - Nong_Eyes

Para saintis mendedahkan bahawa kejadian ini amat sukar dipercayai. Penglihatan malam atau night vision hanya dimiliki oleh haiwan tertentu, seperti kucing dan harimau.

Keadaan ini mungkin berlaku kerana adanya lapisan nipis sel yang dikenali sebagai Tapetum Lucidum di dalam mata Nong.

Dan sehingga sekarang, kelebihan luarbiasa ini masih belum diketahui puncanya secara pasti bagaimana lapisan ini boleh dimiliki oleh manusia.

Namun menurut James Reynolds, seorang doktor pakar mata kanak-kanak di State University of New York, ada mutasi genetik tunggal yang mungkin boleh membentuk tapetum lucidum sepenuhnya pada manusia dan berfungsi dengan baik walaupun sangat jarang berlaku.

Ini kerana kemampuan seperti ini memerlukan mutasi dari generasi ke generasi dan tidak boleh terjadi dalam mutasi tunggal.

"Kira-kira 2 minggu selepas dia lahir, saya diberitahu bahawa matanya berbeza.

Kami kemudian membawa Nong ke hospital dan doktor mengatakan kepada saya supaya tidak bimbang kerana seiring dengan pertambahan usia, matanya akan berhenti bersinar dan akan berubah menjadi hitam seperti orang lain, tapi kenyataannya , mata Nong tidak bernah berubah, " kata ayah Nong. -Daily Mail.

Paul Walker, Hero Fast & Furious Maut Dalam Kemalangan Ngeri!

Paul Walker, Hero Fast & Furious Maut Dalam Kemalangan Ngeri!

Pelakon utama filem Fast & Furious, Paul Walker dilaporkan terbunuh dalam satu kemalangan tengah hari semalam di Selatan California, lapor TMZ.

Paul Walker dies

Kemalangan berlaku di Santa Clarita, apabila Porsche dinaiki Paul dan seorang lagi individu terbabas lalu melanggar pokok.

Kereta berkenaan terbakar dan meletup.

Pihak berkuasa masih menyiasat kemalangan itu tetapi TMZ melaporkan kedua-duanya terbunuh.

Ia masih belum jelas siapa yang memandu ketika itu.

Paul Walker dies

Pihak berkuasa memberitahu stesen TV CBS 2 di Los Angeles bahawa kemalangan itu berlaku pada jam 3.30 petang namun identiti mangsa tidak didedahkan lagi.

Menurut sumber, Paul berada di Santa Clarita untuk majlis amal pertunjukan kereta bagi menyokong mangsa bencana alam di Filipina.

Paul membawa kawannya menaiki Porsche GT barunya dan kemalangan berlaku semasa salah satu pusingan ujian tersebut.

Sumber: Sinar Harian Online

Manusia Yang Miskin Tetapi Kaya

Manusia Yang Miskin Tetapi Kaya

Info Agama. Daripada Abu Hurairah r.a katanya: "Yang disebut orang miskin itu bukanlah peminta-peminta yang diberi orang satu atau dua buji kurma atau sesuap atau dua suap makanan. Tetapi sesungguhnya orang miskin itu ialah orang yang tahu menjaga diri (daripada meminta-minta). (riwayat Muslim)


Jika kamu mahu bacalah firman Allah SWT bermaksud: "...mereka tidak meminta-minta kepada orang ramai dengan mendesak-desak..." (al-Baqarah:273)

Setiap insan di dunia ini bercita-cita untuk menjadi kaya raya. Dalam Islam seseorang itu tidak dianggap kaya hanya dengan memiliki harta yang banyak, tetapi kaya yang sebenar, di samping ia mempunyai harta ialah apabila memiliki jiwa dan hati yang jauh lebih mulia daripada hartanya itu.

Orang yang miskin tetapi kaya maruah tidak bergantung harap dan belas kasihan daripada orang lain. Sekalipun tidak berharta ia tidak menunjukkan kelemahan dan kekurangannya itu dengan cara mendesak, meminta-minta sedekah daripada orang lain tetapi berusaha memperbaiki nasib dirinya dengan segala tenaga dan upaya, melakukan sebarang pekerjaan yang halal untuk mencari rezeki.

Al-Quran ada menyebutkan sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di atas maksudnya: "(Pemberian sedekah itu adalah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam) yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka; orang kaya-oleh orang yang mengetahui halnya kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah) apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya". (al-Baqarah:273)

Islam amat membenci kemiskinan kerana ia boleh membawa kepada kekufuran. Malah bagi sebuah negara yang kaya, maju dan membangun rakyatnya harus dididik untuk menabur kebajikan, sebagai tempat si kaya berbudi, si miskin dirai dan dibantu bukan tempat di mana kesenangan hanya berkisar pada si kaya manakala si miskin terus merana.

Petikan daripada koleksi Senarai Hadis dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

-Sentiasapanas.com