Thursday, June 14, 2018

Virginia Hall, Perisik Paling Licik Dan Berbahaya Sewaktu Perang Dunia Kedua


Kegiatan perisikan semasa Perang Dunia Kedua (WWII) merupakan sesuatu yang cukup merbahaya bagi mana-mana perisik, kerana pergerakan mereka sentiasa diperhatikan oleh pihak musuh sama ada Kempeitai (Jepun) atau Gestapo (Nazi Jerman).

Virginia Hall, Perisik Paling Licik Dan Berbahaya Sewaktu Perang Dunia 2

Jika tersalah langkah, bukan saja operasi mereka terjejas tetapi kematian menanti di ruang seksaan atau pada muncung senapang.

Bagi perisik wanita Bersekutu, Virginia Hall, kegiatan perisikannya bukan saja gagal dikesan Gestapo tetapi menjadikannya wira yang tak didendang semasa perang.

Anak kelahiran Baltimore, Maryland ini dilahirkan pada 6 April 1906 dalam sebuah keluarga berada.

Beliau memulakan pembelajaran di Roland Park Country School sebelum menyambung pendidikan di Radcliffe College dan Barnard College (kini Universiti Columbia).

Semasa di dua institusi berkenaan, Hall mempelajari Bahasa Jerman, Itali dan Perancis.

Selepas mendapat restu kedua-dua ibu bapanya untuk menamatkan pelajaran di benua Eropah, beliau mengembara ke sana dan belajar di Jerman, Perancis dan Austria sebelum diambil sebagai kerani di Kedutaan Amerika di Warsaw, Poland pada tahun 1931 sebelum bekerja di Konsulat Amerika di Smyrna, Turki.

Bagaimanapun, pada tahun 1932, hasratnya untuk menyertai Perkhidmatan Luar (Foreign Service) tidak kesampaian selepas tertembak kaki kirinya semasa ekspedisi memburu di Turki.

Ini menyebabkan kaki kirinya dipotong dan Hall terpaksa menggunakan kaki palsu yang diperbuat daripada kayu.

Jadi, bagaimana wanita secekal Hall ini boleh terjerumus dalam dunia perisikan?

Ia berbalik semula kepada cubaannya menyertai Perkhidmatan Luar.

Penyertaannya pada kali pertama ditolak atas alasan Hall seorang wanita, satu komen yang dianggap mengejutkan menurut Judith Pearson, penulis buku biografinya yang bertajuk The Wolves at the Door: The True Story of America’s Greatest Female Spy.

Permohonan Hall buat kali kedua turut ditolak kali ini bukan atas sebab gender tetapi atas faktor kecacatan kaki yang dialaminya.

Kecewa dengan kerenah Perkhidmatan Luar, beliau meletak jawatan dari Jabatan Negara Amerika Syarikat dan mengembara ke Paris sebagai orang awam semasa negara itu diancam serangan tentera Nazi Jerman.

Di sini, Hall menjadi pemandu ambulans untuk tentera Perancis tetapi terpaksa melarikan diri ke Britain selepas Perancis jatuh ke tangan rejim pimpinan Adolf Hitler.

Dalam sebuah parti koktel, beliau meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap Hitler dengan para tetamu lain.

Ketika inilah menurut Pearson, seorang wanita tidak dikenali menyerahkan kad bisnesnya kepada Hall dan memberitahu, “Jika anda berminat untuk menghalang Hitler, datang dan jumpa saya.”

Wanita tersebut merupakan inspirasi kepada salah seorang watak pembantu siri James Bond, Miss Moneypenny yang bernama Vera Atkins.

Vera Atkins diberi amanah oleh Perdana Menteri Winston Churchill untuk merekrut individu yang berkelayakan sebagai ejen untuk Operasi Khas Eksekutif (Special Operations Executive (SOE)).

Vera Atkins tertarik dengan keupayaan Hall bertutur dalam pelbagai bahasa, mempunyai pengetahuan berkenaan lokasi-lokasi perkampungan Perancis dan kemampuannya untuk berfikir pantas.

Selepas mendapat latihan sebagai operator radio, Hall merupakan ejen wanita pertama SOE di Perancis.

Untuk mengelakkan kehadirannya dihidu Gestapo atau ejen yang berkhidmat dengan rejim Vichy Perancis, beliau diberi pengenalan dan dokumen palsu sebagai seorang wartawan Amerika untuk akhbar New York Post.

Dalam masa singkat, Hall menunjukkan kebijaksanaannya bukan saja dalam mengesan pergerakan tentera dan pos kawalan tentera Nazi malah membentuk rangkaian perisik anti-Nazi di Perancis.

Ini berdasarkan objektif SOE yang mahu menjejaskan keupayaan rejim Nazi Jerman dengan taktik ‘Eropah terbakar’.

SOE mungkin tiada peralatan perisikan canggih tetapi itu tidak menghalang mereka menjadi kreatif dalam menyampaikan pesanan.

Hall akan menghantar berita mengandungi mesej rahsia kepada editor di New York untuk pengetahuan penyelia-penyelianya di London.

Dan sekiranya ada penghantaran maklumat, beliau meletakkan pasu bunga geranium pada tingkap semasa menetap di Lyon.

Maklumat tersebut tersembunyi di sebalik bata atau arahan pergi ke sebuah kafe di mana pelayan akan menghantar gelas dengan ada sesuatu melekat di bawahnya.

Kerana kecerdikannya itu juga meletakkan Hall dalam radar pihak Nazi Jerman.

Ketua Gestapo, Klaus Barbie yang turut dikenali sebagai Penyembelih Lyon menggelarnya perisik pihak Bersekutu paling berbahaya.

Selepas Gestapo mengedarkan poster gambaran dirinya kepada orang ramai, Hall terpaksa melarikan diri dengan berjalan sejauh 50 batu merentasi Pergunungan Pyrennes untuk sampai ke Sepanyol.

Perjalanan tersebut dianggap mencabar kerana berlaku pada musim sejuk, kesulitan menggunakan kaki palsu dan keengganan pemandunya dari Sepanyol untuk memandunya keluar atas alasan beliau seorang wanita dan menggunakan kaki palsu.

Selepas tiba di rumah selamat SOE, Hall berhubung dengan penyelianya di London bahawa beliau selamat tetapi memberitahu kaki palsunya yang diberi nama Cuthbert menyusahkannya.

SOE yang menyangka Cuthbert seorang pemberi maklumat membalas, “Sekiranya Cuthbert menyusahkan anda, hapuskan dia.”

Memandangkan situasi merbahaya yang dihadapi Hall sebelum itu, tidaklah mengejutkan mengapa SOE enggan menghantar beliau kembali ke England.

Ini memaksa beliau menyertai agensi yang merintis kepada penubuhan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Pejabat Perkhidmatan Strategik (OSS).

Pada tahun 1944, Hall dihantar kembali ke Perancis bukan menggunakan kaedah payung terjun tetapi menggunakan kapal torpedo British.

Untuk mengelak dikesan anak buah Barbie, beliau menyamar sebagai seorang penjual susu wanita berumur 60 tahun.

Kakinya sengaja dialihkan untuk menyembunyikan ketempangannya itu dan beliau turut memakai skirt panjang untuk menambah berat.

Dan untuk mengelak isyarat radio dikesan pihak Gestapo, Hall bersembunyi di ruang loteng dan bangsal.

Antara tugasnya beberapa bulan sebelum kempen D-Day ialah mengatur kedudukan senjata api dan bekalan dijatuhkan untuk kumpulan penentang dan melaporkan pergerakan tentera Nazi ke London.

Semasa D-Day, Hall bersedia menggerakkan tiga batalion pejuang anti-Nazi Perancis untuk melancarkan misi sabotaj ke atas tentera Jerman yang berundur.

Menerusi laporan terakhirnya kepada markas operasi di London, pasukan beliau berjaya memusnahkan empat jambatan, mengganggu pergerakan keretapi barang, memotong talian telefon dan memusnahkan landasan-landasan keretapi utama.

Mereka juga bertanggungjawab membunuh 150 tentera Nazi dan menawan 500 lagi tentera.

Selepas tamat perang, Hall dianugerahkan pingat Distinguished Service Cross, anugerah kedua tertinggi tentera Amerika Syarikat untuk keberanian.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai satu-satunya wanita yang mendapat pingat berkenaan semasa WWII.

Hall bagaimanapun mahu menerimanya dalam satu upacara kecil di pejabatnya yang disaksikan oleh ibunya dan pengasas OSS, Mejar Jeneral William J. Donovan.

Sepupu Hall bernama Lorna Catling berkata, “Beliau sentiasa mengelak publisiti.

Beliau sentiasa berkata, ‘Itu cuma enam tahun daripada kehidupan saya.’

Hall juga jarang berbicara berkenaan kerjanya sebagai perisik termasuk dengan keluarganya sendiri.

Catling menceritakan dia ada menerima surat Hall yang dihantar semasa perang.

Dalam surat itu, beliau menulis, “Orang Jerman sudah menangkap beberapa orang dan menggantung mereka dengan cangkuk pemotong daging.”

Surat tersebut dianggap mengerikan bagi Catling.

Malah, Pearson menceritakan pada tahun 1950-an, OSS mengeluarkan satu memo yang membenarkan Hall bercerita pengalamannya sebagai perisik semasa WWII.

Tetapi beliau tetap tidak menceritakan pengalaman tersebut kepada sesiapa kerana itulah cara hidupnya sebagai perisik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon