Monday, April 15, 2019

SBDJ Siri 43: Buaya Jadi Jadian

SBDJ Siri 43: Buaya Jadi Jadian

Musim tengkujuh pun tiba. Langit di Kampung Mandi Upeh sentiasa kelihatan mendung dan setiap hari hujan turun. Sungai kecil yang merentang di tengah-tengah kampung melimpahkan airnya hingga ke paras tebing.

Buaya Jadi Jadian

Dan sejak pulang dari Tanjung Malim, datuk tidak kemana-mana. Dia banyak menghabiskan masanya di ladang getah.

Sekali-sekala dia ke hutan melihat jerat pelanduknya sama ada mengena atau tidak.

Sepanjang musim tengkujuh kesihatan datuk tidak begitu baik. Dia selalu diserang sakit lelah dan lemah-lemah badan.

Walaupun begitu, datuk tidak pernah lupa melakukan senaman harimau dan mandi embun pada setiap pagi.

Dan amalan meminum air dingin satu tempurung yang sudah diembun selama satu malam tetap diteruskannya.

Menurut datuk air dingin itu mesti diminum sebelum sarapan pagi. Khasiatnya, dapat melancarkan perjalanan darah serta membersihkan perut.

Air dingin itu juga dapat menegangkan kulit, bagi orang yang mengamalkannya akan kelihatan muda.

Datuk juga memberitahu saya, tempurung yang dijadikan bekas air dingin itu dipilih dari kelapa masak yang gugur sendiri.

Tempurung dari kelapa itu dibelah serta di jemur hingga isinya lekang sendiri.

Bahagian tempurung yang tidak digunakan itu ditanam di pangkal pokok kelapa itu.

Tempurung yang dijadikan bekas minuman itu ialah bahagian bawah. Bila sudah cukup kering, tempurung itu dibersihkan serta dikilatkan dengan serpihan kaca dan di jemur kembali selama tujuh hari berturut-turut. Kemudian baru dijadikan bekas minuman.

Setiap kali datuk mahu meminum air dingin dalam tempurung itu, dia mesti membaca Al-Fatihah sebanyak tujuh kali dalam masa senafas.

Dan saya, hingga kini tidak dapat mengamalkan petua-petua tersebut disebabkan oleh beberapa hal yang tertentu.

Pada suatu pagi, selepas datuk melakukan senaman dia terus berehat di ruang rumah. Ketika itu nenek menghampirinya.

"Bagaimana? Bila kita nak pergi ke Tanjung Ara?", soal nenek.

"Untuk apa?"

"Dah lupa? Jemputan kahwin anak Alang Botak."

"Tak lupa. Bukankah jemputan tu esok, esoklah kita pergi.”

"Awak ni merepek. Bukankah saya dengan Alang Botak itu adik-beradik, kami sepupu.

"Tidak baik pergi kenduri-kendara rumah adik-beradik untuk makan aje. Kita harus pergi awal, boleh tolong tegakkan balai, siapkan tempat orang makan”, nenek mula bersyarah di hadapan datuk.

Saya lihat datuk tersenyum dan mengangkat ke dua belah tangannya ke atas, macam komunis menyerah diri pada pasukan askar Melayu.

"Saya salah. Awak betul, kerana itu saya ikut cakap awak”, kata datuk sambil berjenaka.

Nenek ketawa keciI. Begitulah sikap datuk dengan nenek. Saling bertolak ansur.

Datuk tidak segan-silu menurut kata nenek, kalau kata-kata itu baik dan benar.

Dan datuk akan menentang berhabis-habisan kalau pendapat atau fikiran nenek tidak menguntungkan.

Mereka bertengkar dan bermasam muka untuk mencari kebenaran bagi mencipta suasana rumah tangga yang kekal tanpa mahu mencari perkelahian yang mengakibatkan rumahtangga berada dalam kegentingan yang berakhir pada sebuah jurang pemisahan.

Barangkali inilah rahsia kebahagian dan kedamaian rumahtangga datuk dan nenek.

Dan saya sering bertanya dalam diri saya, apakah dalam hidup saya kelak, saya akan menemui seorang isteri sebaik dan semulia hati nenek?

Apakah saya dapat menjadi lelaki seperti datuk yang sanggup menghilangkan rasa ego seorang suami di mata seorang isteri demi kerukunan rumah tangga.

"Entahlah. Begini saja, kita pergi sejam lagi. Sementara itu eloklah awak berkemas, bawalah gula barang sekati dua, kelapa sepuluh atau dua puluh biji dan pisang dua tiga tandan”, kata datuk.
Nenek bagaikan terkejut.

"Awak ni bergurau atau cakap betul-betul”, tanya nenek sambiI mengerutkan keningnya. Datuk terus mempamerkan giginya.

"Saya cakap betul, kita tolong mereka dengan apa yang ada pada kita.”

"Nak bawa barang-barang tu dengan bas? Susah jadinya. Itulah ada kereta awak tak mahu baiki, sekarang siapa susah”, rungut nenek.

"Sama-sama susah”, jawab datuk.

Nenek dan saya terus ketawa. Bila ketawa saya dan nenek berakhir, datuk masih lagi tersengih.

"Begini saja. Awak dengan Tamar pergi naik bas dulu, barang-barang tu biar saya bawa kemudian, saya juga nak bawa kambing untuk Alang Botak.”

"Ini dah cukup baik”, balas nenek yang kemudian menggesa saya menukar pakaian.

Saya tukar pakaian dan nenek terus mengemaskan pakaian lalu dimasukkan ke dalam beg rotan empat segi.

Saya diberi tugas tertentu oleh nenek iaitu memikul beras sebanyak empat gantang yang diisikan dalam guni gandum.

Bagi nenek, beras empat gantang itu sebagai tanda buah tangan untuk keluarganya di Tanjung Ara.

"Bila awak nak bertolak?", soal nenek pada datuk di kepala tangga.

Datuk menggigit bibir sambil memetik ibu jari kirinya. Dan sepasang mata datuk tertumpu ke arah anak bukit yang letaknya tidak jauh dari rumah.

"Awak jalanlah dulu, saya tetap sampai”, suara datuk penuh keyakinan.

Saya dan nenek pun berangkat dari rumah.

Ketika berada dalam perut bas, hati saya cukup gembira kerana nenek tidak putus-putus menjamu saya dengan kuih-kuih yang dibelinya di perhentian bas. Apa saja yang saya minta nenek tunaikan.

Nenek saya lihat cukup gembira sekali, maklumlah dia mahu bertemu dengan kaum keluarganya di Tanjung Ara.

Dalam perut bas itu juga, pertama kali nenek membuka rahsia asal keturunannya.

Menurut nenek, keturunannya berasal dari Bugis yang berhijrah ke Johor, dari Johor berpindah ke lembah Sungai Kelang, Selangor, yang kemudian terlibat dalam peperangan saudara di Selangor.

Dari Selangor mereka berhijrah ke Perak membantu Sultan Muzaffar Shah yang bersengketa dengan adiknya.

Sultan Muzaffar Shah yang di bantu oleh orang-orang Bugis menang, lalu ditabalkan jadi Sultan Perak.

Salah seorang keluarga nenek menjadi ayam tambatan pada Sultan Perak pada masa itu. Sayangnya nenek tidak menyatakan pada saya siapa nama keluarganya yang menjadi pahlawan terbilang itu.

"Kaum kerabat nenek masih terdapat di Johor terutama di daerah Batu Pahat. Di Selangor pula di kawasan Jeram dan Permatang.

"Tetapi moyang nenek memilih Tanjung Ara sebagai tempat bernaung, setelah berperahu dari Kuala Dinding ke sini”, kata nenek dengan megah.

Saya anggukkan kepala kerana saya tahu, tidak mungkin saya dapat menyusur jejak-jejak keturunan nenek yang sudah begitu lama.

Bas yang kami naiki sampai di pekan kecil Pengkalan Bharu. Dari situ, saya dan nenek terpaksa berjalan kaki melintasi satu kawasan lapang yang dipenuhi dengan pokok kemunting (kemuning) serta rerumput yang berdaun merah.

Kata nenek, kawasan lapang itu disebut Padang Antah Berantah dan menjadi medan pertempuran angkatan Raja Shamsul Baharin menentang angkatan Raja Champa (Kemboja).

Dalam pertempuran itu Raja Shamsul Baharin memang, seluruh Padang Antah Berantah dipenuhi dengan darah-darah pahlawan Champa.

Kesan daripada peperangan itu, rumput-rumput yang tumbuh di situ jadi merah begitu juga dengan pasirnya (sekarang kawasan tersebut sudah ditanam dengan pokok kelapa).

Saya tidak dapat memastikan sama ada cerita itu benar atau tidak. Kerana nenek hanya memperolehi cerita itu dari mulut ke mulut cuma.

Memikul empat gantang beras dengan berjalan kaki sejauh hampir dua batu memang memenatkan, badan saya jadi berpeluh.

Bagi menghilangkan rasa penat dan bosan pada diri saya, nenek terus bercerita kisah-kisah lalu yang menggerunkan, dan kadang-kadang melucukan. Saya jadi terhibur di bawah panahan matahari yang amat terik.

Ketika saya dan nenek mahu menyeberang di atas jambatan, saya terlihat pokok keduduk dan petai cina di sebelah kiri bergoyang-goyang.

Nenek suruh saya berhenti. Saya segera menoleh ke kiri, saya dapati datuk berdiri di situ menarik seekor kambing. Dua tandan pisang dan dua puluh biji kelapa berada di sebelah kanan. Ma­nakala di tangannya tergantung bungkusan gula.

"Cepat awak sampai”, kata nenek.

"Kawan kita menghantarnya”, jawab datuk.

Ketika itu juga saya terlihat ekor harimau dari celah-celah rumput keduduk dan petai cina.

"Baliklah”, kata datuk dan ekor harimau itu hilang dari penglihatan saya. Saya faham apa yang sudah berlaku.

"Begini. Awak tunggu di sini, biar saya jalan dulu. Kemudian saya suruh anak Alang Botak me­ngambil barang yang awak bawa ini dengan basi­kal”, nenek mengeluarkan cadangan.

Datuk termenung seenak, bila senyum berakhir dia kerutkan kening luasnya sambil merenung ke arah rumah Alang Botak yang berada di seberang sana.

"Kita pergi bersama”, balas datuk.

"Barang-barang ni macam mana?"

"Kita tinggalkan di sini dulu, sementara menanti anak Alang Botak mengambilnya."

"Nanti hilang pula.”

"Ah, tak usah takutlah tidak ada siapa yang mahu mencurinya”, jawab datuk.

Nenek terdiam. Beberapa saat kemudian kami pun melangkah serentak. Alang Botak menyambut kami dengan penuh keriangan.

Alang Botak dengan datuk berpeluk-pelukan. Ketika berpeluk-pelukan itulah datuk sempat membisikkan sesuatu ke telinga Alang Botak.

Bila selesai berpeluk, Alang Botak terus memerintahkan salah seorang anaknya supaya mengambil barang-barang di kepala jambatan.

Dengan di temani oleh Alang Botak, datuk berkesempatan menemui tukang-tukang masak dibelakang rumah, menemui tukang buat balai di hadapan rumah serta menemui orang yang sedang menegakkan tiang pelantar tempat mele­takkan gelas dan balang air.

Semuanya bekerja dengan tekun di bawah semangat gotong-royong.

Kerana datuk memang pandai dan tahu dalam hal masak-memasak, datuk mencampurkan dirinya dengan tukang-tukang masak di kampung itu.

Saya diarah oleh datuk untuk memotong bawang dan halia. Berpeluh dahi dan meleleh air mata saya membuat kerja-kerja itu.

Sedang kami asyik dengan tugas-tugas yang dijalankan, kami dikejutkan dengan suara jeritan dari arah tebing sungai. Semua orang yang berada dibahagian belakang rumah segera bangun.

"Agaknya ada orang ditangkap buaya”, kata seorang lelaki berkulit hitam yang berdiri di sebelah datuk.

Belum pun sempat datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki itu, seorang perempuan setengah umur berlari ke arah kami.

"Tolong, tolong anak saya disambar buaya”, kata perempuan itu dengan wajah cemas. Dia mula menangis, rambutnya kelihatan mengerbang.

"Di mana?" tanya datuk.

"Di tepi sungai.”

"Mari “, kata datuk dan orang-orang yang berada di situ segera mengikut datuk menuju ke tebing sungai.

Bila sampai di tebing sungai, orang ramai sudah pun berkumpul di situ.

Ada yang membawa parang. Ada yang membawa lembing dan senapang kampung, masing-masing mahu membunuh buaya, tetapi buaya yang mahu dibunuh tidak kelihatan.

Datuk tidak mempedulikan mereka yang sedang marah itu. Datuk terus duduk bersimpuh di tepi tebing.

Datuk mengambil segenggam tanah lalu di­campakkannya ke dalam Sungai Tanjung Ara yang mengalir tenang.

Di tempat tanah itu jatuh, air sungai kelihatan berbuih macam air yang sedang mendidih.

Tiba-tiba seekor buaya muncul, bagaikan kilat buaya itu melibaskan ekornya ke arah datuk. Nasib baik datuk sempat mengelak dan buaya itu terus menyelam.

Belum pun sempat datuk duduk kembali, buaya itu muncul semula di permukaan sungai lalu melibaskan ekornya yang panjang itu ke tebing sungai.

Libasan dari ekor buaya itu mengenai salah seorang penduduk Kampung Tanjung Ara yang berdiri dekat datuk.

Lelaki malang itu terhumban ke dalam air dan bagaikan kilat rahang buaya itu menyambut tubuh badan lelaki itu, lalu lelaki dan buaya itu ghaib dari permukaan sungai mula bergelombang.

Orang ramai yang tadi begitu ghairah mahu membunuh buaya jadi terpaku dan setengah daripada mereka berundur jauh dari tebing sungai.

Datuk mula kelihatan resah tidak menentu. Bajunya mula dibasahi peluh dan mukanya kelihatan merah padam dipanah cahaya matahari pukul tiga petang yang cukup terik.

Saya perhatikan datuk bagaikan hilang matlamat dan keyakinan pada diri sendiri.

Dia lalu merenung ke tebing seberang sana yang penuh dengan tum­buhan pokok-pokok keladi dan mengkuang liar yang hujung daunnya mencecah permukaan air sungai.

Dalam saat-saat yang amat genting itu, buaya ganas tadi muncul sambil menjulang mangsanya tinggi dari paras permukaan air sungai.

Tangan dan kaki lelaki itu terkapai-kapai macam katak puru di mulut ulat.

Gigi-gigi buaya yang tajam itu terus terbenam di badan lelaki itu. Darah kelihatan memancut ke luar.

Datuk saya lihat sudah hilang sabarnya. Datuk terus bertempik dengan sekuat hatinya sambil terjun ke dalam sungai. Datuk terus memeluk badan buaya itu dengan sekuat hatinya.

Dengan menggunakan jari kelingkingnya datuk menujah mata buaya itu. Buaya itu terus mengelupar dan air sungai terus bergelombang.

Buaya itu terus menghempaskan badannya. Tetapi pelukan datuk tetap kemas dan jarinya terus menujah mata buaya.

Mungkin kerana terasa amat sakit, buaya itu membuka rahangnya hingga badan lelaki itu terlepas darinya.

Datuk berhenti memeluk buaya itu lalu menyambar badan lelaki itu dan terus dibawa ke tepi tebing. Dan buaya ganas itu terus hilang di permukaan air sungai.

Orang-orang kampung yang berada di situ terus menyambut batang tubuh lelaki tersebut dan dibaringkan ke atas tanah.

Datuk pun mengesat darah di badan lelaki malang itu. Saya di suruh oleh datuk memetik dedaun hijau dari pokok pulai penipu bukit untuk dijadikan ubat penahan darah.

Lelaki itupun sedar dari pengsan. Dia tidak berdaya mahu bangun. Cepat-cepat datuk membetulkan urat belikat dan urat tangan lelaki itu.

Datuk meminta orang-orang kampung yang mengerumun lelaki malang itu supaya beredar agak jauh sedikit. Cakap datuk mereka patuhi.

Seluruh badan lelaki itu datuk raba dengan belakang tangan.

Semua biji mata orang yang berdiri di tepi tebing bagaikan terbeliak bila mereka melihat air Sungai Tanjung Ara bergelombang dan keruh.

Pokok-pokok keladi dan mengkuang kelihatan bergoyang-goyang kembali.

Bila gelombang air sungai berakhir, dua ekor buaya timbul di permukaan air, berpusing-pusing di tengah-tengah sungai sambil melibas-libaskan ekor masing-masing pada air Sungai Tanjung Ara.

Percikan air itu menjulang ke udara dan jatuh kembali atas permukaan air sungai.

Pancaran matahari yang keras terus menikam pada gelombang air sungai akibat dari libasan ekor buaya itu.

Pancaran tikaman matahari itu
menimbulkan satu cahaya yang kilau kemilau, bagaikan cahaya berlian di suluh dengan lampu picit.

Orang-orang kampung terpegun melihat kelakuan dua ekor buaya itu. Tanpa di duga, dengan cara yang mendadak sekali, kedua-dua ekor buaya itu meluru ke tepi lalu memanjat tebing sungai.

“Berundur “, kata datuk pada orang ramai.

Mereka pun berundur dan kedua-dua buaya itu terus merangkak, sambil memanggungkan kepalanya melihat ke kiri dan ke kanan, macam biawak mahu menangkap anak ayam. Datuk masih lagi kelihatan resah gelisah.

"Biarkan orang itu di situ, saya mahu umpankan buaya”, suara datuk keras melarang orang yang mahu mengangkat lelaki malang itu ke tempat lain.

Sikap datuk itu menimbulkan kemarahan seorang lelaki lain yang berbadan tegap.

Melihatkan bentuk tubuh lelaki itu, ternyata dia bukanlah orang Melayu tulen. Dalam badannya itu mengalir darah campuran Melayu dan Pakistan. ltulah tanggapan saya pada lelaki itu.

"Awak mahu memperjudikan nyawa orang. Kalau awak tidak ubah anak saudara saya ni ke tempat lain, awak saya tembak sampai mati”, lelaki yang naik darah itu menghalakan muncung senapang kampung ke arah datuk. Datuk tersenyum.

"Saya tetap patuh dengan apa yang saya kata. Kalau awak nak berkeras saya bersedia menerimanya”, jawab datuk.

"Binatang”, jerit lelaki itu sambil menarik pemetik senapang.

Lelaki itu jadi cemas, senapangnya tidak mengeluarkan sebarang bunyi, kecuali muncung senapangnya berasap.

"Awak berundur dari sini, sebelum saya bertindak”, kata datuk sambil mengesat peluh di pangkal kening kirinya dengan tapak tangan kanan.

Lelaki itu bagaikan terpukau, menurut saja perintah datuk.

Kedua-dua ekor buaya itu terus mara ke arah lelaki malang yang terkapar di atas tanah. Air mata lelaki malang itu meleleh dipipi. Datuk terus memberi semangat padanya supaya bertenang.

Datuk tidak akan menyerahkan tubuh badannya untuk dikoyak-koyak oleh buaya ganas dengan begitu saja.

Lebih kurang dalam jarak sepuluh kaki kedua-dua buaya itu mahu menghampiri lelaki malang itu, datuk segera melompat dan berdiri di tengah-tengah.

Melihat perbuatan datuk itu, kedua-dua ekor buaya itu jadi marah lalu membuka mulut dengan seluas-Iuasnya. Datuk sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Kedua belah tangan datuk terus memeluk tubuh, matanya tepat menikam ke arah kedua-dua ekor mata buaya itu.

Tumit kiri datuk tekankan ke bumi hingga terbenam separas buku lali. Datuk membongkok lalu menghentakkan pangkal siku kanan ke tanah.

Datuk terus duduk mencangkung dengan menekan kepala lutut kiri ke bumi dan kepala lutut kanannya bertemu dengan dagu.

Kedua-dua ekor buaya itu merapatkan kembali mulutnya dan cuba mahu merangkak, ternyata buaya itu tidak boleh bergerak. Datuk sudah pun mengunci sendi-sendi kaki buaya itu.

"Tutup mulut kamu”, saya terdengar suara datuk dan kedua-dua ekor buaya itu merapatkan mulutnya.

Datuk segera bangun sambil memeluk tubuh, kedua belah kakinya di kangkangnya sedikit.

"Sekarang kau kembali ke lubuk kamu dan pulangkan mayat anak cucu aku yang kau binasakan itu”, kata datuk dengan lantang.

Datuk terus melompat setinggi empat kaki dari paras bumi. Bila kaki datuk menyentuh bumi, kedua-dua ekor buaya itu masih terpukau lagi ditempatnya.

Datuk lalu memerintahkan orang-orang kampung itu mengusung lelaki malang ke rumahnya.

Perintah datuk segera dipatuhi. Datuk kembali berdiri di hadapan kedua-dua ekor buaya itu.

"Pulang, kataku pulang”, sergah datuk lagi dan buaya-buaya itu bagaikan baru tersedar dari tidur.

Segera berpusing lalu terjun ke dalam sungai dan air sungai kembali bergelombang yang airnya memukul tebing.

Tanah tebing yang tidak kuat terus runtuh ke dalam sungai dan menimbulkan buih-buih yang kecil sebelum bersatu dengan air sungai.

Matahari yang sejak tadi bersinar dengan terik, mula beransur redup. Gumpalan awan hitam yang tebal mula melindungi matahari.

Orang-orang kampung yang tadi begitu ramai berdiri di tebing mula beransur kurang. Kebanyakan daripada mereka pergi ke rumah lelaki yang malang itu.

Angin pun mula bertiup menggoyangkan dedaun pokok di bibir tebing. Datuk membuka baju. Baju itu diikatkan ke pinggangnya.

Datuk duduk bersila di tepi tebing dengan kedua belah tangannya terletak di atas kedua tempurung lutut.

Datuk bertafakur di situ sambil membaca sesuatu. Datuk berdiri tanpa membuka tangan yang memeluk tubuhnya.

"Pulangkan cucuku”, kata datuk.

Serentak dengan itu, seekor buaya timbul dan di muncungnya terpanggang tubuh seorang kanak-kanak lelaki dalam usia empat belas tahun.

Buaya itu meletakkan tubuh budak lelaki yang sudah menjadi mayat itu di bibir tebing.

Cepat-cepat datuk mengambil mayat budak lelaki itu, lalu di serahkan pada orang-orang kampung yang masih berada di situ.

Mereka pun membawa mayat budak lelaki itu ke rumah ibunya. Dan buaya yang menyerahkan mayat budak itu terus hilang dari penglihatan saya dan datuk.

Sebagai tanda yang tugasnya sudah selesai, lagi sekali datuk mengepal tanah dan mencampakkan ke dalam sungai.

Bila tanah itu bertemu dengan air sungai, dengan sekelip mata saja timbul berpuluh-puluh ekor buaya di permukaan air Sungai Tanjung Ara.

Buaya-buaya itu mempamerkan badan masing-masing sambil melibas-libaskan ekornya pada permukaan air sungai.

Melihat keadaan yang ganjil itu, wajah datuk segera berubah menjadi cemas tidak menentu. Dia merenung muka saya.

"Sebenarnya, ada orang tertentu yang menaikkan semangat buaya itu supaya menjadi ganas”, kata datuk sambil menarik tangan saya pulang ke rumah Alang Botak.

Petang itu juga mayat budak lelaki yang jadi korban buaya dikebumikan dan lelaki malang itu terus menerima rawatan dari datuk.

Sebelum menjelang waktu Maghrib lelaki malang itu kembali sihat dan terus membantu kerja-kerja kenduri-kenduri di rumah Alang Botak.

Sepanjang malam itu orang-orang yang berada di rumah Alang terus memperkatakan tentang peristiwa yang berlaku pada sebelah siang tadi.

Sesungguhnya, peristiwa yang terjadi itu mencatatkan kemeriahan suasana kenduri di rumah Alang Botak yang kemuncaknya akan berlangsung pada esoknya.

Bagi menjaga keselamatan diri orang ramai, pengumuman segera dikeluarkan oleh ketua kampung, yang menasihatkan orang-orang kampung supaya jangan mandi di sungai.

Malah, anak lelaki Alang Botak yang bakal jadi raja sehari itu dilarang sama sekali melintas di atas jambatan, begitu juga dengan pihak pengantin perempuan.

Hari itu, adalah kemuncak segala kemeriahan di rumah Alang Botak. Pagi-pagi rumahnya sudah dikunjungi orang ramai.

Kira-kira pukul sepuluh pagi, macam-macam permainan diadakan di balai yang dimulai dengan silat, tarian zapin dan permainan dabus.

Kira-kira pukul dua belas tengahari, kampung kecil itu menjadi gempar kerana ada orang yang mengingkari pesanan ketua kampung, akibatnya dua orang sudah menjadi mangsa buaya. Pukul satu tepat, tiga orang lagi menjadi korban buaya.

Buaya-buaya di Sungai Tanjung Ara mula mengamuk. Siapa saja yang berdiri di tebing akan terus di libas oleh buaya-buaya itu dengan ekornya.

Datuk sudah tidak mampu mengatasi masalah itu. Dia mengaku, ilmu dunia yang ada pada dirinya tidak boleh mengalahkan buaya-buaya tersebut.

Dengan bantuan orang-orang kampung, tebing sungai itu lalu dipagar dengan kawat berduri.

Apa yang terjadi tidak mengganggu-gugat rancangan yang sudah di atur. Acara persandingan terus dijalankan.

Bila acara persandingan itu tamat, satu mesyuarat kecil telah diadakan di halaman rumah Alang Botak untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah yang sedang di hadapi.

Dalam mesyuarat itu orang-orang kampung meminta datuk menggunakan kebolehannya untuk menghalau buaya-buaya ganas tersebut.

Datuk tidak dapat memenuhi permintaan mereka. Menurut datuk, kebolehan yang ada pada dirinya masih belum cukup untuk menjinakkan buaya-buaya ganas itu.

Kejujuran yang datuk tunjukkan tidak dapat diterima oleh orang-orang kampung.

"Kamu sudah membuktikan di depan mata kami, usahlah kamu berdalih. Agaknya kamu yang memuja buaya-buaya tu supaya menjadi ganas.

"Sebelum kamu datang buaya-buaya itu tidak mengacau kami”, seorang lebai muda menghujah datuk di hadapan orang ramai.

Pendapat lebai muda itu mendapat sokongan sebagaian besar dari orang-orang kampung. Datuk berada dalam suasana yang serba salah.

"Apa yang saya lakukan semalam, sekadar mendapatkan mayat budak itu. Dari percubaan pertama itu saya dapat mengesan yang buaya-buaya itu diarah oleh orang-orang tertentu yang dapat mempengaruhi buaya supaya menganas”, datuk memberi penjelasan dalam percubaan membersihkan nama dan dirinya.

"Mungkin di antara buaya-buaya itu, ada buaya jadi-jadian”, tambah datuk.

Orang ramai terdiam sejenak, mereka berpandangan sesama sendiri dan berbisik -bisik.

Lebai muda yang berkulit cerah bangun lagi. Keadaannya lebih bersopan santun dari tadi. Dia memperkenalkan dirinya.

"Maafkan saya, kalau perbuatan saya tadi menyakitkan hati tuan, nama saya Kamaruddin dan saya bekas anggota tentera laut dan sekarang membuat kerja menangkap udang di Sungai Tanjung Ara ni, apakah yang patut kita lakukan sekarang?"

Datuk merenung muka lebai muda itu sejenak. Datuk merasakan lebai muda itu memang jujur orangnya.

Tidak berdolak-dalik atau mahu menguji datuk. Dia bercakap apa yang difikirkannya patut dicakapkan, sesuai dengan keadaan dirinya yang baru berusia lebih kurang empat puluh tahun.

"Kita cari pawang buaya yang handal”, kata datuk.

"Kalau begitu kita panggil Saadun Juling”, jawab salah seorang penduduk kampung.

"Dia tu tinggal di mana?", lebai muda bertanya.

"Di Sungai Rotan”, jawab orang yang mengeluarkan cadangan.

"Saya setuju dan saya boleh membantunya”, datuk memberikan pengakuan.

Kata sepakat pun di buat. Beberapa orang penduduk kampung Tanjung Ara disuruh pergi ke Sungai Rotan menjemput Saadun Juling.

Permintaan itu tidak dihampakan oleh Saadun luling. Dua hari kemudian, pawang buaya itu sudah pun berada di Tanjung Ara. Datuk terus mendampinginya.

Saadun Juling memberitahu orang-orang kampung, dia tidak dapat melakukan kerjanya dengan secepat mungkin. Dia perlu mengambil masa kira-kira tiga minggu.

Selama dia menjalankan tugasnya itu, dia minta orang-orang kampung menanggung makan minum dan mematuhi syarat-syarat yang dikenakan, antaranya orang-orang kampung dilarang berjalan malam, kecuali dirinya.

Seminggu sudah berlalu Saadun Juling hanya asyik berjalan di sepanjang tebing sungai.

Kadang-kadang dia menyorok di balik pokok besar mengintai perempuan mandi dan membasuh kain disungai. Ada kalanya, dia berdiri di tebing sungai bercakap dengan air.

Satu perkara yang tidak dapat dinafikan, sejak Saadun Juling berada di Tanjung Ara, buaya-buaya suIit untuk dilihat.

Tidak lagi mengganggu orang-orang kampung yang mandi di sungai. O­rang-orang yang bekerja menangkap udang galah mendapat hasil yang berlipat ganda.

Hal ini meyakinkan orang-orang kampung yang Saadun Juling itu seorang pawang buaya yang handal.

Masuk minggu yang kedua, seorang suami di kampung itu mengadu pada datuk secara suIit-suIit tentang isterinya yang telah berjaya dipujuk rayu oleh pawang buaya hingga melakukan hubungan suIit.

Dan si suami tidak dapat berbuat apa-apa kerana setiap kali dia memandang atau berhadapan dengan pawang buaya untuk mempersoalkan kedudukan yang sebenar, dia jadi kasihan dan berasa takut yang tidak bersebab.

Si suami cuba membentangkan masalah dirinya pada orang-orang kampung, mereka tidak dapat menerima lalu menuduh si suami itu berniat jahat terhadap pawang buaya yang mahu mengembalikan suasana aman di Tanjung Ara.

"Masa bila dia membuat hubungan sulit tu?", tanya datuk pada si suami.

"Malam.”

"Waktu tu, kau berada di mana?"

"Dirumah?"

"Kenapa kau tidak bertindak?"

"Saya macam kena pukau. Tidak boleh bangun dari tempat tidur dan tidak boleh bersuara.”

Datuk terdiam mendengar cakap si suami itu. Ada rasa simpati terpamer di wajah datuk.

"Kau bersabar, jangan bertindak terburu-buru. Jika perkara ini benar aku akan menolong kau.

"Aku tidak mahu perkara maksiat terjadi di sini. Kerja-kerja yang didorong oleh syaitan harus kita tentang.”

"Macam mana nak menentangnya?"

"Kau berjanji jangan beritahu sesiapa apa yang mahu aku lakukan.”

"Saya berjanji."

"Pawang tu tinggal di surau. Malam ni aku nak mengintip gerak gerinya.”

"Awak akan binasa, kalau melanggar pantangnya.”

"Allah lebih berkuasa darinya. Allah memberkati kerja-kerja yang baik dan jujur. Allah mengeji perbuatan zina.

"Kalau kita tidak menegakkan kebenaran, Allah akan mendakwa kita di akhirat kelak, kerana kita tahu perbuatan itu ditegah oleh Allah.”

"Saya faham.”

"Kau pulanglah dulu”, kata datuk, si suami itu terus pulang.

Pertemuan datuk dengan si suami itu tidak diketahui oleh sesiapa, walaupun pertemuan itu diadakan di rumah Alang Botak. Dan Alang Botak menganggap pertemuan itu adalah pertemuan biasa.

Tamat siri 43/284

BACA: SBDJ Siri 42: Sepasang Tangan Berbulu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, April 14, 2019

Hafu, Golongan Darah Campur Yang Dianggap Hina Di Jepun

Hafu, Golongan Darah Campur Yang Dianggap Hina Di Jepun

Sejak tahun 1970-an, hafu telah menjadi istilah rasmi dan paling diterima secara sosial bagi sesiapa yang mempunyai keturunan separuh Jepun dan bagi orang yang tinggal di luar Jepun, istilah "hafu" dalam bahasa Jepun, yang mana istilah itu diterjemahkan kepada perkataan "half" atau "separuh" boleh menjadi sesuatu yang langsung tidak diketahui.

Beautiful Hafu
Hafu.

Atas sebab ini, hafu telah digunakan selama beberapa dekad yang lalu sebagai kata-kata untuk menunjukkan orang-orang bangsa campuran yang tinggal di Jepun.

Tinjauan sosial terhadap individu berbangsa campur di Jepun telah berubah sejak masuknya abad ke-21.

Ini dicerminkan oleh istilah-istilah yang terus berkembang dan digunakan untuk merujuk kepada individu kahwin rcampur yang tinggal di dalam atau di luar Jepun.

Malah, lama sebelum hafu dicipta, terdapat banyak istilah yang digunakan pada masa itu untuk menunjukkan seseorang yang bukan memiliki darah Jepun sepenuhnya.

Istilah "ainoco" atau "ainoca" mungkin merupakan istilah paling awal yang pernah berlaku untuk menunjukkan seseorang bangsa bercampur dan tidak banyak maklumat yang tersedia tentang bagaimana, bila, dan di mana ia benar-benar berasal.

Walau bagaimanapun, istilah ini digunakan sebelum ini untuk merujuk kepada sesiapa warisan Jepun dan Kaukasia (kulit putih) yang bercampur-campur.

Ini adalah istilah yang popular di Brazil, yang bermaksud bahawa terdapat banyak orang yang mempunyai keturunan Jepun di Brazil.

Di tempat lain di dunia, istilah yang serupa telah digunakan seperti mestizo dan Eurasia.

Bagi sebuah negara yang telah biasa dengan pengasingan berabad lamanya, kehadiran populasi berdarah campuran tidak begitu disukai oleh mereka yang bergelar "baka tulen".

Oleh itu, tidak menghairankan bahawa istilah ainoco menjadi istilah menghina dalam budaya Jepun.

Keturunan campuran telah dilayan dengan buruk dalam masyarakat Jepun dan tidak diberikan layanan yang sama seperti mereka.

Selepas perang tamat, Jepun berusaha perlahan-lahan untuk mencipta semula diri sendiri dari segi kerajaan, ekonomi, infrastruktur dan pandangan global serta masyarakat.

Sebagai satu usaha untuk memperbaiki prospek ainoco, istilah "konketsuji" dicipta sebagai pengganti. Istilah ini secara terus diterjemahkan kepada "anak darah campuran".

Malangnya, tidak lama kemudian, istilah ini juga digunakan sebagai istilah penghinaan dan menjadi subjek diskriminasi.

Jepun mengambil masa beberapa dekad lagi sebelum individu darah campuran diterima dengan sepenuhnya oleh masyarakat tempatan.

Pada tahun 1970-an, Jepun sudah menjadi negara moden, malah mungkin yang paling maju di hemisfera utara.

Pada permulaan pemodenan, istilah hafu muncul untuk merujuk kepada peningkatan penduduk bangsa campuran dengan warisan Jepun.

Sejak itu, istilah ini digunapakai dan digunakan sehingga ke hari ini dalam masyarakat Jepun.

Banci penduduk hafu di Jepun

Maria Ozawa Hafu
Maria Ozawa juga seorang Hafu.

Sejak Jepun membuka pintu mereka kepada budaya asing, penduduk bangsa campuran di Jepun mula meningkat sebagai produk hubungan antara kaum.

Kanak-kanak budaya bercampur seolah-olah tidak disukai pada hari ini dan mereka mengalami layanan yang lebih rendah berbanding dengan anak-anak Jepun berdarah tulen.

Kajian mengenai hafu menunjukkan bahawa pada tahun 1980, jumlah perkahwinan kaum campuran sangat sedikit iaitu hanya kira-kira 5,000 sahaja.

Ini bermakna bahawa jika setiap perkahwinan antara kaum menghasilkan satu anak, bermakna sudah ada 5,000 hafu yang di Jepun ketika itu.

Sudah tentu, terdapat juga hafu yang dilahirkan di luar negara dari seorang ibu atau bapa Jepun yang telah berhijrah ke tanah lain.

Hanya 5 tahun selepas banci sebelumnya dibuat, rekod menunjukkan bahawa bilangan perkahwinan campuran lebih daripada 2 kali ganda, mencecah sehingga 12,000 perkahwinan direkodkan.

Ini akan menandakan bahawa populasi hafu juga akan meningkat sehingga 2 kali ganda.

Dalam tempoh 5 tahun seterusnya, bilangan perkahwinan antara kaum di Jepun sekali lagi meningkat 2 kali ganda, mencapai lebih daripada 25,000 ribu perkahwinan.

Ini bermakna bahawa populasi hafu akan berkembang pesat dalam tempoh 10 tahun sahaja.

Pada awal abad ke-20, sudah terdapat kira-kira 40,000 perkahwinan yang berlaku setiap tahun antara seorang penduduk Jepun dan orang asing.

Rekod menunjukkan bahawa majoriti perkahwinan kaum di Jepun berlaku dengan warganegara dari China, Filipina dan Korea.

Dari segi rupa paras, hafu dengan darah Cina dan Korea mungkin lebih sukar untuk dibezakan daripada mereka yang mempunyai keturunan Jepun tulen.

Walau bagaimanapun, hal itu tidak sama dengan anak-anak yang dilahirkan dengan keturunan Filipina. Walaupun orang Filipina juga keturunan Asia, penampilan mereka jauh berbeza.

Dalam perkahwinan antara kaum yang berlaku selepas tahun 2000, bilangan perkahwinan dengan orang kulit putih masih sangat sedikit.

Perkahwinan ini biasanya melibatkan orang asing dari Amerika, Brazil dan United Kingdom.

Secara semulajadi, keturunan perkahwinan ini membentuk penduduk hafu yang mudah disedari di Jepun.

Mereka lebih mudah dibezakan dari segi rupa paras dan dengan itu, kemungkinan besar mereka akan berhadapan dengan sebarang bentuk diskriminasi kerana bangsa.

Penjelasan terbaik mengapa terdapat peningkatan yang ketara dalam bilangan hubungan antara kaum (dan juga kanak-kanak) di Jepun boleh dikaitkan dengan perindustrian besar-besaran di Jepun.

Kesukaran dan perjuangan hafu tinggal di Jepun

Adalah menjadi hakikat yang diketahui ramai bahawa individu berdarah campur di Jepun selalu bergelut dalam kehidupan kerana tahap diskriminasi baru terhadap mereka berkembang selama bertahun-tahun.

Malah, separuh pertama abad ke-20 adalah mimpi ngeri untuk golongan hafu.

Dipanggil sebagai ainoco atau konketsuji, individu yang bercampur warisan berjuang untuk bertahan hidup dalam masyarakat Jepun.

Diskriminasi ini bukan sahaja melebihi layanan yang buruk, tetapi mereka juga diberi hak dan peluang yang lebih sedikit berbanding orang lain.

Tidak hairanlah bahawa banyak orang berdarah campuran mengalami kemiskinan dalam tahun-tahun tersebut.

Dan hari ini, banyak diskriminasi telah lenyap. Pemodenan Jepun telah membuka jalan bagi idea-idea baru dan generasi muda lebih banyak menerima hafu.

Jepun milenium lebih terbuka terhadap pencampuran budaya dan ia sangat jelas dalam ekspresi seni, kesusasteraan, filem dan genre yang lain.

Bagaimanapun, satu fakta yang menyedihkan adalah banyak orang Jepun di usia pertengahan masih mengekalkan pemikiran supremacist atau ketuanan yang meniru pergerakan anti-hitam Amerika pada tahun 1950-an.

Ia adalah satu hakikat yang mengerikan tidak kira betapa maju dan moden Jepun dari segi teknologi dan penyelidikan, kerana isu perkauman masih berterusan.

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila Ariana Miyamoto memenangi gelaran Miss Universe Jepun lantas menerima banyak tindak balas negatif mengenai pemilihannya yang tidak sesuai untuk mewakili Jepun namun, masih terdapat pandangan positif terhadap kemenangannya.

Beberapa tahun lalu, adalah menjadi sesuatu yang mustahil untuk Ariana atau sesiapa yang berdarah kacukan untuk menyertai pertandingan Miss Universe Jepun sama sekali.

Dokumentari tentang hafu di Jepun

Ariana Miyamoto Hafu
Ariana Miyamoto.

Mungkin sukar bagi majoriti penduduk di dunia untuk menjiwai cerita-cerita yang dilalui oleh golongan darah campur setiap hari, lagipun mereka dianggap minoriti dengan sebab yang kuat.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah individu bangsa campuran, cara yang lebih baik adalah dengan meneroka medium yang berbeza seperti tv, buku, filem dan dokumentari.

Terdapat banyak bahan penting yang menceritakan perjuangan oleh kaum campuran di perbagai bahagian di dunia, ini juga termasuk bahan yang fokus pada hafu di Jepun.

Melihat secara khusus mengenai bahan, dokumenteri, filem dan artikel yang telah dikeluarkan dalam beberapa dekad yang lalu, secara khusus telah memaparkan perjuangan dan diskriminasi yang dialami oleh generasi terdahulu. Diskriminasi yang berlaku dalam dekad yang lalu telah dikurangkan dengan ketara.

Untuk pandangan lebih lanjut tentang hafu di Jepun, bahan yang sangat baik untuk digunakan sebagai rujukan adalah oleh 2 pencipta filem Jepun - Megumi Nishikura dan Lara Perez Takagi.

Topik Hafu sendiri adalah dekat dengan jantung 2 pembuat filem ini, kerana kedua-duanya adalah hafu yang dilahirkan di Tokyo.

Dokumentari yang dihasilkan menceritakan pergelutan seharian dalam kehidupan hafu di Jepun moden.

Individu yang dipaparkan dalam filem sangat berbeza, dengan wawancara yang datang dari beberapa individu yang mempunyai kisah sendiri tentang menjadi seorang hafu di Jepun.

Sebagai contoh, terdapat sedikit dokumentari di mana pasangan Jepun-Mexico bercakap mengenai perjuangan mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah di mana mereka diejek oleh pelajar lain dan kesukaran untuk berbahasa Inggeris, Jepun dan Mexico.

Terdapat juga bagaimana seorang lelaki Jepun-Venezuela memulakan komuniti untuk menjadi tempat perlindungan bagi hafu di Jepun.

Kisah-kisah ini sangat menarik dan juga inspirasi, juga sebagai cara terbaik untuk orang luar memahami sepenuhnya topik hafu ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Maksud Mimpi Putus Tunang Atau Bertunang

Maksud Mimpi Putus Tunang Atau Bertunang

Walaupun bertunang itu bagi sesetengah orang bukanlah ‘perjanjian’ atau ikatan yang sekukuh sebuah perkahwinan, tapi hakikat yang sebenarnya sesuatu pertunangan itu tidak boleh diambil mudah.

Mimpi Putus Tunang

Ianya bukan bersifat suka-sukaan sepertimana janji kasih antara dua pasangan muda yang baru belajar bercinta lalu saling bertukar ungkapan cinta.

Justeru, jika pertunangan terputus atau sengaja diputuskan di pertengahan jalan, pastinya memberi kesan terhadap hubungan kekeluargaan malah membabitkan persepsi masyarakat sekeliling.

Tetapi, apa pula maksudnya jika kita bermimpi putus tunang?

Tafsiran Berkaitan Mimpi Bertunang

1. Sesebuah majlis pertunangan itu lazimnya akan berkesudahan dengan pasangan melangsungkan majlis perkahwinan.

Sehubungan itu, daripada satu pendapat berkaitan mimpi menurut Islam, disebutkan bahawa mimpi yang berkaitan dengan majlis membabitkan pasangan pengantin, tafsiran mimpinya berkait rapat dengan suasana sesebuah majlis berkenaan.

Jika majlis itu berlangsung sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dan tidak melanggar syarak, maka ia petanda satu kebaikan.

Sebaliknya, jika majlis berkenaan dipenuhi dengan aktiviti kemaksiatan bermakna akan terjadi keburukan.

2. Menurut pandangan Ibnu Sirin, seseorang yang dalam mimpinya membuat keputusan untuk memutuskan tali pertunangan, kemungkinan mimpi itu hendak memberi amaran kepadanya supaya dia lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup yang sesuai dengannya.

3. Ada pula yang menafsirkan mimpi meminang atau dipinang untuk dijadikan pasangan hidup itu tandanya akan berjaya dalam hubungan cinta dan pada kemudian hari kelak akan beroleh keuntungan.

4. Sebaliknya pula, jika seseorang itu mimpi putus tunang maka dikatakan itu adalah satu peringatan agar lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidupnya.

Selidik secara lebih mendalam perwatakan tunang anda yang sebenar-benarnya, kenali latar belakangnya dan fahami niatnya samada benar-benar ikhlas atau masih teragak-agak sebelum anda bersetuju untuk menjadi pasangan hidup dengannya.

Mimpi Bertunang

Pada kebanyakan masa, baik lelaki mahupun wanita, pasangan tunang yang muncul dalam mimpi itu adalah buah hati sendiri.

Namun, ada ketikanya boleh jadi ‘tunang’ yang di dalam mimpi itu seseorang yang tidak pernah dilihat wajahnya sebelum ini.

1. Dalam tafsiran mimpi yang berkaitan, dikatakan juga bahawa mimpi melihat lelaki yang dikenali boleh jadi alamatnya bermaksud akan beroleh sesuatu daripada orang berkenaan, ataupun daripada seseorang yang mirip dengan yang dilihat dalam mimpi itu ataupun yang sama nama dengannya.

2. Bagi seorang wanita, jika ada yang masih belum berumahtangga dan bermimpi meminang seorang lelaki yang di dalam mimpi itu perempuan berkenaan memberi salam kepadanya dan lelaki tersebut menjawab salam, ertinya lelaki berkenaan menerima pinangannya. Dalam erti kata lain, perempuan itu sebenarnya bak kata pepatah ‘tidak bertepuk sebelah tangan’.

3. Dalam kitab tafsir mimpi, ia bererti bahawa sangat besar kemungkinan dia akan mendirikan rumahtangga tidak lama lagi.

4. Selain itu, ada pula sesetengah tafsiran yang mengatakan mimpi tunang atau bertunang, membawa maksud segala perancangan yang sedang diatur akan beroleh kejayaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Maksud Tersirat Apabila Anggota Tubuh Bergerak-gerak (Berdenyut)

Maksud Tersirat Apabila Anggota Tubuh Bergerak-gerak (Berdenyut)

Pernahkah tubuh badan anda secara tiba-tiba berdenyut-denyut atau bergerak-gerak dengan sendiri tanpa anda memicit-micitnya? Pernahkah anda terfikir dan tertanya-tanya apakah maksudnya?

Maksud badan berdenyut

Di sini kami kongsikan sebahagian daripada gerak badan yang selalu memberikan isyarat awal apa yang akan berlaku kelak.

Tubuh
  • Seluruh badan: akan menyaksikan keindahan.
  • Kepala: akan mendapat anugerah raja.
  • Ubun-ubun: akan memperolehi pangkat.

Kening
  • Kening sebelah kanan: akan mendapat wang.
  • Kening sebelah kiri: akan gembira.
  • Pelipis sebelah kanan: akan mendapat wang.
  • Pelipis sebelah kiri: akan bertemu dengan kekasih hati.

Mata
  • Kelopak mata sebelah kanan atas: akan mendapat wang.
  • Kelopak mata sebelah kanan bawah: akan menderita kesusahan.
  • Kelopak mata sebelah kiri atas: akan memperoleh sesuatu yang baik.
  • Kelopak mata sebelah kiri bawah: akan menangis.
  • Kelopak air mata sebelah kanan: akan menangis.
  • Kelopak air mata sebelah kiri: bebas dari kesedihan yang mendalam.
  • Sudut mata kanan: akan melihat kekasih anda.
  • Sudut mata kiri: akan memderita kesusahan.
  • Biji mata sebelah kanan: akan menangisi orang mati.
  • Biji mata sebelah kiri: akan melihat orang yang datangnya dari jauh.

Pipi
  • Pipi sebelah kanan: akan difitnah orang.
  • Pipi sebelah kiri: akan menderita sakit.

Hidung
  • Hidung sebelah kanan: akan mendapat wang yang halal.
  • Hidung sebelah kiri: akan melihat kekasihnya.

Bibir
  • Bibir sebelah kanan atas: akan memperoleh kejayaan.
  • Bibir sebelah kanan bawah: akan memperoleh kebahagiaan.
  • Bibir sebelah kiri atas: akan berunding dengan saudaranya.
  • Bibir sebelah kiri bawah: akan mendapat pekerjaan baik.
  • Tengah-tengah bibir atas: akan bertengkar.
  • Tengah-tengah bibir bawah: akan menikmati makanan yang lazat.

Telinga
  • Telinga sebelah kanan: akan bertemu dengan sanak saudara.
  • Telinga sebelah kiri: akan mendapat upah yang baik.

Dagu
  • Dagu sebelah kanan: akan dimuliakan orang agung.
  • Dagu sebelah kiri: akan bertemu dengan orang agung dan diberi pangkat.

Leher
  • Leher sebelah kanan: akan sakit keras.
  • Leher sebelah kiri: akan menderita sakit tetapi lekas sembuh.

Pundak (Bahu)
  • Pundak sebelah kanan: sanak saudara akan sakit.
  • Pundak sebelah kiri: akan dimuliakan wanita.
  • Kedua-dua belah pundak: akan menderita sakit.

Bahu
  • Bahu sebelah kanan: akan bertengkar.
  • Bahu sebelah kiri: akan menderita sakit.

Belakang Badan
  • Belakang sebelah kanan: akan mendapat kunjungan orang yang meminta pinjam wang.
  • Belakang, tengah-tengah: akan menderita sakit atau mendapat kesusahan.
  • Belakang sebelah kiri: akan memperoleh kebahagiaan.

Badan Bahagian Depan
  • Dada sebelah kanan: akan bertemu kekasihnya.
  • Dada sebelah kiri: akan bertemu wanita ayu.
  • Tengah-tengah dada: akan memperolehi kebahagiaan.
  • Buah dada sebelah kanan: akan mendapat wang.
  • Buah dada sebelah kiri: akan mendapat kunjungan orang yang berpangkat.
  • Perut sebelah kanan: akan memperolehi banyak rezeki.
  • Perut sebelah kiri: akan mendapat wang yang banyak.
  • Pusat: akan memperolehi anugerah dari Tuhan.
  • Ulu hati: akan mendapat wang.

Lesung Pipi
  • Lesung pipi sebelah kanan: akan memperolehi jodoh.
  • Lesung pipi sebelah kiri: akan mendapat anak.

Tangan
  • Tangan kanan atau kiri: akan mendapat wang.
  • Tapak tangan sebelah kanan: akan mendapat wang.
  • Tapak tangan sebelah kiri: akan memperoleh keuntungan hasil dari perniagaan.

Lengan
  • Lengan sebelah kanan: akan mendapat rezeki.
  • Lengan sebelah kiri: akan mendapat wang.

Siku
  • Siku sebelah kanan: akan mengalami sesuatu yang tidak menyenangkan.
  • Siku sebelah kiri: akan mendapat wang.

Jari
  • Jari manis tangan sebelah kanan: akan mendapat wang.
  • Jari manis tangan sebelah kiri: akan mendapat jodoh.
  • Telunjuk tangan sebelah kanan: akan diangkat menjadi saudara oleh seseorang.
  • Telunjuk tangan sebelah kiri: akan diterima baik oleh orang.
  • Celah-celah jari tangan sebelah kanan: akan mendapat kegembiraan.
  • Celah-celah jari tangan sebelah kiri: akan dikasihi oleh orang agung.
  • Jari ibu sebelah kanan: akan mendapat jodoh yang baik.
  • Jari ibu sebelah kiri: akan mendapat jodoh.
  • Celah-celah jari telunjuk sebelah kanan: akan mengalami sesuatu yang memalukan.
  • Celah-celah jari tangan sebelah kanan: akan mendapat pekerjaan.
  • Jari tengah tangan kanan: akan menderita sakit.
  • Jari tengah tangan sebelah kiri: akan menderita susah.

Rusuk
  • Bawah rusuk (lambung) sebelah kanan: akan mendapat kesusahan.
  • Bawah rusuk (lambung) sebelah kiri: akan marah-marah.

Pinggang
  • Pinggang sebelah kanan: akan memperolehi sesuatu yang baik.
  • Pinggang sebelah kiri: akan mencintai orang.

Puting
  • Purus sebelah kanan: akan bersetubuh.
  • Purus sebelah kiri: akan diangkat menjadi penghulu.

Kemaluan
  • Kemaluan sebelah kanan: akan kedatangan tamu.
  • Kemaluan sebelah kiri: akan mendapat rahmat Tuhan.
  • Bagi wanita, kemaluan sebelah kanan atau kiri: akan mendapat jodoh.

Itulah antara maksud disebalik anggota badan yang berdenyut-denyut itu, walau bagaimanapun, anggaplah keterangan ini sekadar pengetahuan sahaja dan bukannya sebagai kepercayaan 100%.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Video UFO Berjaya Dirakam Di Buzios Brazil

Video UFO Berjaya Dirakam Di Buzios Brazil

Seorang pelancong Argentina, Valentina, yang bercuti di Brazil mendakwa melihat objek terbang tidak dikenali (UFO) di resort inapannya di Buzios, selatan Brazil dan sempat merakam peristiwa itu yang berlaku pada waktu malam.

UFO DI bRAZIL

Menurutnya lagi, objek UFO itu terbang berlegar-legar sekitar 15 minit sehingga menghasilkan pergerakan cahaya di ruang udara.

"Mengejutkan, ini bukan dron atau bunga api. Mereka berlegar-legar 15 minit merentasi langit Buzios," tulisnya di media sosial.

Sehingga kini, pihak berkuasa Brazil belum membuat sebarang kenyataan berhubung peristiwa itu.

Menurut seorang lagi saksi, dia juga terlihat cahaya berwarna hijau dalam bentuk pergerakan yang sama, persis rakaman video oleh Valentina.

Dalam pada itu, Buzios mula menjadi lokasi pelancongan terkenal selepas pelakon Perancis, Brigitte Bardot dirakam bercuti di sana pada tahun 1964.

Lokasi popular itu mempunyai 20 pantai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

SBDJ Siri 42: Sepasang Tangan Berbulu

SBDJ Siri 42: Sepasang Tangan Berbulu

Suasana dalam rumah terasa amat sepi. Datuk dan ayah pemuda ganjil itu tidak berkata walau sepatah pun, begitu juga dengan saya. Kesepian itu terusik juga oleh kicau burung murai yang mencari cacing di luar rumah.

Sepasang Tangan Berbulu

"Sabarlah, nanti saya usahakan. Dengan izin Allah anak awak akan kembali pada keadaan asal”, tiba-tiba datuk bersuara.

Bahu ayah pemuda ganjil itu ditepuknya berkali-kali. Ayah pemuda ganjil itu minta diri dan datuk menghantarnya hingga ke kaki tangga.

"Menerima amanah mudah tetapi menunaikan amanah memang pahit.

"Banyak godaan dan dugaan yang tiba. Kalau kurang iman jahanam diri sendiri dan balanya berterusan”, kata datuk dengan nada suara yang lemah sambil merenung wajah ayah pemuda ganjil.

Dari muka pintu saya lihat, ayah pemuda ganjil itu berada dalam serba salah, air mukanya berubah mendengar kata-kata dari datuk itu.

"Apakah anak saya menerima bala dari perbuatan datuknya?"

"Entahlah, hanya Allah yang mengetahui dalam hal ini."

"Saya rasa perbuatan ayah saya tidak bertentangan dengan hukum agama. Dia merampas harta musuh dalam keadaan darurat atau berperang.”

"Saya faham. Kalau tak silap, perbuatan itu diharuskan oleh agama Islam. Malah Nabi Muhammad S.A.W. pernah melakukannya.

"Harta rampasan itu dibahagi-bahagikan atau digunakan untuk kebajikan agama, tetapi ayah awak tidak amanah sudah menyimpang jauh dari hukum Islam.”

Ayah pemuda ganjil itu terdiam mendengar keterangan dari datuk. Tanpa banyak cakap dia terus berjabat salam dengan datuk, kemudian melangkah dengan tenang meninggalkan kawasan rumah khas kami.

"Kau tunggu rumah. Aku mahu mengambil air sembahyang”, datuk memberitahu saya.

Belum pun sempat saya memberi jawapan, datuk hilang dari pandangan saya. Tidak tahu kemana datuk pergi.

Semua cawan dan piring kosong saya bawa ke bahagian dapur dan terus membasuhnya hingga bersih.

Lepas itu saya susun atas para. Bila saya kembali ke ruang tengah rumah, saya dapati datuk sedang duduk menghadap ke arah kiblat.

Datuk membaca Surah Yasin hingga tamat. Kemudian dia membilang tasbih berzikir panjang.

Saya membiarkan datuk dengan kerjanya dan saya terus menyusun dan membersihkan akar-akar kayu dan batu-batu yang dikutip semalam.

Menurut datuk, bila semuanya sudah bersih, barang-barang itu mesti diletakkan di atas bendul rumah supaya kena matahari dan benda-benda itu tidak boleh dilangkah oleh manusia atau binatang.

Bila matahari berada betul-betul di tulang bumbung rumah, datuk menghentikan tugasnya.

Dia mengambil beberapa akar kayu dan batu yang saya susun di bendul. Barang-barang itu di bawanya ke tanah dan diatur atas sekeping papan pada tengahari yang rembang.

Datuk berpanas di situ hingga seluruh badannya berpeluh. Datuk masuk ke rumah lalu menyapu peluh di muka dengan belakang tangan.

Kerana waktu Zuhur sudah sampai, datuk menggesa saya mengambil air sembahyang. Saya dapati datuk sudah berada di sisi saya. Datuk tidak saya hiraukan.

"Air itu tidak rata. Kau harus membasuh kakimu hingga sampai ke bulu lali dan air itu mesti kena jari kakimu, ambil air sembahyang mesti betul.

"Kalau ambil air sembahyang tidak betul macam mana sembahyang boleh betul”, tegur datuk. Saya tersenyum dan segera mematuhi cakapnya.

"Ingat, jangan ambil air sembahyang sebarang. Ikut syaratnya, kalau tak tahu belajar dan bertanya”, tambahnya.

Dan datuk terus mengambil air sembahyang. Bila sudah selesai, kami kembali ke rumah menunaikan fardu zuhur.

Lebih kurang pukul dua petang, datuk suruh saya kumpulkan akar-akar kayu dan batu yang dijemurnya dalam baldi kecil.

Dengan baldi kecil itu, saya dan datuk membawa barang-barang tersebut ke rumah batu.

Lebih kurang satu rantai mahu sampai ke rumah itu, datuk mengambil baldi dari tangan saya.

Bila sampai di pintu pagar rumah batu, datuk tepuk baldi dengan tangan kanannya dan pintu pagar terbuka dengan sendiri.

Sebaik sahaja berada di halaman rumah batu, datuk ambil tiga batu dan tiga urat akar kayu. Batu dibuang kearah kanan dan akar kayu dibuang ke arah kiri.

Mulut datuk kelihatan bergerak-gerak, sebiji batu dalam baldi diambilnya lagi dan batu itu di gosoknya berkali-kali.

Akhirnya, batu itu diletakkan betul-betul di depan pintu rumah batu yang tertutup rapat.

Bila datuk memijak batu itu dengan kaki kirinya, pintu rumah batu terbuka dengan sendirinya.

Saya terpandang macam ada batang tubuh wanita berdiri di muka pintu beberapa saat.

Saya tidak dapat memastikan wajah wanita itu kerana ia muncul sekejap saja dan macam bayang-bayang pula.

"Mari masuk Tamar”, kata datuk.

"Untuk apa tok?"

"Mari masuk”, sergah datuk sambiI merenung ke langit melihat matahari yang bersinar terik serta gumpalan awan yang bergerak ke arah barat daya.

Saya tidak tahu, entah mengapa kaki saya terasa berat untuk melangkah, macam ada sesuatu yang membelenggu kedua belah kaki saya.

Bulu roma saya mula tegak, rasa takut bersarang dalam hati. Bila saya renung ke arah pintu yang terdedah, saya bagaikan terpandang sesuatu yang aneh.

Saya semacam terpandang orang berjanggut panjang beberapa saat. Bila orang itu hilang, saya terlihat perempuan cantik berhidung panjang sampai ke dada.

Bila perempuan itu hilang saya terlihat orang memakan bara api, semuanya bertukar ganti dalam masa yang cukup pantas.

"Saya takut tok.”

"Mengarut, mari”, datuk menarik tangan saya sambil menekan nadi di pergelangan tangan dengan ibu jarinya.

Saya bagaikan terkejut, macam orang kena kejutan letrik.

"Mengucap Tamar”, kata datuk lagi.

Saya pun terus mengucap dua kalimah syahadah dengan tenang dan teratur.

Saya dan datuk terus melangkah ke dalam ruang rumah. Saya lihat beberapa ekor labah-Iabah merayap di dinding.

Hampir seluruh kawasan ruang itu dipenuhi oleh sarang labah-Iabah dan angkut-angkut, keadaan di dalam rumah itu kelihatan suram dan samar-samar.

Datuk membuka salah sebuah tingkap di situ untuk mendapatkan cahaya matahari.

Bila cahaya matahari masuk ke dalamnya, barulah saya melihat pecahan kaca dan tembikar berselerak di lantai, dua tiga ekor lipan bara melarikan diri dari terkena cahaya matahari, empat kerusi kuno dan sebuah meja kuno sudah berlubang-Iubang di makan oleh anai-anai.

Di kaki tangga untuk naik ke tingkat atas terdapat sebuah busut jantan yang tingginya hampir lima kaki.

Kalau direnung lama-lama busut jantan itu bentuknya macam seorang lelaki berpeluk tubuh.

Bila datuk menjamah bahagian atas busut jantan itu, beribu-ribu kalkatu keluar memenuhi ruang rumah batu itu.

Datuk dan saya segera memanjat anak tangga menuju ke tingkat atas.

Terdapat lima bilik di tingkat tersebut, salah sebuah bilik di situ kelihatan bersih dan langsir kuning terpasang dengan rapi, beberapa keping patahan dari batu nisan kelihatan berselerak di muka pintu bilik.

Saya dan datuk jenguk ke dalam bilik. Pemuda ganjil sedang tidur dengan nyenyaknya di atas katil kuno dengan beralaskan daun-daun ketapang kering sambil memeluk batu nisan.

Bila datuk mahu masuk ke bilik tersebut, rumah batu itu terasa bergegar disertai dengan bunyi dentuman yang amat kuat macam bunyi petir.

Saya dan datuk mula terdengar bunyi air hujan mencurah-curah di luar.

Bagi memastikan apakah di luar betul-betul hujan, datuk segera membuka tingkap, ternyata hari tidak hujan. Cuaca cukup baik, matahari tetap bersinar, langit biru kelihatan bersih.

Satu hal yang menakjubkan. Bila daun tingkap terbuka perkara yang aneh itu tidak kedengaran, bila daun tingkap dirapatkan macam-macam bunyi mengusik gegendang telinga.

Datuk rapat ke katil pemuda ganjil. Bila datuk duduk di sisinya, saya terlihat sepasang tangan yang berbulu sebesar pokok pinang dara keluar dari dinding bilik. Sepasang tangan itu mengarah ke batang leher datuk.

"Aku akan mengembalikan pada orang yang berhak. Jangan ganggu kami dan perdayakan anak cucunya”, kata datuk.

Sebaik saja datuk selesai bercakap sepasang tangan yang berbulu itu hilang dari tepi dinding bilik.

Datuk cuba mengejutkan pemuda ganjil yang sedang tidur. Usaha datuk itu gagal. Setiap kali dia mahu menjamah kaki pemuda ganjil itu, bayang-bayang perempuan akan muncul di atas katil seolah-olah menghalang perbuatan datuk.

"Rumah ni, rumah syaitan”, keluh datuk lalu dia membaca beberapa potong ayat Al-Quran dari Surah Jin.

Ketika datuk membaca surah tersebut, pasir dan batu berterbangan dalam bilik.

Datuk tidak peduli, dia terus membaca hingga bayang-bayang perempuan itu hilang dari penglihatan datuk dan saya.

Bila keadaan sudah tenang, datuk pun membangunkan pemuda ganjil yang sedang tidur.

Wajah pemuda itu nampak pucat lesi. Dia bagaikan berada dalam satu keadaan yang cukup asing, mulutnya terus mengungkapkan perkataan yang tidak berapa jelas dan sukar difahami.

Tanpa saya duga, pemuda ganjil yang nampaknya tidak bermaya tiba-tiba melompat.

Suaranya keras dan mengaum macam suara kucing yang sedang marah bila ekornya dipijak.

Pemuda ganjil menerkam ke arah datuk, tetapi datuk yang sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan itu segera menekan kepala katil dengan ibu jari kiri.

Dan pemuda ganjil itu seperti ditolak oleh kuasa ghaib kembali ke tempat asalnya. Duduk di situ kali ini dia menentang datuk dengan kuasa matanya.

Keadaan itu datuk hadapi dengan tenang. Datuk menggunakan kuasa matanya hingga mata pemuda yang bersinar garang jadi layu dan terus tertutup. Pemuda ganjil itu rebah atas katil kembali.

Datuk terus membaca Surah Al-Falak. Bila sudah selesai membaca surah tersebut datuk meraba tubuh pemuda ganjil mulai dari kaki hingga ke pangkal leher dan datuk mematikan rabaan itu dengan menjentik sebanyak tiga kali cuping telinga kiri pemuda ganjil.

Manakala dari sebelah telinga kanannya datuk membisikkan beberapa potong ayat Al-Quran hingga pemuda itu membuka matanya.

Datuk segera mendukung pemuda ganjil itu keluar dari rumah batu.

Bila kami berada di luar kawasan rumah batu, tiba-tiba hujan panas turun mencurah-curah. Habis rambut saya basah begitu juga dengan datuk.

Pemuda ganjil yang terkapar dalam dukungan datuk tidak bergerak. Matanya pejam dan mulutnya yang separuh terbuka di masuki oleh air hujan.

Peliknya, hujan panas itu terjadi dalam jarak beberapa ela sahaja dari kawasan rumah batu itu.

"Inilah kebesaran Allah. Dalam panas ada hujan. Dalam hujan ada panas. Semoga Allah memberkati niat suci aku”, kata datuk lalu mempercepatkan langkahnya.

Bila sampai di rumah, datuk terus memandikan pemuda ganjil itu dengan air yang saya ambil dari sungai.

Dengan jari manisnya datuk mencabut tujuh helai rambut pemuda ganjil di bahagian ubun-ubunnya. Rambut itu datuk simpulkan lalu disuruh saya menanamnya.

"Kau mahu minum?" tanya datuk pada pemuda ganjil.

Walaupun pemuda ganjil itu tidak memberikan sebarang jawapan, datuk tetap menyuruh saya membuat air kopi panas yang dicampurkan dengan bawang putih.

"Minum”, kata datuk.

Pemuda ganjil itu bagaikan dipukau menurut saja perintah datuk.

Bila air kopi habis di minum, pemuda itu mula batuk dan bersin. Dia sedawa berkali-kali. Mukanya kelihatan berpeluh dan merah.

"Emak dan ayah saya, mana dia?", tanya pemuda itu.

"Ada, kau mahu jumpa dia?", balas datuk.

"Mahu.”

"Cuba kau mengucap sekarang.”

"Boleh, Ashha..”, pemuda itu mengucap dengan lancarnya.

Datuk gembira dan menyuruh saya memanggil kedua orang tua pemuda ganjil itu.

Bila kedua orang tua pemuda ganjil itu tiba, suasana dalam rumah jadi lain macam.

Ibu pemuda ganjil itu menangis, dia tidak terfikir anaknya yang aneh boleh kembali kepangkuannya walaupun wajah dan tubuh anaknya agak berbeza dari dulu.

"Jangan sentuh dia”, datuk melarang ibu pemuda ganjil itu menjamah tubuh anak kesayangannya.

Ibu pemuda ganjil itu jadi terkejut. Suaminya segera memujuk hingga rasa terkejut itu hilang dari dirinya.

Datuk mengarahkan kedua ibubapa pemuda ganjil itu duduk di hadapannya.

Manakala datuk, saya dan pemuda ganjil duduk sebaris jarak kami dengan kedua orang tua pemuda ganjil itu kira-kira dua kaki.

"Kau jawap pertanyaan aku sebelum kau bertemu dengan kedua orang tua kamu”, kata datuk sambiI memandang ke wajah pemuda ganjil.

Saya lihat pemuda itu anggukkan kepala tanpa memandang ke hadapan atau ke kiri dan ke kanan.

"Baik”, balas pemuda ganjil.

"Siapa nama ayah kau?"

"Ansaruddin Hasibuan.”

"Emak kau?"

"Teh Mayang Mengurai."

"Salah”, pekik datuk sambil menumbuk lantai, semua yang ada dalam rumah jadi terkejut.

Datuk segera memegang leher pemuda ganjil sambil mencabut sehelai bulu roma telinga kanan pemuda itu.

Ada penentangan dari pemuda ganjil itu tetapi, setelah datuk menekan dengan ibu jari kaki kiri di pahanya pemuda itu menyerah.

Bulu roma telinga pemuda ganjil itu datuk letakkan atas tapak tangan kanan. Datuk hembus bulu telinga itu dengan kuasa hidungnya. Bulu roma itu kelihatan melayang-Iayang dalam ruang rumah.

"Pulanglah ke tempat asalmu dan jangan ganggu anak cucu Adam”, suara datuk cukup lantang.

Bulu roma yang berterbangan dalam rumah terus menuju ke muka pintu. Semua yang ada dalam rumah tercengang.

Kami terdengar suara orang perempuan menangis dengan sayu di tengah hari yang menyerlah itu.

Sesungguhnya, saya tidak tahu dari arah mana suara itu datang. Bila keadaan sudah tenang, datuk terus bertanya pada pemuda itu.

"Siapa nama emak kamu?"

"Rabiatun”, jawap pemuda itu.

"Betul.”

Datuk menyuruh pemuda itu mencium lutut ibunya. Pemuda ganjil itu ikut cakap datuk.

Bila dia selesai mencium lutut ibunya, pemuda itu segera memeluk ayahnya sambil minta maaf. Mereka berpeluk-pelukan dan bertangis-tangisan.

Datuk dan saya terus menyaksikan peristiwa yang penuh dramatik itu dengan perasaan terharu.

Air mata saya meleleh dipipi. Sedarlah saya betapa kasihnya ibu dan ayah terhadap anaknya.

Dengan izin datuk, pemuda ganjil itu dibenarkan pulang ke rumahnya tetapi, sebelum pemuda itu masuk ke rumah, dia harus dimandikan dulu di bawah tangga atau di pintu rumah.

Perkara itu di lakukan sebagai syarat atau petua dari orang tua-tua, kononnya untuk menghalau hantu syaitan.

"Walaupun ini merupakan petua tetapi tidak ber­tentangan dengan ajaran agama, tujuannya baik”, kata datuk pada ibu pemuda ganji itu.

Syarat itu sengaja di sampaikan pada ibunya ke­rana kerja-kerja harus di lakukan oleh ibunya sen­diri.

"Awak duduk di sini, hingga lepas waktu Asar. Banyak perkara yang mahu saya cakapkan pada awak”, ujar datuk pada ayah pemuda ganjil.

Saya renung wajah ayah pemuda ganjil itu. Dia nampak tenang dan setuju dengan cadangan datuk itu.

Pemuda ganjil dan ibunya segera berangkat dari rumah yang kami diami.

Sementara menanti waktu Asar tiba, saya terpaksa memasak nasi dan menggoreng ikan gelama masin.

Bahan-bahan yang saya masak itu adalah pemberian ayah pemuda ganjil itu semalam.

Bila waktu Asar tiba, kami pun sembahyang. Lepas sembahyang dan wirid sedikit barulah kami makan. Lepas makan kami berehat di anjung rumah.

Masa berehat itulah datuk menyoal bermacam-macam hal pada ayah pemuda ganjil itu.

"Harta anak yatim, harta pusaka dan amanah orang, jangan dipermainkan kalau tak sanggup jangan diterima”, saya terdengar suara datuk dalam nada yang lembut.

Ketika dia bercakap itu matanya merenung wajah ayah pemuda ganjil di sebelahnya.

"Maksud awak? Saya tak faham”, tanya ayah pemuda ganjil.

"Saya rasa, ini pendapat saya. Boleh jadi betul, boleh jadi tidak. Sepasang tangan yang berbulu di rumah batu itu merupakan petunjuk dari Allah bahawa rumah yang dibina oleh arwah ayah awak tu dari wang yang perolehi secara tidak halal.”

"Saya faham cakap awak.”

"Saya bukan apa-apa. Cuma mengingatkan kalau mahu membuat rumah biarlah dari wang yang halal kerana rumah itu tempat kita berlindung dan membuat amal ibadat.

"Membuat rumah dari duit yang halal berkatnya lebih, hati kita sentiasa tenang bila bernaung di bawahnya,” ujar datuk lagi.

Saya tidak tahu kenapa perkara itu yang datuk timbulkan. Saya renung muka datuk, tidak ada sebarang perubahan di wajahnya.

Lebih kurang pukul enam petang, barulah ayah pemuda ganjil itu meninggalkan rumah khas kami. Sebelum dia melangkah, dia terus berkata pada datuk.

"Sudah selesaikah kerja awak?"

"Belum.”

"Apa yang belum selesai?"

"Saya mahu pergi ke rumah batu itu lagi malam ini, kalau awak nak ikut datanglah lepas waktu Isyak.”

"Boleh juga, saya akan datang.”

"Baguslah tu”, datuk pun melambaikan tangan pada ayah pemuda ganjil tersebut.

Bila masuk waktu Maghrib, hujan turun dengan lebatnya. Hujan yang lebat itu tidak mengganggu datuk berwirid dari Maghrib hingga masuk waktu Isyak.

Cuma hati saya saja yang berdebar kerana hujan yang lebat itu disertai juga oleh bunyi petir dan angin yang kuat.

Tiba-tiba saya menggigil kesejukan. Badan segera saya selimutkan dengan kain pelikat, saya duduk mencangkung. Dagu saya bertemu dengan kepala lutut.

Kilat, angin dan hujan terus bermaharajalela diluar. Datuk masih lagi berada di tikar sembahyang. Satu ledakan petir yang kuat bergema, sinarnya menerangi seluruh rumah.

Telinga saya bagaikan fana dan terasa kosong. Bila cahaya kilat itu hilang, saya lihat batang tubuh perempuan terpacak tidak jauh dari depan datuk.

Wajahnya manis sekali dengan rambut terurai hingga ke pinggang, memakai baju kebaya dari kain songket warna hijau, begitu juga dengan baju. Selindang songket terletak atas bahunya yang lebar.

"Kau rampas suami aku. Binatang, kau harus bersedia menerima pembalasan”, katanya pada datuk.

Wajahnya bertukar jadi merah macam udang kena bakar. Saya lihat datuk segera berdiri, saya tidak tahu waktu mana datuk membuang kain sarungnya dan memakai seluar hitam, baju hitam dengan kain merah terlilit di kepala.

"Kau Puteri Mayang Mengurai?", tanya datuk.

"Ya, kenapa?”

"Dari mana kau datang?"

"Dari Gunung Tahan.”

"Bohong, kau syaitan. Kau langsiur menjelma menjadi manusia untuk memperdaya manusia.”

"Itu soal aku, bukan soal kau. Aku mahu suami aku”, suara perempuan itu mula meninggi.

Datuk menarik nafas panjang. Kedua belah tangannya dilekapkan ke dadanya yang bidang. Bibir bawahnya nampak bergerak-gerak.

"Aku bersedia memulangkan orang yang kau sayangi, kalau kau benar manusia.

"Buktikan yang diri kau manusia”, datuk mengajukan pertanyaan.

Perempuan yang berdiri di depannya kelihatan tenang. Wajahnya yang merah sudah tidak merah lagi.

"Bukankah dengan wujudnya aku di sini membuktikan itu semua”, katanya.

"Masih belum cukup, aku sangsi.”

"Apa lagi yang kaumahu?"

"Kau berdiri di situ, jangan bergerak-gerak.”

"Baik.”

Datuk senang hati dengan jawapan itu. Datuk pun mula meluruskan ke dua belah tangannya.

Mulutnya mula bergerak membaca ayat Al-Kursi. Perempuan itu tersenyum tetapi, bila sampai pada ayat pertengahan perempuan itu tidak senyum lagi, malah cuba memberikan isyarat pada datuk supaya jangan meneruskan pembacaannya.

Datuk tidak peduli. Datuk terus membaca ayat tersebut. Bila sampai pada ayat terakhir, saya lihat seluruh tubuh badan wanita itu jadi merah macam bara, wanita itu terkapai-kapai macam minta tolong.

Dalam beberapa saat saja badan yang merah menjadi hitam macam arang, kemudian terus hilang.

"Syaitan itu sudah binasa”, datuk memberitahu saya.

Perlahan-Iahan datuk menyingsing lengan baju kanannya. Dia kembali duduk di depan tikar sembahyang. Saya tidak tahu apakah yang di bacanya.

Rasa menggigil di badan saya mula hilang. Saya terus ikat kain di pinggang. Hujan dan petir masih berterusan di luar.

Datuk terus membuka tingkap tetapi, cepat-cepat daun tingkap itu dirapatkannya kembali, tempias hujan menjamah wajahnya.

"Masih belum datang lagi”, rungut datuk.

"Sabarlah, barangkali kerana hujan."

"Betul juga cakap kau Tamar.”

"Kita tunggu sampai hujan teduh tok.”

"Aku fikir pun begitu juga”, nada suara datuk menurun.

Dia kembali duduk di tikar sembahyang membaca Surah Yasin. Dalam kiraan saya, hujan lebat itu berlaku selama satu jam.

Sebaik saja hujan berhenti, ayah kepada pemuda ganjil datang ke rumah kami. Datuk memberi dia minum kopi panas.

"Kita pergi sekarang”, kata datuk.

"Boleh, saya ada bawa lampu picit.”

"Tak pakai lampu picit pun tak apa.”

"Gelap nanti tak nampak jalan.”

"Saya ingat, mana lopak dan pokok besar.”

"Hum..”, mulut ayah pemuda ganjil terlopong kehairanan.

Tanpa banyak kerenah, datuk pun turun dan di ikuti oleh saya dan ayah pemuda ganjiI.

Bila kami memijak bumi, tanah yang dibasahi air hujan terasa menyentuh kulit kaki meskipun saya memakai sepatu getah.

Datuk yang memakai capal kulit itu cukup cepat melangkah. Percikan pasir dan tanah dari kibasan capalnya terasa mengenai muka saya.

Lebih kurang sepuluh minit berjalan dalam gelap yang dikepalai oleh datuk, kami pun sampai ke rumah batu.

Bila berada dalam rumah batu itu, keadaannya saya rasa berbeza dengan keadaan sebelah pagi tadi. Saya tidak terasa seram atau takut.

Datuk terus kumpulkan kayu dan papan-papan buruk lalu dibakarnya. Api yang marak itu menerangi bahagian bawah rumah batu itu.

Datuk mencari bahagian sudut rumah itu yang mengarah ke kiblat. Datuk duduk bertafakur beberapa minit disitu. Bila kerjanya itu selesai datuk pun menghampiri kami.

“Sekurang-kurangnya tiga gadis Cina telah dirogol dan dibunuh oleh tentera Jepun dirumah ini. Mayatnya di tanam di belakang rumah”, datuk memberitahu saya.

Menurut datuk, ada kemungkinan perempuan-perempuan cantik yang datang menemui pemuda ganjil pada setiap malam itu berasal dari syaitan yang mengambil kesempatan untuk menggoda pemuda ganjil yang memang diketahuinya mudah digoda kerana imannya kurang kuat dan baru mahu mendalami hal-hal agama.

"Tangan yang berbulu berpunca dari apa?"

Secara mendadak ayah pemuda ganjil itu bertanya.

Datuk segera mengambil sebatang kayu dan menikam ke arah api yang sedang marak itu, muka datuk nampak berpeluh. Dahinya berkedut.

Dia berhenti menikam api dengan serta merta. Datuk termenung panjang, terlalu sukar nampaknya datuk mahu menjawab pertanyaan itu.

"Saya tak tahu. Itu kuasa Allah. Kejadian itu barangkali sebagai petunjuk pada manusia supaya jangan tamak dan haloba kerana mahu hidup senang dan tergamak melakukan pecah amanah”, cukup teratur datuk bercakap sambiI matanya merenung wajah saya.

Tanpa saya duga, dalam bangunan rumah batu dua tingkat itu, di depan api yang marak datuk menceritakan yang dirinya pemah mengalami kejadian itu di dua buah rumah besar.

Kejadian pertama berlaku di Alor Setar dan kejadian ke dua berlaku di Pekan, Pahang.

Rumah di Alor Setar itu di dirikan di atas tanah pusaka yang tidak di farait atau dibahagikan mengikut hukum syarak, sehingga menimbulkan perbalahan di kalangan empat saudara.

Abang yang tua dalam keluarga itu menggunakan kuasa kuku besinya. Dia mengambil semua tanah pusaka itu untuk dirinya.

Dalam masa yang sama abang yang tua itu kena loteri kebajikan masyarakat. Dia pun mendirikan rumah batu yang besar dan membawa anak bininya tinggal di situ.

Sejak tinggal di rumah baru itu anak bininya sentiasa sakit dan diganggu oleh satu lembaga besar hingga membuat abang yang tua berada dalam keadaan resah dan tidak tenang.

Seorang guru agama menasihatkan abang yang tua itu supaya menjual tanah tersebut.

Hasil dari pendapatan jualan itu dibahagikan sesama keluarganya atau membahagikan tanah pusaka di kalangan keluarganya mengikut hukum agama.

Bila tanah itu dibahagikan mengikut hukum syarak, lembaga hitam itu tidak muncul dan keluarganya tidak sakit, rumah batu itu dipecahkan kerana didirikan dengan wang loteri.

"Tetapi abang yang tua tidak akan terlepas dari dosa di akhirat kerana dia berjudi”, kata datuk.

Kejadian di Pekan Pahang hampir sama dengan kejadian di Alor Setar, cuma bezanya rumah besar yang didirikan oleh seorang haji disitu, adalah hasil dari penyelewengan wang kutipan zakat fitrah orang Islam dan haji itu sendiri membunuh diri dalam rumah tersebut.

"ltulah pembalasan Allah di dunia pada orang yang tidak amanah”, kata datuk mengakhiri ceritanya.

Saya termenung panjang, begitu juga dengan ayah pemuda ganjil tersebut.

"Sudahlah, mari kita pulang”, kata datuk. Kami pun segera pulang.

Sebaik saja kami sampai di kaki tangga, satu ledakan petir terjadi. Cahaya kilat itu menerangi seluruh kawasan di sekitar kami.

Bila cahaya kilat itu berakhir, kami jadi tergamam dan terkejut besar kerana dibahagian bumbung rumah batu dua tingkat kelihatan api menjulang.

Api itu terus marak dan membakar seluruh rumah batu dua tingkat. Datuk tidak menghiraukan kejadian itu, malah dia menyuruh kami balik ke rumah.

Sepanjang malam itu, saya tidak dapat tidur kerana memikirkan kejadian yang saya lihat.

Pagi esoknya, kami pergi ke rumah batu yang jadi korban petir. Tidak ada bentuk rumah yang wujud di situ, kecuali tiang batu yang hitam macam arang terpacak mengarah ke langit.

"Awak jual tanah ni atau wakafkan. Kalau awak jual, wangnya jangan ambil satu sen pun, semuanya di berikan pada baitulmal atau ke rumah anak-anak yatim.

"Saya rasa inilah cara yang paling baik dengan itu keturunan awak akan terselamat dari kutukan Allah”, datuk menasihatkan ayah pemuda ganjil.

"Lagi apa yang mesti saya buat?"

"Beramallah pada Allah, mohon limpah rahmat dariNya. Kita ini hamba Allah, pada Allahlah kita mengadu dan Allah akan membuat keputusan yang maha adil”, tambah datuk lagi.

Dua hari kemudian, sedang saya dan datuk berkemas untuk pulang, ayah pemuda ganjil itu datang menemui datuk lalu menyerahkan wang sebanyak lima ratus ringgit, sebagai tanda terima kasih atas kejayaan datuk mengubati anaknya.

"Simpan wang awak. Saya tidak cari makan cara ini. Saya menolong sesama manusia dengan ikhlas, kebolehan yang ada pada saya adalah milik Allah”, muka ayah pemuda ganjil pucat mendengar cakap datuk.

"Maafkan saya, tapi saya mahu bersedekah”, balasnya.

"Sedekahlah pada fakir miskin”, jawab datuk tegas dan mengucapkan ribuan terima kasih atas layanan yang diberikan kepada saya dan datuk.

Ayah pemuda ganjil itu menghantar kami ke perhentian bas. Tiga bulan kemudian, ayah pemuda ganjil itu datang menemui datuk dan menyatakan apa yang dinasihati oleh datuk telah dilaksanakannya.

Tanahnya sudah dijual dan wangnya sudah diserahkan pada Baitulmal.

"Anak saya sudah sihat, saya akan menghantarnya ke Padang Panjang untuk belajar agama.

"Kalau ada rezeki saya mahu melanjutkan pelajarannya hingga ke Kaherah, mulai tahun ini saya akan membayar zakat."

"Baguslah tu”, jawab datuk.

Dan saya masih dapat membayangkan bagai­mana ayah pemuda ganjil itu menangis teresak-esak ketika meninggalkan halaman rumah datuk.

Tamat siri 42/284

BACA: SBDJ Siri 41: Berkasih Dengan Langsuir
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, April 13, 2019

Rahsia Kezaliman China 'Mencuri' Organ Uyghur Yang Mengejutkan Dunia

Rahsia Kezaliman China 'Mencuri' Organ Uyghur Yang Mengejutkan Dunia

"Saya dipanggil oleh ketua pakar bedah untuk pergi ke sebuah bilik berhampiran kawasan pelaksanaan hukum di Urumqi (China) untuk mengeluarkan hati dan 2 buah pinggang dari seorang banduan yang dibunuh. Banduan itu tidak mati kerana mereka (pasukan eksekusi China) menembaknya melalui dada kanan (dengan sengaja) untuk membuatkannya tidak sedar (tanpa membunuh). Ini supaya saya mempunyai masa untuk mengeluarkan organ-organnya," kata Enver Tohti, seorang pakar bedah onkologi Uyghur.

China curi organ

Lebih dahsyat, pembedahan itu diarahkan oleh ketua pakar bedah tanpa memberikan suntikan bius kepada banduan tersebut. Enver melihat jantung banduan tersebut masih berdegup ketika dia mengeluarkan hati dan buah pinggang lelaki malang itu.

Pelaksanaan hukuman mati yang dijalankan secara sengaja untuk tidak membunuh banduan Uyghur ini berlaku pada tahun 1995 dan menjadi penglibatan secara paksa yang pertama oleh Enver dalam program penuaian organ China.

Enver menceritakan kisah ini kepada akhbar United Kingdom pada tahun 2013, bahawa dia tidak menyedari terlibat dalam beberapa tahun.

Amalan ini telah menjadi begitu meluas dan begitu sistematik di wilayah yang mana penduduknya adalah majoriti Uyghur Islam.

Tiga tahun kemudian, Enver melarikan diri dari China selepas mendedahkan bagaimana sebuah kemudahan ujian senjata nuklear di Xinjiang menyebabkan kenaikan kadar kanser dalam kalangan Uyghur.

Organ dijual kepada hartawan Arab Saudi

Pada tahun 1998, dia membantu sebuah syarikat pengeluaran media British menghasilkan dokumentari mengenai radiasi nuklear di wilayah itu yang bertajuk "Death of Silk Road' (Kematian Jalan Sutera).

Pada Mac 2019, Enver Tohti memberitahu Radio Free Asia bahawa dia percaya para pelanggan utama organ Uyghur Muslim adalah penerima pemindahan organ dari Arab Saudi yang kaya.

Lebih mengejutkan, China secara tidak langsung memasarkan bahagian badan yang dikeluarkan secara paksa ini sebagai "Organ halal", walaupun sebenarnya tidak ada perkara sebegini dalam Islam.

Apabila didesak mengenai dakwaan ini, Enver mengakui tidak mempunyai bukti secara langsung, hanya mendengar cerita yang tidak disahkan tentang China menjual atau memasarkan organ "halal" kepada penerima organ Saudi yang kaya.

Dia menegaskan bahawa ia adalah sesuatu yang "sebaiknya tidak dibincangkan sehingga ia disahkan".

Namun, apabila ditanya mengapa tidak teguh dengan pendirian yang dinyatakan, Enver mengalihkan cerita dengan menyatakan rasa bimbang terhadap keselamatan ibunya, yang masih berada di Xinjiang, China.

Aktivis Uyghur, Arslan Hidayat, yang merupakan menantu kepada pelawak terkenal Adil Mijit yang hilang tanpa dikesan, memberitahu bagaimana China mengugut ahli keluarganya yang tinggal di luar negara terutamanya mereka yang bercakap secara terbuka tentang jenayah di Xinjiang itu.

Menurut Enver Tohti, permintaan terhadap organ Uyghur adalah melebihi bekalan.

Jenayah terancang oleh Parti Komunis China

Ini sekali gus menerangkan mengapa pihak berkuasa Parti Komunis China di Xinjiang melaksanakan pungutan sampel darah wajib dari umat Islam Uyghur melalui Pemeriksaan Perubatan Kesihatan Nasional, dengan matlamat mewujudkan "pangkalan data pemadanan organ hidup."

Dr Faisal Shaheen, pengarah Pusat Transplantasi Organ Arab, memberitahu bahawa seramai 410 orang Arab Saudi telah membeli organ dalam tempoh 2 tahun dari tahun 2012 hingga 2014 melalui pasaran gelap di China, Mesir dan Pakistan

Beliau juga menambah bahawa seramai 7,000 orang pesakit di Arab Saudi memerlukan pemindahan buah pinggang.

Jawatankuasa Kesihatan Awam Parlimen Eropah dan Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia berkata buah pinggang yang diambil secara haram boleh dijual dengan harga mencecah RM675,000 setiap satu.

Sehubungan ini, penggubal undang-undang United Kingdom memberi amaran kepada rakyat yang terdesak untuk menjalani operasi pemindahan yang mereka mungkin tidak mengetahui terlibat dalam "memainkan peranan dalam mengukuhkan kekejaman terhadap penghuni dalam rangkaian kerajaan Komunis di kem penjara dan tahanan."

Dengan lebih daripada 2 juta umat Islam Uyghur yang ditahan dalam rangkaian kem-kem tahanan dan penjara di seluruh Xinjiang dan China, amalan kejam China menuai organ-organ hidup orang Islam ini adalah tidak dapat dibayangkan.

Malah, ia menjadi jumlah tahanan minoriti agama terbesar sejak pembunuhan beramai-ramai oleh Nazi pada pertengahan abad ke-20.

Pada tahun 2016, Parlimen United Kingdom mendengar satu pembentangan bertajuk "Bloody Harvest/Slaughter," nama yang diambil dari dua buku oleh penulis Ethan Gutmann; dan David Kilgour dan David Matas.

Pelbagai bukti didedahkan

Ia memberikan bukti yang boleh dipercayai di mana China telah menubuhkan "rantaian industri yang lengkap" untuk menuai organ-organ tawanan politik.

Ini melihatkan bagaimana golongan minoriti telah disasarkan secara khusus, termasuk orang Uighur Muslim, Tibet, House Christian dan pengamal Falun Gong.

Malah, laporan ini menyebut nama Enver Tohti, pakar bedah Uyghur yang disebutkan di atas, menganggapnya sebagai "kes penuaian organ hidup yang pertama diketahui".

Ini sekali gus menyokong pengakuan Enver bahawa dia telah mengeluarkan buah pinggang dan hati dari seorang tahanan yang telah ditembak di dada.

Para penulis terbabit juga membuat pemerhatian tentang bagaimana saksi perubatan lain yang digambarkan dipaksa untuk mengendalikan ujian darah tahanan politik Uyghur bagi pihak beberapa pegawai Parti Komunis China berpangkat tinggi, yang memerlukan organ-organ sepadan.

Dan oleh kerana pegawai-pegawai ini telah mengembara ke Urumqi khususnya untuk pembedahan organ, ini dapat dilihat sebagai salah satu kes "pelancongan organ" yang pertama walaupun ia berlaku dalam sempadan China.

Mereka juga menggariskan bahawa Parti Komunis China secara jelas terlibat dalam penuaian organ paksa para tahanan politik dan agama sejak awal lagi.

Bukti terhadap jenayah kejam oleh China ini bukan hanya sekadar bukti, tetapi juga "bidang pengetahuan" dengan haknya sendiri, dengan beberapa buku yang diterbitkan mengenai isu itu, termasuklah State Organs: Transplant Abuse in China (2012); The Slaughter: Mass Killings Organ Harvesting, and China’s Secret Solution to Its Dissident Problem (2014); Bloody Harvest (2009), The Slaughter (2014); Bloody Harvest (2009), The Slaughter (2014).

Bersama-sama dengan ini, puluhan artikel telah diterbitkan dalam jurnal yang bertauliah dan juga beberapa dokumentari dihasilkan.

Malah, sebuah NGO diwujudkan yang berdedikasi untuk menamatkan amalan penuaian organ-organ dari tahanan politik oleh China, iaitu -  Doctors Against Forced Organ Harvesting (DAFOH) ("Doktor Menentang Penuaian Organ Paksa").

Seperti yang didakwa, China mengeluarkan organ-organ hidup dari orang Islam Uyghur yang ditembak dan memasarkannya sebagai "halal", lalu mengedarkannya melalui rangkaian kepada pelanggan Arab yang kaya.

Kita tahu bahawa China telah mengambil data biometrik dari 2 juta orang Uyghur yang ditahan di kem tahanannya, bersama-sama dengan berjuta-juta orang lain di Xinjiang.

Kita juga tahu bahawa sebanyak 100,000 pemindahan organ dijalankan setiap tahun di China, menurut penulis Bloody Harvest/Slaughter.

Pengeksportan organ keluar China diberi laluan khas

Dalam temu bual dengan Uighur Times pada Mac 2019, Enver Tohti mempamerkan gambar Human Organ Transportation Green-Path (HOTGP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Urumqi, yang didakwa menyediakan saluran untuk sejumlah besar organ manusia dihantar dari China ke penerima di seluruh dunia.

Dakwaan ini disokong oleh gambar yang menjadi tular di media sosial yang menunjukkan laluan khas yang tertulis "Penumpang Khas, Laluan Eksport Organ Manusia", diberikan kepada pegawai yang ditugaskan mengeksport organ-organ tersebut.

China Southern Airlines telah melaporkan lebih daripada 500 pengangkutan organ dilakukan sejak dakwaan yang dibuat oleh Enver Tohti.

Namun, China Daily yang dimiliki oleh kerajaan China mengumumkan bahawa syarikat penerbangan itu telah melancarkan "Laluan hijau" untuk menghantar apa yang didakwa sebagai organ "derma".

Jenayah kejam terhadap kemanusiaan ini adalah sangat mengerikan dan perlu diberikan perhatian serius.

Tetapi, memandangkan gambaran yang diberikan oleh aktivis Uyghur dan beberapa yang lain tentang bagaimana umat Islam Uyghur yang ditahan di kem tahanan terdedah kepada rogol berkumpulan, program pensterilan, penyeksaan sistematik, perkahwinan paksa dengan warganegara Cina Han, kehilangan tak dapat dikesan dan eksekusi, maka tidak dapat disangkal bahawa program penuaian organ hidup ini sebagai "pembunuhan besar-besaran umat Islam di zaman moden".

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Bella Astillah Tempat Mengadu Wanita Suami Buaya Darat

Bella Astillah Tempat Mengadu Wanita Suami Buaya Darat

Isteri kasanova terkenal Singapura, Aliff Aziz, Bella Astillah, mendedahkan dia sering menerima mesej peribadi daripada wanita yang meminta nasihat ketika berdepan masalah rumah tangga seperti yang dialaminya melalui Instagram.

Bella astillah tempat mengadu wanita

Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, berkata mesej perkongsian masalah keluarga yang dihadapi pengikutnya itu benar-benarnya membuatkan dia terharu.

"Saya selalu sangat terima DM (direct message) macam ni. Masyallah saya tersentuh sangat dengan cerita-cerita mereka.

"Saya faham sangat macam mana mereka rasa," katanya.

Bella berkongsi mengenai perkara itu di Instastory miliknya pada Rabu (10/4/2019).

Bella memuat naik paparan skrin mesej peribadi daripada beberapa wanita yang berkongsi nasib dengannya.

Kebanyakan mesej yang diterima Bella menyatakan rasa kagum dengan ketabahannya selama ini berdepan kemelut rumah tangga.

"Minta maaf memang saya tak mampu untuk reply semua tapi saya baca mesej anda.

"Jadi saya nak bagi cadangan untuk join seminar, sebab saya pun sertai.

"InsyAllah boleh bagi kekuatan pada kita semua," ujarnya.

Gambar Seksi Oktavia Manrose
Oktavia Manrose.

Bella sebelum ini berdepan kemelut rumah tangga apabila suaminya, Aliff Aziz kantoi bermain cinta dengan aktres Afifah Nasir.

Penyanyi lagu Sayang Sayang itu kemudiannya sekali lagi didakwa berlaku curang dengan pelakon baharu, yang juga seorang janda muda, Oktavia Manrose.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar