Wednesday, August 16, 2017

Misteri UFO Di Kampung Gobek Kelantan

Misteri UFO Di Kampung Gobek Kelantan

Kemunculan objek terbang yang tidak dikenali (Unidentified Flying Object) atau ringkasnya UFO di serata pelosok bumi masih lagi menjadi misteri.

Misteri UFO Kampung Gobek
Gambar hiasan.

Banyak pihak mendakwa telah melihat piring terbang milik makhluk aneh itu berlegar di ruang udara kemudiannya mendarat di beberapa kawasan di negara ini.

Semenjak kemunculannya buat pertama kali di Sarawak pada tahun 1950 dan di Port Dickson pada tahun yang sama, objek itu seolah-olah mencari ruang untuk melihat tempat-tempat lain yang lebih strategik di Malaysia sebagai salah satu destinasi menarik makhluk berkenaan.

Pelbagai pihak membuat andaian kononnya kehadiran UFO di negara ini bertujuan untuk menjalankan kajian khusus yang tidak diketahui manusia selain untuk mendapatkan khazanah bumi iaitu bekalan logam mentah bermutu tinggi seperti 'bijih besi'.

Benar atau tidak dengan dakwaan itu masih lagi menjadi tanda tanya di kalangan manusia sendiri kerana kebanyakan tempat-tempat objek UFO mendarat adalah di kawasan terpencil dan terbiar.

Kenyataan ini bukan isu kecil malah dianggap benar kerana di Kelantan sendiri objek terbang dan makhluk UFO khususnya telah menjadikan sebuah kawasan terpencil di Kampung Gobek, Tanah Merah, Kelantan sebagai tempat pendaratan makhluk itu.

Dan hal ini turut menggemparkan seluruh penduduk kampung berkenaan pada tahun 2000 itu.

Mohamad Mat Diah
Mohamad Mat Diah atau Pakcik Mat ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

Bagi mendapatkan gambaran jelas tentang kemunculan makhluk asing di kampung tersebut, RELATIF, Azmi Mohd. Salleh telah menemui Mohamad bin Mat Diah, atau lebih dikenali sebagai Pakcik Mat yang juga seorang Pengamal Rawatan Tradisional di kampung terbabit.

Katanya, beliau tidak menafikan kehadiran makhluk UFO muncul di sebuah kawasan terpencil yang sebelum ini merupakan tanah sawah tetapi agak terbiar miliknya kerana tidak lagi diusahakan dan menjadi padang ragut haiwan ternakannya selain menjadi tempat remaja bermain layang-layang di situ.

Menurutnya lagi, makhluk UFO mendarat di kawasan itu ketika waktu malam. Tidak seperti malam-malam sebelumnya, malam itu agak gelap pekat. Dan hari itu juga beliau demam dan tidak mengizinkannya untuk melihat ternakannya yang ditambat di kawasan itu.

Pada keesokan harinya iaitu hari Selasa, apabila demamnya semakin beransur pulih, dia terus bergegas ke tempat ternakannya seawal jam 9.00 pagi.

Alangkah terkejutnya dia tatkala menjejakkan kaki di pinggir sawah terbiar itu apabila mendapati tanah terbiar itu bertukar menjadi sebuah kolam yang agak luas di mana panjangnya kira-kira 15 meter manakala lebarnya 5 meter.

Melihat perubahan itu secara tiba-tiba dan penuh misteri, menyebabkan timbulnya rasa takut yang amat sangat.

Pakcik Mat menambah, beliau menunggu sehingga jam 12.00 tengah hari untuk melihat perkembangan seterusnya dari jarak beberapa meter dari situ kalau-kalau ada makhluk ganjil di situ.

Namun tiada apa-apa yang kelihatan dan beliau mula beredar dari situ untuk menunaikan solat Zohor di masjid berhampiran rumahnya.

Kolam misteri UFO
Inilah kolam misteri yang dihuni oleh makhluk UFO.

Berita tentang kemunculan makhluk UFO itu hanya didiamkannya sahaja dari pengetahuan jemaah masjid termasuklah ahli keluarganya.

Sehinggalah selesai solat Asar, beliau bersama adik ipar serta jemaah masjid bergegas ke kolam misteri itu untuk melihat secara lebih dekat kerana sebelum ini tidak pernah wujud kolam berkenaan.

Setelah sampai di kolam itu, dari jarak dekat beliau mendapati 'rumput menerung' yang hidup subur di sawah itu menegak seperti tidak ada sesuatu yang menghempapnya.

Padahal, menurut kelazimannya jika ada benda berat yang menghempapnya sudah tentu rumput itu akan tumbang, patah ataupun putus dua.

Sementara itu, adik iparnya cuba memberanikan diri mendekati tebing kolam misteri itu lalu cuba menyorongkan kaki untuk menyentuh air kolam itu tetapi ditegah oleh Pakcik Mat.

Ini kerana, beliau bimbang ada sesuatu yang tidak diketahui telah dibuang ke dalam kolam itu. Ataupun air kolam itu sendiri akan menjadi penyebab penyakit yang memudaratkan.

Agak lama juga Pakcik Mat merenung ke arah kolam misteri itu, panjang dan lebarnya sudah dapat diagak. Namun kedalaman dasar kolam itu adalah di luar pengetahuannya.

Disebabkan terlalu lama melihat melalui ekor matanya sambil berfikir tentang kejadian pelik di tanah sawah terbiar miliknya itu, desakan nalurinya amat kuat untuk mengetahui tentang sesuatu yang pasti wujud dalam kolam berkenaan seperti makhluk di luar pengetahuan manusia telah menghuni di dasar kolam berkenaan.

"Kalau kamu ada dalam kolam ini, kamu kena taunjuk kepada aku siapa kamu", jerit Pakcik Mat dengan lantang sambil matanya masih merenung ke arah kolam tersebut.

Jeritannya itu turut didengari oleh sekalian yang hadir pada hari itu untuk tujuan melihat kejadian misteri kolam berkenaan.

Selang tiga minit selepas jeritannya itu supaya makhluk menjelmakan dirinya dari dalam kolam itu, dengan tiba-tiba keluarlah seekor makhluk umpama ikan haruan berwarna hitam sebesar lengan dan panjangnya kira-kira 0.5 meter berenang seperti ular dari arah kiri kolam itu menyebabkan airnya berolak, lalu apabila sampai di tebing kolam makhluk tersebut terus melompat ke udara lalu masuk semula ke dalam air.

Namun, Pakcik Mat masih belum berpuas hati dengan jelmaan makhluk pertama itu yang berkemungkinan ada lagi makhluk yang sama turut berkampung di dasar kolam itu.

Memang benar dengan dakwaannya kerana beberapa minit kemudiannya, makhluk kedua seperti ikan haruan itu muncul dan berenang dari arah kanan kolam misteri itu lalu melompat berhampiran tebing kolam itu menyebabkan air terpercik dan tempiasnya terkena pakaiannya.

Makhluk itu juga kembali ke dalam air sebagaimana yang pertama tadi.

Walau bagaimanapun, Pakcik Mat masih juga tidak berpuas hati walaupun mendapati dua ekor makhluk umpama ikan haruan itu menunjukkan dirinya.

Dengan tiba-tiba, dari jarak tiga meter tempat beliau berdiri berhampiran kolam itu, muuncul pula makhluk yang ketiga berenang ke arahnya lalu melompat ke udara sebagaimana makhluk yang pertama dan kedua lalu terjun ke dalam air.

Titian Misteri UFO
Di sinilah sebuah batas atau titian yang memisahkan sebuah kolam menjadi dua kolam.

Dengan kemunculan makhluk ketiga itu, Pakcik Mat mengurut dada tanda berpuas hati untuk menunjukkan permintaannya telah ditunaikan.

"Kalau kamu hendak tinggal di sini, aku izinkan. Tetapi kamu jangan ganggu sehingga menyebabkan kanak-kanak di kampung ini menderita ditimpa penyakit berpunca dari kamu", bentaknya dengan lantang seolah-olah memberikan amaran karas kepada ketiga-tiga makhluk pelik yang telah menghuni dalam kolam miliknya itu.

Berikutan kejadian makhluk asing penyebab kepada terbentuknya kolam misteri itu, rumahnya bukan sahaja dikunjungi penduduk setempat, tetapi juga daerah-daerah lain termasuk dari luar Kelantan diikuti beberapa wartawan dari media cetak dan elektronik.

Beberapa penduduk dari Pasir Puteh pula sanggup berkampung berdekatan dengan kolam itu kerana ingin melihat fenomena aneh yang tidak pernah dialami dan dirasai seumur hidup.

Namun, akibat daripada kehadiran makhluk asing itu menyebabkan ternakannya semakin gelisah melihat ke arah kolam misteri tersebut.

Selama tiga bulan lamanya ternakannya seperti meragam dan meronta-ronta tidak ingin ditambat berhampiran dengan kolam misteri di sawah itu.

"Ramai juga yang datang mencedok air dari kolam itu. Contohnya seorang anggota tentera yang asalnya dari Kelantan tetapi menetap di Pahang datang ke kampung ini lalu membawa pulang segelen air dari kolam itu. Katanya untuk merawat penyakit ganjil anak jirannya.

"Katanya air dari kolam itu telah diberikan kepada seorang anak jirannya yang berpenyakit kudis sejak berusia 6 tahun hingga 12 tahun.

"Hasil meminum tiga kali sehari, penyakit kudis kanak-kanak itu dikatakan sembuh sepenuhnya", katanya dan beliau mengetahui cerita berkenaan apabila beliau dikunjungi kanak-kanak tersebut bersama keluarganya pada masa itu.

Pada malam seterusnya, Pakcik Mat menunaikan solat Hajat sebagaimana yang pernah dijanjikannya kepada orang ramai supaya ditunjukkan bukti jelas perihal kehadiran makhluk asing itu, bagi menutup tuduhan melulu segelintir di kalangan penduduk berkenaan yang menyatakan beliau bermimpi di siang hari.

"Keesokannya pakcik pergi kerja seperti biasa. Tiba-tiba seorang Ustaz dari Machang yang sering datang ke kampung ini berteriak memanggil-manggil nama pakcik.

"Apabila ditanya, pakcik diminta supaya melihat di atas kolam itu", ujarnya.

Pakcik Mat kemudiannya bergegas ke arah kolam itu dengan tidak mempedulikan kerja-kerjanya yang perlu diselesaikan.

Alangkah terkejutnya apabila mendapati di atas kolam itu terbina pula sebuah batas seperti titian yang membahagikan kolam itu menjadi dua buah kolam.

Tambah Pakcik Mat, Ustaz tersebut memberitahunya makhluk asing yang menghuni kolam itu timbul di permukaan kolam yang berkemungkinan sedang melakukan aktiviti yang tidak diketahui manusia.

"Hairannya terdapat rumput menerung di kini dan kanan batas itu dalam keadaan sempurna, tidak patah, tumbang atau putus dua sebagaimana terbentuknya kolam ini tempoh hari", ujar Pakcik Mat agak kehairanan dengan peristiwa itu.

Mohamad Mat Diah
Pakcik Mat menunjukkan arah makhluk UFO itu terbang meninggalkan kolam misteri.

Dari telahan orang ramai mempercayai makhluk tersebut adalah makhluk asing yang menyorokkan kapal angkasa mereka di dasar kolam itu.

Jika sebaliknya, di manakah baki asal tanah kolam itu yang sepatutnya diletakkan di tebing, tetapi apabila diperhatikan di tebing kolam, lebihan tanah itu tidak ada.

Tetapi bagi Pakcik Mat hanya sekadar untuk mengetahui kedalaman air kolam itu lalu beliau menghalakan sebatang kayu sebagai kayu pengukur. Dari agakannya, kedalaman kolam itu mencecah paras dada seorang lelaki dewasa.

Pada malam Khamis itu pula, kerana terlalu keletihan yang amat sangat Pakcik Mat tidur dengan nyenyaknya. Dalam tidurnya itu, beliau bermimpi makhluk asing itu datang memberitahunya bahawa mereka akan meninggalkan tempat itu.

"Bila hendak pergi, kamu beritahu aku. Tetapi sewaktu datang tempoh hari kenapa tidak beritahu aku. Nak ke sini ceritalah untuk tujuan apa", cetusnya keras sebagaimana dalam mimpinya itu.

Dalam mimpinya, Pakcik Mat dipanggil oleh makhluk asing itu supaya datang ke kolam itu kerana mereka akan berangkat pergi.

Ketika itu Pakcik Mat dapat melihat dengan jelas ketiga-tiga makhluk UFO itu timbul dari kolam berkenaan di mana ketiga-tiganya telah bercantum menjadi satu badan.

Kelihatan cahaya kuning yang samar-samar terpancar dari tubuh mereka sewaktu muncul di gigi kolam itu.

Tubuh mereka seperti manusia berwarna hitam tetapi bukan manusia, tidak berkaki, tidak mempunyai rupa seperti manusia di mana kepalanya tajam seperti kayu yang dicantas daunnya.

Dari arah muka kolam misteri itu, Pakcik Mat dapat melihat dengan jelas makhluk asing itu naik ke udara secara mengiring di antara haluan hulu dan hilir di mana pada masa itu didapati bulan agak cerah berwarna kuning emas sedangkan di dunia manusia pada masa itu masih malam hari. Makhluk asing itu berlalu dengan laju dan terus hilang dari mimpinya.

Keesokannya, orang ramai berpusu-pusu menuju ke kolam itu kerana banyak permata dan berlian bertaburan di tebing kolam berkenaan.

Geram dengan tindakan makhluk asing itu kerana tidak meninggalkan sebarang bahan kenangan buatnya, tiba-tiba seorang jirannya menghulurkan seketul batu aneh berwarna hitam pekat kepadanya di mana bentuknya seumpama kolam misteri itu.

"Pakcik dapati salah satu penjuru batu hitam itu seperti bentuk muncung makhluk asing itu. Garisan tengah seolah-olah membentuk sebuah batas dan titian yang memisahkan satu kolam asal menjadi dua buah kolam.

"Terdapat juga garisan emas pada batu hitam itu, di mana di kanannya terbentuk kalimah Allah dan di kirinya pula kalimah Muhammad", ujarnya sambil menunjukkan bentuk batu hitam aneh itu untuk dirakam gambarnya.

Pakcik Mat juga menjelaskan, semenjak makhluk asing mendarat di Kampung Gobek keadaan suasana kampung turut berubah terutamanya dari sudut keamanan dan ketenteraman dapat dirasai secara mendadak.

Batu UFO
Inilah batu yang diberikan oleh makhluk UFO berbentuk kolam itu.

Malah, keadaan keluarga yang sebelum ini sering bermasam muka dan bercakaran sesama sendiri tidak lagi berlaku malah bertambah mesra dan akrab. Rezeki juga turut berubah.

"Mungkinkah ini suatu rahmat dari Allah kita tidak tahu. Kehadiran makhluk asing itu sebagai petanda rahmat supaya kita perlu saling bantu-membantu untuk keamanan dan kesejahteraan", katanya.

Hari ini, kolam misteri penuh bersejarah itu terus terbiar dan di sekelilingnya ditumbuhi rumput menerung yang agak subur menutup pandangan.

Sawah itu kini tidak lagi dijadikan sebagai kawasan ragut ternakan. Malah kanak-kanak dan remaja yang sebelum ini riang bermain layang-layang telah melupakannya.

Mungkin masih fobia akibat ketakutan dengan kemunculan makhluk asing sehingga terbentuknya kolam misteri, tidaklah diketahui.

Tetapi itulah hakikatnya, Kampung Gobek menjadi kenangan sebagai tempat pendaratan bersejarah makhluk UFO di Tanah Merah, Kelantan.

BACA INI JUGA:

sumber: azmirelatif

Sunday, July 02, 2017

Sejarah Penampakan UFO Di Malaysia

Sejarah Penampakan UFO Di Malaysia

UFO ialah Unidentified Flying Object atau piring terbang yang selalu dikaitkan dengan kemunculan makhluk asing.

UFO Di Malaysia

Penampakan UFO di Malaysia dan di seluruh dunia sering dilaporkan sejak dahulu namun tiada bukti saintifik yang benar-benar mengesahkan tentang kewujudan UFO atau penemuan makhluk asing.

Bulan Mac tahun 1998, UFO pernah dilihat oleh sekumpulan pelajar di simpang Empat, Alor Setar, Kedah.

Objek sebesar saiz dua buah kereta berwarna kelabu itu berlegar beberapa minit di ruang udara sebelum ke langit dan hilang dari pandangan.

Pada Mei 1999, UFO pernah dilaporkan dilihat di Hulu Dong, Pahang.

Beberapa hari sebelum itu, seorang pelajar mendakwa telah melihat objek terbang di ruang udara Kampung Bemban Hilir, Mambau, Negeri Sembilan.

Malah, pelajar ini mengatakan ternampak satu lembaga setinggi kira-kira 0.5 meter turun dari ruang udara dan tinjauan selepas itu mendapati ada bekas tapak kaki yang pelik dan dikatakan mungkin milik makhluk asing.

Tahun 1999 juga, penduduk Baling, Kedah, gempar dengan kehadiran UFO.

Mereka melihat objek seperti piring terbang yang dindingnya berwarna hijau kebiruan.

Objek itu bercahaya tapi tidak mengeluarkan bunyi, berlegar di ruang udara pekan Kupang dan hilang setelah melalui kawasan hutan.

UFO di dakwa muncul di Tanah Merah, Kelantan pada Mac tahun 2000. Sebuah kawah berbentuk 'Y' yang dipenuhi air di kawasan lapang di dakwa adalah kesan objek asing yang turun di kawasan itu.

Menurut laporan dari tahun 1981 sehingga 2008, lebih 140 kes penampakan UFO di Semenanjung dilaporkan.

Antaranya, di Sungai Petani, Kedah sebanyak lapan kali, Ipoh, Perak sebanyak lima kali, Tanjung Sepat, Selangor sembilan kali dan di Paka, Terengganu sebanyak empat kali.

UFO Adalah Jin?

Dari sudut pandangan ulama Islam, tiada ayat dalam Al-Qur'an mahupun hadis Nabi yang menyatakan tentang kewujudan UFO.

Sebab itulah ramai yang menganggap UFO berkemungkinan adalah jin, tapi sejauh mana kebenarannya, hanya Allah SWT yang mengetahui.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Negara-negara Yang Paling Di Lawati Alien?

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, December 08, 2016

Misteri Kesatria Hitam, Satelit Atau UFO?

Misteri Kesatria Hitam, Satelit Atau UFO?

Tahukah anda bahawa terdapat sebuah satelit misteri di angkasa lepas yang dikenali sebagai Kesatria Hitam atau Black Knight.

Black Knight UFO

Satelit misteri ini juga tidak diketahui siapa pemiliknya dan Kesatria Hitam bukan berasal dari Bumi.

Istilah yang digunakan untuk satelit misteri ini termasuk apa yang dipanggil Sampah Angkasa (Space Junk) ataupun objek diluar bumi.

Bagi NASA, sampah angkasa tidak mempunyai sebarang nilai sains tetapi jika sampah ini jatuh ke Bumi, ia akan memberi kesan, bergantung kepada saiznya.

Persoalannya, siapa pemilik Kesatria Hitam dan apa fungsinya?

Setakat ini belum ada sebarang jawapan tetapi saintis ada beberapa fakta tentang Kesatria Hitam.

Satelit Kesatria Hitam mula mendapat publisiti pada tahun 1950an walaupun kehadirannya telah dikesan seawal tahun 1930an lagi.

Pada waktu itu, ahli astronomi telah mengesan isyarat radio yang dipercayai berpunca dari satelit misteri tersebut.

Disebabkan manusia belum lagi mempunyai kemampuan serta teknologi untuk menghantar sebarang satelit ke angkasa, minat untuk mengenal pasti serta mengkaji sumber isyarat radio tersebut terbantut.

Apabila Amerika dan Rusia mula membangunkan teknologi angkasa lepas, barulah minat terhadap satelit misteri Kesatria Hitam segar semula.

Pada mulanya, pihak Barat menyangka Kesatria Hitam sebagai satelit risikan kerana Rusia merupakan negara pertama yang berjaya membawa manusia ke angkasa lepas.

Mereka menyangka satelit Kesatria Hitam adalah milik Rusia. Tetapi ia bukan. Malah, satelit Kesatria Hitam bukan berasal dari Bumi pun!

Gelaran Kesatria Hitam (Black Knight) pada satelit misteri ini hanya bermula pada tahun 1998 apabila angkasawan NASA berjaya merakam gambarnya sewaktu berada di angkasa lepas.

Ramai yang percaya bahawa Kesatria Hitam adalah sebuah satelit, tetapi jika dilihat kepada rupa bentuknya, ia lebih mirip sebuah pesawat atau lebih tepat lagi ia mirip seperti sebuah UFO!

Isyarat Radio Misteri

Objek misteri Kesatria Hitam ini telah dikesan mengeluarkan isyarat radio selepas lebih 60 tahun, namun sehingga kini tiada siapa tahu identitinya yang sebenar.

Sehingga kini juga, tiada sebarang usaha mana-mana agensi angkasa lepas untuk memahami maksud isyarat radio Kesatria Hitam.

Isyarat radio yang dipancarkan dari Kesatria Hitam nampaknya bukan ditujukan kepada penduduk bumi kerana ia tidak mengandungi sebarang mesej yang boleh difahami.

Adakah objek misteri Kesatria Hitam sebenarnya sebuah kapal angkasa milik makhluk asing yang rosak dan terperangkap di ruang atmosfera Bumi?

Adakah isyarat yang dipancarkan mungkin isyarat kecemasan untuk meminta bantuan daripada bangsanya?

Rahsia UFO Disembunyikan?

UFO
UFO dilaporkan terhempas di Jepun yang siasatannya dirahsiakan.

Di Bumi, sepanjang beberapa dekad, telah banyak laporan mengenai UFO yang disyaki terhempas.

Dalam semua insiden, kerajaan yang terlibat telah meminta bantuan serta kepakaran kerajaan Amerika Syarikat.

Seperti dalam kejadian UFO yang terhempas di Jepun, Brazil, Turki serta negara-negara lain di luar Amerika.

Kejadian UFO yang didakwa terhempas di Roswell, Amerika Syarikat pada tahun 1947, menjadikan Amerika sebagai rujukan.

Yang peliknya, sebarang laporan kejadian UFO terhempas tidak pernah diumumkan hasil siasatannya kepada orang awam.

Kesatria Hitam mungkin adalah UFO yang tidak jatuh ke Bumi tetapi terapung di luar angkasa disebabkan berlaku kerosakan, lalu manusia menyangka ianya sebagai satelit.

Black Knight Satelit Makhluk Asing?

Seorang operator radio mendakwa berjaya mengungkai mesej yang dipancarkan dari satelit misteri Kesatria Hitam.

Menurutnya, mesej itu adalah sebuah carta kepada sebuah bintang yang terletak di Epsilon Bootes, sebuah sistem yang mengandungi dua buah bintang di bahagian utara gagasan Bootes.

Tambahnya lagi, satelit Kesatria Hitam berasal dari bintang tersebut semenjak 13 ribu tahun dahulu.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat dibuktikan.

***

Epsilon Bootes

The message is as follows:

START HERE.
OUR HOME IS EPSILON BOOTIS.
WHICH IS A DOUBLE STAR.
WE LIVE ON THE 6th PLANET OF 7 - CHECK THAT, 6th OF 7 -
COUNTING OUTWARDS FROM THE SUN
WHICH IS THE LARGER OF THE TWO.
OUR 6th PLANET HAS ONE MOON,
OUR 4th PLANET HAS THREE,
OUR FIRST AND THIRD PLANETS EACH HAVE ONE.
OUR PROBE IS IN THE ORBIT OF YOUR MOON
THIS UPDATES THE POSITION OF ARCTURUS SHOWN ON OUR MAPS."

 Source: Thelivingmoon

***

Namun, kajian keatas mesej yang dikatakan telah dihantar melalui isyarat radio oleh Kesatria Hitam diatas tidak diteruskan.

Adalah tidak logik bagi makhluk asing untuk meletakkan sebuah satelit di Bumi hanya untuk memberitahu mengenai gugusan bintang di Epsilon Boote.

Jika benar makhluk asing mahu berkomunikasi dengan penduduk Bumi, banyak lagi cara yang boleh dilakukan bagi menjalin hubungan dua hala.

Cerita tentang kehadiran Kesatria Hitam mula dipaparkan di dada akhbar pada 14 Mei 1954.

Pihak Amerika merasa cemas kerana memikirkan bahawa Kesatria Hitam adalah milik Rusia yang menjalankan misi pengintipan ke atasnya.

Walau bagaimanapun, Jabatan Pertahanan Amerika kemudiannya mendakwa bahawa satelit tersebut adalah milik tentera udara.

Amerika Syarikat sebenarnya tidak tahu sama sekali siapa pemilik satelit tersebut, jadi mereka cuba merahsiakannya.

Sekumpulan Objek Makhluk Asing?

Kesatria Hitam bukan hanya merujuk kepada satu objek misteri sahaja, kerana mungkin ada lagi dua atau lebih.

Dr. Lincoln LaPaz, seorang pakar tentang objek-objek diluar angkasa Bumi dari University New Mexico, telah mengetuai satu projek untuk mengenal pasti objek misteri ini.

Menurut Dr. Lincoln, ada dua objek atau satelit yang sedang mengelilingi Bumi.

Satu berada pada ketinggian 400 batu, sementara yang satu lagi mengelilingi Bumi pada ketinggian 600 batu.

Sewaktu Spuknik Rusia mengelilingi Bumi, ada laporan mengatakan bahawa Kesatria Hitam mengekori kapal angkasa mereka.

Jika benar ianya berlaku, nampaknya Kesatria Hitam bukan sebuah satelit tetapi sebuah UFO.

Hanya UFO yang akan memberi tindak balas dengan mengekori atau menghampiri sebarang roket yang dihantar manusia ke angkasa lepas.

Satelit, sebaliknya diletak pada ketinggian serta orbit yang ditetapkan dan tidak akan mengekori mana-mana kapal angkasa.

Astronomi dan saintis angkasa lepas menganggarkan, satelit Kesatria Hitam adalah seberat 10 tan.

Kesatria Hitam juga bergerak dua kali ganda lebih pantas berbanding kapal angkasa lepas.

Jadi, jika Kesatria Hitam bukannya berasal dari Bumi, siapa pemiliknya yang sebenar?

Istilah Hitam

Black Knight
Rakaman Kesatria Hitam melintasi bulan.

Pada bulan Februari 1960, majalah TIME melaporkan bahawa Tentera Laut Amerika telah mengesan sebuah objek hitam mengelilingi Bumi di kedudukan 79 darjah pada garisan Khatulistiwa.

Pada mulanya mereka menyangka ia adalah milik Rusia, tetapi ternyata bukan!

Ada yang mendakwa bahawa Kesatria Hitam telah mengekori Stesen Antarabangsa Angkasa Lepas (ISS).

Sementara itu, istilah 'hitam' yang banyak digunakan dalam menggambarkan sesuatu yang ingin dirahsiakan seperti Projek Hitam, Bajet Hitam dan sebagainya, berkaitan dengan projek atau kajian untuk membangunkan senjata dan pesawat canggih yang seakan UFO.

Bagi gelaran Kesatria Hitam (Black Night), ia menggambarkan ketidakpastian identiti sebenar objek tersebut.

Seperti juga projek hitam yang lain, pihak Barat dan Rusia mahu misteri Kesatria Hitam juga dirahsiakan.

Dengan kewujudan Kesatria Hitam ini, adakah itu tandanya makhluk asing sebenarnya sudah pun sampai ke Bumi?

BACA INI JUGA: Misteri Brazil Sebagai Lokasi 'Lawatan' UFO!

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, May 31, 2016

Misteri Brazil Sebagai Lokasi 'Lawatan' UFO!

Misteri Brazil Sebagai Lokasi 'Lawatan' UFO!

Selain Amerika Syarikat, dikatakan bahawa Brazil merupakan negara yang menjadi kegemaran untuk dilawati oleh makhluk asing atau UFO.

UFO in Brazil [2]

Bukan hanya disebabkan banyaknya kemunculan UFO di Brazil tetapi 'kualiti' kes yang sungguh mengagumkan.

Jika kita hanya mampu menonton serangan makhluk asing di televisyen, ternyata kejadian makhluk asing di Brazil benar-benar berlaku!

Malah, di Brazil, kehadiran makhluk asing turut dikaitkan dengan kemuculan Chupacabre, makhluk pelik dengan duri di leher hingga ke pangkal ekor.

Tidak seperti negara lain, kunjungan UFO ke Brazil nampaknya cukup 'agresif'. Dan sebagai bukti betapa seriusnya ancaman UFO di sana, kerajaan Brazil menangani masalah ini dengan kekuatan tentera!

Pada tahun 1996, dua makhluk asing telah ditangkap ketika berada di bandar Varginha. Kes ini menggegar dan dihebahkan keseluruh dunia.

The Varginha, Brazil Entity
Lakaran entiti makhluk asing yang dilihat saksi mata.

Malangnya, kerajaan menafikan kejadian ini. Seolah-olah dengan sengaja cuba menutup sesuatu daripada tersebar kepada umum, walhal ada beberapa saksi yang menyaksikan peristiwa ini.

Wikipedia menjelaskan ketika itu media massa menyebutkan, makhluk pelik itu pertama kali dilihat oleh tiga orang wanita, Liliane, Valquiria Fatima Silva dan Katia Andrade Xavier.

Mereka melihat makhluk asing ini pada suatu petang pada 20 Januari 1996, tingginya 1.6 meter, kepalanya besar dan tubuhnya sangat nipis. Kulitnya berwarna coklat dan matanya merah, besar serta berbau.

Menurut mereka lagi, makhluk asing itu kelihatan lemah, seperti cedera atau sakit.

Penampilan menakutkan makhluk asing ini membuatkan mereka lari lintang pukang, ketakutan, lantas menceritakan kepada orang lain.

Apa yang mampu mereka katakan? Mereka telah melihat syaitan!

Kemudian, seperti dijangka, berita itu kemudiannya menjadi gempar! Heboh diperkatakan bahawa ada makhluk asing dibandar mereka.

The Varginha, Brazil Entity [2]

Dua hari kemudian, ada berita menggemparkan lagi. Ada makhluk asing ditemui mati diatas jalan yang kemudiannya diangkut oleh anggota keselamatan ke hospital tentera, kemungkinan untuk dikaji.

Pelbagai spekulasi timbul, namun menemui jalan buntu kerana akses mengenai kejadian ini dirahsiakn oleh kerajaan.

Sehinggalah akhirnya satu testimoni muncul daripada Vitorio Paccini, pemerhati UFO Brazil.

Vitorio mengatakan bahawa seorang pegawai kerajaan yang tidak mahu namanya disebutkan, mengakui peristiwa tersebut benar-benar berlaku.

Vitorio menyatakan bahawa orang pertama yang menemui makhluk asing tersebut bukanlah tiga orang wanita tadi, tetapi petugas pemadam kebakaran.

Sebelum itu, pada 20 Januari, mereka menemui sekumpulan kanak-kanak sedang membaling batu kepada makhluk asing tersebut. Mereka kemudiannya menangkap makhluk tersebut, kemudian dibawa pergi.

Official UFO Night in Brazil

UFO in Brazil
Dikatakan bahawa ini adalah kapal makhluk asing yang berjaya dirakam.

Sejak kejadian tersebut, Bandar Varginha menjadi sangat terkenal di dunia dan dikunjungi ramai pelancong. Pelbagai cenderamata berbentuk 'ET' dan makhluk asing dijual kepada pelancong.

Namun, kini kerajaan Brazil tidak lagi tertutup mengenai fenomena UFO, malah sedia berkongsi maklumat dan rahsia tentang kemunculan-kemunculan UFO, termasuk data-data rahsia kejadian pada 19 Mei 1986 yang dikenali sebagai 'Official UFO Night in Brazil'.

Dalam kejadian ini, ramai saksi menyaksikan 21 objek misteri berbentuk lingkaran, dianggarkan masing-masing berdiameter 100 meter, melayang di udara Brazil.

Objek misteri ini dikesan oleh juruterbang awam dan menjadikan trafik udara terutamanya di Sao Paolo dan Rio de Janeiro terganggu.

Pesawat pejuang tentera, Mirage F-5 turut mengejar objek misteri ini.

Menteri pertahanan Udara, Brigadier Ovtavio Moreira, turut menyebut kejadian itu secara terbuka di televisyen, termasuklah juruterbang yang melakukan pemburuan yang berlangsung selama beberapa jam itu.

Jika anda berminat untuk mengetahui mengenai isniden itu, ia boleh diakses di arkib nasional Brazil. Pada tahun 2004, Brazilian Committee of UFO Researchers ditubuhkan.

Brazil adalah negara pertama di dunia yang secara rasmi dan terbuka mengakui realiti fenomena UFO.

Brazil juga merupakan negara pertama yang melakukan kajian terhadap UFO secara terbuka.

BACA INI JUGA: Kisah 10 Penampakan UFO Yang Terus Menjadi Misteri Dunia

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, August 05, 2015

Video UFO Pintas Kapal Terbang Virgin Atlantic!

Video UFO Pintas Kapal Terbang Virgin Atlantic!

Video ini menunjukkan saat-saat seorang peminat kapal terbang merakam objek misteri yang terbang melepasi kapal terbang Virgin Atlantic yang baru berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di New York.

Virgin Atlantic-UFO

Rakaman itu telah menimbulkan banyak dakwaan menyatakan objek tersebut adalah UFO yang dimiliki oleh makhluk asing.

UFO atau unidentified flying object sering dikaitkan dengan kewujudan makhluk asing yang menimbulkan seribu persoalan mengenai kewujudannya.

Menerusi video yang dirakam itu, sebuah objek dipercayai piring terbang telah melintasi kapal terbang antarabangsa itu dengan pantas dan jelas.

Sejak kebelakangan ini, timbul pelbagai spekulasi mengenai kewujudan makhluk asing di kalangan netizen.

Baru-baru ini, 10 buah ‘kapal’ misteri yang berterbangan di ruang udara di Jepun turut berjaya dirakam.

Namun masih tidak ada fakta yang boleh mensahihkan segala dakwaan mengenai objek misteri yang sering dirakam oleh manusia itu.

Benar atau tidak, semuanya terpulang pada kepercayaan individu masing-masing.

BACA INI JUGA: Misteri 41 Monyet Yang Terkena Sumpahan


Sumber: Mirror.co.uk

Saturday, August 01, 2015

Video Penampakan Makhluk Asing Berterbangan Di Osaka, Jepun

Video Penampakan Makhluk Asing Berterbangan Di Osaka, Jepun

Video yang merakamkan 10 objek pelik berterbangan di ruang udara Osaka ini telah mendapat perhatian masyarakat di seluruh dunia.

UFO

Menerusi rakaman video amatur oleh seorang individu di bandar pelabuhan Jepun ini, rata-rata netizen mendakwa objek berkenaan adalah kapal yang dimiliki oleh makhluk asing.

Sahih atau tidak dakwaan itu, masih tiada bukti kukuh yang dapat merungkai bahawa 10 objek bercahaya itu adalah kapal makhluk asing.

Kejadian ini dikatakan sama dengan peristiwa yang pernah berlaku di London semasa sebuah konsert berlansung di Hyde Park.

Penonton konsert itu mendakwa ternampak objek bercahaya yang sama di awan sebelum hilang beberapa saat kemudian.

BACA INI JUGA: Kisah 10 Penampakan UFO Yang Terus Menjadi Misteri Dunia


Tonton video ini di Youtube.

Sumber: Mynewshub.cc

Tuesday, June 30, 2015

Kisah Benar UFO Mendarat Di Sekolah!

Kisah Benar UFO Mendarat Di Sekolah!

Guru-guru dan kakitangan di Sekolah Ariel, Ruwa, Zimbabwe, terkejut apabila seramai 62 orang pelajar mendakwa melihat sebuah UFO mendarat di halaman sekolah. Mereka turut mendakwa sosok entiti pelik, makhluk yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini keluar dari objek terbang berkenaan dan datang menghampiri mereka.

Zimbabwe alien invasion
Lakaran yang dilukis para pelajar.

Kejadian itu berlaku sekitar pukul 10:15 pagi, pada 16 September 1994. Pada hari itu, sekumpulan murid berumur antara lima hingga 12 tahun sedang bermain di padang sekolah. Ketika bermain, beberapa orang pelajar tiba-tiba menunjuk ke atas dengan reaksi terkejut.

Kanak-kanak tersebut mendakwa melihat tiga buah objek bulat seperti 'bola' berwarna perak sedang terbang tinggi di udara sekitar sekolah.

Penampakan itu diiringi cahaya terang berwarna merah sebelum hilang dalam kepulan awan kemudian muncul semula tidak jauh dari tempat ia menghilang.

Menurut saksi, perkara itu berlaku sebanyak tiga kali. Selepas kali ketiga, salah satu diantaranya dilihat terbang lebih rendah dan perlahan-lahan mendarat dalam belukar, 100 meter dari tempat mereka bermain.

Dilaporkan, seramai 62 orang pelajar yang berada di padang ketika itu telah menyaksikan secara langsung pemandangan pelik itu.

Kanak-kanak itu menyatakan, sebaik sahaja objek itu mendarat, seorang lelaki kecil dengan ketinggian kira-kira satu meter muncul di atas objek tersebut. Sejurus kemudian, entiti itu turun dan berjalan dengan gaya pelik, mendekati para pelajar.

Daripada keterangan pelajar-pelajar itu, entiti tersebut memakai pakaian berwarna hitam ketat dan berkilat.

Memiliki leher panjang dan kurus, berwajah pucat, rambut hitam sepanjang paras bahu (ada yang mengatakan tidak berambut), bermata besar dan bulat). Ciri-ciri fizikal ini sangat ironi dengan manusia biasa.

Menyedari diperhatikan, makhluk tersebut serta-merta menyorok di belakang objek terbang sebelum hilang dari pandangan.

Kebetulan, dalam kepercayaan masyarakat Zimbabwe, ada lagenda tentang Tokoloshis, syaitan yang suka memakan kanak-kanak, juga bertubuh kecil sama seperti entiti yang baru mereka lihat tadi.

Penampakan ini menambahkan lagi rasa takut mereka. Kerana terlalu takut selepas menyaksikan kejadian itu, pelajar-pelajar diserang histeria, berteriakan dan menangis sekuat hati sambil menjerit-jerit meminta tolong.

Ketika kejadian, guru-guru sedang bermesyuarat. Satu-satunya orang dewasa yang ada ketika itu ialah seorang wanita penjual makanan ringan.

Bagaimanapun, dia tidak melarikan diri kerana risau barangannya di curi.

Keesokannya, seorang pengkaji UFO Afrika, Cynthia Hind, datang ke sekolah untuk menyiasat kesahihan cerita tersebut.

Cynthia meminta kanak-kanak itu untuk melukis apa yang telah mereka lihat. Mengejutkan, 35 lukisan adalah sama!

Namun, apabila mereka menyiasat lokasi pendaratan UFO bersama seorang pakar elektrik yang datang bersamanya, mereka mendapati tiada kesan radiasi ditemui ditempat kejadian.

Cynthia mula tertanya-tanya, adakah kanak-kanak ini sepakat untuk berbohong?

Salah seorang pelajar yang menjadi saksi menolak andaian itu dan sanggup bersumpah atas kejadian tersebut. Guru besar sekolah pula menegaskan yang dia percaya murid-muridnya tidak bercakap bohong.

Pelajar luar bandar pada masa itu kurang pendedahan kepada televisyen mahupun surat khabar, jadi tidak mungkin mereka sekadar mereka-reka cerita.

Seorang penyelidik dari Harvard Medical School, Dr. John Mack bersama rakannya, Dominique Callimanopulos kemudian dipanggil untuk turun ke lokasi menemui pelajar-pelajar berkenaan.

Dan sepanjang dua hari menyiasat, mereka telah menemubual dan memberikan kaunseling kepada seramai 12 orang saksi, termasuk ibu bapa mereka.

Daripada temubual yang dijalankan, didapati semua keterangan memberikan cerita yang konsisten.

Dr. Mack percaya kes itu bukanlah kejadian histeria beramai-ramai dan yakin ia merupakan pertemuan dengan makhluk asing yang benar-benar telah berlaku.

Walau bagaimanapun, keterangan kanak-kank ini masih diragui kerana tiada saksi daripada orang dewasa.

Umum hanya mengklasifikasikan kejadian ini sebagai satu gurauan yang dihasilkan oleh minda dan imaginasi seorang kanak-kanak.

Anda percaya?

BACA INI JUGA: Blue Beam, Projek Rahsia NASA, Freemason Dan Illuminiti Terbongkar!

-Sentiasapanas.com