Thursday, December 20, 2018

10 Pekerjaan Berisiko Tinggi Menyebabkan Kemurungan

10 Pekerjaan Berisiko Tinggi Menyebabkan Kemurungan

Menurut Dr. Deborah Legge, seorang kaunselor kesihatan mental dari Buffalo, Amerika Syarikat, ada beberapa aspek dalam setiap pekerjaan yang boleh menyumbang kepada kemurungan atau membuatkan penyakit itu bertambah buruk.

Pekerjaan Berisiko Tinggi

Berikut adalah 10 bidang kerjaya (daripada 21 kategori utama kerjaya) di mana para pekerjanya mempunyai risiko dan kebarangkalian tinggi untuk menghadapi kemurungan.

1. Pekerja pusat penjagaan (warga emas/kanak-kanak)

Pekerja di rumah atau pusat penjagaan mengungguli carta di mana hampir 11% daripada mereka yang berkecimpung dalam bidang ini melaporkan menghadapi kemurungan yang kronik.

Dr. Christopher Willard iaitu seorang pakar psikologi klinikal dari Tufts University memberitahu, tugas harian mereka di tempat kerja termasuklah memberi makan, memandikan dan menjaga orang lain yang "tidak mampu mengucapkan rasa berterima kasih atau memberikan penghargaan disebabkan mereka terlalu tua atau terlalu muda."

Keadaan ini membuatkan seseorang sangat tertekan kerana tidak banyak peneguhan positif diterima dari persekitaran.

Walau bagaimanapun, usah khuatir untuk memilih kerjaya-kerjaya ini jika anda berminat melakukannya atau cenderung ke arahnya.

Menurut Dr. Deborah, anda mampu mengawal kerjaya bertekanan tinggi ini jika anda sentiasa menjaga diri dengan baik dan cuba dapatkan bantuan yang sewajarnya.

Bagi pembaca yang sering berurusan dengan individu yang tergolong dalam kategori kerjaya ini, cubalah sesekali senyum dan ucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan.

2. Pekerja khidmat makanan

Pelayan di restoran atau kedai makan kebiasaannya menerima gaji yang tidak begitu tinggi dan perlu bekerja dengan teruk sambil terpaksa melayani pelbagai kerenah pelanggan tanpa henti-henti. Dilaporkan sekitar 10% pekerja dalam sektor ini menghadapi kemurungan kronik.

Dr. Legge menyatakan yang kerjaya ini jarang menerima ucapan terima kasih. Hal ini mungkin disebabkan pelanggan sendiri mengharapkan pelayan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Tidak dilupakan ada juga pelanggan yang selalu bersikap kasar dan biadap terhadap para pelayan. Apabila anda menggunakan banyak tenaga semasa bekerja ditambah dengan tekanan emosi sedemikian, agak sukar untuk mempunyai tenaga positif dan motivasi dalam diri.

3. Pekerja sosial

Pekerja sosial perlu berhadapan dengan pelbagai masalah luar seperti kanak-kanak yang didera atau keluarga yang sedang menghadapi krisis.

Persekitaran yang sedia ada negatif itu ditambah buruk pula dengan kerenah birokrasi yang sering menyulitkan keadaan.

Ada sejenis budaya kerja yang menyatakan jika anda ingin melakukan sesuatu kerja dengan baik, anda perlu bekerja dengan keras dan sentiasa membuat pengorbanan.

Disebabkan pekerja sosial sering dikelilingi mereka yang kurang bernasib baik, ia agak sukar untuk berhati keras dengan tidak banyak berkorban.

Golongan ini kerap dan amat mudah mengalami sindrom burnout (keletihan fizikal, emosi dan mental) akibat menerima tekanan berunsur negatif secara berpanjangan.

4. Pekerja bidang penjagaan kesihatan

Kategori ini termasuklah doktor, jururawat, ahli terapi dan pelbagai profesion lain yang melibatkan golongan yang "sentiasa memberi khidmat" sehingga diri sendiri terabai.

Pekerja dalam sektor ini sering mempunyai waktu bertugas yang panjang dan tidak menentu.

Adakalanya ke tandas pun tidak punya masa. Diselang-selikan pula dengan saat-saat genting di mana nyawa manusia lain berada dalam tangan mereka.

Kesimpulannya, tahap tekanan pekerja bidang penjagaan kesihatan adalah sangat tinggi. Mereka perlu berhadapan dengan pelbagai jenis sakit, trauma dan kematian. Tidak dilupakan mereka perlu berurusan dengan ahli keluarga pesakit yang meninggal dunia.

Kesemua faktor ini boleh menyumbang kepada kemurungan kerana ia boleh membuatkan minda mereka tertumpu kepada ruang lingkup pemikiran yang kecil bahawa dunia ini adalah suatu tempat yang sangat menyedihkan.

5. Karyawan (artis, penghibur, penulis)

Kerjaya dalam bidang ini kebiasaannya mempunyai pendapatan yang tidak tetap, masa kerja yang tidak menentu selain sering bersendirian mengasingkan diri daripada orang ramai.

Golongan kreatif seumpama ini juga mempunyai kadar gangguan mood yang tinggi iaitu sekitar 9% kes kemurungan yang dilaporkan.

Bagi orang lelaki, inilah kategori kerjaya yang membuatkan mereka berisiko tinggi untuk menghadapi episod kemurungan kronik.

Selama tempoh 25 tahun merawat pesakit dengan masalah kesihatan mental, Dr. Legge mendapati satu lagi penyakit yang sering terjadi pada penghibur dan artis adalah kecelaruan bipolar.

6. Perguruan

Beban kerja guru pada hari ini bukanlah seperti 20-30 tahun yang lalu. Guru kini bukan sahaja terlibat dalam sesi pembelajaran dan pengajaran semasa waktu sekolah, malah mereka juga perlu membawa pulang lambakan kerja untuk disiapkan di rumah selain terlibat dengan pelbagai rancangan serta aktiviti yang membabitkan pelajar.

Ditambah dengan ketiadaan bajet dari pihak atasan untuk menyediakan bahan pengajaran sewajarnya untuk anak-anak murid, mereka pula terpaksa berkorban wang poket sendiri semata-mata ingin melihat pelajar cemerlang dan berjaya.

Golongan akademik ini perlu berhadapan dengan pelbagai tekanan - melayani kerenah pelajar seramai 30-40 orang setiap kelas, memenuhi kehendak ibu bapa dan pada masa yang sama perlu mencapai sasaran serta standard yang ditetapkan pihak sekolah.

Tidak cukup dengan itu, apabila dibuka media sosial, dibaca pula pelbagai kecaman dan kata-kata kesat yang dilontarkan kepada mereka.

Hal-hal seperti ini boleh menyebabkan para guru sukar melakukan tugas mereka dengan sempurna sehinggakan terlupa apa tujuan utama mereka menyertai bidang kerjaya ini.

7. Pekerja sokongan pentadbiran

Pekerja dalam sektor ini boleh menderita akibat permintaan yang tinggi dan ketiadaan kawalan.

Mereka sering berada di barisan hadapan dan menerima pelbagai arahan dari semua arah serta dari semua peringkat.

Walau bagaimanapun, mereka sendiri merupakan pekerja peringkat bawahan yang tidak mempunyai kuasa untuk 'menepis' atau 'mengawal' arahan-arahan ini.

Selain terpaksa melayan pelbagai kerenah manusia yang ingin berlagak seperti seorang bos, kerjaya dalam bidang ini juga kurang diberikan penghargaan atas segala tugas yang disempurnakan (walaupun tugas-tugas itu telah memudahkan hidup orang lain).

8. Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan

Tiada siapa yang suka jika mereka hanya dipanggil apabila terjadi sesuatu masalah. Namun, itulah yang perlu dihadapi oleh pekerja penyelenggaraan hampir setiap hari.

Mereka juga perlu bekerja pada masa yang tidak menentu, tidak mengira musim atau cuti dan seringkali perlu bekerja malam.

Bayaran yang diterima juga kebiasaannya dilaporkan tidak setimpal kerana tugas mereka adalah 'membersihkan tahi' yang orang lain lakukan.

Kerjaya ini juga mempunyai kadar keluar masuk pekerja yang tinggi. Situasi pekerja saling silih berganti ini menyebabkan mereka sering terpinggir. Persekitaran tempat kerja seperti ini boleh membahayakan kesihatan mental seseorang.

9. Akauntan dan penasihat kewangan

Tekanan. Tekanan. Tekanan. Kebanyakan orang tidak suka menguruskan wang simpanan atau akaun pelaburan sendiri kerana ia melibatkan nombor dan pelbagai kemungkinan yang sukar dibaca.

Jadi, bolehkah anda bayangkan jika anda menguruskan akaun bernilai ribuan atau jutaan ringgit yang dimiliki orang lain?

Ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas kerana melibatkan perihal kewangan orang lain dan pada masa yang sama ketiadaan kuasa untuk mengawal pasaran ekonomi.

Selain diselubungi rasa bersalah apabila klien mengalami kerugian, mereka mungkin terpaksa berhadapan dengan jeritan, cacian dan pelbagai ugutan.

10. Bidang jualan

Ramai jurujual yang memperolehi pendapatan mengikut komisyen. Ini bermakna, anda tidak tahu bilakah bayaran berikutnya akan dimasukkan ke akaun anda.

Mereka perlu bergerak ke sana ke mari dan adakalanya terpaksa berjauhan dengan rumah, keluarga dan rakan-rakan.

Jika mereka bekerja sendiri, faedah yang diterima juga agak terhad. Apabila diambil kira kesemua faktor ini, suasana kerja dalam sektor jualan boleh menjadi punca kepada tercetusnya kemurungan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, December 09, 2018

10 Operasi Rahsia KGB Paling Menggerunkan Dalam Sejarah Perisikan

10 Operasi Rahsia KGB Paling Menggerunkan Dalam Sejarah Perisikan

Kebanyakan rahsia perisikan KGB diketahui umum atas jasa seorang juru arkib KGB, Kolonel Vasili Mitrokhin yang berkhidmat dengan agensi tersebut selama 30 tahun sebelum berpaling tadah dan berpindah ke Britain.

Operasi Rahsia KGB Paling Menggerunkan

Dia kemudiannya menyerahkan lebih 25 ribu dokumen arkib KGB kepada Perkhidmatan Perisikan Rahsia (SIS) atau lebih popular sebagai MI-6.

Di sini, kami akan menceritakan serba sedikit sesetengah operasi KGB yang menakutkan atau dalam sesetengah kes, melucukan.

1. SERANGAN KE ATAS INFRASTRUKTUR AMERIKA

Operasi Rahsia KGB Paling Menggerunkan
Empangan Hungry Horse.

Bukanlah satu perkara asing bagi mana-mana kuasa asing yang berperang atau bertegang urat untuk mensabotaj kemudahan atau infrastruktur yang dimiliki musuh dengan niat mencetuskan huru-hara, menjejaskan ekonomi atau melemahkan pertahanan yang dimiliki.

Bagi KGB, menerusi dokumen arkib antara tahun 1959 sehingga 1972, mereka mensasarkan empangan hidroelektrik, lebih spesifik Empangan Hungry Horse dan Empangan Flathead di Montana.

Dalam dokumen tersebut, serangan dibuat bagi mengganggu bekalan elektrik di seluruh New York dan apabila gangguan bekalan elektrik berlaku, ejen-ejen ini akan memasang bom pada jeti dan gudang-gudang sepanjang Pelabuhan New York dan meletupkan bom-bom tersebut.

Apabila itu berlaku, ini akan menjejaskan kegiatan eksport dan import yang berlaku di pelabuhan tersebut, secara keseluruhan menjejaskan kegiatan perdagangan Amerika Syarikat di sebelah pantai timur.

Pada masa sama, KGB yang beroperasi dari Kedutaan Soviet di Kanada turut merancang Operasi Cedar, satu operasi mensabotaj sambungan paip minyak antara Kanada dengan Amerika Syarikat dan menyerang pelantar-pelantar minyak di situ.

Operasi yang dirancang selama satu dekad itu bertujuan mensabotaj bekalan minyak Amerika Syarikat.

2. ALPHA GROUP

Operasi Rahsia KGB Paling Menggerunkan

Pada tahun 1985, empat diplomat Soviet diculik satu kumpulan radikal yang mempunyai kaitan dengan Hizbullah di Beirut.

Motif penculikan ialah mendesak pihak Soviet menghentikan segala bentuk sokongan kepada Syria semasa Perang Saudara Lubnan meletus.

Selepas keempat-empat diplomat diculik dan dijadikan tebusan, penculik menghantar gambar tebusan diacu dengan senjata api ke pejabat media.

Dalam mesej mereka, kumpulan penculik mendesak pihak Soviet menghentikan semua bentuk serangan ke atas militan yang disokong Iran di utara Lubnan atau semua tebusan akan dibunuh.

Pada mulanya, Soviet Union mahu berunding dengan kumpulan pengganas tersebut bagi membebaskan semua tebusan dengan selamat.

Namun, apabila tuntutan kumpulan tersebut tidak dilayan, seorang tebusan dibunuh dua hari selepas tuntutan mereka dibuat.

KGB yang menyiasat kumpulan ini mengenalpasti semua ahli kumpulan tersebut dan mula menjadikan sanak-saudara dan rakan-taulan ahli kumpulan itu sebagai tebusan.

Dan sebagai tindak balas kepada pembunuhan diplomat tersebut, Alpha Group, sebuah unit khas dalam KGB memotong testikel salah seorang tebusan dan menghantar testikel tersebut kepada kumpulan pengganas tersebut sebelum tebusan itu dibunuh.

Mesej dari KGB amat jelas, sekiranya kumpulan tersebut berterusan menahan tiga diplomat Soviet, maka mereka tidak akan menjamin keselamatan ahli keluarga dan rakan-rakan yang dijadikan tebusan oleh Alpha Group.

Tidak lama selepas mesej tersebut dihantar, ketiga-tiga diplomat berkenaan dibebaskan dalam keadaan selamat dan berdasarkan rekod, tidak ada lagi sebarang cubaan menculik atau membunuh kakitangan diplomatik Rusia selama 20 tahun sebelum insiden penculikan dan pembunuhan empat kakitangan Kedutaan Rusia di Iraq pada 2006. Namun, ramai mempersoalkan versi cerita ini.

Satu versi kisah pembebasan tiga diplomat tersebut disebabkan rundingan diplomatik berterusan yang dijalankan pemimpin Hizbullah, Ayatollah Muhammad Hussein Fadlallah yang merayu kepada Raja Jordan, Raja Hussein bin Talal, pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan pemimpin-pemimpin Iran yang mempunyai pengaruh ke atas kumpulan tersebut.

3. SKANDAL SEKS

Operasi Rahsia KGB Paling Menggerunkan

Satu lumrah dalam kalangan agensi perisikan ialah menggunakan wanita sebagai umpan untuk memerangkap atau menukar seseorang sebagai aset kepada agensi tersebut.

KGB tidak terkecuali menggunakan taktik sama untuk mendapat akses maklumat sulit atau sebagai pelobi untuk pihak Soviet.

Selepas Parti Komunis Indonesia (PKI) berjaya berkuasa di Indonesia dengan bantuan Presiden Sukarno, pihak Soviet mahu memastikan sokongan Indonesia kepada Soviet terus berkekalan.

Dan mereka ada cara tersendiri untuk melakukannya iaitu memanipulasi sikap kaki perempuan yang dimiliki Sukarno.

Semasa beliau mengadakan lawatan ke Moscow, KGB mengumpulkan beberapa orang wanita cantik, meminta mereka memakai pakaian pramugari dan menghantar mereka ke bilik penginapan beliau.

Tak perlu cerita apa berlaku dalam bilik tetapi yang pasti, adegan panas Sukarno bersama kumpulan wanita tersebut dirakam sepanjang malam oleh KGB.

Pihak Soviet menyangka dengan mengugut Sukarno tentang video tidak sepatutnya ini, mereka bakal mendapat sokongan berterusan dari Jakarta.

Tetapi sebaliknya, beliau langsung tidak ambil pusing tentang video itu dan bertanya sama ada pihak KGB mempunyai salinan video tersebut dan Sukarno bukanlah orang pertama yang terkena perangkap sebegini.

Pada tahun 1957, pihak KGB menggunakan seorang lelaki kacak untuk menggoda seorang wartawan berkaliber dari Amerika Syarikat, Joseph Alsop.

Bila KGB cuba mengugut Alsop dengan gambar-gambar Alsop dalam situasi yang tidak sepatutnya, Alsop sama sekali tidak berpaling tadah, sebaliknya terus berhubung dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan menceritakan apa yang berlaku.

Pada tahun 1960, seorang wartawan Daily Telegraph bernama Jeremy Wolfenden turut mengalami nasib sama apabila pihak KGB mempunyai gambar beliau meliwat seorang lelaki.

Wolfenden segera melaporkan insiden tersebut di Kedutaan Britain dan mereka meminta beliau menjadi ejen talam dua muka.

Akibat daripada tekanan sebagai ejen talam dua muka, Wolfenden menjadi kaki botol dan meninggal dunia pada usia 31 tahun.

Pada tahun 1958, seorang diplomat Perancis bernama Maurice Dejean diperangkap menggunakan taktik sama, bezanya ramai pihak terlibat dalam usaha menjadikan Dejean aset kepada Soviet Union termasuk Presiden Nikita Khrushchev.

Lebih 100 individu terlibat termasuk seorang pelakon Rusia terkenal yang dijadikan umpan untuk menggoda Dejean.

Untuk mengelak rahsia hubungan terlarang tersebut didedahkan pada khalayak umum terutama isterinya, Dejean menjadi aset Soviet dan mendedahkan semua rahsia Perancis kepada mereka.

Namun, pengkhianatan Dejean dapat dihidu Presiden Perancis pada ketika itu, Jeneral Charles De Gaulle dan pada tahun 1964, beliau dipecat dari semua jawatan dalam Republik Kelima.

Diceritakan, semasa De Gaulle memecat Dejean, De Gaulle enggan berjabat tangan dengan orang yang dianggap sahabat dan pernah berjuang bersamanya semasa Perang Dunia Kedua.

4. PENGGODAM

Pada era 80-an, KGB sentiasa mencari peluang mencuri maklumat sulit pihak Barat melalui dua perintis Internet, ARPANET dan MILNET. Atas sebab itu, KGB merekrut seorang penggodam Jerman bernama Markus Hess.

Hess menggodam lebih 400 komputer dari Universiti Bremen, Jerman, adakalanya komputer di pangkalan tentera yang jauh seperti Jepun.

Selain menggodam komputer pangkalan, Hess turut menggodam komputer Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dan Pentagon. Pada mulanya, operasi tersebut berjalan lancar dan tidak diketahui sesiapa pun.

Namun semuanya berubah apabila seorang ahli astronomi dan pentadbir sistem, Clifford Stoll berjaya mengesan aktiviti penggodaman tersebut bila mahu memperbetulkan kesalahan perakaunan 75 sen pada sistem komputernya.

Stoll menjejak penggodam tersebut selama 10 bulan sebelum melaporkan aktiviti tersebut kepada pihak berkuasa daripada pihak tentera sehinggalah CIA.

Dengan kerjasama pihak berkuasa Jerman Barat, mereka melancarkan operasi memerangkap Hess dengan meletakkan fail palsu berkenaan Makmal Lawrence Berkley.

Bila Hess cuba mengakses fail tersebut, mereka menjejaki aktiviti penggodaman tersebut kembali ke rumah beliau di Hannover.

Pihak berkuasa segera menyerbu rumah tersebut dan menahan Hess atas tuduhan menggodam.

Tidak lama selepas itu, timbul pendedahan bahawa beliau sebenarnya diupah KGB dan menjual maklumat sulit dan sensitif Amerika Syarikat kepada pihak Soviet.

Akibatnya, Hess dibicarakan atas tuduhan merisik dan dipenjarakan selama tiga tahun sebelum dibebaskan lebih awal.

5. RYAN

Pada tahun 80-an, pemimpin Soviet, Leonid Brezhnev mendapat laporan pihak Amerika Syarikat berpotensi melancarkan serangan nuklear pada bila-bila masa.

Lalu pihak KGB melancarkan operasi perisikan paling mahal dalam sejarah iaitu Operasi Ryan pada tahun 1981.

Tujuan pelancaran Operasi Ryan ialah membantu pihak Soviet bersiap sedia sekiranya pihak Amerika melancarkan serangan nuklear.

Dengan menggunakan satelit COSMOS, KGB mengambil gambar pangkalan-pangkalan tentera Amerika sepanjang masa, memantau penggunaan radar Amerika, memantau pergerakan tentera dan rakyat Amerika, mengawasi negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan cuba memintas panggilan telefon di seluruh Amerika Syarikat dan Eropah.

Selain itu, Operasi Ryan turut menyediakan jaringan perisik seandainya pihak Amerika mengisytiharkan perang ke atas Soviet. Namun operasi ini terpaksa dikurangkan skalanya pada tahun 1984.

6. ‘PROKSI’ BANK

Pihak Soviet semakin terdesak untuk mendapat akses kepada maklumat sulit dan sensitif yang dimiliki pihak Amerika Syarikat.

Pada pertengahan 1970-an, timbul satu cadangan untuk membeli tiga buah bank di utara California secara rahsia untuk mendapatkan maklumat tersebut.

Ketiga-tiga bank ini dipilih kerana ketiga-tiganya pernah memberi pinjaman kewangan kepada syarikat-syarikat teknologi pada ketika itu termasuk yang mempunyai kontrak dengan pihak tentera.

Operasi rahsia itu dilancarkan dengan mengupah seorang ahli perniagaan Singapura bernama Amos Dawe yang akan bertindak sebagai proksi KGB dengan membeli ketiga-tiga bank tersebut menggunakan dana yang disediakan pihak Soviet untuk mengelak operasi tersebut diketahui pihak Amerika Syarikat.

Namun, operasi tersebut gagal berikutan kejayaan pihak CIA menghidu plot tersebut.

Antara perkara yang menimbulkan tanda amaran di Langley ialah asal-usul duit yang digunakan untuk membiayai pembelian tersebut.

Berdasarkan laporan, Amos Dawe mendapat kredit sebanyak 50 juta dolar dari Bank Norodny, sebuah bank Soviet yang mempunyai cawangan di Singapura.

7. PANDORA

Pihak Soviet sememangnya mengetahui situasi perkauman yang semakin panas di Amerika Syarikat pada tahun 60-an terutama Pergerakan Hak Sivil yang mencetuskan situasi tegang di seluruh negara.

Berikutan itu, mereka melancarkan Operasi Pandora dengan tujuan melaga-lagakan komuniti-komuniti Amerika Syarikat untuk saling bergaduh antara satu sama lain sehingga mencetuskan situasi huru-hara dalam negara.

KGB mula menulis beberapa lembaran iklan yang dikatakan berasal dari Liga Pertahanan Yahudi (Jewish Defense League/JDL), sebuah pertubuhan yang diklasifikasikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Lembaran tersebut menyatakan orang kulit hitam memusuhi Yahudi dan akan merompak serta merosakkan premis-premis perniagaan yang dimiliki orang Yahudi di New York.

Dalam lembaran sama, pihak KGB turut mendesak orang ramai untuk bangkit dan memerangi perosak kulit hitam ini.

Lembaran tersebut kemudian dihantar kepada semua kumpulan militan kulit hitam dengan tujuan menimbulkan suasana tegang.

Pada masa sama, KGB turut menghantar surat-surat palsu mendesak kumpulan-kumpulan militan ini menyerang JDL atas alasan organisasi tersebut menyerang dan mensasarkan orang kulit hitam di Amerika.

KGB turut merancang mengebom sebuah kolej kulit hitam di mana KGB akan membuat panggilan tidak bernama pada semua kumpulan militan.

Panggilan yang dibuat ini akan menyatakan bahawa JDL bertanggungjawab atas serangan tersebut.

8. CUBAAN BUNUH JOSIP BROZ TITO

Operasi Rahsia KGB Paling Menggerunkan

Tito sememangnya seorang komunis tetapi Tito juga seorang negarawan bagi Yugoslavia dan berani menuntut hak bagi Yugoslavia walaupun itu bermakna mencetuskan kemarahan Joseph Stalin.

Pada tahun 1948, beliau memutuskan hubungan dengan Stalin dan membebaskan Yugoslavia daripada cengkaman Soviet Union, satu perkara yang menimbulkan kemarahan Stalin.

Sebagai tindak balas, Stalin menghantar sekumpulan ejen sama yang membunuh Leon Trotsky untuk melakukan perkara sama pada Tito.

Tito menjadi sasaran Stalin kerana mahu bebas dari cengkaman Soviet Union dan tidak bergantung kepada sesiapa sama ada dengan Soviet atau blok Barat. Bagaimanapun, cubaan bunuh yang dilakukan gagal dan membuatkan beliau merasa kecewa.

Stalin bertambah berang apabila Tito memberi amaran melalui satu surat kepada beliau, “Berhenti hantar orang untuk membunuh saya. Kami sudah berjaya menangkap lima daripadanya, seorang dengan bom dan seorang lagi dengan selaras raifal. Jika engkau berterusan menghantar pembunuh, saya akan menghantar seseorang ke Moscow dan aku tak perlukan orang kedua untuk melakukannya.”

Berikutan itu, KGB cuba menggunakan taktik lain untuk membunuh Tito seperti mengubahsuai bakteria untuk membunuh semua hadirin kecuali ejen yang dihantar dan serangan gas beracun dari kotak barang kemas.

Bagaimanapun, semua plot tersebut tidak pernah dilaksanakan dan ianya berakhir dengan kematian Stalin pada 1953.

Pemimpin-pemimpin selepas Stalin membatalkan plot tersebut dan memanggil ejen-ejen tersebut kembali ke Moscow.

9. HOTEL VIRU

Operasi Rahsia KGB Paling Menggerunkan

Pada tahun 70-an, situasi ekonomi Soviet Union semakin merudum dan ini memaksa mereka membuka pintu kepada aktiviti pelancongan.

Aktiviti pelancongan dilihat boleh merancakkan semula kegiatan ekonomi negara tersebut namun bagi KGB, ini juga sesuai untuk mereka mengintip rakyat asing.

Pada tahun 1972, KGB mula beroperasi di Hotel Viru, Estonia di mana mereka meletakkan alat pendengar dan perakam pada hampir keseluruhan struktur hotel dari ruang tamu sehinggalah bilik air.

Hotel tersebut dipilih berikutan ia menjadi tumpuan ahli perniagaan asing sebagai tempat penginapan mereka.

Hotel Viru mempunyai 22 tingkat tetapi mempunyai tingkat ke-23 di mana tingkat tersebut meletakkan ejen-ejen bertugas dan peralatan pengawasan yang digunakan.

KGB berterusan mengawasi hotel ini sehinggalah pada tahun 1991, tahun di mana Tirai Besi berakhir.

10. PEMBIAYAAN AKTIVITI KEGANASAN

Pembiayaan aktiviti keganasan dan militan oleh kerajaan asing bukanlah sesuatu yang asing dan boleh dilihat kesannya dalam lipatan sejarah.

Apabila Yasser Arafat menjadi pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), beliau mula menjalin pakatan dengan KGB. Hasil daripada pakatan ini ialah pihak KGB melatih secara rahsia pejuang-pejuang Palestin.

Selain menyediakan latihan, KGB turut menghantar senjata api untuk digunakan pejuang-pejuang PLO walaupun wujud sekatan pembelian senjata di wilayah tersebut.

Pada ketika itulah, PLO mula melakukan aktiviti keganasan dan pada tahun 1969 sahaja, lebih 80 insiden rampasan kapal terbang di seluruh dunia.

Ketua perisikan asing bagi KGB, Alexander Sakharovsky mendakwa insiden-insiden rampasan kapal terbang yang dilakukan organisasi tersebut ialah satu kebanggaan kerana ia muncul daripada ideanya sendiri.

Sakharovsky melihat aktiviti keganasan sebagai satu lagi pilihan senjata dalam gudang Soviet Union dalam menghadapi ancaman blok Barat yang dipimpin Amerika Syarikat.

KGB turut membiayai sebuah lagi kumpulan pejuang Palestin, Barisan Popular Pembebasan Palestin (PFLP).

Kepimpinan organisasi tersebut berpecah kepada dua kumpulan berikutan tindakan pengasasnya, Dr George Habash yang menolak pendekatan keganasan yang dipilih timbalan pengerusi merangkap ketua operasi asing, Dr Wadi Haddad.

Haddad merupakan ejen Soviet yang aktif pada ketika itu di mana beliau mempunyai nama panggilan ‘NATSIONALIST’ dan mempunyai hubungan rapat dengan Ilich Ramirez Sanchez (Carlos the Jackal).

Semasa Haddad memimpin PFLP, beliau melakukan banyak aktiviti rampasan kapal terbang. Salah satu insiden rampasan kapal terbang yang dilakukan PFLP ialah insiden rampasan empat pesawat di Dawson’s Field yang membawa kepada perang saudara di Jordan antara September 1970 hingga Julai 1971.

KGB turut bertanggungjawab memberi 100 mesingan, raifal automatik, pistol dan peluru kepada Tentera Republik Ireland (IRA) pada tahun 1972.

Kumpulan militan ini bertanggungjawab atas beberapa siri keganasan di Ireland Utara di mana era tersebut dikenali sebagai Troubles.

Soviet Union dan KGB mula memberi fokus kepada mereka berikutan pendirian mereka cenderung ke arah fahaman Marxisme dan mahu menjadikan Ireland sebagai sebuah negara komunis.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, December 04, 2018

10 Laman Cari Jodoh Paling Pelik Di Dunia

10 Laman Cari Jodoh Paling Pelik Di Dunia

Ada sesetengah laman web mencari jodoh telah mengkhususkan pencarian ahli mereka mengikut minat dan hobi bagi memudahkan carian jodoh dilakukan.

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Akan tetapi ada di antaranya yang dianggap pelik dan kami ingin kongsikan bersama anda dalam senarai di bawah.

1. Diaper Mates

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Laman web ini adalah laman temu janji untuk mereka yang mempunyai kecenderungan kepada pemakaian lampin dewasa berbanding seluar dalam biasa.

Di dalam laman web ini terdapat pelbagai video, gambar, live chat dan kisah mengenai perkara yang berkaitan dengan lampin dewasa.

Ramai di antara peserta mempunyai kecenderungan fantasi menjadi bayi dewasa. Pelik, tapi benar.

2. Equestrian Cupid

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Bagi mereka yang bujang dan juga pencinta haiwan terutamanya kuda, laman web ini sememangnya untuk anda.

Anda boleh mencari pasangan yang mempunyai hobi sama yang gemar menunggang kuda di kawasan pedalaman yang jauh dari kesibukan kota.

Pada laman web ini, ia menyatakan bahawa tempat mencari jodoh ini adalah untuk mereka yang benar-benar minat penunggangan kuda dan menjalani kehidupan desa.

Sudah pastinya jika anda mempunyai kuda sendiri adalah lebih baik.

3. Sea Captain Date

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Jika anda berminat untuk bertemu janji dengan kapten kapal laut atau meminati pelayaran maka laman web ini adalah tempatnya.

Di sini anda boleh berhubung, berkawan, menjadi sahabat pena mahupun belayar bersama-sama.

Servis yang ditawarkan laman web ini telah banyak membantu kapten kapal yang kesunyian apabila terpaksa berada di lautan selama berbulan-bulan lamanya.

4. Gothic Match

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Adakah anda seorang peminat fesyen ghotic dan sukar mencari pasangan yang mempunyai hobi yang sama?

Jangan risau kerana di laman web ini anda boleh bertemu dengan ramai lagi wanita atau lelaki bujang yang juga mempunyai minat gaya hidup gothic.

GothicMarch ini merupakan laman web mencari jodoh seumpamanya yang pertama dan terbesar di internet.

Laman web ini telah banyak membantu gadis dan lelaki gothic dan emo untuk bertemu jodoh atau pasangan mereka.

Sama seperti laman web lain, ia mengandungi forum untuk perbincangan, idea fesyen gothic, berbual dengan ahli yang lain dan banyak lagi.

5. Farmers Only

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Temu janji atas talian biasanya popular di kalangan penduduk bandar sahaja kerana mempunyai potensi tinggi bagi mereka yang sibuk dengan kerja untuk menggunakan perkhidmatan seumpamanya.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang memilih untuk tidak bekerja dari 9 pagi - 5 petang dan tidak gemar tinggal di hutan batu, ini adalah laman web mencari jodoh yang sesuai.

Ini kerana di zaman moden ini para petani juga telah menggunakan internet tetapi tidak berminat untuk tinggal di bandar.

Slogan yang digunakan di laman web ini ialah "Orang bandar tidak akan memahaminya."

6. Gluten Free Singles

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Terdapat sesetengah orang yang mengamalkan diet bebas gluten, samada mempunyai alahan terhadap gluten atau mereka berhenti memakannya untuk sebab lain.

Sememangnya sedikit sukar untuk mempunyai pasangan yang berlainan diet dengan mereka.

Jadi, laman web Gluten Free Singles ini memberikan kemudahan untuk mereka yang mempunyai diet yang sama untuk mencari pasangan.

Bukan sahaja bertemu janji, malah anda boleh menyertai komuniti bebas gluten ini untuk berkongsi resepi, berbincang dan juga mendapat sokongan mereka.

Jadi, tiada masalah lagi untuk memilih makanan jika keluar makan bersama.

7. Meet an Inmate

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Apabila seseorang penjenayah itu disabitkan dengan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara, maka hampir semua harapannya akan hancur.

Namun, terdapat laman web yang boleh membantu banduan di dalam penjara untuk mencari pasangan hidup.

Meet an Inmate menawarkan perkhidmatan khusus kepada mereka yang menjalani hukuman penjara untuk bercinta dan dicintai.

Bukan itu sahaja malah anda di luar juga boleh menjadi sahabat pena mereka bagi membantu para banduan menghilangkan bosan, tambahan pula jika dijatuhkan hukuman penjara buat jangka waktu yang lama.

8. Positive Singles

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Walaupun laman web ini kedengaran seperti tempat mencari jodoh bagi orang yang mempunyai sikap positif, namun bukan itu kisahnya.

Positive Singles sebenarnya laman web mencari jodoh bagi mereka yang telah disahkan positif menghidap penyakit berbahaya atau berjangkit seperti HIV, Herpes dan sebagainya.

Kebiasannya, bagi mereka yang disahkan positif bagi penyakit seperti ini, mereka selalunya akan berasa terasing.

Jadi, tujuan utama laman web ini adalah untuk menemukan mereka dengan orang lain yang senasib dengan mereka.

Di laman ini mereka tidak akan merasa ditolak seperti mana dunia memulaukan mereka.

9. Vampire Passions

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Laman web mencari jodoh ini mungkin kurang sesuai untuk manusia biasa seperti kita. Ini kerana laman web ini dikhususkan bagi mereka yang merasakan diri mereka pontianak atau vampire.

Mereka boleh mencari pasangan melalui jenis vampire atau jenis golongan darah yang mereka minat.

Laman web ini bukan sahaja menarik minat vampire sahaja untuk menyertainya, malah kepada mereka yang meminati vampire ataupun pemburu pontianak juga mendaftar mencari pasangan di sini.

10. Clown Dating

Laman Cari Jodoh Paling Pelik

Bagi anda yang takutkan badut, laman web mencari jodoh ini mungkin tidak sesuai dengan anda. Akan tetapi bagi mereka yang minat atau bekerja sebagai badut, maka inilah tempatnya.

Sejak kebelakangan ini, badut dilihat sebagai sesuatu yang agak menakutkan berbanding kelakar.

Di sebalik mekap yang tebal dan hidung berwarna merah badut, mereka sebenarnya hanyalah manusia biasa yang memerlukan kasih sayang.

Di dalam laman web ini mereka boleh mencari jodoh dengan pasangan yang mempunyai minat yang sama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, November 02, 2018

10 Kemalangan Pesawat Di Indonesia

10 Kemalangan Pesawat Di Indonesia

Nahas pesawat Boeing 737 Lion Air, JT610, mengingatkan kembali beberapa kecelakaan udara yang terjadi di Indonesia sejak beberapa tahun lalu.

Lion Air JT-601
Gambar hiasan.

Sistem penerbangan Indonesia menerima banyak kritikan dan dakwaan bahawa sistem penerbangannya tidak mengikut standard antarabangsa.

Berikut ialah insiden pesawat yang terjadi sejak tahun 2013 di beberapa lokasi di Indonesia.

1. April 2013

Boeing 737-800 Lion Air terbelah dua selepas terbabas dari landasan kapal terbang dan terhempas di perairan di Bali. Kesemua 108 orang yang berada dalam pesawat tersebut selamat selepas mereka berenang ke tepi pantai.

Dilaporkan juruterbang pesawat terbabit kurang berpengalaman.

2. Disember 2014

Pesawat AirAsia QZ8501 hilang kawalan sebelum terhempas di Laut Jawa sehingga mengorbankan 162 nyawa. Pesawat berkenaan dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) Indonesia, komputer kawalan penerbangan pesawat Airbus A300-200 itu rosak berulang kali termasuk empat kali semasa penerbangan dan 23 kali dilaporkan berlaku pada tahun sebelumnya.

3. Ogos 2015

Pesawat Trigana Air terhempas di Papua New Guinea disebabkan cuaca buruk yang menyebabkan semua 54 orang di dalam jet itu maut.

Pesawat itu membawa 44 penumpang dewasa, lima kanak-kanak dan lima anak pesawat, semuanya warga Indonesia.

4. Mei 2016

Dua pesawat Lion Air bertembung di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia manakala sebulan sebelum itu, pesawat Batik Air tersangkut dengan sebuah pesawat TransNusa. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

5. 4 Jun 2016

Helikopter jenis Bell 206 milik syarikat PT Amur terhempas di daerah Nabire, wilayah Papua di timur Indonesia menyebabkan empat orang maut.

6. 20 Mac 2016

Helikopter jenis 412 EP milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat membawa 13 anggota tentera terhempas dipercayai akibat disambar petir di Poso, Sulawesi Tengah. Kesemua penumpang dan juruterbang terkorban.

7. 10 Feb 2016

Pesawat EMB-314 Super Tucano milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) terhempas di kawasan perkampingan Blimbing, Kota Malang, Jawa Timur menyebabkan tiga maut termasuk dua orang awam.

8. 1 Julai 2015

Pesawat Hercules C-130 milik Angkatan Tentera Udara Indonesia terhempas di kawasan perumahan awam di Medan, utara Sumatera mengorbankan lebih 140 nyawa.

9. 28 Dis 2014

Pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang membawa 155 penumpang terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah selepas hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

Pesawat Airbus A320-200 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda pada 5.30 pagi (waktu Surabaya) sebelum terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada 7.24 pagi (waktu Surabaya).

Pesawat yang membawa 155 warga Indonesia, tiga warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga Singapura, Malaysia, United Kingdom dan Perancis itu dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas pesawat itu mengambil masa hampir dua bulan.

10. 29 Oktober 2018

Pesawat Lion Air JT-601 terhempas di Perairan Karawangan Laut Jawa, Indonesia, beberapa minit selepas pesawat Boeing 737 berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Sunday, October 07, 2018

10 Negara Yang Tidak Pernah Dijajah Kuasa Asing

10 Negara Yang Tidak Pernah Dijajah Kuasa Asing

Majoriti daripada negara yang pernah dijajah terpaksa berurusan dengan sisa masalah kolonial namun, bagaimana pula dengan keadaan negara-negara yang tidak pernah dijajah? Adakah mereka bebas daripada penindasan bangsa lain atau tidak?

10 Negara Yang Tidak Pernah Dijajah Kuasa Asing

Oleh itu, berikut merupakan senarai 10 negara yang tidak pernah dijajah dan untuk persoalan di atas, keadaan negara mereka yang anda lihat sekarang ini adalah jawapannya.

1. Ethiopia

Negara yang terletak di kawasan Benua Afrika ini merupakan negara dengan populasi ke-2 terbesar di Afrika.

Ethiopia merupakan salah satu negara yang tidak pernah merasa kejamnya pejajahan oleh bangsa lain di dunia.

Ketika orang Eropah menjajah benua Afrika pada tahu 1880 hingga 1914, kira-kira 90% daripada benua Afrika berjaya dijajah Eropah namun, Ethiopia masih mampu mempertahankan kedaulatannya secara penuh.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Ethiopia sebenarnya pernah dijajah oleh orang Itali pada tahun 1936 hingga 1941, tetapi perkara itu masih lagi dipersoalkan kerana sampai sekarang belum ada lagi bukti kukuh yang mampu menyangkal sangkaan tersebut.

2. Bhutan

Seperti Nepal, negara yang terletak berhampiran Pergunungan Himalaya ini menyebabkan ianya menjadi kawasan yang sukar diserang.

Sepanjang tahun 1772 hingga 1774, tentera British cuba untuk menyerang dan menguasai beberapa kawasan di Bhutan.

Sebagai rundingan untuk menyingkirkan tentera British ketika itu, Kerajaan Bhutan telah membuat satu rundingan dengan membayar 5 kuda untuk tujuan kawalan ke atas industri pembalakan ketika itu.

3. Nepal

Nepal termasuk dari salah satu negara Asia yang tidak pernah dijajah. Negara yang wujud pada tanggal 21 Disember 1768, bersempadan dengan China di bahagian utara dan India di bahagian timur.

Nepal merupakan negara yang menerapkan sistem kerajaan di dalam pemerintahannya.

Pada abad ke-19, British berjaya menawan hampir sebahagian besar India dan usaha British untuk menawan wiliyah baru di bahagian utara ketika itu terbantut dengan adanya kerjaan Nepal.

Akhirnya, peperangan di antara dua negara itu berakhir dengan menyerakan Nepal sebagai sebuah wilayah menjadikan Nepal terselamat dari berada di dalam senarai jajahan British.

4. Afghanistan

Afghanistan sehingga sekarang dikenali sebagai negara yang tidak pernah ditakluk oleh kuasa Asing, termasuk Amerika Syarikat.

Walaupun Afghanistan baru wujud pada tahun 1919, namun jantung Asia ini tidak pernah dikuasai oleh negara asing.

British pernah cuba untuk menguasai Afghanistan melalui Perang Anglo – Afghan pertama (1838-1842), Perang Anglo- Afghan yang kedua (1878-1880) dan Perang Anglo-Afghan yang ke-3 pada tahun 1919 tetapi gagal.

5. China

Semasa percubaan Eropah menguasai dunia, China ketika itu adalah satu pasukan yang sangat besar sehingga sering dibandingkan dengan kekuatan empayar Uthmaniyyah.

Pada abad ke-19, China menjadi antara negara yang menandatangani perjanjian perdagangan dengan negara barat seperti British, Perancis, Jerman, Rusia bahkan Amerika.

Mungkin disebabkan terdapatnya beberapa perjanjian tertentu, China menjadi negara yang tidak pernah dijajah kecuali Hong Kong dan Macau.

6. Thailand

Thailand merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah.

Walau bagaimanapun, negara yang dulu dikenali sebagai Kerajaan Siam ini tetap pernah mendapat tekanan dari negara Eropah seperti British dan Perancis yang mana ketika itu menguasi Indochina (Vietnam, Laos, Myanmar, Kemboja).

7. Iran

Terkenal sebagai Kerajaan Parsi, Iran termasuk antara negara yang tidak pernah dijajah.

Meskipun begitu, negara ini pernah menderita pada tahun 1800an akibat perang British dan Rusia.

Selepas itu, negara yang berkongsi teluk Parsi bersama Kuwait, Oman, Iraq, Arab, Qatar dan Bahrin ini akhirnya nekad untuk membangunkan negara mereka sendiri.

8. Jepun

Negara penjajah yang tidak pernah dijajah, Jepun terkenal sebagai negara di Asia yang berpengaruh besar serta memiliki banyak negara jajahan.

Keberanian negara ini menyerang kekuatan barat semasa era peperangan dunia ke-2 menjadi penyebab Jepun tidak pernah dijajah oleh Barat.

9. Turki

Semasa kegemilangan Empayar Uthmaniyyah, Turki menjadi negara terkuat dan digeruni di dunia.

Banyak wilayah yang ditakluk oleh Turki, bermula dari bahagian Barat Maghribi hinggalah bahagian Timur Iraq, dari semenanjung Balkan di sebelah utara hingga di sebelah selatan Somalia.

Negara-negara Eropah ketika itu sangat takut dengan kerajaan Turki.

10. Arab Saudi

Memiliki sejarah purba yang sangat terkenal serta kaya dengan minyak, Arab Saudi tidak pernah ada pengaruh kolonial dari barat. Secara rasminya, Kerajaan Arab Saudi diasaskan pada tahun 1744.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Tuesday, October 02, 2018

10 Lokasi Fantasi Yang Anda Wajib Kunjungi Di Seluruh Dunia

10 Lokasi Fantasi Yang Anda Wajib Kunjungi Di Seluruh Dunia

Lupakan London, lupakan Paris dan juga Amsterdam. Terlalu banyak gambar-gambar travel dari destinasi popular ini sampai susah nak cari gambar yang betul-betul unik.

Apa kata, kita ubah angin dan travel ke tempat-tempat yang nampak seperti dunia dari cerita fantasi?

1. Antelope Canyon, Arizona (USA)

Antelope Canyon, Arizona

Terletak di Arizona, USA, Antelope Canyon ni terbahagi kepada dua, “The Crack” dan “The Corkscrew”. Kedua-dua bahagian ni mempunyai kecantikannya yang tersendiri.

2. Lake Retba, Senegal

Lake Retba, Senegal

Fenomena air tasik yang nampak seakan strawberry milkshake, disebabkan oleh alga Dunaliella salina dan alga ini mempunyai kepekatan garam 1.5 kali lebih tinggi dari kepekatan garam di Laut Mati.

3. Terowong Bunga Wisteria, Jepun

Terowong Bunga Wisteria, Jepun

Bagi peminat gambar pemandangan bunga, Terowong Bunga Wisteria ni adalah tempat yang wajib dilawati.

Terletak di Fukuoka Prefecture, terowong bunga ini hanya dibuka pada musim bunga saja. Waktu terbaik untuk pergi ke sini adalah pada bulan April dan awal Mei.

4. Gunung Tianzi, China

Gunung Tianzi, China

Tahukah korang yang pemandangan Gunung Tianzi ini menjadi sumber inspirasi untuk set penggambaran movie ‘Avatar’?

Terletak di Hunan Province, ketinggian gunung Tianzi ini adalah 1262 meters dari paras laut, lebih tinggi dari ketinggian Empire State Building di New York (442 meter).

5. Sungai Cano Cristales, Colombia

Sungai Cano Cristales, Colombia

Sungai yang terletak di daerah Meta, Colombia, diberi gelaran “Liquid Rainbow” dek sungainya yang berwarna-warni.

Seperti Lake Retba, alga Podostemaceae yang menyebabkan air sungai ini berwarna merah.

Selain dari warna merah, air sungai ini mempunyai kombinasi warna biru, hijau, kuning dan juga hitam.

6. Waitomo Caves, New Zealand

Waitomo Caves, New Zealand

Selain dari pemandangan ala-ala Lord of the Rings, New Zealand juga mempunyai tarikan Glow Worm yang amat memukau.

Kita boleh melihat Glow Work ini dengan jarak dekat di gua-gua yang terdapat di utara New Zealand.

7. Fingal’s Cave, Scotland

Fingal’s Cave, Scotland

Fingal’s Cave terletak di kepulauan Staffa, Scotland. Apa yang unik tentang Fingal’s Cave ini ialah ia adalah satu-satunya gua yang mempunya bentuk heksagon.

Untuk ke sini, kita boleh ambil boat tour atau kita travel ke kepulauan Staffa dan hike untuk masuk ke dalam gua.

8. Georgian Bay Grotto, Canada

Georgian Bay Grotto, Canada

Georgian Bay Grotto terletak di Bruce Peninsula National Park yang disebabkan kecantikan warna airnya dan juga struktur gua yang unik, ia menjadi sebagai tarikan utama pelancong pada musim panas.

Jadi jika korang nak elak musim kesibukan pelancong, boleh travel ke sini pada musim luruh atau musim bunga.

9. Whitehaven Beach, Australia

Whitehaven Beach, Australia

Selain dari Great Barrier Reef, ada satu lagi tarikan yang tersembunyi di sebalik populariti Great Barrief Reef, iaitu Whitehaven Beach di Whitsundays.

Pasirnya yang putih gebu beserta air laut yang berwarna turqouise, Whitehaven Beach adalah antara pantai di dunia yang masih belum tercemar.

10. Lake Natron, Tanzania

Lake Natron, Tanzania

Lake Natron adalah tasik yang mempunyai kuantiti alkali yang tinggi. Warna tasik ini terjadi dek proses fotosintesis oleh organisma cyanobacteria yang mengeluarkan pigmen berwarna merah sebagai hasil. Anda juga boleh berkhemah di area berdekatan dengan Lake Natron.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: alisaomar