Wednesday, April 20, 2022

Aliff Syukri Nafi Lagu 'Kelepok Raya' Promosi LGBT

Aliff Syukri Nafi Lagu 'Kelepok Raya' Promosi LGBT

Aliff Syukri menafikan dakwaan segelintir pihak mengatakan dia adalah 'ejen' mempromosi dakyah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerusi peluncuran single raya terbaharunya, Kelepok Raya.

Lagu Kelepok Raya

Aliff berkata, tidak wajar sekiranya orang ramai sewenang-wenangnya menghakimi seseorang hanya berdasarkan luaran sedangkan apa yang penting adalah mesej ingin menerusi karya tersebut.

"Mereka yang terlibat (menari) dalam klip video merupakan penari profesional. Mereka ada kerjaya tetap. Seorang itu merupakan pensyarah dan ada seorang lagi itu, kerja sebagai askar.

"Dalam profesion askar pun ada biro atau exco kebudayaan tahu? Bila kalian menghina, tahu tak mereka semua ada tahap pendidikan yang tinggi, ada ijazah," katanya lagi.

Isteri Aliff, Datin Nur Shahida Mohd. Rashid, turut melantunkan vokalnya dalam lagu terbabit juga mempertahankan para penari dalam klip video yang dilancarkan dalam YouTube.

"Ada antara mereka yang dah kahwin dan punya isteri. Jadi, kita tak boleh nak hakimi orang daripada apa yang kita nampak sahaja sebenarnya.

"Netizen nampak lembut saja, terus cop golongan LGBT," ujar Shahida.

Aliff bagaimanapun akur dengan realiti bahawa netizen mempunyai hak untuk memberi komen apa sahaja, termasuk tentang dirinya yang masih tidak serik dan sengaja mengada-adakan gimik untuk meraih publisiti murahan.

"Beginilah, saya tak menafikan atau mengiyakan (tentang promosi dakyah LGBT). Netizen boleh komen apa sahaja. Orang kata saya buat gimiklah. Saya terbuka dan kalau orang nak maki hamun peminat-peminat, bagi saya mudah, yang buruk saya terima serta yang baik pun saya sedia terima.

"Sebab bagi saya, tanpa gimik lagu ini tak akan meletup. Saya bukan Siti Nurhaliza. Kalau kalian tak berfikiran moden (terbuka), maka fikiran akan duduk dalam kepompong yang sama. Bila industri muzik Malaysia nak naik kalau kalian semua tak nak menyokong?" getus bapa kepada enam orang cahaya mata itu.

Gara-gara klip video muzik tersebut juga, Aliff terdahulu dikecam hebat, bukan sekadar oleh netizen bahkan ibunya sendiri turut menyelar penghasilan yang didakwa kerja seni itu sebagai 'art tahi anjing'.

Kelepok Raya edaran Rusa Music merupakan lagu ciptaan sepenuhnya Azmi Hassan atau nama sebenarnya Amy Ukays dan muzik video diarahkan Nazril Azri.




Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: kosmo

Monday, April 18, 2022

Denda RM7.7 Juta Jika Tanam Guarana Di Malaysia!

Denda RM7.7 Juta Jika Tanam Guarana Di Malaysia!

Individu atau pihak di negara ini yang sengaja menanam pokok Guarana yang berasal dari Brazil boleh dikenakan denda sehingga R$10 juta Real Brazil (RM 7.7 juta).

Jabatan Pertanian Malaysia Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataannya memaklumkan, larangan itu adalah termaktub di bawah undang-undang Brazil (Access and Benefits Sharing of Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge).

Buah Guarana

Menurutnya, kerajaan Malaysia, jabatan, agensi, mana-mana syarikat atau individu yang menanam guarana adalah berisiko dikenakan tindakan perundangan oleh Kerajaan Brazil sekiranya tanaman ini dibiakkan atau dikomersialkan daripada biji benih yang dibawa masuk secara tidak sah.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan amaran, sita dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil (RM7.7 juta).

Jabatan Pertanian Malaysia sudah dimaklumkan oleh Ministry of Agriculture Livestock and Food Supply (MAPA) Brazil, melalui surat OFÍCIONº5/2020/DSV/SDA/MAPA bertarikh 8 Januari 2020 bahawa negara Brazil hanya membenarkan pengeksportan buah guarana bagi tujuan pemprosesan dan makanan manusia sahaja.

Berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan tumbuhan dari negara berisiko tinggi yang endemik kepada penyakit South American Leaf Blight (SALB) iaitu oleh kulat Microcyclus ulei kepada tanaman Hevea adalah dilarang, kecuali bagi tujuan penyelidikan.

Guarana atau nama saintifiknya Paullinia cupana adalah tanaman herba semulajadi di Lembah Amazon terutamanya di Brazil.

Lembah Amazon juga adalah kawasan penanaman getah dengan insiden serangan penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (South American Leaf Blight, SALB) yang amat tinggi.

Spora SALB yang menjangkiti tanaman getah akan menyebabkan pertumbuhan pokok getah terbantut dan tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif.

Keadaan ini boleh melumpuhkan industri getah negara yang bernilai lebih RM18 bilion setahun.

Penyakit ini mengakibatkan kegagalan industri getah di negara Brazil dan negara-negara SALB yang lain seperti Colombia, Costa Rica, Surinam dan Panama.

Berikutan larangan pengimportan guarana bagi tujuan penanaman oleh negara Brazil dan impak negatifnya kepada industri getah negara, Jabatan Pertanian tidak pernah membenarkan petani atau usahawan melaksanakan projek penanaman guarana untuk dikomersialkan di negara ini.

Ini adalah kerana sumber benih guarana yang dibawa masuk ke dalam negara ini secara haram untuk dikomersialkan adalah tidak sah dari sudut perundangan negara berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.

Penanaman guarana di Malaysia adalah berisiko membawa penyakit baharu lain seperti Colletotrichum guaranicola yang hanya dilaporkan menyerang spesis guarana.

Maklumat mengenai penyakit C. guaranicola adalah terhad dan akan menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan berlaku di Malaysia.

Selain itu, biji guarana yang sudah matang perlu diproses sebelum ekstrak guarana dapat digunakan bagi tujuan komersil.

Ini menunjukkan keperluan untuk penyediaan industri hiliran bagi pemprosesan guarana dan mendatangkan masalah kepada petani atau usahawan untuk menjual hasil tanaman selepas dituai sekiranya tiada pusat pemprosesan.

Sebelum ini tular dakwaan benih pokok ini dijual pada harga RM50 sepokok, cuba diedarkan di Sabah.

Untuk rekod, tanaman guarana masih lagi diharamkan di Sabah, malah kerajaan negeri tiada perancangan untuk membangunkan industri tanaman itu.

Guarana menjadi popular di Malaysia sebelum ini kerana dianggap mampu menjadi alternatif bagi menjana pendapatan lumayan kerana nilainya yang tinggi mencecah AS$1,600 sekilo bagi ekstrak 100 peratus.

Khasiat Guarana

Guarana atau nama saintifiknya, Paullinia cupana adalah sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil.

Pokok guarana mengeluarkan daun yang lebar dan berjambak bunganya dan terkenal dengan buahnya yang sebesar biji kopi.

Daun guarana juga dipercayai berupaya merawat kanser serviks dan mengurangkan ketagihan di kalangan penagih dadah.

Biji guarana juga dianggap sebagai alternatif kepada pembuatan tepung dan mengulas mengenai khasiat tepung guarana, produk itu dikatakan bebas gluten, 100 peratus organik, memiliki zat besi, tinggi kalsium dan DHA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hmetro

Tuesday, April 05, 2022

Solat Tarawih Pertama Di Hagia Sophia Selepas  88 Tahun!

Solat Tarawih Pertama Di Hagia Sophia Selepas 88 Tahun!

Pada malam Jumaat, malam Ramadhan pertama tahun 2022 (1443 hijrah), ribuan warga Turki beragama Islam merebut kesempatan menunaikan solat sunat tarawih di Hagia Sophia, yang merupakan solat tarawih pertama di masjid itu sejak 88 tahun yang lalu.

Tarawih Hagia Sophia

Bagi ketua Diyanet (badan awam Turki yang bertanggungjawab memantau rumah-rumah ibadat) Ali Erbas, ia merupakan detik yang tidak dapat dilupakan.

Sepanjang Ramadhan, solat tarawih akan diadakan di Hagia Sophia pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, selain pelbagai acara istimewa sempena bulan Ramadhan akan turut diadakan di situ.

Sebelum ini, umat Islam tidak berkesempatan menunaikan ibadat di Hagia Sophia sejak ia ditukar peranannya daripada muzium kepada masjid pada 2020, berikutan penguatkuasaan peraturan pencegahan Covid-19 termasuk larangan solat berjemaah di situ.

Tetapi, selepas melihat bilangan kes dan kematian Covid-19 menurun dan bilangan pesakit yang pulih meningkat, kerajaan Turki mengambil keputusan membuka semula Hagia Sophia bersempena kehadiran Ramadhan 2022.

Hagia Sophia pada asalnya merupakan sebuah gereja besar yang dibina atas titah Maharaja Rom Timur, Justinian I.

Dibina di atas tapak gereja lama yang telah runtuh, ia siap dibina pada 537 Masihi dan menjadi gereja utama Kristian Ortodoks selama hampir 900 tahun.

Hagia Sophia menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa seperti pertabalan maharaja baru, rampasan kuasa dan penjarahan oleh tentera Salib pada 1204.

Disebabkan statusnya sebagai antara mercu tanda Constantinople dan Rom Timur, ia turut dihiasi mozek figura-figura seperti imej maharaja-maharaja Rom dan figura utama agama Kristian.

Selepas Mehmed II dan angkatan Turki Uthmaniyah menakluk Constantinople pada 1453, peranan Hagia Sophia ditukar daripada gereja kepada masjid.

Ia kemudiannya menjadi kompleks masjid diraja dengan menara-menara masjid dan kubah-kubah ditambah pada bangunan tersebut. Sementara mozek-mozek figura yang dianggap bertentangan dengan prinsip syarak ditutup.

Peranan Hagia Sophia sekali lagi berubah selepas kemunculan Mustafa Kemal Ataturk sebagai pengasas Republik Turki moden pada 1923.

Ataturk mengambil keputusan menukar peranan Hagia Sophia sebagai muzium pada 1934 atas alasan ia merupakan simbol sekularisme dan mewakili masa silam Turki yang kaya dengan budaya pelbagai tamadun.

51 tahun kemudian, Hagia Sophia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Dalam tempoh ia bergelar muzium, wujud perdebatan ramai pihak berkenaan status Hagia Sophia. Ramai warga Turki berharap peranan asalnya sebagai masjid semasa era Turki Uthmaniyah dapat dikembalikan. Bagaimanapun, hujah ini ditolak oleh kelompok sekular yang berkuasa di Turki ketika itu.

Masjid Hagia Sophia

Hanya selepas Recep Tayyip Erdogan muncul di arena politik sebagai Perdana Menteri sebelum bergelar Presiden Turki, barulah idea ini mula direalisasikan.

Akhirnya, pada Julai 2020, Hagia Sophia dikembalikan peranannya sebagai masjid.

Begitupun, ramai mengkritik usaha ini termasuk Paus Francis dari Vatican dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Bagaimanapun, Turki langsung tidak memperdulikan kritikan pihak luar dan memberi jaminan bahawa semua warisan budaya Hagia Sophia akan terus dipelihara.

Malah, walaupun ia sudah bertukar peranan sebagai masjid, ia masih dibuka untuk kunjungan pelancong, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thepatriots

Monday, March 28, 2022

Will Smith Tampar Chris Rock di Pentas Oscar!

Will Smith Tampar Chris Rock di Pentas Oscar!

Pelakon Will Smith mengejutkan ramai setelah naik ke pentas dan menampar pelawak Chris Rock ketika anugerah Oscar pada Ahad (27/3/2022), yang menjadi penyampai untuk anugerah dokumentari terbaik menyindir penampilan isterinya, Jada Pinkett Smith dalam acara itu.

Will Smith Tampar Chris Rock

Insiden itu dilihat seperti dirancang pada mulanya namun menjadi serius selepas Will Smith selepas itu menjerit dari tempat duduknya agar Chris Rock tidak menyebut nama isterinya.

"Keep my wife's name out of your f***ing mouth (Jangan sebut nama isteri aku)," katanya.

Acara itu disiarkan lambat beberapa saat di Amerika Syarikat dan audionya dipotong daripada siaran ekoran bahasa kasar yang digunakan.

Ia bermula apabila Chris Rock menjadikan beberapa calon sebagai bahan jenakanya dan menyebut "Jada, saya sukakan anda. Saya tak boleh tunggu untuk tonton G I Jane II."

Dia merujuk watak utama dalam filem G I Jane pada 1997 yang berambut botak. Jada Pinkett Smith mengalami masalah keguguran rambut sejak 2018.

Ketika itulah Will Smith naik ke pentas dan menampar Chris Rock dan hadirin dilihat ketawa kerana memikirkan insiden itu dirancang.

"Oh wow! Will Smith baru saja lempang aku. Ia cuma jenaka GI Jane," katanya diiringi ketawa hadirin.

Will Smith mengulangi kata-kata agar nama isterinya tidak disebut dan turut berpaling ke arah hadirin di belakang dan menjeri ke arah mereka, yang kemudian berhenti ketawa dan kelihatan terkejut.

Will Smith barangkali menjadi perhatian utama dalam acara itu memandangkan dia juga kemudian menang trofi pelakon lelaki terbaik anugerah berprestij itu.

Anugerah itu menerusi lakonannya dalam King Richard sebagai Richard Williams, bapa kepada dua jaguh tenis, Venus dan Serena Williams.

"Saya ingin memohon maaf kepada Academy. Saya ingin memohon maaf kepada semua calon yang lain," katanya dalam ucapan kemenangan.

Dia bagaimanapun tidak memohon maaf kepada Chris Rock.


BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Thursday, January 20, 2022

Ayahanda Stroke Selepas Vaksin Booster, Mufti Perlis 'Perli' Pihak Berkuasa!

Ayahanda Stroke Selepas Vaksin Booster, Mufti Perlis 'Perli' Pihak Berkuasa!

Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin berkata, KKM dan kerajaan Malaysia tidak seharusnya menafikan kesan mudarat serius yang menimpa orang ramai susulan mengambil suntikan penggalak vaksin Covid-19.

Bapa Dr Asri Kena Strok Selepas Vaksin Booster

Katanya, dia tidak menafikan peranan vaksin sebelum ini yang telah mengurangkan penularan wabak Covid-19 dan mereka yang mengalami kesan buruk adalah golongan minoriti tetapi menegaskan kerajaan harus bertanggungjawab terhadap keselamatan setiap nyawa.

"Banyak aduan tentang kesan yang serius selepas dos ketiga. Ia bukan kisah dongeng tapi memang ramai yang mengalami atau melihat sahabat atau ahli keluarga alami. Tidak guna untuk menafikan.

"Benar, majoriti yang ambil tiada masalah. Saya dah ambil dos ketiga, tiada masalah. Ibu saya pun ambil, tiada masalah. Alhamdulillah.

"Namun ramai juga yang datang jumpa saya cerita kesan yang mereka alami. Ada mendakwa kematian berlaku mengejut selepas dos ketiga. Oleh kerana mereka orang kampung, mereka tiada saluran aduan rasmi," katanya.

Justeru, Dr Asri mencadangkan penangguhan pemberian dos ketiga sehingga dikeluarkan garis panduan dengan jelas mengenai siapa yang tidak wajar mengambil dos ketiga atau penggalak itu.

"State of denial (berada dalam penafian) tidak berfaedah jika masyarakat melihat realiti sebenar di hadapan mata mereka. Biar ada panduan jelas siapa yang layak dan siapa tidak layak ambil dos ketiga ini," katanya.

KKM Siasat Bapa Mufti Perlis Diserang Strok Selepas Vaksin Penggalak (Booster)

KKM Bohong Kesan Bahaya Vaksin

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kesan adverse - mudarat - susulan kes imunisasi (AEFI) membabitkan bapa Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin.

Dr Asri sebelum itu menyatakan kebimbangan kerana bapanya telah dimasukkan ke hospital selama lebih seminggu selepas keadaan kesihatannya menjadi lebih teruk selepas mendapat dos penggalak vaksin Covid-19.

"Pihak NPRA telah menghubungi hospital yang berkenaan dan mereka dalam proses menyiasat dan menyediakan laporan AEFI," kata Program Perkhidmatan Farmasi KKM pada satu kenyataan ringkas.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (singkatan NPRA) bertanggungjawab terhadap ujian, kelulusan dan pengawasan produk kesihatan termasuk penggunaan vaksin di Malaysia.

Dr Asri berkata bapanya muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang ketiga.

Menurutnya, seorang doktor menyatakan bapanya sekali lagi diserang angin ahmar di bahagian sensitif kepalanya.

Menulis di Instagram, asri membangkitkan soalan jika ia ada kaitan dengan vaksin.

"Punca masih tidak jelas. Apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau tidak? Saya tidak pasti.

"Hanya pakar yang dapat menjelaskan," kata mufti itu pada hantaran gambar dia menziarahi bapanya di hospital.

Dr Asri tidak menyatakan bila bapanya menerima dos penggalak atau jenis vaksin yang diterimanya.

Dia juga menggesa KKM supaya mengambil aduan yang serius mengenai AEFI dan menjalankan siasatan mengenai kesan sampingan vaksin terutamanya melibatkan kes vaksin didapati tidak sesuai kepada penerima.

Menurut Dr Asri, dia bimbang selepas mengetahui beberapa kes penerima vaksin meninggal dunia selepas mendapat dos penggalak.

Apa Harapan Yang Ada?

Negara Rasuah

Ahli politik yang mencuri terang-terangan didepan seluruh rakyat pun boleh terlepas dari hukuman, inikan pula setakat nyawa warga yang hina.

Lagipun, KOMISEN dari bisnes nyawa ini sangatlah lumayan.

Kerajaan haram tidak akan pernah peduli nyawa rakyat. Apa sangatlah kalau setakat 2-3 nyawa.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Monday, January 10, 2022

Aplikasi Scammer Melalui WhatsApp Mampu 'Sedut' Duit Dalam Akaun Bank!

Aplikasi Scammer Melalui WhatsApp Mampu 'Sedut' Duit Dalam Akaun Bank!

Berupaya mencipta pelbagai aplikasi khas khusus digunakan untuk menggodam telefon pintar mangsa selain menyedut duit simpanan di dalam akaun bank dalam tempoh masa singkat, kegiatan jenayah licik kian menjadi-jadi selepas ramai mangsa diperdaya penjenayah scammer profesional yang juga pakar membuat aplikasi khas untuk tujuan jenayah terancang itu.

Aplikasi Scam

Terbaharu, seorang ahli perniagaan, Samantha, 40, mendakwa rugi RM4,255 selepas telefon miliknya digodam scammer ketika dia cuba menempah perkhidmatan pembersihan.

Menurutnya, dia mengetahui perkhidmatan itu secara secara dalam talian bulan Disember 2021 lalu sebelum menghubungi melalui WhatsApp.

"Suspek kemudiannya menghantar pautan dan meminta saya memuat turun aplikasi khas untuk membuat temu janji. Tanpa curiga, saya masukkan butiran peribadi ke dalam aplikasi itu.

"Saya diarah bayar deposit RM20. Saya cuba buat pembayaran transaksi menggunakan nama dan kata laluan bank di telefon pintar.

"Namun skrin paparan pada pautan perbankan internet itu menjadi kosong. Saya cuba guna akaun bank lain namun perkara sama berlaku," katanya,

Menurutnya, dia terkejut mendapati berlaku pemindahan wang tanpa kebenaran RM3,655.40 melalui satu akaun bank miliknya.

"Saya terkejut mendapati RM600 dari akaun bank lain turut dipindahkan tanpa pengetahuan.

"Saya segera membuat laporan polis pada hari sama kerana mengesyaki seseorang menggodam telefon saya apabila saya memuat turun aplikasi itu," katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 35, kerugian RM5,670 selepas memuat turun aplikasi khas dihantar pihak kononnya menawarkan khidmat menjual kereta di bawah harga pasaran.

Menurutnya, dia yang tertarik membeli kereta model Audi A5 ditawarkan pada harga serendah RM40,000.

"Saya diminta memuat turun aplikasi khas kononnya bagi urusan tempahan kereta. Beberapa hari selepas memuat naik aplikasi itu pada Disember lalu, saya sedar wang simpanan saya hilang tanpa diketahui punca.

"Saya syak individu menawarkan kereta berkenaan menggodam maklumat peribadi saya," katanya,

Sementara itu seorang penyelia tapak binaan menjadi mangsa selepas memuat naik aplikasi ciptaan scammer ini yang turut mencuri data dan gambar peribadi mangsa bagi tujuan ugutan.

Mangsa, Mohamad Zulkaria, 40-an, memaklumkan menjadi mangsa sindiket ketika mahu memohon pinjaman peribadi baru-baru ini.

Dia mendakwa melihat iklan pinjaman wang berlesen sebelum menghubungi nombor tertera.

"Individu yang menjawab panggilan minta saya muat turun aplikasi nama Easy.., kononnya bagi memudahkan permohonan pinjaman dilakukan," katanya yang membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA.

Menurutnya, dia mengikut segala arahan diberi dengan memasukkan maklumat peribadinya ke dalam aplikasi dimuat turun itu.

Dia terkejut menerima panggilan rakan memberitahu mereka menerima mesej mendakwa saya ada pinjaman tertunggak. Malah salinan MyKad serta gambar intim bersama tunang didedahkan scammer terbabit kepada rakan saya.

"Saya terima panggilan telefon dari individu tidak dikenali menuntut hutang walaupun pinjaman belum diperoleh.

"Saya mengesyaki sindiket itu menggodam telefon saya menggunakan aplikasi itu," katanya yang sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Sementara itu Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong memaklumkan pihaknya menerima aduan membabitkan modus operasi sama dengan kerugian lebih RM500,000 sejak awal tahun 2021 lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hmetro

Friday, January 07, 2022

KKM Sahkan Dua Kematian Dan 18 Kes Serius Di Penjara Kajang Selepas Suntikan Dos Penggalak Covid-19!

KKM Sahkan Dua Kematian Dan 18 Kes Serius Di Penjara Kajang Selepas Suntikan Dos Penggalak Covid-19!

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan surat daripada pengarah penjara Kajang yang memperincikan 18 kes serius kejadian kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI), termasuk dua kematian banduan, selepas gambar surat itu tular di media sosial.

Meninggal Selepas Booster

KKM menyatakan bahawa mereka telah menerima laporan insiden AEFI dan kini masih menyiasat mereka yang diklasifikasikan sebagai AEFI serius.

KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memantau secara berterusan keselamatan penggunaan semua vaksin termasuk vaksin Covid-19 melalui pemantauan laporan AEFI.

Kesemua laporan yang dinyatakan dalam surat tersebut telah diterima oleh pihak NPRA, yang diklasifikasikan sebagai serius termasuk yang melibatkan kematian sedang dalam proses penyiasatan, menurut Pengarah NPRA Dr. Roshayati Mohamad Sani.

Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat serta Jabatan Kesihatan Selangor kemudiannya akan membentangkan hasil siasatan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin (JFK) Vaksin Covid-19 untuk menentukan sekiranya terdapat hubungan sebab akibat antara vaksin dan kesan buruk, merujuk kepada surat bertarikh 30 November 2021 yang dihantar oleh pengarah penjara Kajang kepada pejabat kesihatan daerah tempatan.

Dalam surat itu, pengarah berkenaan telah memperincikan 18 kes AEFI yang serius dan meminta penjelasan berhubung suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Daripada 18 kes itu, dua yang maut melibatkan penerima vaksin Pfizer, menurut surat itu.

Berdasarkan data yang tersedia secara umum daripada Kementerian Kesihatan, terdapat 124 laporan AEFI serius yang dikemukakan kepada NPRA berhubung vaksin Pfizer, daripada 5,788,459 dos yang diberikan sejak 1 November 2021.

APA SEBENARNYA DOS PENGGALAK DAN DOS KETIGA?

Berikut adalah 5 perkara yang antara perlu tahu tentang dos ketiga dan dos penggalak:

1. Dos ketiga vaksin COVID-19 adalah didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut (primary vaccine series).

2. Dos penggalak vaksin COVID-19 merupakan dos pemberian vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun yang cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut (primary vaccine series) tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa.

3. Vaksin Pfizer COVID-19 telah diluluskan sebagai dos penggalak.

4. Selang tempoh dari dos terakhir vaksin COVID-19 untuk pemberian dos ketiga adalah sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos kedua dan untuk dos penggalak adalah sekurang-kurangnya 6 bulan selepas dos kedua.

5. Golongan yang diberikan keutamaan untuk pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19 pada masa ini adalah:
  • i. Dos Ketiga: Golongan immunocompromise atau yang mempunyai sistem imun (ketahanan badan) yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan yang dianggarkan seramai 11,900 orang.
  • ii. Dos Penggalak: Warga Usia Emas iaitu mereka yang berusia lebih 60 tahun seramai 80,300 orang dan Petugas Barisan Hadapan Perubatan seramai 30,340 orang.

JANGAN TIPU RAKYAT

Secara berasingan, NGO Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut penjelasan lanjut mengenai proses vaksinasi untuk banduan penjara, yang mereka dakwa tidak memerlukan vaksinasi kerana mereka terpencil di dalam penjara.

"PPIM amat prihatin dengan fenomena ini memandangkan penjara adalah sebuah persekitaran yang tertutup yang mempunyai interaksi yang minimal dengan pihak luar.

"Kami menggesa pemberian vaksin untuk tahanan penjara ini dikaji semula, mungkin memberikannya atas keperluan sahaja, misalnya vaksin hanya diberikan kepada mereka yang bakal dibebaskan,” kata Presiden PPIM Nadzim Johan pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.

PPIM menggesa kerajaan mendedahkan sama ada banduan Kajang telah menerima suntikan penggalak mereka atau tidak.

Mereka juga ingin tahu berapa ramai banduan dalam negara yang telah menerima suntikan vaksin mereka dan pada tahap mana dos vaksin mereka.

Akhir sekali, mereka ingin tahu berapa banyak kes AEFI telah direkodkan dalam kalangan banduan penjara di seluruh negara setakat ini.

Nadzim menyoal jika ujian patologi terperinci telah dijalankan untuk semua kematian.

Adakah ahli keluarga si mati diberi maklumat yang benar, soalnya lagi.

Dan bagaimana dengan kes-kes kematian selepas vaksin covid-19 dan dos penggalak diseluruh negara?

Adakah KKM dan kerajaan yang sedang memerintah berbohong kepada rakyat?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2