Wednesday, July 31, 2013

Pembikin Klip Video Anjing Dan Hari Raya Ditahan Polis


Polis hari ini menahan jurulatih anjing Maznah Mohd Yusof, yang mencuri tumpuan ramai dengan video ucapan Hari Raya Aidil Fitri bersama anjing.


Maznah mengesahkan perkara itu dan memberitahu beliau kini ditahan di Bukit Aman.

Maznah ketika dihubungi Malaysiakini dengan tenang berkata beliau telah disoal siasat oleh polis Cawangan Khas dan pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Mereka tanya niat saya memuatnaik video itu (tiga tahun lalu) dan pekara berkaitan,” katanya.

Peguam Latheefa Koya sewaktu dihubungi berkata Maznah menghubungi beliau sewaktu berada dalam kereta polis.

Katanya, Maznah juga memaklumkan bahawa beliau dibawa ke Bukit Aman dan mungkin akan ditahan selama 24 jam.

Chetz Enggan Minta Maaf, Buat Laporan Polis Kerana Ancaman Bunuh


Pembikin video kontroversi bersama anjing peliharaannya, Chetz Yusof atau nama sebenarnya Maznah Mohd Yusof bertegas tidak akan memohon maaf.

Ini kerana dia menganggap apa yang dilakukannya itu bukanlah satu kesalahan.

Memetik sumber berita Astro Awani, Chetz berkata;

”Saya tiada niat untuk menghina Islam dan saya tidak akan memohon maaf untuk sesuatu yang saya anggap bukan satu kesalahan”.

Chetz turut berpendapat bahawa video itu bukan kesalahannya ataupun tanggungjawabnya sekiranya orang ramai tersalah faham tentang maksud sebenar video itu.

”Jikalau saya memohon maaf untuk video itu, ia bermaksud saya bersetuju bahawa saya membuat sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Video itu bukan menghina Islam.

”Membuat tuduhan bahawa saya ingin menghina Islam ialah seperti memfitnah saya,” katanya.

Selain itu, jurutera berusia 38 tahun ini juga berasa bimbang dengan keselamatan diri, anjing-anjingnya serta keluarganya selepas menerima ancaman bunuh menerusi SMS.

”Saya telah membuat laporan polis semalam tentang orang-orang yang telah memuat naikkan video itu semula dan menuduh saya menghina Islam.

”Hari ini saya akan membuat lagi satu laporan polis mengenai ancaman bunuh yang saya terima,” jelasnya lagi.

Video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu memaparkan Chetz memakai Baju Melayu hitam, membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah-olah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula.

Kemudian dia mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk haiwan-haiwan tersebut.

Video itu juga menyiarkan kata-kata “Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).

Ia turut memuatkan ucapan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari Chetz sekeluarga” dengan gambarnya duduk bersama tiga ekor anjing di atas sofa.

Saya Tiada Niat Hina Islam, Orang Melayu Terlebih Sensitif


“Saya tiada niat hina Islam”. Itulah kata-kata yang diungkapkan oleh pembikin video yang kini menjadi viral di laman sosial Facebook, Chetz Yusof, yang merupakan seorang penganut Islam.

Menurut wanita berusia 38 tahun ini, tujuannya memuat naik video itu adalah untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat di luar sana mengenai penjagaan anjing seperti mana yang dilakukannya.

“Saya takde niat pun hina Islam sebaliknya video itu adalah pada mulanya saya memang buat suka-suka tapi alang-alang baik saya ‘educate’ orang di luar mengenai penjagaan anjing dan kebersihan,” katanya eksklusif ketika dihubungi Mynewshub sebentar tadi.

Selain itu, Chetz yang merupakan seorang jurutera, turut berasa pelik apabila video yang sudah lama dimuat naik sejak 2010 itu, hanya kini hendak diperkatakan.

“Benda ni dah lama kenapa dia (video) timbul sekarang? Orang Melayu terlebih sensitif,” katanya yang memiliki lapan ekor anjing yang semuanya merupakan anjing jalanan.

Chetz turut menyatakan tujuan video itu direkod adalah untuk menunjukkan kebersihan dalam menjaga haiwan peliharaan selain menyatakan anjing itu tidak haram untuk dibela.

Anjing-anjing yang dibela itu kesemuanya merupakan anjing terbiar dan dibuang di jalanan malah ada di antaranya yang buta serta pernah dilanggar orang.

“(Bela) Anjing ini tak haram, kalau basah, kita samak,” katanya lagi.

Ketika ditanya tidakkah dia takut sekiranya pihak berkuasa bakal mengambil tindakan terhadapnya, Chetz mengatakan, “saya risau ambil masa saya, buat report polis, kena buat ‘statement’ kepada polis, itu yang saya risau sebab ia mengambil masa saya”.

Chetz yang masih bujang ini tinggal bersama dua lagi rakan serumahnya yang beragama Islam malah mereka turut sama menjaga anjing-anjingnya yang merupakan baka Mix Breed atau Mongrel itu.

Menurutnya lagi, keluarganya turut menyokong tindakannya menyelamatkan anjing jalanan dan terbiar walaupun ada di antara ahli keluarganya tidak bersetuju pada mulanya.

“Ada ahli keluarga pada mulanya tak bersetuju, tapi bila saya terangkan, mereka boleh terima benda ini,” katanya yang mengharapkan semua pihak tidak cepat melatah dengan perkara ini.

Menerusi video berdurasi satu minit 14 saat itu, Chetz meraikan Aidilfitri bersama tiga ekor anjingnya dengan berlatar belakangkan audio Takbir Raya sekali gus menimbulkan kemarahan segelintir pihak kerana dikatakan menghina umat Islam di Malaysia.



-SP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon