Thursday, June 27, 2019

Kesilapan Morsi Dalam Dunia Politik Mesir


Mantan presiden Mesir, Mohamed Morsi telah meninggal dunia 17 Jun 2019 semasa prosiding mahkamah (emoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya) dan yang ironiknya, 17 Jun juga merupakan tarikh beliau memenangi pilihanraya presiden Mesir pada tahun 2012.

Kesilapan Morsi dalam politik

Morsi ialah presiden Mesir selama 369 hari dari 30 Jun 2012 hingga 3 Julai 2013, sebelum digulingkan oleh tentera pimpinan Abdul Fatah al-Sisi yang menjadi presiden Mesir sekarang.

Kejatuhan Morsi ialah tragedi yang boleh dielakkan, tokoh mujahid yang baik, tetapi bukan seorang ahli politik yang baik dan tidak sampai hasrat untuk menjadi negarawan yang ulung.

Kesilapan terbesar Morsi ialah beliau melakukan pembaharuan dan rombakan drastik sebaik sahaja memegang kuasa, ketika 'kuasa politik' beliau tidak kuat: hanya menewaskan lawannya Ahmed Shafik dengan undian 51.7%.

Meskipun Ahmed Shafik ialah orang rejim Mubarak yang tidak popular, Morsi juga gagal untuk meraih sokongan majoriti melebihi 60-70 peratus.

Itu menunjukkan Morsi sepatutnya berhati-hati dan wajib bekerjasama dengan segmen lain dalam politik Mesir.

Segmen-segmen utama yang ada ialah tentera, golongan liberal-sekular-nasionalis dan golongan Islamis.

Islamis di sini bermaksud mereka yang pro Ikhwanul Muslimin atau “Muslim Brotherhood” (parti Morsi), kerana bukan semua Muslim konservatif menyokong Ikhwanul Muslimin.

Sejak kudeta tahun 1952, tahun monarki Mesir digulingkan dan republik ditubuhkan, kestabilan sesebuah rejim amat bergantung kepada sokongan tentera dan sekular-nasionalis.

Kesemua presiden dan pemimpin tertinggi Mesir adalah dari tentera: Mohamed Naguib (1952-1954), Gamal Abdel Nasser (1954-1970), Anwar Sadat (1970-1981) dan Hosni Mubarak (1981-2011).

Suka atau tidak, tentera Mesir adalah institusi autonomi (“deep state”) yang memonopoli kekerasan dan mereka mempunyai “code of conduct” tersendiri, bebas daripada kawalan ahli politik seperti Morsi.

Tapi, apa yang Morsi lakukan sebaik sahaja menjadi presiden ialah 'melawan' tentera kerana tidak sampai 2 bulan menjadi presiden, Morsi telah memecat Panglima Hussein Tantawi yang memainkan peranan utama dalam kejatuhan Mubarak, sekali gus dengan timbalannya Sami Anan.

Jika dibandingkan dengan seorang lagi pemimpin demokratik-Islamis yang berdepan dengan ancaman “deep state” tentera iaitu Erdogan, beliau lebih bijak dan penyabar.

Erdogan menunggu selama 5 tahun sebelum mencabar tentera Kemalis dengan kes Ergenekon (2008) dan Sledgehmmer (2010) dan 5 tahun lagi untuk menyingkirkan “parallel state” Gulenis.

Lama, tapi berbaloi, lebih-lebih lagi kalau kita tidak mempunyai sokongan kukuh, kerana dalam politik, patience is a virtue.

Kesilapan kedua Morsi selepas mencabar tentera ialah melantik al-Sisi sebagai pengganti Tantawi, orang dalam faction Tantawi.

Alasan Morsi memilih al-Sisi adalah disebabkan imej warak al-Sisi, isteri dan anak memakai tudung dan hafal al-Quran.

Walaupun al-Sisi sudah banyak kali menunjukkan tanda-tanda akan melakukan rampasan kuasa, Morsi gagal membaca semua petanda itu.

Punca utama rakyat menolak Mubarak ialah masalah ekonomi dan korupsi, tetapi Morsi memilih untuk mengutamakan agenda pembaharuan undang-undang.

Dan itu menyebabkan liberal-sekular-nasionalis dan minoriti kristian (Koptik) yang bimbang dengan pengaruh Islamis lebih nekad untuk menolak Morsi.

Pada pertengahan Jun 2013, apabila Morsi memenuhi 11 daripada 27 jawatan gabenor di Mesir dengan ahli Ikhwan, golongan liberal-sekular-nasionalis ini akhirnya turun ke jalanan, menuntut Morsi meletak jawatan.

Jumlah peunjuk perasaan di Dataran Tahrir tidak kurang berbanding jumlah peunjuk perasaan semasa Januari-Februari 2011 yang menjatuhkan Mubarak.

Dengan itu, al-Sisi telah mengeluarkan ultimatum 48-jam pada 1 Julai dan Morsi ditahan pada 3 Julai. Tidak keterlaluan untuk disebut bahawa, Morsi sendiri menjadi punca kepada kejatuhan beliau.

Kita tidak berminat soal sama ada Morsi adalah salafi, haraki atau tidak, kerana ada pengajaran yang kita boleh belajar daripada kejatuhan Morsi dalam soal politik dan kenegaraan.

Sebagai ketua negara Arab pertama yang dipilih secara demokratik, kejatuhan Morsi ialah satu tragedi yang mensia-siakan potensi untuk beliau mengubah wajah dunia Arab-Islam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon