Wednesday, July 31, 2013

Bila Sebenarnya Malam Lailatulqadar?

Bila Sebenarnya Malam Lailatulqadar?

Lailatulqadar merupakan salah satu dari malam-malam Ramadan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan 1000 bulan.


Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1 dan 2 yang bermaksud: Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar. Tahukah kamu apakah malam al-qadar itu? Malam Lailatulqadar adalah lebih baik dari 1000 bulan.

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam tersebut dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami daripada ayat tersebut ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi 1000 bulan.

Kebesaran Lailatulqadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam tersebut telah diturunkan al-Quran dan keduanya, pada malam tersebut akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebutkan sebagai Lailatulqadar kerana pada malam tersebut akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan dan Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatulqadar seringkali berlaku perselisihan pendapat di kalangan para ulama. Tetapi pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam-malam ganjil sesudah hari yang ke-20 Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah daripada Ibnu Umar yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin mencari Lailatulqadar hendaklah pada malam ke-27."

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim adalah bermaksud: Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam-malam ganjil dari 10 malam akhir bulan Ramadan.

Jelas daripada kedua-dua hadis di atas bahawa Lailatulqadar itu hanya berlaku pada satu malam sahaja dari bulan Ramadan, dan ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipatgandakan amal ibadat pada malam-malam akhir Ramadan al-Mubarak ini.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh Lailatulqadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam tersebut.

Allah SWT sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:
  • Allah SWT menyembunyikan Lailatulqadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang bulan Ramadan.
  • Allah SWT menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada hari Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari tersebut.
  • Allah SWT menyembunyikan sembahyang wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu.
  • Allah menyembunyikan isim adzam di antara nama-nama-Nya agar kita menyebut kesemua nama-nama-Nya (Asmaul Husna)
  • Allah SWT menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita berhenti melakukan apa jua bentuk maksiat.
  • Allah SWT menyembunyikan siapa yang menjadi wali di antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin.
  • Allah SWT menyembunyikan kedatangan Hari Kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.
  • Allah SWT menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya.

Walau bagaimanapun berkaitan dengan Lailatulqadar, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda apabila berlakunya malam tersebut, di antaranya ialah:
  • Orang yang berkesempatan melihat malam al-Qadar akan dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan di langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan melihat suasana alam yang terang-benderang walau pun berada dalam kegelapan.
  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan dapat mendengar salam para malaikat dan tutur kata mereka.
  • Orang yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa di antara tanda malam al-Qadar telah berlaku ialah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk yang putih bersih bagai bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas, di mana tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.

Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al-Qadar akan tetap mendapat ganjaran daripada Allah SWT, biarpun tanda-tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang Ramadan, insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik daripada 1000 bulan itu.

BACA INI JUGA: Pemuda Penghuni Syurga, Kisahnya Membuatkan Anda Terpukau

Sumber: Utusan.com.my

Pembikin Klip Video Anjing Dan Hari Raya Ditahan Polis

Pembikin Klip Video Anjing Dan Hari Raya Ditahan Polis

Polis hari ini menahan jurulatih anjing Maznah Mohd Yusof, yang mencuri tumpuan ramai dengan video ucapan Hari Raya Aidil Fitri bersama anjing.


Maznah mengesahkan perkara itu dan memberitahu beliau kini ditahan di Bukit Aman.

Maznah ketika dihubungi Malaysiakini dengan tenang berkata beliau telah disoal siasat oleh polis Cawangan Khas dan pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Mereka tanya niat saya memuatnaik video itu (tiga tahun lalu) dan pekara berkaitan,” katanya.

Peguam Latheefa Koya sewaktu dihubungi berkata Maznah menghubungi beliau sewaktu berada dalam kereta polis.

Katanya, Maznah juga memaklumkan bahawa beliau dibawa ke Bukit Aman dan mungkin akan ditahan selama 24 jam.

Chetz Enggan Minta Maaf, Buat Laporan Polis Kerana Ancaman Bunuh


Pembikin video kontroversi bersama anjing peliharaannya, Chetz Yusof atau nama sebenarnya Maznah Mohd Yusof bertegas tidak akan memohon maaf.

Ini kerana dia menganggap apa yang dilakukannya itu bukanlah satu kesalahan.

Memetik sumber berita Astro Awani, Chetz berkata;

”Saya tiada niat untuk menghina Islam dan saya tidak akan memohon maaf untuk sesuatu yang saya anggap bukan satu kesalahan”.

Chetz turut berpendapat bahawa video itu bukan kesalahannya ataupun tanggungjawabnya sekiranya orang ramai tersalah faham tentang maksud sebenar video itu.

”Jikalau saya memohon maaf untuk video itu, ia bermaksud saya bersetuju bahawa saya membuat sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Video itu bukan menghina Islam.

”Membuat tuduhan bahawa saya ingin menghina Islam ialah seperti memfitnah saya,” katanya.

Selain itu, jurutera berusia 38 tahun ini juga berasa bimbang dengan keselamatan diri, anjing-anjingnya serta keluarganya selepas menerima ancaman bunuh menerusi SMS.

”Saya telah membuat laporan polis semalam tentang orang-orang yang telah memuat naikkan video itu semula dan menuduh saya menghina Islam.

”Hari ini saya akan membuat lagi satu laporan polis mengenai ancaman bunuh yang saya terima,” jelasnya lagi.

Video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu memaparkan Chetz memakai Baju Melayu hitam, membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah-olah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula.

Kemudian dia mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk haiwan-haiwan tersebut.

Video itu juga menyiarkan kata-kata “Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).

Ia turut memuatkan ucapan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari Chetz sekeluarga” dengan gambarnya duduk bersama tiga ekor anjing di atas sofa.

Saya Tiada Niat Hina Islam, Orang Melayu Terlebih Sensitif


“Saya tiada niat hina Islam”. Itulah kata-kata yang diungkapkan oleh pembikin video yang kini menjadi viral di laman sosial Facebook, Chetz Yusof, yang merupakan seorang penganut Islam.

Menurut wanita berusia 38 tahun ini, tujuannya memuat naik video itu adalah untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat di luar sana mengenai penjagaan anjing seperti mana yang dilakukannya.

“Saya takde niat pun hina Islam sebaliknya video itu adalah pada mulanya saya memang buat suka-suka tapi alang-alang baik saya ‘educate’ orang di luar mengenai penjagaan anjing dan kebersihan,” katanya eksklusif ketika dihubungi Mynewshub sebentar tadi.

Selain itu, Chetz yang merupakan seorang jurutera, turut berasa pelik apabila video yang sudah lama dimuat naik sejak 2010 itu, hanya kini hendak diperkatakan.

“Benda ni dah lama kenapa dia (video) timbul sekarang? Orang Melayu terlebih sensitif,” katanya yang memiliki lapan ekor anjing yang semuanya merupakan anjing jalanan.

Chetz turut menyatakan tujuan video itu direkod adalah untuk menunjukkan kebersihan dalam menjaga haiwan peliharaan selain menyatakan anjing itu tidak haram untuk dibela.

Anjing-anjing yang dibela itu kesemuanya merupakan anjing terbiar dan dibuang di jalanan malah ada di antaranya yang buta serta pernah dilanggar orang.

“(Bela) Anjing ini tak haram, kalau basah, kita samak,” katanya lagi.

Ketika ditanya tidakkah dia takut sekiranya pihak berkuasa bakal mengambil tindakan terhadapnya, Chetz mengatakan, “saya risau ambil masa saya, buat report polis, kena buat ‘statement’ kepada polis, itu yang saya risau sebab ia mengambil masa saya”.

Chetz yang masih bujang ini tinggal bersama dua lagi rakan serumahnya yang beragama Islam malah mereka turut sama menjaga anjing-anjingnya yang merupakan baka Mix Breed atau Mongrel itu.

Menurutnya lagi, keluarganya turut menyokong tindakannya menyelamatkan anjing jalanan dan terbiar walaupun ada di antara ahli keluarganya tidak bersetuju pada mulanya.

“Ada ahli keluarga pada mulanya tak bersetuju, tapi bila saya terangkan, mereka boleh terima benda ini,” katanya yang mengharapkan semua pihak tidak cepat melatah dengan perkara ini.

Menerusi video berdurasi satu minit 14 saat itu, Chetz meraikan Aidilfitri bersama tiga ekor anjingnya dengan berlatar belakangkan audio Takbir Raya sekali gus menimbulkan kemarahan segelintir pihak kerana dikatakan menghina umat Islam di Malaysia.



-SP

Gambar Suspek Yang Menembak Mati Hussain Najadi

Gambar Suspek Yang Menembak Mati Hussain Najadi

Siasatan kes pembunuhan pengasas Arab Malaysian Bank yang berlaku pada 29 Julai 2013 di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur sedang giat dijalankan bagi mengesan saspek utama pembunuhan.

Gambar FB Polis KL.

Hasil siasatan dan penelitian kamera litar tertutup(CCTV) di lokasi kejadian, polis percaya imej lelaki yang dirakam dan dikenali sebagai ‘Sei Ngan Chai’(sebutan kantonis) atau Jian adalah saspek utama kejadian.

Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur ingin meminta orang ramai yang mengenali dan mempunyai sebarang maklumat mengenai saspek berkenaan menghubungi Bahagian Siasatan Khas (D9) IPK KL di talian 03-21460685 atau Hotline Polis KL (Rakan Cop) ditalian 03-21159999 atau SMS Polis KL(Rakan Cop) ke 32728 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Polis juga telah menahan pemandu teksi berusia 44 tahun di sebuah restoran di Sri Petaling, di sini, jam 9 malam tadi, dipercayai individu membawa suspek.

Siasatan awal mendapati pemandu teksi itu menurunkan suspek di Jalan Alor selepas insiden berkenaan.

-Mynewshub

Percanggahan Syiah Dengan Ajaran Islam

Percanggahan Syiah Dengan Ajaran Islam

Info Syiah. Dewasa ini, isu aktiviti penyebaran ajaran Syiah di negara kita, kembali hangat diperkatakan. Pelbagai pihak daripada kalangan pihak berkuasa agama Islam, kementerian-kementerian yang menjaga urusan keselamatan dan agama serta penganut Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, telah memberi respons.


Tidak terkecuali turut memberi respons ialah penganut Syiah sendiri serta para simpatisan mereka, termasuk daripada kalangan golongan Liberalis dan puak yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan hak asasi manusia (HAM).

Isu ajaran dan golongan Syiah bukan baharu dalam kalangan umat Islam. Sejak hari pertama wujudnya golongan Syiah ini, seluruh umat Islam yang dipimpin oleh ulama dan pemerintah, telah bangun menentang mereka.

Para ulama Islam telah mengarang ribuan kitab menjawab dan menolak fahaman sesat dan salah ini, sementara pemerintah pula membuat peraturan dan memberi hukuman kepada mereka selaras dengan tuntutan Maqasid Syara’ iaitu memelihara agama Islam daripada dicemari dan diubah serta dirosakkan daripada ajarannya yang sebenar dan asal, seperti yang di bawa oleh Nabi SAW.

Kemasukan fahaman Syiah ke Malaysia adalah melalui perancangan rapi. Selepas Revolusi Khomeini menumbangkan Shah Iran, dia menubuhkan kerajaan Syiah. Bukan kerajaan Islam. Ini adalah kerana Perlembagaan negara Iran, meletakkan mazhab Ja‘fari sebagai mazhab rasmi negara itu. Tidak seperti yang dilaungkan mereka iaitu: Tidak Barat, tidak Timur tetapi Islam dan Wehdah Islamiyyah. Islam mereka ialah Syiah bukan selainnya.

Berikutan dari itu, Kerajaan Iran menjemput pemimpin-pemimpin politik dan badan-badan dakwah Islam seluruh dunia ke Iran, termasuk Malaysia. Ada organisasi Islam yang terpengaruh dan membawa balik fahaman Syiah ke dalam organisasi mereka seperti dari Malaysia. Ada yang tidak.

Setelah terpengaruh dengan dakyah Syiah, organisasi ini menghantar pula anak-anak yang amat muda ke Iran untuk mempelajari ‘Islam’- Islam versi Syiah. Di samping itu, pelbagai buku ‘akidah dan agama Syiah, membanjiri masuk melalui badan-badan politik dan NGO-NGO ini.

Berikutnya, berduyun-duyun ulama Syiah datang atas jemputan organisasi-organisasi ini, memberi ceramah dan membentang kertas kerja dalam wacana-wacana anjuran mereka. Untuk mengukuhkan lagi penyebaran fahaman Syiah, Syiah Iran telah melabur wang yang banyak, menubuhkan institut-institut untuk menerbitkan tulisan-tulisan dan buku-buku serta membiayai kegiatan terjemahan buku-buku agama Syiah.

Antara buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ialah al-Hukumah al-Islamiyyah, karangan Khumayni yang bercanggah dengan akidah Islam itu. Ia diterjemah oleh seorang pemimpin NGO dakwah Islam!

Seorang Muslim yang serius, sekiranya meneliti literatur berkaitan dengan doktrin dan konsep Usuluddin dan Tauhid serta Syariat Islam, pasti dia akan bertemu ajaran Syiah amat bercanggah bahkan bertentangan sama sekali daripada ajaran agama Islam seperti yang dibawa oleh Nabi SAW, baik dalam perkara yang bersifat Usul mahu pun yang bersifat Furu’.

Ini berdasarkan kepada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ahmad dan Ibn Madjah, yang menerangkan mengenai golongan yang berjaya atau firqah al-najiyah. Baginda ditanya oleh Sahabat mengenai golongan yang berjaya. Baginda menjawab: Ahli al-Sunnah wal Jamaah. Tanya Sahabat: dan apakah al-Sunnah wal Jamaah? Baginda menjawab: apa yang saya dan Sahabat-sahabat saya berada ( berpegang dan beramal padanya) pada hari ini. Jelas dari Hadis ini, golongan yang berjaya hanyalah golongan yang Iktikad dan Syariat mereka adalah Ahli Sunnah wal Jamaah bukan selainnya.

AKIDAH DAN SYARIAT SYIAH

Tulisan ini akan menerangkan beberapa pokok ajaran Syiah yang menyalahi ajaran kita Ahli Sunnah wal Jamaah. Antaranya ialah:

1. Al-Quran

Agama Syiah menolak al-Quran Mushaf Uthman sebagai Mushaf al-Quran yang lengkap lagi autentik. Mereka mempunyai mushaf sendiri yang bernama Mushaf Fatimah. Bagi orang Islam, al-Quran yang ada di tangan kita hari ini, adalah disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi SAW, tetapi bagi Syiah seperti yang terdapat di dalam Usul al-Kafi iaitu sebuah koleksi Hadis menurut epistemologi mereka, al-Quran mereka itu, adalah disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Sayidah Fatimah binti Rasul SAW, sebab itulah dinamakan Mushaf Fatimah.

Mushaf inilah yang diterima sebagai paling benar lagi autentik. Menurut mereka, Mushaf Uthman hanya mengandungi sekitar satu pertiga sahaja dari mushaf yang lengkap. Dua pertiga lagi berada di dalam Mushaf Fatimah. Khumayni dalam Wasiyat-nya menyebut dengan terang mengenai Mushaf Fatimah ini dan berkata mereka mendapat penghormatan dengannya.

Beliau menyeru supaya Imam Mahdi mereka, iaitu Muhammad bin Hasan al-Askari segera keluar dari lubang penyembunyiannya di Iraq dan membawa keluar bersamanya Quran Mashaf Fatimah ini. Tetapi untuk menjaga maslahah di depan orang Islam, mereka beramal dengan doktrin taqiyyah yakni berpura-pura menerima al-Quran yang ada di tangan kita.

Cuba kita bayangkan, jika ada penganut agama Buddha atau Hindu membuat dakwaan yang al-Quran Mushaf Uthman tidak autentik, apa akan terjadi?

Sementara itu, dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran pula, tafsiran mereka berlainan dengan kita, terutama ayat yang di dalamnya ada perkataan imam. Mereka memaknakannya sebagai Sayyidina 'Ali r.a, seperti dalam Surah al-Sajdah: 24; waja‘aln’ minhum aimmatan yahd’na biamrin’ lamm’ obar’. Dan perkataan n’r dalam Surah al-Taghabun:8, fa’min’ bill’ hi wa ras’lihi wa‘n-n’rillaz’ anzaln’, diertikan oleh mereka sebagai imam-imam mereka.

2. Al-Hadis

Dalam epistemologi Ahli Sunnah wal Jamaah, Hadis ialah merangkumi perkataan, perbuatan dan ehwal Rasulullah SAW. Kemudiannya, Hadis-hadis ini disampaikan oleh generasi Sahabat kepada generasi berikutnya secara mantap dan tidak putus sanadnya sehinggalah disusun menjadi koleksi dalam sebuah buku oleh para perawi kemudian seperti perawi yang Enam, Ahmad, Imam Malik, Ibn Sunniy, as-Syafi‘i dan lain-lain.

Akan tetapi bagi Syiah, Hadis dalam epistemologi mereka ialah sesuatu yang diucapkan oleh para Imam mereka sahaja dan sanadnya tidak sampai kepada Rasulullah SAW. Ini adalah kerana dalam ajaran mereka, para imam mereka itu menerima ilmu terus daripada Nabi SAW, walau pun semasa ketiadaan Baginda SAW, dan lagi pun, dalam ajaran mereka, Imam-imam mereka adalah maksum yakni bebas daripada kesalahan.

Dalam epistemologi Sunni, konsep seperti ini tidak boleh dinamakan sebagai Hadis atau kalau mahu juga hendak dikatakan Hadis, ia tergolong sebagai Hadis munkar atau pun Hadis palsu.

Syiah menolak dan tidak menerima Hadis Nabi yang disampaikan oleh para Sahabat dan Ummahatul Mukminin r.a, kerana menurut akidah mereka, semua Sahabat Nabi SAW telah murtad setelah wafatnya Nabi SAW, kecuali beberapa orang sahaja.

3. Mengkafirkan Sahabat Radiyallahu 'Anhum

Dalam agama Syiah, terdapat satu konsep dan doktrin bernama al-bara‘ah atau tabarra. Doktrin ini bermaksud, mengutuk, mencaci bahkan memutus hubungan kasih sayang dengan semua Sahabat. Mereka ini buta sejarah. Bukankah Saidina Ali sendiri mengahwinkan anaknya dengan Saidina Umar r.a?

Menurut mereka semua Sahabat menjadi murtad dan kafir selepas wafat Nabi SAW, kecuali beberapa orang sahaja seperti Ali, Miqdad, Abu Dzar, Salman dan beberapa yang lain. Mereka juga beriman dan percaya yang para Sahabat bersepakat menyembunyikan wahyu dan mengkhianati wasiat Rasulullah SAW dalam hal imamah dan pelantikan Saidina Ali r.a sebagai khalifah.

Dan mereka menuduh Sahabat tidak amanah kerana mengurangkan ayat al-Quran sebanyak dua pertiga daripada wahyu asal, yang demikian hilanglah ayat-ayat yang berkaitan dengan imamah 'Ali r‘a. Justeru, semua Sahabat itu dalam Iktiqad Syiah telah menjadi kafir. La hawla wala quwata illa billah.

Dalam kaitan dengan doktrin tabarra ini, mereka senantiasa berdoa mengutuk Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Radiyallahu 'Anhuma yang disifatkan mereka sebagai ‘dua berhala Quraisy’.

Khumayni telah mengkafirkan Saidina Umar al-Khattab r.a dan mengatakan Saidina Abu Bakar r.a pula, seorang manusia yang jahil agama.

Berdasarkan kepada Hadis di awal tulisan ini, bahawa golongan yang berjaya daripada neraka ialah orang yang mengikuti ajaran Rasul dan Sahabat Baginda. Bagaimana seseorang atau sesuatu golongan boleh berjaya dan selamat daripada api neraka, sedangkan mereka enggan mengikut perjalanan Sahabat tersebut bahkan mengkafirkan mereka.

4. Ummahatul Mukminin

Seperti para Sahabat, Syiah juga langsung tidak menghormati Ummahatul Mukminin pada hal mereka itu semua adalah isteri-isteri Baginda yang tercinta. Syiah melemparkan pelbagai fitnah, tuduhan palsu, jijik dan jahat kepada Ummahatul Mukminin Saidatuna Aishah r.ah, bahkan dalam iktiqad raj’ah mereka, beliau r.ah akan dihukum oleh para Imam Syiah menjelang kiamat kerana berkhianat dan menganiayai puak Syiah seperti dalam kes Peperangan Jamal. Atas dasar ini juga Syiah bukan daripada golongan Islam.

5. Raj‘ah

Syiah beriktikad bahawa para Imam mereka akan hidup semula di akhir zaman untuk menghukum para Sahabat dan Isteri Nabi SAW yang mereka tuduh bersekongkol merampas hak Saidina Ali sebagai khalifah. Termasuk yang akan dihukum dalam akidah mereka ialah Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Muawiyah, Aishah r.a dan lain-lain. Demikian khurafat mereka.

6.Konsep Imamah

Dalam ‘akidah Syiah, Imamah atau Walayah atau kepimpinan sudah ditentukan oleh Allah SWT. Khumayni berkata dalam buku beliau, al-Hukumah al-Islamiyyah, muka surat 18, bahawa Nabi perlu menentukan seorang pengganti Baginda dan Baginda telah pun berbuat demikian, yakni melantik Ali r.a. Jika Baginda tidak berbuat demikian, bermakna Baginda tidak menyampaikan Risalahnya ( ms 19 ). Oleh sebab itu, Imamah ini termasuk ke dalam Rukun Iman Syi‘ah. Sesiapa yang tidak percaya kepada doktrin dan konsep Imamah ini, menurut Syiah, ia bukanlah seorang Islam dan layak dihumban ke dalam neraka.

Dalam buku al-Hukumah al-Islamiyyah itu lagi, pada muka surat 52, beliau menyifatkan Imam-Imam mereka mempunyai kedudukan yang amat tinggi di sisi Allah SWT, sehingga tidak tercapai oleh para Malaikat muqarrabin dan juga Nabi-Nabi yang diutus. Dalam membincangkan hal kepimpinan selepas Rasulullah SAW pula, dia langsung tidak menyentuh kepimpinan tiga khalifah awal iaitu Abu Bakar, Umar dan Uthman radiyallahu ‘anhum dan terus melompat kepada Sayyidina Ali r.a. Ini adalah kerana dalam ‘akidah Syiah, mereka tidak mengiktiraf kepimpinan tiga khalifah sebelum Ali r‘a bahkan disifatkan tiga khalifah yang mulia itu, adalah perampas hak khalifah Ali r.a.

Mereka juga beriktikad bahawa semua Imam mereka adalah maksum. Khumayni berkata, bahawa Imam-Imam mereka tidak bersifat lupa dan lalai (ms 91) bahkan ajaran mereka itu, sama seperti ajaran al-Quran yakni wajib dipatuhi hingga Hari Qiamat (ms 113).

7. ‘Ismah

Konsep imamah berkaitan rapat dengan doktrin ‘ismah. 'Ismah bermaksud semua imam mereka adalah manusia maksum yakni tidak melakukan dosa, baik dosa besar mahu pun dosa kecil, bahkan dalam segala perlakuan mereka, imam-imam mereka itu tidak tersalah dan tersilap sedikit pun. Sebab itu imam-imam mereka boleh membuat hukum, yakni boleh menghalal dan mengharamkan sesuatu hukum Syara’. Ini bercanggah daengan 'Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa yang maksum hanya Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul sahaja.

8.Ghaybah dan Menunggu Imam Mahdi

Syiah percaya bahawa Imam mereka yang kedua belas iaitu Muhammad bin Hasan al-'Askari telah ghaib. Dalam akidah Syiah, ia dianggap sebagai ghaybat al-sughra atau kehilangan kecil. Dia ini membawa bersamanya Mushaf Fatimah. Semasa ghaybat al-sughra ini - dalam khurafat mereka - pemimpin semasa Syiah masih boleh berhubung dengannya, bertanya pelbagai masalah dan jawapannya itu akan disebarkan kepada pengikut-pengikut mereka.

Beliau yang dikatakan ghaib kira-kira seribu tahun dahulu itu, masih hidup hingga sekarang dan akan datang semula ke dunia ini di akhir zaman, membawa bersamanya Mushaf Fatimah itu, untuk menyelamatkan dunia ini. Masa antara ghaybat al-sughra dengan kemunculan semula Imam Mahdi mereka itu, disebut sebagai ghaybat al-Kubra atau kehilangan besar. Sebab itu dalam wasiatnya, Khumayni berkata adalah suatu penghormatan kepada mereka kerana mereka mempunyai Mahdi jenis ini dan dia berdoa supaya Mahdi itu segera keluar dari lubang persembunyiannya. Semasa ketiadaan imam, maka yang ada ialah naib imam. Khumayni adalah salah seorang naib imam.

9. Taqiyyah dan Kitman

Taqiyyah dan Kitman dalam akidah Syiah bermakna menyembunyikan kepercayaan dan amalan sebenar mereka sekiranya mereka bersama-sama dengan masyarakat Islam. Ini bermakna mereka juga sedar bahawa ajaran dan amalan mereka itu adalah salah. Menurut ulama mereka, amalan taqiyyah dan kitman merupakan amalan nenek moyang mereka yang terdahulu dan pelakunya mendapat pahala. Atas dasar ini mereka dapat hidup hingga sekarang. Dalam menyebarkan dakyah mereka di Malaysia, mereka bertaqiyyah, menggunakan slogan cintakan Ahli Bayt, pada hal Ahli Bayt dalam konsepsi mereka, hanya beberapa orang sahaja, berbeza dengan konsep kita Ahli Sunnah wal Jamaah.

Perlu difahami, amalan taqiyyah ini dibuat jika mereka berada dalam keadaan tersepit dan dalam jumlah sedikit atau untuk mencapai sesuatu tujuan keagamaan mereka seperti keadaan awal mereka di Malaysia pada tahun-tahun 1980-an dahulu. Tetapi amalan ini akan ditinggalkan apabila mereka merasa keadaan mereka sudah selesa seperti sekarang ini. Sebab itu kita dengar puak Syiah Malaysia sudah berani mengisytiharkan mereka sebagai penganut Syiah. Ini semua sebagai dakyah dan untuk menakut-nakutkan masyarakat Sunni dan supaya kerajaan menunaikan tuntutan mereka. Tetapi dalam dakyah mereka dalam kalangan orang Sunni, amalan taqiyyah ini masih berlaku. Tujuannya ialah untuk mengumpan orang Sunni.

10. Ahl Bayt

Dalam kitab-kitab Tauhid kita, memang kita diwajibkan mencintai Ahli Bayt. Ahli Bayt yang sebenar ialah ahli kelurga Nabi SAW yang memiliki dan hidup di dalam Akidah dan Syariat yang benar seperti yang diajarkan oleh Baginda. Namun terdapat juga keturunan Ahl Bayt yang telah terkeluar dari ajaran Baginda SAW seperti menganut fahaman Marxisme, sekularisme, Liberalisme, Pluralisme agama dan Syiah. Mereka sudah tidak dapat dikategorikan sebagai Ahli Bayt lagi.

Ahl Bayt Rasulullah SAW, tiada kena mengena langsung dengan ajaran dan kumpulan Syiah lebih-lebih lagi Syiah Khumayni. Maulana Abu Hasan Ali an-Nadvi seorang ahli Bayt daripada keturunan Saidina al-Hasan r.a, ada menulis sebuah buku cukup baik yang menyorot kesesatan Syiah. Seorang Quraisy dari keturunan Saidina al-Hasan juga, Sayyid Muhammad al-Maliki dari Hijaz, amat kuat menentang Syiah. Demikian Ahl Bayt di Hadramawt.

11. Rukun Iman

Rukun Iman mereka antara lain ialah beriman kepada semua imam mereka yang dua belas dan beriman kepada imamah dan walayah Ali serta menolak imamah tiga khalifah sebelum 'Ali r’a. Khumayni termasuk dalam kelompok ini. Sesiapa yang engkar dalam perkara ini, dikategorikan sebagai kafir.

12. Konsep 'Ibadah

Oleh kerana mereka menolak Hadis yang diriwayatkan oleh para Sahabat dan Ummahatul Mukminin, maka terdapat perbezaan besar dan dasar antara kita orang Islam dengan mereka yang Syiah, dalam semua urusan ibadah. Cara azan, solat, puasa, zakat, nikah kahwin, mengurus jenazah dsb, amat bertentangan dengan kita Ahli Sunnah wal Jamaah. Mereka boleh solat jamak sepanjang waktu, kita tidak boleh, kecuali uzur syarak. Ahli Sunnah mengharamkan nikah mut'ah, mereka mengharuskannya bahkan mendapat pahala yang besar. Ringkasnya, semua ibadat mereka bercanggah dengan Islam dan Sunnah.

PENULIS ialah Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)

BACA INI JUGA: Sejarah Permulaan Syiah Dan Kesesatan Mereka

-Utusan.com.my

Ngeri! Ranting Sepanjang 38 Sentimeter Tertusuk Di Leher

Ngeri! Ranting Sepanjang 38 Sentimeter Tertusuk Di Leher

Info Ngeri. Seorang penunggang basikal tertusuk ranting kayu sepanjang 38 sentimeter di lehernya.

Ranting kayu yang tertusuk di leher Wood.

Kejadian berlaku selepas Adrian Wood, 34, terjatuh ketika menunggang basikal.

Ranting itu tertusuk pada vena jugular, peti suara dan esofagus bapa dua anak itu.

Dia bernasib baik kerana ranting itu tidak mengena arterinya yang boleh menyebabkan dia mengalami pendarahan teruk hingga meragut nyawanya.

Wood dikejarkan ke hospital Petersborough oleh rakannya dan doktor memberi harapan 50-50 untuk dia diselamatkan.

Wood berhasrat untuk menyimpan ranting itu sebagai kenang-kenangan.

Bagaimanapun, pakar bedah berjaya membuang ranting itu dalam pembedahan yang memakan masa lima jam.

Wood kini semakin pulih dan berharap dapat pulang ke rumahnya tidak lama lagi.

“Saya akan menunggang semula secepat mungkin. Dan saya akan menyimpan ranting itu sebagai kenang-kenangan,” katanya. -Agensi

Psy Mengaku Kaki Botol Dan Vodka Adalah Teman Baiknya!

Psy Mengaku Kaki Botol Dan Vodka Adalah Teman Baiknya!

Penyanyi Gangnam Style, Psy mengaku dia memang kaki botol dan menyifatkan vodka sebagai “teman baiknya”.


Bintang ternama Korea Selatan berusia 35 tahun itu yang turut meminati wiski dan tequila mula menjadi kaki botol sejak berusaha untuk menyesuaikan diri dengan kemasyhuran yang diraihnya.

Psy berkata: “Jika saya gembira, saya minum. Jika saya sedih, saya minum. Jika hari hujan, saya minum. Jika hari cerah, saya minum. Jika hari panas, saya minum dan jika hari sejuk, saya juga minum.” Psy juga berkata, dia “banyak berkhayal” akibat mengambil dadah.

Laporan sebelum ini mendedahkan, Psy menjalani hukuman penjara sebelum lagu popularnya, Gangnam Style dilancarkan kerana didapati bersalah memiliki ganja pada 2001.

Bercakap buat kali pertama mengenai pengalamannya di penjara, dia menyifatkannya sebagai “kejatuhan amat teruk dalam hidupnya”.

“Tetapi sebagai artis, lebih banyak pengalaman, lebih baik hasilnya. Saya seorang yang positif. Jadi, jika sesuatu yang buruk berlaku, saya fikir mungkin ia terjadi kerana terlalu banyak kebahagiaan datang kepada saya.”

Psy turut berkata dia mempersembahkan Gangnam Style 1,000 kali di 20 negara berbeza tahun lalu dan tidak bertemu dengan isteri serta anak perempuan kembar mereka yang berusia lima tahun sejak April.

-Agensi

Nikita Mirzani Kena Belasah Di Kelab Malam!

Nikita Mirzani Kena Belasah Di Kelab Malam!

Hanya beberapa bulan selepas dibebaskan dari penjara kerana kesalahan menyerang, aktres dan model Nikita Mirzani mendapati dirinya menjadi mangsa selepas dipukul sekumpulan orang tidak dikenali di sebuah kelab malam di Bandung.

Nikita Mirzani Kena Belasah
Nikita Mirzani.

Ketua Unit Jenayah Polis Bandung, Trunoyudo Wisno Andiko berkata, kejadian berlaku jam 2 pagi sabtu.

Nikita dengan berlumuran darah di dahi dan mulut, membuat laporan di ibu pejabat polis Bandung pada jam 4 pagi.

Selebriti berusia 27 tahun itu berkata, dia tidak tahu siapa yang menyerangnya atau sebab mereka menyerang.

“Tiba-tiba seorang wanita dan dua lelaki muncul di depan saya. Kedua-dua lelaki itu memegang saya sementara wanita itu menumbuk saya berulang kali,” kata aktres itu.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Rekaan Baju Dalam Daripada Benih Padi Di Jepun!

Rekaan Baju Dalam Daripada Benih Padi Di Jepun!

Baju dalam daripada padi yang unik ini mempunyai dua cup yang menyerupai pot tanaman, diperbuat daripada plastik yang boleh dikitar semula.


Kedua pot tersebut boleh diisi dengan tanah dan benih padi. Konsep aneh ini juga dilengkapi dengan sarung tangan berkebun, sehingga wanita mendapati tangan mereka tidak kotor.

Menurut data statistik terkini, orang-orang Jepun menjadi lebih peduli dengan masalah alam sekitar dan keselamatan makanan, dan cenderung menginginkan gaya hidup luar bandar yang tenang.

Talian jualan alat-alat pertanian rumah, untuk orang-orang yang ingin menanam padi di rumahnya pun telah menjadi sangat popular, jadi Triumph berfikir baju dalam padi akan menjadi idea yang bagus untuk wanita yang berminat di pertanian.

Malangnya, jika saja anda menginginkan baju dalam padi ini, kamu mungkin akan kecewa kerana baju dalam ini hanya konsep dan bukan untuk dijual.


BACA INI JUGA: Sindrom Anak Patung Kain Buruk

Sumber" Zamrispoon.blogspot.com

Wanita Kerat Kemaluan Tidak Tahan Diperkosa Selama 13 Tahun

Wanita Kerat Kemaluan Tidak Tahan Diperkosa Selama 13 Tahun

Gara-gara tidak sanggup menjadi mangsa nafsu serakah majikannya, seorang wanita nekad mengelar leher dan memotong zakar doktor yang telah memperkosanya sejak 13 tahun lalu.


Mangsa rogol kerat zakar Preeti nekad mengelar leher dan 
memotong zakar doktor yang merogolnya sejak 13 tahun lalu.

Menurut laporan DailyMail, Doktor Satish Chandra ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di rumah tetamu kerajaan di Govindagar di Kanpur pada 21 Julai lalu.

Sehari selepas itu, anggota polis terkejut menerima bungkusan mengandungi zakar yang turut membawa kepada penahanan Preeti Balmiki,25.

Preeti mengaku melakukan perbuatan tersebut selepas mendakwa doktor itu melakukan penderaan seksual sejak dia mula bekerja di klinik terbabit pada 2003.

"Pada mulanya, saya mahu menghantar bungkusan itu kepada isterinya sebagai bukti kerana wanita tidak percaya suaminya curang," jelasnya.

Dalam satu kenyataan lain, pegawai polis Yashasvi Yadav memberitahu, Preeti telah melakukan pembunuhan kejam tetapi ia mungkin didorong oleh masalah gangguan mental yang dialaminya.

"Kami akan mengemukakan rayuan untuk mengatur sesi pemeriksaan perubatan," katanya lagi.

-SinarOnline

Gambar Pemandangan Luar Biasa Bunga Tulip Dari Udara

Gambar Pemandangan Luar Biasa Bunga Tulip Dari Udara

Bunga tulip telah menjadi simbol negara Belanda yang paling disukai. Ramai pelancong yang datang ke bandar ini hanya untuk melihat bunga-bunga berwarna cerah dan pemandangan yang menakjubkan taman bunga tulip.


Salah satu bandar di Belanda yang terkenal dengan keindahan bunga tulip adalah Anna Paulowna. Terletak di bahagian Belanda sebelah Utara, Anna Paulowna merupakan bandar dengan taman-taman bunga yang indah.

Mekarnya bunga-bunga di Belanda bermula pada bulan Mac dengan bunga Crocus diikuti dengan bunga Narsis/dafodil (Narcissus).

Pada musim bunga di bulan April hingga pertengahan Mei, mekarlah bunga-bunga Tulip dan Hyacinths dengan warna-warna cerah yang membuat pemandangan di bandar penuh dengan warna.

Pada bulan Ogos adalah masanya untuk menikmati bunga Gladioli.

Belanda merupakan taman bunga sepanjang tahun, bahkan ketika musim telah berakhir. Pelancong yang datang ke taman-taman bunga di Anna Paulowna akan selalu dapat melihat keindahan bunga-bunga khas negeri kincir angin itu.

Pada abad ke 20, bunga telah menjadi komoditi dan industri di Belanda yang terus mengalami perkembangan.

Seiring dengan perkembangan tersebut, banyak bermunculan pusat perdagangan bunga, koperasi petani, dan balai lelong di bandar-bandar penghasil bunga Belanda.

Ketika ini Belanda merupakan pengeluar bunga dalam jumlah yang besar. Belanda merupakan pembekal bunga kepada lebih seratus negara di seluruh dunia.


[Sumber]