Friday, April 29, 2022

Ganja Perubatan Haram, Rasuah Halal

Ganja Perubatan Haram, Rasuah Halal

Ganja perubatan di Malaysia perlu dibenarkan segera dan tidak menjadi jenayah demi menyelamatkan pengguna daripada hukuman gantung, kata Adun Kebun Bunga PKR Jason Ong.

Ganja Perubatan

Mengulas perbincangan positif mengenai perkara itu antara Kaukus Ganja Perubatan Parlimen dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dia berkata mereka yang mahu menggunakan ganja atas sebab kesihatan akan berdepan hukuman mati.

Oleh yang demikian, katanya pindaan segera perlu dibuat terhadap Akta Dadah Berbahaya 1952 (DDA) untuk memastikan hukuman mati tidak terpakai bagi pengguna ganja perubatan.

Selain itu, Ong turut menggesa supaya penggunaan ganja untuk tujuan perubatan tidak lagi menjadi jenayah.

Dia berkata undang-undang berkenaan perlu dipinda supaya farmasi diberi lesen untuk menjual ganja kepada mereka yang mempunyai preskripsi kesihatan.

Di bawah DDA, individu yang memiliki sekurang-kurangnya 200 gram ganja dianggap mengedar dadah itu dan berdepan hukuman mati.

Sebagai kerajaan yang prihatin, keperluan rakyatnya mesti diutamakan dan melalui pindaan ini, banyak nyawa yang tidak berdosa akan diselamatkan daripada tali gantung.

Umum mengetahui bahawa 'raja dadah' sentiasa berjaya mengelak pihak berkuasa dan keldai dadah dan mereka yang tidak penting kepada masyarakat yang terpaksa berhadapan dengan tali gantung.

Dengan pendekatan yang lebih berperikemanusiaan terhadap kambing hitam ini, keputusan yang boleh diramalkan ialah keldai dadah ganja dan ketum tidak lagi tinggi permintaan kerana tiada hukuman mati yang tergantung di atas kepala mereka.

Jelasnya, menormalkan penggunaan ganja perubatan tidak bermakna semua masyarakat akan menjadi pengguna ganja.

Dengan faedah ganja dan ketum mengatasi aspek negatif, ini berpotensi menjadi tanaman seterusnya yang membawa manfaat ekonomi yang besar kepada negara.

Dalam kes berprofil tinggi membabitkan ganja perubatan, Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 63, menghadapi pertuduhan mengedar 77.84 kilogram ganja.

Veteran tentera itu, yang menggunakan kerusi roda, ditangkap kerana menggunakan ganja untuk merawat kansernya.

40 negara sudah halalkan

Pada 12 April 2022, Kaukus Perubatan Ganja dwi-partisan berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi respons positif kepada perbincangan yang tertumpu kepada industri hem, ganja perubatan dan ketum.

Perdana menteri telah memberi respons yang positif dan isu-isu berkaitan industri ini akan dibincang dan diperhalusi dengan lebih teliti dalam mesyuarat kabinet, kata kaukus itu.

Kaukus itu terdiri daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam), Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), Ignatius Darell Leiking (Warisan- Penampang), Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) dan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah).

Kaukus itu berkata industri ganja perubatan bernilai RM60 bilion setahun dan lebih 40 negara telah menghalalkan ganja perubatan, termasuk negara jiran Thailand.

Kaukus berkenaan juga membangkitkan isu berkaitan rakyat Malaysia yang didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah kerana penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

Hujung Mac 2022 yang lalu, komposer dan penyanyi nasyid Yasin Sulaiman ditahan bersama pokok ganja dan dituduh mengedar dadah.

Yasin atau nama penuhnya Muhammad Yasin Sulaiman, 46, didakwa mengedar ganja dianggarkan seberat 214 gram yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Penggunaan ganja diharamkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1954 manakala ketum dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Nota: Memiliki lebih 200 gram ganja akan dituduh mengedar walaupun hanya untuk kegunaan sendiri dan tidak dijual kepada pihak lain.

Kes Scorpene: Perancis Sudah Dakwa, Malaysia Bila?

Sementara itu, Anwar Ibrahim mendesak kerajaan menyatakan pendirian dan menjelaskan bagaimana isu dakwaan rasuah melibatkan pembelian kapal selam Malaysia akan dihadapkan ke muka pengadilan di negara ini.

Kes ini berlangsung dan dibicarakan di Paris, Perancis, dan pihak berkuasa Malaysia seolah mengambil ringan dan aspek keadilan nampaknya tidak menjadi isu besar untuk disegerakan.

Pada tahun 2002 yang lalu, Malaysia memperoleh dua kapal selam kelas scorpene dan sebuah lagi daripada kelas Agosta daripada DCN International (DNCI)–anak syarikat Kumpulan Thales.

Thales mengesahkan mereka disiasat secara rasmi oleh pihak berkuasa Perancis sejak 18 Januari. Siasatan awal pula bermula sejak Mac 2010 lagi.

Dakwaan-dakwaan itu muncul selepas kumpulan hak asasi negara ini, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membuat aduan di mahkamah Perancis pada tahun 2009 dan 2010.

Dua syarikat Malaysia–Perimekar Sdn Bhd dan Terasasi Sdn Bhd–didakwa mendakwa mendapat komisyen daripada DCNI.

Editor: Ganja perubatan nampaknya lebih berbahaya di negara yang hampir hilang maruah ini. Alahai Malaysia tanah airku.

BACA INI JUGA:
sumber: (1) | (2)

Friday, April 22, 2022

Majikan Diskriminasi Gaji, Gadis Berjaya Tuntut RM5k Selepas Lapor Ke Jabatan Buruh!

Majikan Diskriminasi Gaji, Gadis Berjaya Tuntut RM5k Selepas Lapor Ke Jabatan Buruh!

Isu perbezaan bayaran jumlah gaji antara pekerja bagi skop pekerjaan yang sama bukanlah satu masalah baharu disuarakan orang ramai, malah bagaikan tidak berkesudahan hingga menyebabkan ramai pekerja ditindas oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.

Fatin Nur Hidayah

Baru-baru ini, seorang gadis berkongsi kisahnya yang berjaya menuntut haknya sebagai pekerja di Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) setelah mendakwa menjadi mangsa penindasan majikan.

Menurut Fatin Nur Hidayah Ramli, 22, tujuannya mengambil tindakan sedemikian kerana berasa tidak puas hati dengan jumlah gaji pokok yang diterima.

Ujar Fatin bayaran RM1,000 yang diberikan tidak setimpal dengan tempoh bekerja selama 12 jam sehari sepanjang lima bulan dia bekerja di salah satu cawangan kedai menjual gajet dan alatan di Perak.

"Syarikat tu ada banyak cawangan. Kedai dekat Perak dan Johor ni dijaga oleh seorang majikan saja. Saya kerja di cawangan Perak. Kami ada group WhatsApp yang campur semua pekerja dari Johor dan Perak.

"Isu ni bermula apabila ada seorang pekerja cawangan Johor mesej tanya gaji pokok saya, jadi saya jujur saja beritahu RM1,000. Lepas tu dia cakap gaji pokok dia RM1,100. Ketika itu saya dah mula rasa pelik sebab bos kami adalah orang yang sama.

"Saya jumpa pengurus untuk tanya kenapa basic gaji lain. Manager beri alasan dia ikut arahan majikan saja. Dia juga ada cakap yang Johor ni lebih bandar berbanding Perak. Tapi hakikatnya cawangan ni dekat Ipoh, jadi tak boleh pakai alasan tu," jelas Fatin ketika dihubungi.

Demi mendapatkan jawapan setelah tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan, gadis ini mengambil inisiatif untuk menyelidik hal sebenar.

Jelas Fatin yang menetap di Klebang, Ipoh, dia cuba mencari iklan yang disebarkan oleh pengurusnya di laman sosial bagi mencari pekerja baharu.

Akhirnya, Fatin telah menjumpai jawapan kepada persoalannya setelah melihat posting jawatan kosong di Facebook.

"Saya jumpa manager buat posting untuk mencari pekerja sebab mereka memang selalu cari staff baharu. Memang dah ramai berhenti kerja pun sebelum ni. Yelah, siapa je tahan dengan gaji macam tu.

"Daripada situ kantoi apabila posting dekat group Facebook kerja kosong Perak tawarkan gaji RM1,000 tapi dekat Johor RM1,100," katanya.

Tambah Fatin, lebih membangkitkan rasa tidak puas hati apabila dia terjumpa satu lagi iklan lain di Facebook dengan tulisan bahasa Cina yang menawarkan gaji minimum RM1,400.

"Tulisan posting tu dalam bahasa Cina jadi saya tekanlah translation. Saya kumpulkan semua bukti sebelum buat aduan dekat jabatan buruh (JTKSM).

"Masa hari gaji, saya tanya semua pekerja yang sama tempat dengan saya berapa mereka dibayar.

"Rupa-rupanya memang jumlah gaji kami berbeza-beza padahal yang dapat RM1,400 tu baru kerja tiga minggu," jelas Fatin dengan rasa tidak puas hati.

Lapor JTK

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada tiga beradik ini turut berkongsi pengalamannya membuat aduan tersebut di jabatan buruh.

Malah, Fatin berjaya menerima pampasan lebih RM5,000 daripada syarikat tempat dia bekerja itu selepas JTKSM menjalankan siasatan berhubung aduannya.

Bagaimanapun Fatin menjelaskan bahawa dia dibuang kerja serta merta oleh pengurus atas arahan majikan setelah syarikat menerima surat daripada jabatan buruh.

"Dulu masa minta kerja dekat situ saya masih naif. Saya letak expected salary RM1,200 tapi pengurus cakap gaji pokok di situ RM1,000 saja.

"Saya pun tak ada tandatangan apa-apa persetujuan kerja atau offer letter masa kerja lima bulan tu. Tapi saya kemukakan slip gaji kepada jabatan buruh sebagai bukti bahawa saya adalah pekerja di sana.

"Lepas surat jabatan buruh sampai kepada syarikat, majikan arahkan manager untuk berhentikan saya. Tapi saya gelakkan manager tu dan ucap terima kasih sebab buang saya tanpa notis, jadi bolehlah tambah aduan kedua kerana dibuang kerja tanpa notis," ujarnya.

Berkenaan video yang tular di TikTok, gadis ini tidak menyangka bahawa ramai warga maya turut mengalami masalah sama.

Ujar Fatin lagi, dia dan bekas majikannya menyelesaikan isu berkenaan di mahkamah.

Fatin akhirnya menarik nafas lega apabila dia menerima pampasan sebanyak RM4364.04 bagi isu tuntutan gaji dan RM1,120 atas kesalahan dibuang kerja tanpa notis.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, April 20, 2022

Aliff Syukri Nafi Lagu 'Kelepok Raya' Promosi LGBT

Aliff Syukri Nafi Lagu 'Kelepok Raya' Promosi LGBT

Aliff Syukri menafikan dakwaan segelintir pihak mengatakan dia adalah 'ejen' mempromosi dakyah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerusi peluncuran single raya terbaharunya, Kelepok Raya.

Lagu Kelepok Raya

Aliff berkata, tidak wajar sekiranya orang ramai sewenang-wenangnya menghakimi seseorang hanya berdasarkan luaran sedangkan apa yang penting adalah mesej ingin menerusi karya tersebut.

"Mereka yang terlibat (menari) dalam klip video merupakan penari profesional. Mereka ada kerjaya tetap. Seorang itu merupakan pensyarah dan ada seorang lagi itu, kerja sebagai askar.

"Dalam profesion askar pun ada biro atau exco kebudayaan tahu? Bila kalian menghina, tahu tak mereka semua ada tahap pendidikan yang tinggi, ada ijazah," katanya lagi.

Isteri Aliff, Datin Nur Shahida Mohd. Rashid, turut melantunkan vokalnya dalam lagu terbabit juga mempertahankan para penari dalam klip video yang dilancarkan dalam YouTube.

"Ada antara mereka yang dah kahwin dan punya isteri. Jadi, kita tak boleh nak hakimi orang daripada apa yang kita nampak sahaja sebenarnya.

"Netizen nampak lembut saja, terus cop golongan LGBT," ujar Shahida.

Aliff bagaimanapun akur dengan realiti bahawa netizen mempunyai hak untuk memberi komen apa sahaja, termasuk tentang dirinya yang masih tidak serik dan sengaja mengada-adakan gimik untuk meraih publisiti murahan.

"Beginilah, saya tak menafikan atau mengiyakan (tentang promosi dakyah LGBT). Netizen boleh komen apa sahaja. Orang kata saya buat gimiklah. Saya terbuka dan kalau orang nak maki hamun peminat-peminat, bagi saya mudah, yang buruk saya terima serta yang baik pun saya sedia terima.

"Sebab bagi saya, tanpa gimik lagu ini tak akan meletup. Saya bukan Siti Nurhaliza. Kalau kalian tak berfikiran moden (terbuka), maka fikiran akan duduk dalam kepompong yang sama. Bila industri muzik Malaysia nak naik kalau kalian semua tak nak menyokong?" getus bapa kepada enam orang cahaya mata itu.

Gara-gara klip video muzik tersebut juga, Aliff terdahulu dikecam hebat, bukan sekadar oleh netizen bahkan ibunya sendiri turut menyelar penghasilan yang didakwa kerja seni itu sebagai 'art tahi anjing'.

Kelepok Raya edaran Rusa Music merupakan lagu ciptaan sepenuhnya Azmi Hassan atau nama sebenarnya Amy Ukays dan muzik video diarahkan Nazril Azri.




Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: kosmo

Monday, April 18, 2022

Denda RM7.7 Juta Jika Tanam Guarana Di Malaysia!

Denda RM7.7 Juta Jika Tanam Guarana Di Malaysia!

Individu atau pihak di negara ini yang sengaja menanam pokok Guarana yang berasal dari Brazil boleh dikenakan denda sehingga R$10 juta Real Brazil (RM 7.7 juta).

Jabatan Pertanian Malaysia Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataannya memaklumkan, larangan itu adalah termaktub di bawah undang-undang Brazil (Access and Benefits Sharing of Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge).

Buah Guarana

Menurutnya, kerajaan Malaysia, jabatan, agensi, mana-mana syarikat atau individu yang menanam guarana adalah berisiko dikenakan tindakan perundangan oleh Kerajaan Brazil sekiranya tanaman ini dibiakkan atau dikomersialkan daripada biji benih yang dibawa masuk secara tidak sah.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan amaran, sita dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil (RM7.7 juta).

Jabatan Pertanian Malaysia sudah dimaklumkan oleh Ministry of Agriculture Livestock and Food Supply (MAPA) Brazil, melalui surat OFÍCIONº5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020 bahawa negara Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana bagi tujuan pemprosesan dan makanan manusia sahaja.

Berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan tumbuhan dari negara berisiko tinggi yang endemik kepada penyakit South American Leaf Blight (SALB) iaitu oleh kulat Microcyclus ulei kepada tanaman Hevea adalah dilarang, kecuali bagi tujuan penyelidikan.

Guarana atau nama saintifiknya Paullinia cupana adalah tanaman herba semulajadi di Lembah Amazon terutamanya di Brazil.

Lembah Amazon juga adalah kawasan penanaman getah dengan insiden serangan penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (South American Leaf Blight, SALB) yang amat tinggi.

Spora SALB yang menjangkiti tanaman getah akan menyebabkan pertumbuhan pokok getah terbantut dan tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif.

Keadaan ini boleh melumpuhkan industri getah negara yang bernilai lebih RM18 bilion setahun.

Penyakit ini mengakibatkan kegagalan industri getah di negara Brazil dan negara-negara SALB yang lain seperti Colombia, Costa Rica, Surinam dan Panama.

Berikutan larangan pengimportan guarana bagi tujuan penanaman oleh negara Brazil dan impak negatifnya kepada industri getah negara, Jabatan Pertanian tidak pernah membenarkan petani atau usahawan melaksanakan projek penanaman guarana untuk dikomersialkan di negara ini.

Ini adalah kerana sumber benih guarana yang dibawa masuk ke dalam negara ini secara haram untuk dikomersialkan adalah tidak sah dari sudut perundangan negara berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.

Penanaman guarana di Malaysia adalah berisiko membawa penyakit baharu lain seperti Colletotrichum guaranicola yang hanya dilaporkan menyerang spesis guarana.

Maklumat mengenai penyakit C. guaranicola adalah terhad dan akan menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan berlaku di Malaysia.

Selain itu, biji guarana yang sudah matang perlu diproses sebelum ekstrak guarana dapat digunakan bagi tujuan komersil.

Ini menunjukkan keperluan untuk penyediaan industri hiliran bagi pemprosesan guarana dan mendatangkan masalah kepada petani atau usahawan untuk menjual hasil tanaman selepas dituai sekiranya tiada pusat pemprosesan.

Sebelum ini tular dakwaan benih pokok ini dijual pada harga RM50 sepokok, cuba diedarkan di Sabah.

Untuk rekod, tanaman guarana masih lagi diharamkan di Sabah, malah kerajaan negeri tiada perancangan untuk membangunkan industri tanaman itu.

Guarana menjadi popular di Malaysia sebelum ini kerana dianggap mampu menjadi alternatif bagi menjana pendapatan lumayan kerana nilainya yang tinggi mencecah AS$1,600 sekilo bagi ekstrak 100 peratus.

Khasiat Guarana

Guarana atau nama saintifiknya, Paullinia cupana adalah sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil.

Pokok guarana mengeluarkan daun yang lebar dan berjambak bunganya dan terkenal dengan buahnya yang sebesar biji kopi.

Daun guarana juga dipercayai berupaya merawat kanser serviks dan mengurangkan ketagihan di kalangan penagih dadah.

Biji guarana juga dianggap sebagai alternatif kepada pembuatan tepung dan mengulas mengenai khasiat tepung guarana, produk itu dikatakan bebas gluten, 100 peratus organik, memiliki zat besi, tinggi kalsium dan DHA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hmetro

Tuesday, April 05, 2022

Solat Tarawih Pertama Di Hagia Sophia Selepas  88 Tahun!

Solat Tarawih Pertama Di Hagia Sophia Selepas 88 Tahun!

Pada malam Jumaat, malam Ramadhan pertama tahun 2022 (1443 hijrah), ribuan warga Turki beragama Islam merebut kesempatan menunaikan solat sunat tarawih di Hagia Sophia, yang merupakan solat tarawih pertama di masjid itu sejak 88 tahun yang lalu.

Tarawih Hagia Sophia

Bagi ketua Diyanet (badan awam Turki yang bertanggungjawab memantau rumah-rumah ibadat) Ali Erbas, ia merupakan detik yang tidak dapat dilupakan.

Sepanjang Ramadhan, solat tarawih akan diadakan di Hagia Sophia pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, selain pelbagai acara istimewa sempena bulan Ramadhan akan turut diadakan di situ.

Sebelum ini, umat Islam tidak berkesempatan menunaikan ibadat di Hagia Sophia sejak ia ditukar peranannya daripada muzium kepada masjid pada 2020, berikutan penguatkuasaan peraturan pencegahan Covid-19 termasuk larangan solat berjemaah di situ.

Tetapi, selepas melihat bilangan kes dan kematian Covid-19 menurun dan bilangan pesakit yang pulih meningkat, kerajaan Turki mengambil keputusan membuka semula Hagia Sophia bersempena kehadiran Ramadhan 2022.

Hagia Sophia pada asalnya merupakan sebuah gereja besar yang dibina atas titah Maharaja Rom Timur, Justinian I.

Dibina di atas tapak gereja lama yang telah runtuh, ia siap dibina pada 537 Masihi dan menjadi gereja utama Kristian Ortodoks selama hampir 900 tahun.

Hagia Sophia menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa seperti pertabalan maharaja baru, rampasan kuasa dan penjarahan oleh tentera Salib pada 1204.

Disebabkan statusnya sebagai antara mercu tanda Constantinople dan Rom Timur, ia turut dihiasi mozek figura-figura seperti imej maharaja-maharaja Rom dan figura utama agama Kristian.

Selepas Mehmed II dan angkatan Turki Uthmaniyah menakluk Constantinople pada 1453, peranan Hagia Sophia ditukar daripada gereja kepada masjid.

Ia kemudiannya menjadi kompleks masjid diraja dengan menara-menara masjid dan kubah-kubah ditambah pada bangunan tersebut. Sementara mozek-mozek figura yang dianggap bertentangan dengan prinsip syarak ditutup.

Peranan Hagia Sophia sekali lagi berubah selepas kemunculan Mustafa Kemal Ataturk sebagai pengasas Republik Turki moden pada 1923.

Ataturk mengambil keputusan menukar peranan Hagia Sophia sebagai muzium pada 1934 atas alasan ia merupakan simbol sekularisme dan mewakili masa silam Turki yang kaya dengan budaya pelbagai tamadun.

51 tahun kemudian, Hagia Sophia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Dalam tempoh ia bergelar muzium, wujud perdebatan ramai pihak berkenaan status Hagia Sophia. Ramai warga Turki berharap peranan asalnya sebagai masjid semasa era Turki Uthmaniyah dapat dikembalikan. Bagaimanapun, hujah ini ditolak oleh kelompok sekular yang berkuasa di Turki ketika itu.

Masjid Hagia Sophia

Hanya selepas Recep Tayyip Erdogan muncul di arena politik sebagai Perdana Menteri sebelum bergelar Presiden Turki, barulah idea ini mula direalisasikan.

Akhirnya, pada Julai 2020, Hagia Sophia dikembalikan peranannya sebagai masjid.

Begitupun, ramai mengkritik usaha ini termasuk Paus Francis dari Vatican dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Bagaimanapun, Turki langsung tidak memperdulikan kritikan pihak luar dan memberi jaminan bahawa semua warisan budaya Hagia Sophia akan terus dipelihara.

Malah, walaupun ia sudah bertukar peranan sebagai masjid, ia masih dibuka untuk kunjungan pelancong, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thepatriots

Monday, March 28, 2022

Will Smith Tampar Chris Rock di Pentas Oscar!

Will Smith Tampar Chris Rock di Pentas Oscar!

Pelakon Will Smith mengejutkan ramai setelah naik ke pentas dan menampar pelawak Chris Rock ketika anugerah Oscar pada Ahad (27/3/2022), yang menjadi penyampai untuk anugerah dokumentari terbaik menyindir penampilan isterinya, Jada Pinkett Smith dalam acara itu.

Will Smith Tampar Chris Rock

Insiden itu dilihat seperti dirancang pada mulanya namun menjadi serius selepas Will Smith selepas itu menjerit dari tempat duduknya agar Chris Rock tidak menyebut nama isterinya.

"Keep my wife's name out of your f***ing mouth (Jangan sebut nama isteri aku)," katanya.

Acara itu disiarkan lambat beberapa saat di Amerika Syarikat dan audionya dipotong daripada siaran ekoran bahasa kasar yang digunakan.

Ia bermula apabila Chris Rock menjadikan beberapa calon sebagai bahan jenakanya dan menyebut "Jada, saya sukakan anda. Saya tak boleh tunggu untuk tonton G I Jane II."

Dia merujuk watak utama dalam filem G I Jane pada 1997 yang berambut botak. Jada Pinkett Smith mengalami masalah keguguran rambut sejak 2018.

Ketika itulah Will Smith naik ke pentas dan menampar Chris Rock dan hadirin dilihat ketawa kerana memikirkan insiden itu dirancang.

"Oh wow! Will Smith baru saja lempang aku. Ia cuma jenaka GI Jane," katanya diiringi ketawa hadirin.

Will Smith mengulangi kata-kata agar nama isterinya tidak disebut dan turut berpaling ke arah hadirin di belakang dan menjeri ke arah mereka, yang kemudian berhenti ketawa dan kelihatan terkejut.

Will Smith barangkali menjadi perhatian utama dalam acara itu memandangkan dia juga kemudian menang trofi pelakon lelaki terbaik anugerah berprestij itu.

Anugerah itu menerusi lakonannya dalam King Richard sebagai Richard Williams, bapa kepada dua jaguh tenis, Venus dan Serena Williams.

"Saya ingin memohon maaf kepada Academy. Saya ingin memohon maaf kepada semua calon yang lain," katanya dalam ucapan kemenangan.

Dia bagaimanapun tidak memohon maaf kepada Chris Rock.


BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini