Friday, July 12, 2019

12 Ramalan Warren Buffett Termasuk Kematiannya Sendiri

12 Ramalan Warren Buffett Termasuk Kematiannya Sendiri

Warren Buffett merupakan seorang billionaire yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau merupakan usahawan paling berjaya di dalam sejarah zaman moden ini dengan teknik pelaburan value investing yang dipopularkan oleh Benjamin Graham.

Ramalan Warren Buffett

Warren Buffett juga terkenal dengan ramalan yang dibuat terhadap bidang ekonomi termasuk pasaran saham dan yang paling menonjol adalah tentang kematian dirinya sendiri.

Ada ramalan yang dibuat oleh Warren Buffett menjadi kenyataan dan ada pula yang tersasar, perkara normal bagi setiap manusia, kerana kita tidak mampu meramal masa depan dengan tepat.

Nak tahu apa ramalan popular yang dibuat Warren Buffett? Jom kita layan 12 ramalan berikut.

1. Mata Wang Digital/Cryptocurrency

Ramalan:

Cryptocurrencies merujuk kepada Bitcoin, yang terkenal kepada pelabur generasi baru sejak sedekad yang lalu, merupakan mata wang digital paling popular dan mempunyai harga yang tinggi dalam pasaran saham.

Warren Buffet meramalkan mata wang ini akan berakhir dengan tragedi seperti krisis bubble dot com yang berlaku pada awal tahun 2000.

Yang berlaku:

Ramalan itu hampir menjadi kenyataan kerana pada tahun 2017, Bitcoin telah melonjak ke paras $14,000 USD tetapi jatuh ke paras $3,400 USD pada awal tahun 2019.

Terkini, ianya telah naik semula ke paras $8,700 USD.

2. Golongan Yang Mempercayai Bumi Ini Adalah Rata

Ramalan:

Pada tahun 1984, Warren telah memberi ucapan mengenai golongan ini. Beliau tidak percaya bumi ini adalah rata dan telah memberitahu bahawa golongan ini akan berkembang pada masa akan datang. Ia memberi perumpamaan seolah-oleh mereka ini adalah golongan yang keras kepala.

Yang berlaku:

Ramalan itu menjadi kenyataan kerana golongan yang mempercayai bumi ini rata semakin bertambah dari sehari ke sehari.

3. Berkshire Hathaway

Ramalan:

Beliau memberitahu pertumbuhan Bekrshire Hathaway sebanyak 48.2% pada tahun 1985 tidak akan berulang lagi sepanjang tempoh kehidupanya.

Ianya sama seperti melihat Komet Harley yang mengorbit bumi setiap 76 tahun sekali.

Yang berlaku:

Ramalan itu salah dan hanya benar untuk seketika, kerana pada tahun 1998, Berkshire Heathaway telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 48.3%

4. Pasaraya Sears

Ramalan:

Warren yang membuat ramalan bahawa penggabungan dua syarikat makanan dan pasaraya Sears akan berakhir dengan kegagalan.

Walaupun mempunyai pengurus yang berpengalaman seperti Eddie Lampert, penggabungan kedua syarikat itu dilihat sukar untuk bersaing dengan Walmart dan Costo.

Yang berlaku:

Ramalan menjadi kenyataan. Sears telah diisytiharkan bankrap pada tahun 2018 dengan menutup kesemua rangkaian pasarayanya.

5. ABC, Geico dan The Washington Post

Ramalan:

Warren yang mengeluarkan kenyataan tidak akan menjual ketiga-tiga saham syarikat ini kerana mempunyai nilai pelaburan yang akan menguntungkan pada masa hadapan.

Beliau telah memberi ucapan ketika perjumpaan tahunan Berkshire Heathway pada tahun 1986.

Yang berlaku:

Ramalan ini tidak benar. Berkshire tidak dapat menolak tawaran yang lumayan daripada Disney untuk membeli syarikat ABC pada tahun 1996 dengan nilai $2.5 bilion.

Begitu juga dengan syarikat Washington Post yang menjual keseluruhan saham yang dimiliki kepada Jeff Bezof dengan nilai sebanyak $1.1 bilion.

Hanya saham Syarikat Geico sahaja yang dimiliki oleh Berkshire Hathaway buat masa ini.

6. Freddie Mac

Ramalan:

Pada tahun 1988, Berkshire Hathaway telah membeli syarikat lelongan rumah Freddie Mac. Beliau memberitahu bahawa jika sesebuah syarikat itu mempunyai pengurus yang baik dan perniagaan yang baik, beliau pasti akan memiliki syarikat tersebut untuk selama-lamanya.

Yang berlaku:

Warren telah menjual keseluruhan saham syarikat Freddie Mac kerana percaya pihak pengurusan baru ini tidak cekap.

Tindakan ini dapat menyelamatkan saham syarikatnya kerana krisis ekonomi yang melanda pada tahun 2008 benar-benar melibatkan urusan jual beli rumah.

7. Coca-Cola dan Gillette

Ramalan:

Kedua-dua syarikat ini dikatakan akan menjadi juara dalam bidang masing-masing dan Warren telah menulis mengenai kedua-dua syarikat ini di dalam perjumpaan tahunan pada tahun 1998.

Yang berlaku:

Kedua-dua syarikat ini memang ternyata menjadi jaguh dalam bidang masing-masing.

Syarikat Coca-Cola mendominasi minuman ringan seluruh dunia dengan 50% pegangan pasaran. Bagi Gillete pula, mereka mengalami persaingan hebat dengan syarikat baru iaitu Shaved Club dan Harris.

Dominasi Gillete pada tahun 2010 sebanyak 70%, telah menurun kepada 50% disebabkan persaingan sengit ini.

8. Sukan Ping Pong

Ramalan:

Warren meramalkan bahawa Ariel Hsing akan menjadi seorang jaguh ping pong yang akan memenangi pingat emas pada kejohanan sukan Olimpik suatu hari nanti.

Ariel Hsing merupakan seorang juara remaja yang berjaya memenangi kejohanan remaja pada usia 12 tahun.

Beliau merupakan tetamu istimewa yang dijemput oleh Warren Buffett pada setiap perjumpaaan tahunan syarikatnya.

Yang Berlaku:

Ramalan ini tidak tepat kerana pada sukan Olimpik di London pada tahun 2012, Ariel hanya berjaya memasuki kelompok 32 sebelum tewas pada pusingan tersebut.

9. Sektor Hartanah

Ramalan:

Beliau telah menjangkakan sektor hartanah akan kembali rancak selepas Amerika Syarikat mengalami krisis ekonomi yang teruk pada tahun 2008.

Warren juga meramalkan bahawa kadar pengangguran akan berkurangan pada masa akan datang.

Beliau telah meramal perkara ini pada perjumpaan tahunan pada tahun 2011.

Yang berlaku:

Ramalan ini sangat tepat. Jumlah rumah yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat sejak tahun itu adalah sebanyak 1.2 juta unit dan kadar pengangguran menurun pada kadar 3.8%, jatuh dari paras 8.9% pada tahun 2011.

10. Dana Indeks/Index Funds

Ramalan:

Warren yang membuat pertaruhan pada tahun 2008 dengan menyatakan bahawa kadar pulangan index funds adalah lebih baik daripada 5 hedge fund yang terbaik di Amerika Syarikat.

Beliau yang membuat pertaruhan selama 10 tahun untuk mengetahui keputusan pertaruhan tersebut.

Yang Berlaku:

Ramalan itu tepat. Pada tahun 2018, Warren telah memenangi pertaruhan tersebut kerana index fund pada masa itu memberi pulangan sebanyak 8.3% manakala purata kadar pulangan 5 hedge fund hanya memberi pulangan sebanyak 3.5 %.

Ted Seides, seorang pelabur tersohor adalah salah seorang yang menyahut cabaran tersebut.

Kesudahannya, Warren telah menderma wang yang diperolehi sebanyak $2.2 juta kepada badan kebajikan.

11. Indeks S&P

Ramalan:

Beliau yang menjangkakan bahawa pulangan purata untuk pelaburan dalam indeks S&P 500 adalah sukar untuk melebihi 17% yang diperolehi dari tahun 1982 hingga 1999, tetapi perkara itu tidak mustahil akan berlaku pada dekad yang akan datang.

Yang berlaku:

Ramalan ini tepat kerana pada tahun 2010 sehingga 2018, kadar keuntungan daripada indeks ini hanya berjaya naik 12.5% daripada paras 1.2% sejak sedekad sebelum itu.

12. Kematian Dirinya

Ramalan:

Pada tahun 2006, Warren menjangkakan hidupnya akan berakhir pada 12 tahun akan datang. Beliau telah memberitahu pihak media ketika perjumpaan tahunan untuk syarikatnya pada tahun 2006.

Yang berlaku:

Ramalan itu tidak tepat kerana sehingga artikel ini ditulis, beliau masih lagi hidup, malah masih aktif memilih saham yang mampu memberikan pulangan yang baik kepada para pelabur syarikat beliau.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahlabur

Sunday, July 07, 2019

Bagaimana Mustafa Kemal Ataturk Menukar Turki Menjadi Negara Sekular?

Bagaimana Mustafa Kemal Ataturk Menukar Turki Menjadi Negara Sekular?

Turki merupakan sebuah negara yang terletak antara Timur dan Barat yang sebelum ini merupakan sebuah kuasa besar dunia yang lebih dikenali sebagai Empayar Uthmaniyyah, namun sejak kejatuhannya pada tahun 1920-an, wilayah-wilayah Arab di bawah Empayar Uthmaniyyah telah dibahagikan antara pihak Besekutu, sehingga berpecah-belah.

Mustafa Kemal Ataturk menukar turki menjadi sekular

Selepas revolusi Turki yang terjadi pada abad ke-20, kerajaan telah mengharamkan pemakaian tudung di pejabat awam dan juga pusat pengajian tinggi sampailah pada tahun 2013.

Namun, bagaimana negara Turki boleh berubah daripada sebuah negara Islam menjadi negara sekular?

Untuk memahami fenomena ini secara lebih mendalam, kita kenali dulu presiden Turki yang pertama, Mustafa Kemal Ataturk.

Berjaya Menyekat Tentera British Dan Perancis

Pada tahun 1915, reputasi Ataturk melonjak sewaktu kempen Gallipoli, di mana dia telah berjaya menyekat sejumlah besar askar Britain dan Perancis daripada merampas Istanbul dan disebabkan sumbangan itu, Ataturk telah dinaikkan pangkat menjadi Brigadier-Jeneral.

Sewaktu Perang Dunia Pertama (1914-1918), empayar Uthmaniyyah mula menunjukkan unsur-unsur uzur. Banyak infrastruktur musnah dan aktiviti jenayah semakin berleluasa.

Tidak cukup dengan itu, wilayah-wilayah di bawah jajahan empayar Uthmaniyyah mula memberontak dan menuntut kemerdekaan mereka sendiri.

Jadi, apabila Ataturk balik ke Istanbul, dia mendapati bandar tersebut penuh dengan tentera Pihak Bersekutu. Marah dengan tindakan itu, Ataturk telah mengetuai satu pemberontakan dan melawan Pihak Bersekutu.

Ataturk yang mendapat sokongan orang Turki bukan sebab dia hebat berperang, tapi disebabkan kehebatannya menggunakan semangat perkauman.

Berbeza dengan Empayar Uthmaniyyah yang ada rakyat berbilang kaum, Ataturk terang-terangan berkata hanya ingin memperjuangkan nasib bangsa Turki sahaja.

Pada waktu inilah Ataturk menjadi hero bagi bangsa Turki, kerana dengan semangat perkauman yang semakin tegang, baru kalah dalam Perang Dunia Pertama, Sultan hilang entah ke mana, hanya Ataturk yang berani bersuara menentang penjajah.

Selain semangat nasionalisma Turki , Ataturk juga menggunakan agama Islam mengikut pengertiannya sendiri dalam manifesto untuk mendapatkan sokongan daripada orang awam:

“Walaupun sebelum kedatangan agama orang Arab (Islam), Turki merupakan sebuah negara yang hebat. Tapi selepas kedatangan agama orang Arab ini, ia tidakpun menyatukan orang Arab, Parsi, dan Mesir di bawah satu negara sebaliknya, ia melonggarkan semangat kenegaraan Turki.

"Ini hanyalah perkara biasa, sebab tujuan agama yang diasaskan oleh Muhammad, ke atas semua negara, adalah untuk mengheret mereka ke dalam politik Arab.” -Mustafa Kemal Ataturk.

Dari sinilah Mustafa Kemal mendapat nama ‘Ataturk’, yang bererti “Bapa orang Turki”.

Selepas memerintah, Ataturk menghalau sultan dan memansuhkan sistem khalifah.

Waktu mula-mula memerintah, kerajaan Ataturk sama seperti kerajaan Islam. Perlembagaan menyatakan yang Islam adalah negara rasmi dan apa-apa undang-undang baru tidak boleh bercanggah dengan syariah.

Masalahnya, di Turki ada dua kerajaan iaitu Kesultanan Uthmaniyyah dan kerajaan Ataturk. Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini, Ataturk telah menuntut kesahihan kerajaannya dan menghalau sultan.

British dan Perancis yang menawan Turki waktu itu juga tidak menyokong sultan yang baru kalah perang dan askar mereka semua sudah balik, manakala tentera yang setia kepada sultan berada terlalu jauh untuk membantu.

Akhirnya, pada tahun 1922 selepas bergaduh dengan pengikut setia sultan, kerajaan Ataturk berjaya menawan Turki.

Sultan Uthmaniyyah yang terakhir dan keluarganya telah di hantar ke Malta oleh tentera British menggunakan kapal perang HMS Malaya yang dimiliki oleh tentera British yang dibiayai oleh sultan-sultan Tanah Melayu.

Tahun berikutnya, Ataturk telah mengalihkan pusat kerajaan dari Instanbul ke Ankara dan kemudian lahirnya sebuah republik yang baru, iaitu kerajaan Turki dengan Ataturk sebagai Presiden yang pertama.

Ketika inilah secara perlahan-perlahan beliau menunjukkan belang, Ataturk mula mempersoalkan agama dan kaitannya dengan sesebuah kerajaan.

Pada masa yang sama, Ataturk juga telah memperkenalkan Kemalism, sejenis pentadbiran yang diasaskan oleh Ataturk sendiri dimana ia menggabungkan enam prinsip pentadbiran yang lain seperti Populism, Refomisma, Republik, Kenegerian, Nasionalisma dan Laisisma.

Menyerang agama dan budaya atas nama kemajuan

Ataturk telah mula membuat undang-undang baru di mana agama dibuang daripada kehidupan seharian orang Turki, bermula daripada peringkat sekolah, Ataturk telah mengarahkan penutupan madrasah dan universiti agama.

Atatürk berpendapat, agama akan menjauhkan orang Turki daripada dunia luar, kemudiannya telah menentang golongan Sufi di mana semua tempat perjumpaan orang-orang Sufi telah ditukar menjadi muzium dan telah menghukum mati pemimpin Sufi ketika itu.

Bagi rakyat Turki ketika itu, mereka menyangka penentangan terhadap golongan Sufi ini seperti melawan golongan ajaran sesat.

Pada tahun 1926, Ataturk menggantikan undang-undang syariah kepada undang-undang sivil Swiss. Ia kemudiannya diteruskan dengan pengharaman serban dan fez (kopiah merah) dan golongan wanita pula tidak dibenarkan untuk memakai tudung di tempat awam.

Untuk menaikkan lagi semangat nasionalisma, Ataturk menukar azan dari bahasa Arab kepada bahasa Turki dan menukar kalendar Islam kepada Gregorian (kalendar yang kita guna sekarang ini).

Tapi, apa yang benar-benar telah membunuh budaya orang Turki adalah penulisan dalam bahasa Arab bertukar menjadi tulisan rumi (Latin).

Sejak dari itu, Turki telah berubah dari sebuah kerajaan Islam menjadi republik yang memandang ke arah Barat.

Agama telah menjadi suatu kepercayaan individu dan tidak terhad kepada Islam sahaja, malah orang yang beragama Yahudi dan Kristian pun tidak boleh mempraktikkan agama mereka secara terang-terangan.

Maka terlahirlah sebuah negara sekular:

“Ada banyak budaya, tapi hanya satu tamadun sahaja iaitu tamadun Eropah.” – Mustafa Kemal Ataturk

Dan dari situlah bermulanya proses pemodenan Turki sebagai sebuah negara sekular yang meminggirkan Islam.

Ataturk membawa kemajuan dari segi ekonomi dan pembangunan

Untuk mana-mana negara menjadi maju, memerlukan pelan ekonomi yang kukuh dan inilah yang menjadi keutamaan di mana Ataturk telah menubuhkan satu majlis khas untuk memikirkan strategi ekonomi negara.

Majlis ini kemudiannya menjalankan pelan kemajuan industri untuk 5 tahun di mana ia telah mendapat sambutan hangat dan keuntungan yang banyak.

Selain itu, Ataturk telah memberi hak wanita yang lebih meluas. Undang-undang baru yang diambil dari negara Swiss telah membenarkan wanita untuk mengundi dan pada masa yang sama mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang sama seperti kaum lelaki.

Sekolah telah diwajiibkan dan tidak dikenakan yuran hasilnya, kadar celik huruf di Turki telah meningkat dari 9% kepada 33% dalam masa 10 tahun.

Kejayaan Ataturk tidak terhenti dalam negara sahaja, malah Turki telah dijemput untuk menyertai League of Nations (persatuan negara sebelum PBB).

Dalam masa yang sama, Ataturk bersama negara jiran telah mengasaskan Balkan Entente (persatuan Balkan) yang merupakan satu organisasi yang membincangkan tentang kedamaian sekitar kawasan Balkan.

Jadi, dari segi luaran mungkin kita boleh melihat yang Turki sudah maju dan mempunyai masa depan yang cerah, tetapi adakah ia satu pengorbanan yang berbaloi apabila agama dan budaya terpaksa dibuang demi mengejar kemajuan?

Malah, daripada segi ekonomi, tidak semua hidup selesa di Turki kerana golongan minoriti sering ditindas dan dinafikan kerakyatan mereka.

Orang Kurdish ditindas

Walaupun bangsa utama Turki dapat merasai kemajuan yang dibawa oleh Ataturk, golongan Kurdish telah mendapat layanan yang sangat berbeza.

Orang Kurdish yang menetap di Turki sejak Sebelum Masihi lagi adalah antara bangsa asal, tetapi disebabkan mereka tidak ramai, mereka telah dianggap sebagai warga kelas kedua.

Semasa Ataturk berusaha mencapai kemerdekaan untuk negara Turki, orang Kurdish dijanjikan pelbagai kata-kata manis, taktik sama terhadap umat Islam.

Tetapi, Ataturk kemudiannya mengharamkan penggunaan bahasa Kurdish di tempat awam dan langsung tidak dibenarkan untuk diajar disekolah.

Ataturk kemudian telah memaksa semua orang Kurdish berpindah ke Barat negara itu untuk tinggal di kawasan pedalaman.

Malah, disebabkan tidak diiktiraf sebagai warganegarga yang sah, mereka sering dibuli oleh pihak berkuasa dan dipaksa meninggalkan segala ajaran dan budaya nenek moyang mereka untuk mengikut aliran budaya Turki yang baharu.

Bagi yang menentang, mereka akan dibunuh atau diseksa oleh tentera Ataturk.

Malah, sewaktu kemerdekaan Turki, seramai 40,000 hingga 250,000 orang Kurdish telah dibunuh dengan kejam manakala lebih kurang 210 kampung Kurdish telah dibakar, dengan alasan semua orang Kurdish yang mati telah dilabel sebagai “pengganas”.

Sebenarnya, kaum Kurdish bukanlah minoriti kerana merangkumi lebih kurang 25% dari jumlah penduduk besar Turki.

Pada tahun 2011, Presiden Turki sekarang, Erdogan, telah mewakili pihak kerajaan untuk meminta maaf kepada orang Kurdish terhadap pembunuhan yang terjadi pada tahun 1936-1939.

Semangat perkauman dan agama dimanipulasi

Sebelum kejatuhan Empayar Uthmaniyyah lagi, rakyatnya sudah lama bergaduh sesama kaum, lalu semangat perkauman inilah yang Ataturk telah gunakan untuk mendapatkan sokongan bangsa Turki.

Apabila sudah berkuasa, Ataturk menggunakan agama Islam sebagai alasan supaya rakyat tidak memberontak.

Contohnya, apabila kuasa khalifah dijatuhkan, Ataturk berkata dia sebenarnya mencontohi kerajaan Abbasiyah, tetapi sedikit demi sedikit dia menjadikan Turki sebuah negara sekular yang dipimpin oleh satu parti, malah menindas orang Kurdish dan pihak pembangkang.

Tidak dinafikan Ataturk telah banyak membawa kemodenan terhadap negara Turki, malah ramai yang menganggap Ataturk sebagai hero negara.

Malah, walaupun Ataturk sudah meninggal dunia pada tahun 1938, falsafah yang dibawanya masih terngiang-ngiang di kalangan rakyat Turki.

Ironinya, Ataturk telah menggunakan identiti bangsa Turki sebagai alasan untuk menghapuskan budaya dan agama Islam yang telah lama diamalkan rakyat Turki sendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: soscili

Thursday, June 27, 2019

Kesilapan Morsi Dalam Dunia Politik Mesir

Kesilapan Morsi Dalam Dunia Politik Mesir

Mantan presiden Mesir, Mohamed Morsi telah meninggal dunia 17 Jun 2019 semasa prosiding mahkamah (emoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya) dan yang ironiknya, 17 Jun juga merupakan tarikh beliau memenangi pilihanraya presiden Mesir pada tahun 2012.

Kesilapan Morsi dalam politik

Morsi ialah presiden Mesir selama 369 hari dari 30 Jun 2012 hingga 3 Julai 2013, sebelum digulingkan oleh tentera pimpinan Abdul Fatah al-Sisi yang menjadi presiden Mesir sekarang.

Kejatuhan Morsi ialah tragedi yang boleh dielakkan, tokoh mujahid yang baik, tetapi bukan seorang ahli politik yang baik dan tidak sampai hasrat untuk menjadi negarawan yang ulung.

Kesilapan terbesar Morsi ialah beliau melakukan pembaharuan dan rombakan drastik sebaik sahaja memegang kuasa, ketika 'kuasa politik' beliau tidak kuat: hanya menewaskan lawannya Ahmed Shafik dengan undian 51.7%.

Meskipun Ahmed Shafik ialah orang rejim Mubarak yang tidak popular, Morsi juga gagal untuk meraih sokongan majoriti melebihi 60-70 peratus.

Itu menunjukkan Morsi sepatutnya berhati-hati dan wajib bekerjasama dengan segmen lain dalam politik Mesir.

Segmen-segmen utama yang ada ialah tentera, golongan liberal-sekular-nasionalis dan golongan Islamis.

Islamis di sini bermaksud mereka yang pro Ikhwanul Muslimin atau “Muslim Brotherhood” (parti Morsi), kerana bukan semua Muslim konservatif menyokong Ikhwanul Muslimin.

Sejak kudeta tahun 1952, tahun monarki Mesir digulingkan dan republik ditubuhkan, kestabilan sesebuah rejim amat bergantung kepada sokongan tentera dan sekular-nasionalis.

Kesemua presiden dan pemimpin tertinggi Mesir adalah dari tentera: Mohamed Naguib (1952-1954), Gamal Abdel Nasser (1954-1970), Anwar Sadat (1970-1981) dan Hosni Mubarak (1981-2011).

Suka atau tidak, tentera Mesir adalah institusi autonomi (“deep state”) yang memonopoli kekerasan dan mereka mempunyai “code of conduct” tersendiri, bebas daripada kawalan ahli politik seperti Morsi.

Tapi, apa yang Morsi lakukan sebaik sahaja menjadi presiden ialah 'melawan' tentera kerana tidak sampai 2 bulan menjadi presiden, Morsi telah memecat Panglima Hussein Tantawi yang memainkan peranan utama dalam kejatuhan Mubarak, sekali gus dengan timbalannya Sami Anan.

Jika dibandingkan dengan seorang lagi pemimpin demokratik-Islamis yang berdepan dengan ancaman “deep state” tentera iaitu Erdogan, beliau lebih bijak dan penyabar.

Erdogan menunggu selama 5 tahun sebelum mencabar tentera Kemalis dengan kes Ergenekon (2008) dan Sledgehmmer (2010) dan 5 tahun lagi untuk menyingkirkan “parallel state” Gulenis.

Lama, tapi berbaloi, lebih-lebih lagi kalau kita tidak mempunyai sokongan kukuh, kerana dalam politik, patience is a virtue.

Kesilapan kedua Morsi selepas mencabar tentera ialah melantik al-Sisi sebagai pengganti Tantawi, orang dalam faction Tantawi.

Alasan Morsi memilih al-Sisi adalah disebabkan imej warak al-Sisi, isteri dan anak memakai tudung dan hafal al-Quran.

Walaupun al-Sisi sudah banyak kali menunjukkan tanda-tanda akan melakukan rampasan kuasa, Morsi gagal membaca semua petanda itu.

Punca utama rakyat menolak Mubarak ialah masalah ekonomi dan korupsi, tetapi Morsi memilih untuk mengutamakan agenda pembaharuan undang-undang.

Dan itu menyebabkan liberal-sekular-nasionalis dan minoriti kristian (Koptik) yang bimbang dengan pengaruh Islamis lebih nekad untuk menolak Morsi.

Pada pertengahan Jun 2013, apabila Morsi memenuhi 11 daripada 27 jawatan gabenor di Mesir dengan ahli Ikhwan, golongan liberal-sekular-nasionalis ini akhirnya turun ke jalanan, menuntut Morsi meletak jawatan.

Jumlah peunjuk perasaan di Dataran Tahrir tidak kurang berbanding jumlah peunjuk perasaan semasa Januari-Februari 2011 yang menjatuhkan Mubarak.

Dengan itu, al-Sisi telah mengeluarkan ultimatum 48-jam pada 1 Julai dan Morsi ditahan pada 3 Julai. Tidak keterlaluan untuk disebut bahawa, Morsi sendiri menjadi punca kepada kejatuhan beliau.

Kita tidak berminat soal sama ada Morsi adalah salafi, haraki atau tidak, kerana ada pengajaran yang kita boleh belajar daripada kejatuhan Morsi dalam soal politik dan kenegaraan.

Sebagai ketua negara Arab pertama yang dipilih secara demokratik, kejatuhan Morsi ialah satu tragedi yang mensia-siakan potensi untuk beliau mengubah wajah dunia Arab-Islam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, June 18, 2019

Dr Amalina Che Bakri Antara 10 Pakar Pelatih Surgikal Terbaik Di UK

Dr Amalina Che Bakri Antara 10 Pakar Pelatih Surgikal Terbaik Di UK

Kebijaksanaan Dr Amalina Che Bakri bukan sesuatu yang perlu dihebahkan, lebih-lebih lagi setelah kejayaannya mencipta sejarah sebagai pelajar pintar yang mencapai keputusan 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.

Dr Amalina Pakar Surgikal
Dr Amalina.

Bertitik tolak daripada kejayaan itu, namanya tidak pernah lekang daripada bibir rakyat Malaysia yang berbangga dengan kejayaan demi kejayaan yang beliau kecapi.

Dr Amalina sekali lagi menjadi bualan rakyat negara ini selepas memulakan ikhtiar untuk membawa bayi berusia 10 bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidapi ‘Germ Cell Tumour’ untuk dirawat di London, United Kingdom.

Hasil usaha anak Malaysia ini juga dapat mengumpulkan barisan pakar perubatan dari dalam dan luar negara untuk sama-sama terlibat bagi menjayakan misi menyelamatkan Ainul.

Kegigihan ini sekali lagi mendapat pujian masyarakat Malaysia hinggakan ramai yang ingin mengenali figura ini dengan lebih dekat.

Siapa sebenarnya doktor wanita berusia 32 tahun yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia ini?

Mari kita sama-sama teliti profil Dr Amalina.

1. Anak tunggal pasangan pengetua sekolah, Sabariah Hassan dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Che Bakri Che Mod ini dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor.

2. Memperoleh keputusan cemerlang 17A1 dalam SPM pada 2004.

3. Tersenarai antara 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik United Kingdom (UK).

4. Bercita-cita untuk menjadi pakar bedah kanser payudara dan onkoplastik.

5. Pemegang biasiswa Kijang Emas daripada Bank Negara Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di UK.

6. Bergelar doktor setelah menamatkan pengajian di University of Edinburgh pada Julai 2013.

7. Kerap berkongsi dan mendidik masyarakat tentang kesedaran kesihatan menerusi beberapa platform media sosial miliknya.

8. Memiliki 511,000 pengikut di Instagram

@dramalinabakri, 322,000 pengikut di Twitter @dramalinabakri dan 16,000 subscriber pula di saluran YouTube Dr. Amalina.

9. Jangan ada yang patah hati ye! Hati Dr Amalina sendiri sudah dimiliki oleh seorang jejaka Inggeris yang dirahsiakan namanya. Tapi anda boleh mengintai akaun Instagram buah hati doktor tersebut yang menggunakan identiti pengguna @_a__87_ .

10. Boleh bertutur dalam slanga British selepas berhijrah selama 14 tahun ke negara itu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

11. Selain hebat dalam bidang akademik, Dr Amalina merupakan seorang yang pandai berfesyen dan seorang peminat filem adiwira Avengers terbitan Marvel Studios.

12. Gemar mengisi masa lapang dengan melancong ke seluruh pelosok dunia dan sehingga kini telah menggembara ke lebih 60 destinasi.

13. Meminati fesyen terkini dan gemar menggayakan pelbagai busana mengikut citarasa terkini, Dr Amalina pernah diberi jolokan Dr Bling Bling. Jadi tidak hairan jika dia sering meluangkan masa di gim bagi menjaga penampilan dirinya.

Pendidikan

2005 - 2007: A-Level di The Cheitenham Ladies' College, England.

2007 - 2013: Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBChB) di Universiti Edinburgh, Scotland.

2009 - 2010: Ijazah Sarjana Muda (BMedSc) Farmakologi di Universiti Edinburgh, Scotland.

2009 - 2010: Program Amgen European Scholars untuk kajian dalam bidang farmakologi di Institut Karolinska, Sweden.

2012 - 2013: Doktor pelatih bagi program Surgikal Onkologi dan Genekologi di Sekolah Perubatan Harvard, Universiti Harvard di Amerika Syarikat.

2013 - 2015: Ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang penterjemah perubatan dan terapeutik di Universiti Cambridge.

2017 - kini: Dr Amalina sedang mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) dan berkhidmat sebagai seorang pendaftar pembedahan umum di Penjagaan Kesihatan Kolej Imperial, London selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Penterjemah Perubatan dan Terapeutik di Universiti Cambridge.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Wednesday, June 12, 2019

Kata-kata Terakhir Steve Irwin

Kata-kata Terakhir Steve Irwin

"Jangan bimbang, mereka biasanya tidak akan berenang ke arah belakang." Steve Irwin (1962-2006), dikenali ramai kerana dia adalah ikon dari Australia yang juga personaliti televisyen, pakar hidupan liar, selain seorang penyokong kuat pemuliharaan.

Steve Irwin Last Words

Dia telah mencipta rancangan dokumentari bersiri The Crocodile Hunter dan juga pemilik dan pengurus Zoo Australia di Beerwah, Australia.

Pada 4 September 2006, Steve Irwin telah mengalami kemalangan yang tidak disengajakan apabila dadanya tercucuk duri ikan pari semasa melakukan aktiviti snorkerling di Great Barrier Reef di Batt Reef yang terletak di luar pantai Port Douglas, utara Queensland.

Akibat kemalangan itu, Steve Irwin telah mengalami kerosakan dalaman yang teruk dimana arteri jantungnya dan saluran darah utamanya terkoyak.

Kejadian itu berjaya dirakamkan dan salinannya telah diserahkan kepada polis Queensland.

Kata-kata terakhirnya itu sebenarnya merujuk kepada situasi pada masa itu yang menunjukkan ikan pari tidak berkelakuan biasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, May 28, 2019

Mustafa Kemal Ataturk, Yahudi Yang Menumbangkan Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah

Mustafa Kemal Ataturk, Yahudi Yang Menumbangkan Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah

Mustafa Kemal Ataturk, nama yang pernah suatu ketika dahulu menjadi bualan hangat dan berlegar di minda terutamanya umat Islam, merupakan presiden Turki pertama yang dianggap sebagai bapa pemodenan Turki moden.

Mustafa Kemal Ataturk bangsa Yahudi

Namanya sangat dibanggakan dan diberikan gelaran "Ataturk" yang bermaksud bapa orang Turki. Dia merupakan pembawa sekularisma di Turki.

Namun, jika dilihat sejarah dari sudut pandangan lain, Ataturk adalah seorang yahudi yang menyamar menjadi seorang Islam untuk menghancurkan Islam itu sendiri dari dalam.

Dia adalah orang yang bertanggungjawab menghapuskan pemerintahan khalifah Islam yang dibubarkan secara rasmi pada 3 Mac 1924.

Dia sengaja menjauhkan nilai-nilai agama dari kehidupan rakyat Turki yang selama ratusan tahun dinaungi cahaya Islam. Seorang pengkhianat agama yang tidak dapat, oleh sebahagian besar umat Islam, membayangkan kejahatannya.

Latar belakang

Mustafa Kemal Ataturk yang diberi gelaran al-Ghazi yang bermaksud orang yang memerangi ini lahir pada tahun 1881 di Kota Salonika yang ketika itu merupakan taklukan Khalifah Uthmaniyyah.

Ayahnya, Ali Riza, adalah seorang pengawal di jabatan kastam manakala ibunya bernama Zubayde seorang wanita yang amat taat dalam menjalankan agama.

Menurut H.S. Armstrong, salah seorang pembantu Ataturk dalam bukunya yang berjudul "al-Zi'bu al-Aghbar" atau "al-Hayah al- Khasah li taghiyyah" telah menulis:

"Sesungguhnya Ataturk adalah daripada keturunan Yahudi. Nenek moyangnya adalah Yahudi yang berpindah dari Sepanyol ke bandar Salonika."

Golongan Yahudi ini dinamakan dengan Yahudi Daunamah yang terdiri daripada 600 buah keluarga. Mereka mendakwa memeluk Islam pada tahun 1095H (1683M), tetapi masih menganut agama Yahudi secara senyap-senyap.

Ini diakui sendiri oleh bekas Presiden Israel, Yitzak Zifi, dalam bukunya Daunamah terbitan tahun 1377H (1957M):

"Ada kumpulan-kumpulan agama yang masih menganggap diri mereka sebahagian daripada Nabi Israel. Antara mereka ada satu kumpulan iaitu kumpulan Daunamah yang Islam hanya pada zahir tetapi mengamalkan ajaran Yahudi secara senyap-senyap."

Awal hidup Ataturk

Ali Mufrodi, seorang pengkaji Islam dari University of Leiden Belanda dalam bukunya yang berjudul, "Ensiklopedia Tematis Dunia Islam" menjelaskan, Mustafa Kemal Ataturk dimasukkan oleh ibu bapanya ke madrasah, tetapi dia tidak menyukainya dan selalu melawan guru.

Ketika Mustafa berumur 12 tahun, dia memasuki Sekolah Tentera Salonika dan meneruskan pelajarannya di Akademi Tentera Monasitar pada tahun 1302H (1885M).

Dia kemudiannya menyambung ke akademi tentera di Istanbul dan menamatkan latihan ketenteraanya pada 1325H (1907M) dan seterusnya ditugaskan di Kem Tentera Batalion ketiga di Salonika.

Inilah titik permulaanya dalam memerangi pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah dan sebagai seorang penentang agama Islam.

Sebagai seorang graduan dari akademi tentera, dia telah mengingatkan dan mempengaruhi rakan pegawainya agar tidak tertipu dengan dunia pemikiran Islam.

Kebangkitan Mustafa Kemal Ataturk

Permulaannya, dia telah mengubah ucapan Assalamualaikum kepada Marhaban Bikum (Selamat Datang).

Gerakan pertamanya memerangi Islam adalah dengan menubuhkan Organisasi Kebangsaan dan Kebebasan yang bertujuan menghapuskan pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah yang menurutnya mengamalkan cara pemerintahan autoritarian, namun usahanya gagal.

Ketika tercetusnya Perang Dunia Pertama, nama Mustafa Kemal Ataturk meningkat naik apabila dia telah dipilih menjadi panglima tentera ke-19 i Sinaq Qal'ah.

Tenteranya telah berjaya mengalahkan tentera Inggeris sebanyak dua kali di Semenanjung Ghalibuli di Balkan Darnadil walaupun pada hakikatnya kekuatan tentera Inggeris mampu mengalahkan tentera Ataturk.

Disebabkan kejayaan Ataturk membawa kemenangan kepada Turki, dia telah dilantik menjadi kapten dan seterusnya menjadi jeneral pada tahun 1335H (1916M).

Namun, jika dilihat dengan mata hati, kejayaan yang diraih oleh Ataturk ini sebenarnya adalah rancangan jahat pihak Inggeris yang sengaja mahu mengangkat nama Ataturk sehingga reputasinya dipandang tinggi oleh kerajaan Uthmaniyyah.

Dalam satu lagi gerakannya, dia telah mengetuai satu pasukan tentera di Palestin pada tahun 1918. Dia telah menghentikan peperangan terhadap Inggeris iaitu musuh Kerajaan Uthmaniyyah secara mengejut lalu membenarkan Inggeris untuk maju ke sebelah utara tanpa sebarang tentangan.

Dengan muslihatnya yang licik, dia telah mengadu jatuh sakit dan terlantar di Kem Nablus namun tindakannya itu telah membuatkan orang ramai tertanya-tanya dan pelbagai spekulasi timbul.

Dia kemudiannya membawa tenteranya ke Damsyik dan disitu dia telah memerintahkan supaya tentangan terhadap Inggeris dihentikan.

Dengan ini, ia menjadi peluang keemasan kepada pihak Inggeris untuk maju ke wilayah Uthmaniyyah.

Campur tangan pihak Inggeris

Pihak Inggeris meminta khalifah membubarkan Dewan Rakyat yang mana ia berkuasa untuk menentukan kekuasan khalifah, selepas kekalahan Turki dan pengisytiharan gencatan senjata.

Tidak cukup dengan itu, Inggeris mencetuskan huru-hara dalam istana Kerajaan Uthmaniyyah dari tahun 1918 sehingga 1919.

Mereka kemudiannya mencadangkan agar Mustafa Kemal memikul tugas sebagai pemerintah supaya beliau dapat menjadi orang yang mampu memenuhi kehendak rakyat dan juga satu-satunya pegawai tentera yang layak mendapat penghargaan daripada pihak tentera.

Oleh itu, kehebatan Mustafa Kemal kian terserlah di mata masyarakat manakala institusi khalifah pula semakin merosot.

Pada masa yang sama dia telah berjaya menjayakan rancangan Pihak Bersekutu untuk menguasai wilayah-wilayah Kerajaan Uthmaniyyah.

Revolusi yang dicetuskan oleh Ataturk disokong penuh oleh Inggeris dan berjaya pada peringkat awal setelah gerakannya disertai oleh pemimpin-pemimpin muda dan ahli fikir yang meletakkan syarat agar tidak membabitkan khalifah.

Pertempuran di antara tentera Uthmaniyyah dengan Greek telah berlanjutan selama satu setengah tahun dan semasa peperangan sedang berlaku, Pihak Bersekutu telah mengumumkan bahawa mereka berkecuali.

Sungguh menghairankan kerana senjata-senjata yang dibekalkan kepada Mustafa Kemal adalah daripada Rusia hasil perancangan rapi pihak Inggeris di Busfor sekalipun Rusia memang memusuhi Kerajaan Uthmaniyyah.

Tentera Greek mencetuskan api peperangan sekali lagi pada 23 Mac 1921 dan pada bulan September 1921 pertempuran antara mereka terhenti apabila Greek menarik balik tenteranya dari Izmir.

Selepas dua hari, tentera Uthmaniyyah mula memasuki Izmir tanpa menggunakan sebarang kekerasan.

Propaganda Barat

Barat telah membesar-besarkan kemenangan pimpinan Mustafa Kamal ini dan menyebarkannya dengan cepat ke negara-negara Islam.

Orang Islam telah tertipu dengan tindakan Mustafa yang berjaya memenuhi aspirasi mereka sehinggakan Ahmad Shauqi pernah memuji Ataturk melalui sebuah qasidah yang mengumpamakan Ataturk seperti Khalid bin al-Walid.

"Maha Besar Allah betapa kemenangan yang penuh keajaiban, Khalid Turki hidupkanlah kembali, Khalid Arab."

Jatuhnya Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah

Namun, cita-cita dan impian mereka berkubur apabila Ataturk membubarkan Kerajaan Khalifah pada 3 Mac 1924.

Kerabat diraja dan Khalifah dihalau keluar dari Turki. Kementerian Wakaf dan Kementerian Undang-undang Syariah dimansuhkan serta sekolah-sekolah agama ditukar menjadi sekolah-sekolah awam.

Musuh-musuh Islam melihat bahawa penghapusan Khilafah Islamiah bukanlah suatu perkara mudah. Ia hanya akan tercapai dengan cara menonjolkan seorang wira yang agung dan Mustafa merupakan orang yang digelar wira tersebut.

Dengan jatuhnya Kerajaan Khalifah, Mustafa Kemal dengan bantuan pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi dan memperbodohkan seluruh rakyat dan inilah masanya yang paling sempurna bagi mereka untuk menghancurkan Islam.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, May 26, 2019

Kisah Kematian Mustafa Kemal Ataturk Dan Kontroversi Jasad Tidak Di Terima Bumi

Kisah Kematian Mustafa Kemal Ataturk Dan Kontroversi Jasad Tidak Di Terima Bumi

Bila kita berbicara tentang Mustafa Kemal Ataturk, cerita paling masyhur mengenai beliau ialah jenazahnya yang tidak diterima bumi kerana dosa-dosa yang dilakukan pada umat Islam, apabila menghapuskan sistem kekhalifahan dan tindakan kejam beliau kepada institusi agama.

Mustafa Kemal Ataturk

Kisah jasad tidak diterima bumi ini adalah topik kontroversi yang sering diceritakan para agamawan di medan-medan ceramah tak kira masa atau tempat. Wallahu a'lam.

Tahun-tahun Terakhir Ataturk

Pada tahun 1937, sudah timbul tanda-tanda kemerosotan kesihatan Ataturk dan pada awal tahun 1938, semasa melakukan lawatan ke Yalova, Turki, beliau ditimpa penyakit serius dan memerlukan rawatan doktor.

Selepas mendapat rawatan jangka pendek di Yalova di mana keadaan kesihatan beliau dilihat bertambah baik, Ataturk meneruskan lawatan seperti dirancang.

Namun, keadaan kesihatan beliau kembali merosot semasa melakukan perjalanan ke Ankara, Mersin dan Adana.

Apabila beliau pulang semula ke Ankara pada Mei 1938, Ataturk dinasihatkan untuk berangkat ke Istanbul bagi mendapatkan rawatan untuk penyakit beliau.

Hasil diagnosis yang dilakukan pakar perubatan mendapati beliau menghidap sirosis, sejenis penyakit hati yang mengakibatkan peningkatan dalam tisu berserat dan pemusnahan sel-sel hati.

Dan ini sesuatu yang tidak mengejutkan kerana menurut rekod, Ataturk dikenali sebagai kaki botol, suka menari, bermain permainan kad dan perempuan.

Berikutan itu, beliau mengambil keputusan menjadikan Istana Dolmabahce, Istanbul, di sebelah utara bahagian Eropah Selat Bosphorus sebagai kediaman beliau.

Semasa bulan-bulan terakhir ini, walaupun dalam keadaan sakit yang teramat, Ataturk cuba meneruskan rutin harian seperti biasa.

Antara rutin beliau pada bulan-bulan tersebut ialah mempengerusikan mesyuarat Majlis Menteri-Menteri, menyelesaikan urusan berkenaan wilayah Hatay dan menjadi tuan rumah kepada Raja Carol II dari Romania semasa lawatan baginda ke Turki pada Jun 1938.

Namun, Ataturk dilihat jarang berdiri dan pada ketika itu, berehat di atas kapal layar Savarona sehingga akhir Julai 1938, di mana keadaan kesihatan beliau kembali merosot lalu dipindahkan ke satu bilik khas di Istana Dolmabahce.

Semasa di Dolmabahce, Ataturk koma pada bulan September sebelum kembali tidak sedarkan diri pada 9 November.

Pada tanggal 10 November 1938, beliau meninggal dunia pada usia 57 tahun dengan jam bilik tidurnya menunjukkan waktu kematian 9.05 pagi.

Pengebumian

Persiapan telah diatur oleh pihak berkuasa untuk menguruskan urusan pemakaman negara untuk Ataturk. Pada ketika itu, belum ada keputusan berkenaan tempat pemakaman.

Sehari selepas kematian beliau, Parlimen Turki yang bersidang di Ankara melantik Ismet Inonu sebagai Presiden Republik Turki yang baharu.

Pada mulanya, tidak ada keperluan untuk melakukan solat jenazah bagi Ataturk namun, Makbule Atadan, kakak kepada Ataturk, yang menetap di Dolmabahce selama beberapa hari sehingga hari kematian Ataturk, mendesak agar urusan tersebut dilakukan di sebuah masjid sebelum jenazah dibawa ke Ankara.

Akhirnya, Atadan diyakinkan oleh Presiden Jabatan Pengurusan Agama, Rifat Borekci bahawa solat jenazah juga seharusnya dilakukan di luar masjid.

Pada 19 November, jam 8.10 pagi waktu tempatan, solat jenazah Ataturk diimamkan oleh Profesor Serafettin Yaltkaya, Pengarah Institut Kajian Islam di mana ia dilakukan dalam Bahasa Turki dan bukan mengikut Bahasa Arab.

Semasa upacara berlangsung, sebarang usaha untuk mengambil gambar adalah tidak dibenarkan, selain solat jenazah dihadiri oleh orang-orang yang rapat dengan beliau, beberapa orang jeneral, pegawai-pegawai agama, kakitangan istana dan Mejar Yasar Okur, seorang hafiz Al-Quran merangkap pegawai tentera yang berkhidmat bersama Ataturk selama 15 tahun.

Memandangkan urusan pengebumian ditangguhkan bagi memberi peluang kepada def-def kehormat dan orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Ataturk, jenazah beliau telah diawet di Ankara oleh pakar patologi dari Akademi Perubatan Tentera Gulhane (GMMA), Prof. Lutfi Aksu.

Sementara proses pengkafanan dilakukan oleh salah seorang dari sembilan pakar perubatan yang menandatangani sijil kematian beliau, Prof. Mehmet Kamil Berk.

Kemudian, jenazah Ataturk dibaringkan dalam posisi rehat sementara Atadan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan tentera serta individu berpengaruh lain memberi penghormatan terakhir pada waktu-waktu tertentu.

Jenazah Ataturk diletakkan dalam satu keranda kayu walnut berkualiti tinggi dengan bahagian dalam diperbuat daripada kayu mahogani.

Keranda yang dilitupi dengan bendera kebangsaan Turki diletakkan pada 16 November di dewan sambutan istana pada sebuah catalfaque.

Ianya diapit dengan tiga obor tinggi pada setiap sisi mewakili enam rukun utama Kemalisme dan diletakkan lingkaran bunga di atas keranda untuk tatapan orang ramai.

Selama tiga hari, beribu-ribu orang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau pada catalfaque di mana pegawai-pegawai kehormat bertugas menjaga jenazah.

Selepas selesai solat, jenazah Ataturk dibawa keluar dari Dolmabache, diletakkan atas kaison yang ditarik kuda dan dibawa di hadapan perarakan jenazah ke Taman Gulhane.

Dari Seraglio Point, sebuah bot torpedo membawa jenazah beliau ke kapal perang TCG Yavuz, yang diiringi oleh kapal tentera laut Turki dan kapal-kapal asing membawa jenazah sehingga melepasi Pulau Buyukada. Setelah itu, Yavuz meneruskan perjalanan ke bandar pelabuhan Izmit.

Keranda yang membawa jenazah dipindahkan ke atas keretapi pengebumian dan dibawa ke Ankara di mana ia tiba pada 20 November 1938.

Menanti jenazah tiba ialah def-def kehormat terdiri daripada Presiden Turki, Ismet Inonu, Speaker Parlimen Turki, Abdulhalik Renda, Perdana Menteri, Celal Bayar, menteri-menteri Kabinet, Panglima Angkatan Tentera Turki, Field Marshall Fevzi Cakmak, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan tentera serta semua ahli parlimen.

Keranda Ataturk kemudian sekali lagi dibawa di atas kaison ke Bangunan Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki di Ulus, di mana ia diletakkan atas sebuah catalfaque di hadapan bangunan Parlimen untuk tatapan umum.

Ini memberi peluang kepada ribuan penduduk Ankara memberi penghormatan terakhir kepada Bapa Turki Moden.

Pada hari berikutnya, satu lagi upacara pengebumian lebih besar diadakan bagi memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin asing memberi penghormatan terakhir.

17 pemimpin asing hadir memberi penghormatan

Perarakan dengan keranda jenazah Ataturk yang dilitupi dengan bendera Turki diletakkan atas kaison yang ditarik kuda dibawa ke Muzium Etnografi Ankara turut diiringi sembilan detasmen pegawal kehormatan.

Antara negara yang menghantar detasmen tersebut ialah Britain, Iran dan Yugoslavia.

Setibanya di muzium, keranda Ataturk diletakkan dalam sebuah keranda batu marmar berwarna putih yang dibina khas dengan bendera Turki menutup penutup keranda.

Dan dari rekod rasmi ini, cerita jenazah Ataturk tidak diterima bumi muncul dan tersebar secara meluas di serata dunia termasuk di medan-medan ceramah.

Dan bila memandang polisi pemerintahan Ataturk, maka tidak hairanlah bagaimana ia dapat dikaitkan sebagai satu kisah teladan yang menarik tetapi sumbernya goyah.

Cerita sebenar kenapa kerajaan Turki menyemadikan sementara jenazah beliau di situ ialah mereka mahu membina satu kompleks pemakaman besar untuk Ataturk di atas bukit paling tinggi di Ankara pada ketika itu, Rasateppe.

Memandangkan projek kompleks pemakaman yang dipanggil Anitkabir akan mengambil masa 15 tahun, maka pihak kerajaan memilih Muzium Etnografi Ankara sebagai tempat persemadian sementara beliau.

Anitkabir

Anitkabir makam mustafa kemal

Dan impian tersebut menjadi kenyataan pada 1953, apabila penutup keranda batu dibuka kali pertama dan keranda tersebut dibawa keluar dengan bantuan kren jenis trispastos untuk diletakkan di atas catalfaque dengan disaksikan oleh kakak Ataturk, Makbule Atadan, Presiden Celal Bayar, Speaker Parlimen Refik Koraltan, Perdana Menteri Adnan Menderes, Panglima Angkatan Tentera Turki Nuri Yamut, Abdulhalik Renda dan beberapa pegawai tinggi kerajaan.

Gabenor Ankara, Kemal Aygun menugaskan ahli patologi dari fakulti perubatan Universiti Ankara, Profesor Kamile Sevki Mutlu untuk mengeluarkan keranda, memeriksa jenazah dan menyelia proses pengebumian semula di mana ia perlu mengikut tradisi pengebumian tempatan.

Proses yang berlaku pada 9 November 1953 ini menyaksikan Prof. Mutlu dibantu oleh dua rakan sekerjanya, Dr. Cahit Ozen dan Dr. Seref Yezgan serta 10 guru sekolah tinggi teknikal vokasional yang dihadiri pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Selepas membuka bahagian dalam zink, mereka menemui sebuah plastik coklat mengandungi jenazah Ataturk yang disokong penyokong kayu.

Selepas mengeluarkan plastik dan kain kafan jenazah, pasukan Prof. Mutlu mendapati jenazah beliau masih dalam keadaan baik dan tidak busuk, terima kasih kepada proses pengawetan yang dijalankan 15 tahun lepas oleh Prof. Aksu yang meninggal dunia pada tahun 1951.

Turut ditemui dalam keranda tersebut ialah sampel bahan kimia pengawet yang digunakan dalam satu botol tertutup bersama label kimia tersebut.

Def-def kehormat naik ke catalfaque seorang demi seorang dan memandang wajah Ataturk dan atas nasihat Prof. Mutlu, keranda ditutup semula selepas jenazah dikafankan dengan kain yang baru dan diberi kimia khas untuk kekal utuh.

Sehari selepas itu, pada tanggal 10 November 1953, keranda dilitupi bendera Turki dibawa keluar dari Muzium Etnografi Ankara dan diusung oleh 12 askar untuk diletakkan atas kaison untuk dibawa ke lokasi kekal persemadian beliau, Anitkabir.

Pengusungan keranda diketuai oleh pelbagai pemimpin komuniti agama Turki seperti Armenian Patriach, Greek Orthodox, Roman Katolik dan ketua Rabbi Yahudi selain Presiden Bahagian Hal Ehwal Agama Turki.

138 pegawai simpanan muda termasuk daripada barisan sehingga tiga kilometer terdiri daripada Presiden, Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, ahli-ahli perhimpunan kebangsaan, gabenor-gabenor wilayah dan diplomat-diplomat asing.

Sementara 21 juta rakyat Turki berdiri tegak dan senyap seketika selama lima minit di setiap pelosok negara.

Seorang laksamana tentera laut menjaga kusyen baldu mengandungi Pingat Kemerdekaan, satu-satunya pingat dalam banyak pingat yang dimiliki, yang dipilih Ataturk untuk dipakai.

Dan Bapa Turki Moden disemadikan di tempat persemadian kekalnya, kompleks pemakaman Anitkabir.

Seorang pegawai menceritakan pengalaman semasa proses tersebut berlangsung, “Saya masih bertugas pada hari pengebumiannya, bila saya menitiskan air mata tentang hakikat kematian. Hari ini saya tidak bersedih kerana 15 tahun telah mengajar saya bahawa Ataturk tidak pernah mati.”

Legasi

Hari ini, pada 9 November setiap tahun, pada 9.05 pagi, semua aktiviti dihentikan seketika selama dua minit.

Siren dibunyikan di segenap pelosok negara dan rakyat Turki diam seketika pada waktu tersebut untuk menghormati Ataturk tanpa mengira sama ada di jalan raya, kafe atau pasar raya dan bagi pelajar sekolah, mereka juga diam seketika selama seminit pada 9.05 pagi.

Pada hari itu, bendera Turki dikibarkan separuh tiang bagi mengingati presiden pertama Republik Turki.

Bagi yang mengikuti sejarah Turki, pasti sedar akan jasa Ataturk membebaskan negara daripada dijajah Britain, Perancis, Itali dan Greece dan menghalau mereka keluar dari bumi Anatolia.

Dan Ataturk turut berjasa membawa Turki maju ke depan dengan melancarkan pelbagai polisi bagi mengukuhkan kembali Turki sebagai sebuah negara yang hebat.

Kehebatan beliau dalam mengendalikan soal pemerintahan mengagumkan ramai sehingga menjadikan beliau atau ideologi Kemalisme sebagai cara melawan imperialisme Barat.

Daripada Shah Reza di Iran sehinggalah presiden pertama Tunisia, Habib Bourgiba menjadikan beliau sebagai inspirasi.

Sementara parti Nazi Jerman diketuai Adolf Hitler menganggap beliau seperti sebahagian daripada mereka dan meniru bulat-bulat sebahagian polisi Ataturk seperti bersikap keras terhadap gereja, institusi Islam dan menghalau keluar kelompok minoriti seperti yang dilakukan beliau pada 20-an dan 30-an.

Pada hari kematian Ataturk, Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Jerman menyifatkan kematian beliau satu kehilangan yang sukar digantikan.

Namun pada masa yang sama, polisi keras Ataturk terhadap Islam sama sekali mencalarkan imej beliau sebagai patriot dan nasionalis.

Ya, beliau membenarkan kebebasan wanita tetapi menafikan kebebasan mereka menutup aurat. Beliau masih membenarkan azan dan Al-Quran tetapi semuanya diubah dalam Bahasa Turki berikutan sikap anti-Arab beliau.

Pendek kata, pendekatan sekular Ataturk menolak Islam sehingga ke tebing curam namun, tindakan ini mendorong ramai ulama bangkit termasuk Said Nursi hafizahullah untuk memelihara cahaya agama daripada terus pudar di bumi Anatolia.

Kemalisme

Jasad Mustafa Kemal Ataturk
Jasad Mustafa Kemal Ataturk.

Tetapi, legasi terbesar Ataturk ialah Kemalisme, satu doktrin politik yang menganggap dirinya moden dan pro-Barat, sosialis, pro-tentera dan ultra-sekular dalam pendekatannya sehingga mencekik warga Turki untuk bernafas dalam mendapatkan hak mereka terutama soal kebebasan agama.

Dan ini sudah dibuktikan dengan siri kudeta pada 1960, 1971, 1980 dan 1997 di mana tentera dan sistem kehakiman memperlihatkan diri mereka sebagai penjaga Kemalism.

Dan mereka tidak teragak-agak menyingkirkan mana-mana tokoh sama ada Adnan Menderes atau Necmettin Erbakan sekiranya agenda kerajaan berlawanan dengan enam prinsip utama Kemalism.

Namun, keghairahan Kemalism ini akhirnya memakan diri kerana perlahan-lahan ditolak rakyat yang mula condong kepada pan-Islamisme dan mahukan kembali hak mereka yang dinafikan.

Ini dibantu pula dengan beberapa keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang tidak memihak kepada mereka termasuk mengharamkan mahkamah keselamatan negara dan kebijaksanaan parti-parti politik bercorak Islam termasuk Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) bermain catur politik yang membantu mereka naik ke puncak.

Dan siapa sangka dengan cubaan rampasan kuasa terbaru pada 2016, ia bukan langkah akhir kejatuhan sebuah lagi kerajaan pilihan rakyat tetapi satu lagi pukulan besar kepada Kemalisme.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Wednesday, May 15, 2019

Jackie Chan Sebenarnya Buta Huruf!

Jackie Chan Sebenarnya Buta Huruf!

Semua orang kenal legenda seni bela diri dan pelakon hebat dan tangkas, Jackie Chan, yang walaupun bertubuh kecil, ia bukanlah penghalang kepadanya untuk berjaya dalam industri lakonan sehingga menembusi dunia filem Hollywood.

Legenda Jackie Chan
Jackie Chan.

Beliau yang tidak tahu membaca mahupun menulis, adalah contoh kepada masyarakat bahawa usaha dan kegigihan mampu membuahkan kejayaan.

Jackie Chan dilahirkan pada 7 April 1954 di Hong Kong kepada bapanya Charles dan ibunya Lee-lee Chan.

Ketika dilahirkan, bapanya yang tidak mampu membayar kos pembedahan terpaksa meminjam daripada rakan dan menolak tawaran doktor untuk mengambil Jackie Chan sebagai bayaran.

Bapanya merupakan seorang tukang masak di kedutaan Perancis di Hong Kong manakala ibunya seorang pembantu rumah.

Semasa zaman kanak-kanaknya, kehidupan Jackie Chan dihimpit kemiskinan yang sangat teruk. Bapa Jackie Chan akan mengejutkannya pada awal pagi dan mereka akan berlatih kung fu bersama-sama.

Charles percaya dengan belajar kung fu, ia akan membantu Jackie Chan dalam membina karekter, mengajar erti kesabaran, kekuatan dan keberanian.

Ketika di sekolah rendah, Jackie Chan bersekolah di Nah-Hwa Primary School yang mana dia gagal pada tahun pertama lalu diberhentikan sekolah oleh bapanya.

Wang yang diberikan untuk berulang alik ke sekolah sebaliknya digunakan untuk membeli makanan dan berjalan kaki pergi dan pulang dari sekolah serta kerap bergaduh dengan kanak-kanak kulit putih dalam perjalanan.

Ketika kanak-kanak lain lulus dan melangkah ke darjah 3, Jackie Chan yang gagal masih di darjah 1.

Melihat keadaan itu, bapanya menghantar Jackie Chan yang berusia 7 tahun ketika itu ke Akademi Drama China, sebuah Sekolah Opera Peking.

Ketika berjalan bersama ayahnya di sekolah itu, Jackie Chan terlihat kanak-kanak beraksi dan bermain pedang serta kayu.

Jackie Chan menceritakan ketika itu dia berasa sangat teruja dan bersemangat, serta tidak mahu ke sekolah akademik lagi.

Di sekolah tersebut, Jackie Chan mempelajari seni bela diri, akrobatik, menyanyi dan juga berlakon.

Pelajar sekolah ini diajar disiplin yang sangat tegas di mana mereka akan dipukul jika melanggar arahan atau membuat kesilapan.

Walaupun agak keras baginya, namun Jackie Chan tiada tempat untuk pergi kerana ketika itu ibu bapanya telah berpindah ke Australia dan dia dijaga oleh seorang Master.

Jackie Chan menamatkan pelajaran di akademi ini pada usia 17 tahun, namun ketika itu Opera China sudah tidak lagi popular membuatkannya serta rakan-rakan terpaksa mencari kerja dalam bidang lain.

Namun, ia sangat sukar kerana mereka tidak diajar membaca dan menulis ketika di akademi itu dan satu-satunya kerja yang boleh dilakukannya adalah kerja buruh atau aksi.

Ketika itu juga banyak filem di Hong Kong dihasilkan dan mereka memerlukan stuntman yang muda dan kuat.

Jackie Chan seorang yang sangat lincah dan sanggup mencuba apa saja untuk mendapatkan kerja.

Karier sebagai seorang stuntmat Jackie Chan bermula dengan filem Bruce Lee iaitu Fist of Fury pada dan Enter the Dragon pada tahun 1972 dan 1973, namun ia tidaklah semudah itu.

Kegagalan demi kegagalan dilalui Jackie Chan dan disebabkan kesukaran mencari kerja stuntman, dia berhijrah ke Australia dan tinggal bersama ibu bapanya di sana pada tahun 1976.

Jackie Chan kemudiannya menyambung pelajaran dan bekerja dalam bidang pembinaan.

Kerja dalam bidang pembinaan amat sukar dan membosankan bagi Jackie Chan, membuatkannya tidak gembira tinggal di Australia.

Namun, nasib menyebelahi Jackie Chan apabila penyelamatnya iaitu Willie Chan muncul dalam hidupnya.

Willie Chan yang bekerja dalam industri perfileman Hong Kong sedang mencari seorang bintang untuk filem terbaru Lo Wei (pelakon dan direktor yang popular di Hong Kong).

Willie yang pernah melihat bakat dan aksi Jackie sebagai stuntman berasa kagum, dan telah bertemu dengannya. Ketika ini Jackie Chan belum mengetahui bahawa Willie akan menjadi rakan baik serta pengurusnya.

Jackie Chan kemudiannya pulang ke Hong Kong untuk membintangi filem "New Fist of Fury" ketika berusia 21 tahun.

Namun, filem ini tidak begitu berjaya kerana bakat yang ada pada Jackie Chan tidak digunakan dengan betul.

Kejayaan mula menampakkan bayangnya hanya apabila Jackie Chan menyumbangkan ideanya yang menggabungkan unsur lawak ke dalam filem seni bela diri.

Tidak lama selepas itu, Jackie Chan mula menjadi bintang terkenal, dengan kejayaan dalam filem "Snake in Eagle's Shadow", diikuti dengan filem blockbuster iaitu "Drunken Master".

Filem pertama yang diarahkan oleh Jackie Chan juga mendapat sambutan hangat iaitu "Fearless Hyena".

Jackie Chan tidak berhenti disitu apabila dia mula bereksperimentasi dengan watak komiknya.

Perubahan ini memberikan perspektif baru kepada genre ini yang mana kemahiran yang dipelajari di sekolah opera telah digunakan sepenuhnya oleh Jackie Chan.

Selepas kematian Bruce Lee, pencarian pelakon baru yang boleh menginspirasikan penonton seperti mana dilakukan Bruce Lee, lalu setiap ahli seni bela diri muda diberikan peluang.

Jackie Chan yang tidak mahu meniru gaya dan hidup dalam bayang-bayang Bruce Lee telah menghasilkan gaya tersendiri dalam lakonannya.

Dalam menyempurnakan gayanya yang tersendiri, pelbagai kecederaan yang dialaminya termasuklah patah hidung sebanyak 3 kali, buku lali, hampir kesemua jari, tulang pipi serta tengkorak kepalanya.

Kini, Jackie Chan adalah antara legenda seni bela diri terbaik di dunia setaraf dengan Bruce Lee.

Jackie Chan bukan sahaja sangat popular di Asia malah juga di Hollywood dan banyak filem-filem beliau mendapat sambutan hangat di Hollywood termasuklah Rush Hour dan Shanghai Noon.

Walaupun menerima pendidikan yang sangat minima, Jackie Chan telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat sains sosial oleh Hong Kong Baptist University dan rakan kehormat oleh Hong Kong Academy of Performing Arts.

Tidak mampu membaca dan menulis, Jackie Chan masih mampu mencapai kejayaan sebegitu besar disebabkan ketekunan dan kegigihannya dalam bidang yang diceburi.

Usaha inovatifnya menambah elemen komik dalam filem seni bela diri terbukti berkesan dan memberikan impak besar kepada dunia perfileman sehingga ke hari ini.

Pada tahun 2015, majalah Forbes menganggarkan kekayaan Jackie Chan sebanyak RM1.5 bilion.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi