Tuesday, May 30, 2017

Makna, Syarat Wajib Dan Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Makna, Syarat Wajib Dan Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Dari Ibnu Umar r.a. katanya, “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan kepada semua orang Islam, laki-laki, perempuan, orang yang merdeka mahupun hamba, 1 (satu) Sha’ kurma atau gandum.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Syarat-syarat bagi Wajib Zakat Fitrah
  1. Mempunyai lebihan makanan atau harta dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

5 waktu dan masa mengeluarkan zakat fitrah

1. Wajib. Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

2. Afdhal. Sebelum sembahyang Hari Raya.

3. Sunat. Sepanjang bulan Ramadhan.

4. Makruh. Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

5. Haram. Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Untuk mengelakkan suasana yang sibuk dan kesukaran bagi amil-amil dan juga kelalaian bagi pembayar itu sendiri sehingga melepasi waktu afdhal, maka dinasihatkan supaya zakat fitrah dikeluarkan lebih awal, iaitu mulai hari pertama bulan Ramadhan.

Maksud sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, “Maka sesiapa yang mengeluarkan (fitrah) sebelum sembahyang Hari Raya, maka itulah zakat yang diterima, dan sesiapa yang mengeluarkannya sesudah sembahyang Hari raya maka itu hanyalah merupakan sedekah sahaja.“

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kefardhuan Dan Hukum Mengeluarkan Zakat Fitrah

sumber: zakat-muib

Monday, May 29, 2017

Kadar Zakat Fitrah Malaysia 2017

Kadar Zakat Fitrah Malaysia 2017

Kadar bayaran zakat fitrah sepanjang Ramadhan 2017 di semua negeri seluruh negara menyaksikan tiada perubahan kecuali Johor yang melaksanakan penyeragaman.

Kadar Zakat Fitrah 2017 [2]

Kadar zakat fitrah di setiap negeri bagi bulan puasa tahun ini kekal dengan ditetapkan sama iaitu RM7 bagi seorang Muslim.

Perlis, Selangor, Terengganu, Sarawak serta Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan; menjadi negeri terakhir mengesahkan secara rasmi kadar zakat pada Ramadhan kali ini tetap sama, RM7.

Negeri yang turut meletakkan nilai kekal RM7 sebagai kadar zakat fitrah tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Sabah.

Manakala Negeri Sembilan dan Melaka juga tiada perbezaan apabila menetapkan kadar kekal masing-masing sebanyak RM6.50 dan RM6.70.

Johor melakar sejarah apabila Ramadhan kali ini memperlihatkan kadarnya diselaraskan kepada RM7 berbanding tahun-tahun terdahulu iaitu RM6 jika makan beras murah dan RM8 untuk beras premium.

Terengganu dan Perlis suatu ketika dahulu juga pernah menetapkan sehingga tiga kadar berbeza untuk pembayaran zakat fitrah bergantung kepada jenis beras dimakan sebelum diseragamkan kepada satu kadar.

Sementara itu, Majlis Ugama Islam Singapura dalam satu kenyataan mengisytiharkan kadar zakat fitrah untuk Ramadhan tahun ini ialah S$5.10 (RM15.75) bagi kadar biasa dan S$7.00 (RM21.62) bagi kadar lebih tinggi.

Ia meningkat sedikit berbanding S$6.90 (RM21.31) pada Ramadhan tahun lalu untuk beras premium tetapi untuk jenis murah, kadarnya tidak berubah kecuali perbandingan pada 2015 apabila ia ditetapkan S$4.90 (RM15.14).

Kadar rasmi tersebut menurut pihak majlis berkenaan adalah berdasarkan kepada pengiraaan purata harga 2.3 kilogram beras mengikut ukuran berat Baghdad yang dimakan oleh masyarakat Islam tempatan.

Sejak tahun 2005, majlis tersebut mula memperkenalkan dua kadar zakat fitrah berbeza iaitu menyertakan kadar lebih tinggi bagi individu Muslim yang berhasrat membayar zakat fitrah dengan lebih tinggi daripada kadar biasa.

Ini kerana mereka dikatakan secara lazimnya lebih berkemampuan dan menggunakan gred beras lebih mahal.

Senarai Bayaran Zakat Semua Negeri Ramadhan 2017
  • Perlis - RM7.00
  • Kedah - RM7.00
  • Perak - RM7.00
  • Selangor - RM7.00
  • Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Labuan) - RM7.00
  • Negeri Sembilan - RM6.50
  • Melaka - RM6.70
  • Johor - RM7.00
  • Pahang - RM7.00
  • Terengganu - RM7.00
  • Sabah - RM7.00
  • Sarawak - RM7.00

Selamat berpuasa dan jangan lupa bayar zakat.

BACA INI JUGA: Zakat Fitrah Patut Hasilkan 700 Jutawan Di Malaysia?

sumber: mynewshub

Tuesday, June 28, 2016

4 Julai Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal 1437 Hijrah (2016)

4 Julai Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal 1437 Hijrah (2016)

Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa 2016 adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal.jpg

Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh "Hari Raya Puasa 2016" telah ditetapkan pada petang Isnin, 4 Julai bersamaan 29 Ramadhan 1437 Hijrah, menurut kenyataan terbaharu Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa melalui radio dan televisyen,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, anak bulan Syawal akan dilihat di 29 lokasi di seluruh negara iaitu:
  • JOHOR: Pontian Kecil
  • MELAKA: Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu (Tanjung Bidara)
  • NEGERI SEMBILAN: Telok Kemang (Port Dickson)
  • SELANGOR: Bukit Melawati (Kuala Selangor), Bukit Jugra (Banting), Balai Cerap Selangor (Sabak Bernam)
  • PERAK: Pantai Pasir Panjang (Manjong) PULAU PINANG: Pusat Falak Sheikh (Pantai Acheh)
  • KEDAH: Kampung Pulau Sayak (Kuala Muda), Pemandangan Indah (Pulau Langkawi), Menara Alor Setar
  • TERENGGANU: Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut), Balai Cerap KUSZA (Setiu)
  • KELANTAN: Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling (Kuala Krai), Menara Bangunan SEDC (Kota Baharu)
  • SARAWAK: Tanjong Lubang (Miri), Teluk Bandung & Tanjung Batu (Kuching)
  • SABAH: Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil (Putatan)
  • PAHANG: Bukit Tanjong Batu (Nenasi), Gunung Brinchang (Cameron Highlands), Bukit Pelindong (Kuantan)
  • LABUAN: Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah
  • KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur
  • PUTRAJAYA: Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
  • PERLIS: Kuala Sungai Baru (Simpang Empat).

BACA INI JUGA: Benarkah Iblis Dan Syaitan Dirantai Pada Bulan Ramadhan?

Sumber: BERNAMA

Wednesday, June 22, 2016

Hukum Wanita Pakai Gincu Pada Bulan Ramadhan Yang Ramai Tidak Tahu

Hukum Wanita Pakai Gincu Pada Bulan Ramadhan Yang Ramai Tidak Tahu

Saya ingin bertanya mengenai hukum memakai gincu bagi wanita, terutama ketika Ramadan. Adakah batal puasa jika tertelan sewaktu membasahkan bibir?

Wanita Pakai Gincu Pada Bulan Ramadhan.jpg

ZIE, Puchong

Hukum bergincu untuk tabbarruj atau berhias adalah diharamkan, berdasarkan firman Allah kerana ia amalan jahiliyah.

Firman Allah yang bermaksud, “...dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu bertabarruj (yakni berhias dan bertingkah laku) seperti orang jahiliyah yang dahulu...” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ia termasuk bersolek dengan solekan yang boleh menimbulkan perasaan ghairah lelaki. Ini termasuk memakai gincu bibir, memakai pipi merah dan berwangi-wangian di luar rumah. Hukum bergincu dari segi orang yang berpuasa boleh dibahagikan kepada tiga.

Pertama, jika sengaja bergincu adalah dimakruhkan tanpa sebarang tujuan, manakala jika tertelan sesuatu darinya, maka batallah puasanya. Wajib pula menqadanya atau menggantikannya pada bulan lain.

Kedua, bergincu bertujuan sekadar melembabkan bibir, jika tiada rasa atau sesuatu benda sampai ke kerongkong, maka hukumnya harus.

Ketiga, bergincu bertujuan perubatan dan terdesak adalah dibolehkan kerana tujuan yang mendesak itu.

Jika tertelan secara tidak sengaja dalam bentuk yang sangat sedikit, adalah dimaafkan. Sebagaimana disandarkan kepada hukum merasa makanan ketika seseorang itu berpuasa. ­

Wallahu a'lam.

Oleh: Ustaz Haslin Baharin

BACA INI JUGA: Adakah Sah Puasa Jika Tidur Sepanjang Hari?

Sumber: Lamankongsi

Thursday, June 16, 2016

7 Cara Mengatasi Wajah Tak Berseri Di Bulan Puasa

7 Cara Mengatasi Wajah Tak Berseri Di Bulan Puasa

Wajah tak berseri sekalipun berpuasa, itu tidak bermakna kita harus biarkan muka tak berseri! Sebenarnya menjaga kesihatan kulit agar muka tak berseri itu dapat disembunyikan ketika berpuasa sangat mudah dan mudah.

7 Cara Mengatasi Wajah Tak Berseri Di Bulan Puasa.jpg
Gambar hiasan.

Biarpun kita berpuasa, terpaksa menahan diri daripada lapar dan dahaga selama beberapa jam, namun ia tidak menyebabkan kulit menjadi kering.

Hilangkan muka tak berseri yang terpamer di wajah anda ketika berpuasa ini dengan mengikuti beberapa tips yang di bawah. Semoga kulit anda tetap sihat, segar dan cantik sepanjang masa!

Atasi Muka Tak Berseri Di Bulan Puasa dengan langkah mudah ini;

1. Makan Buah & Sayur-Sayuran

Pastikan anda mengambil buah-buahan dan juga sayuran yang mencukupi ketika bersahur dan berbuka puasa.

Pengambilan buah-buahan dan sayuran secara rutin sepanjang bulan puasa akan membantu anda menjaga kulit agar tetap sihat, segar dan cantik.

Sebaiknya pilih buah-buahan yang mengandungi vitamin C sewaktu berbuka.

Selain baik untuk kulit, vitamin C juga membantu untuk meningkatkan daya ketahanan tubuh anda. Supaya tubuh terhindar daripada masalah dehidrasi ketika berpuasa, anda disarankan untuk memakan buah-buahan yang banyak mengandungi air seperti buah tembikai, anggur, betik, dan anggur supaya keperluan cecair dalam tubuh dapat dipenuhi.

Cecair dalam tubuh adalah sumbangan terbesar untuk menjaga kesegaran dan kelembapan kulit tubuh dan wajah anda.

2. Jangan Lupa Pakai Pelembab

Selain itu, merawat kulit dari luar juga boleh dilakukan dengan pemakaian pelembab. Gunakan pada setiap hari dan pilih yang benar-benar sesuai dengan jenis kulit anda supaya tidak meninggal efek yang tidak baik untuk kulit sehingga muka tak berseri.

Di samping itu, cubalah lakukan perubahan gaya hidup sederhana – menjaga stres sebaik mungkin dan bersenam.

3. Elakkan Kosmetik Yang Mengandungi Sulfur

Sebaiknya hindari pemakaian produk kosmetik yang banyak mengandungi sulfur kerana ia boleh membuatkan kulit anda menjadi kering, nampak kusam sehingga muka jadi tak berseri.

4. Minum Air Putih Secukupnya

Air putih sangat bermanfaat untuk kesihatan tubuh dan kulit. Minumlah air putih yang secukupnya pada waktu bersahur dan berbuka puasa.

Di samping itu, elok juga jika anda ambil vitamin tambahan seperti vitamin C, E,D dan A agar badan dan kulit anda menjadi lebih segar dan mantap.

5. Boleh Juga Jika Mahu Buat Facial!

Jika anda mahu wajah anda dibelai-belai, boleh juga anda luangkan waktu untuk melakukan facial agar perawatan kulit anda lebih optimum.

Namun, anda disarankan melakukan facial secara rutin untuk mengatasi kulit kering serta kusam pada ketika menjalankan puasa.

6. Ambil Produk Whole Wheat

Selain itu, anda juga digalakkan mengambil produk-produk whole wheat yang kaya dengan selenium. Selenium yang banyak terkandung dalam produk whole wheat mampu meregenerasi kulit agar cepat mengganti sel-sel kulit yang mati. Selenium juga elok untuk menjaga kulit agar tetap bersih dan bebas jerawat.

7. Atasi Lingkaran Hitam

Untuk mengurangi lingkaran hitam pada kawasan mata, anda disarankan makan daging merah. Ia sangat bagus untuk mengurangi masalah lingkaran hitam dan lebam yang membuatkan muka tak berseri!

Ketika cuaca, pastikan anda menggunakan shades untuk melindungi kulit halus di sekitar mata anda.

BACA INI JUGA: Doa Penyeri Dan Pemanis Wajah Nabi Yusuf

Sumber: Wow

Sunday, June 12, 2016

Amalan Suami Isteri Patut Buat Pada Bulan Ramadhan

Amalan Suami Isteri Patut Buat Pada Bulan Ramadhan

Ramadhan seharusnya menjadi satu permulaan pada perkara yang baik jika ingin berubah. Suami isteri misalnya, wajar menjadikan bulan penuh kemuliaan ini sebagai satu titik tambah untuk memperbaiki hubungan dan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang sedia ada.

Keluarga+Bahagia

Sebagai perkongsian Ramadan kali ini, apa kata anda suntik pembaharuan dalam hubungan sambil memupuk ikatan yang lebih utuh.

Selain mengeratkan kasih sayang, anda juga mengaut begitu besar pahala di bulan yang penuh berkat ini. Apa yang perlu anda lakukan?

1. Ajakan Berhijab

Jika isteri anda tidak menutup aurat dengan sempurna, ajaklah dia menutup auratnya di bulan yang mulia ini dengan lembut.

Jadikan ini medan percubaan untuknya tampil cantik sambil menuntut kehendak agama. Mana tahu apabila habis Ramadhan hatinya terbuka untuk berhijab penuh. Bonus bukan?

2. Pilih Memasak

Jika juadah bazar Ramadhan selalunya menjadi pilihan berbuka, apa kata ubah kebiasaan ini dengan menyediakan makanan sendiri untuk suami dan anak-anak.

HR at-Tirmizi menyebut, "Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa."

Ubah kelainan dan rasai nikmatnya kala makanan habis licin dijamah.

3. Jemaah & Tarawih

Tarawih solat yang membezakan bulan puasa dengan bulan-bulan lain. Ajaklah isteri atau suami untuk bertarawih di masjid bersama. Perjalanan ke masjid pastinya buat hubungan tambah erat selain memberikan situasi berbeza.

4. Sedekah Tiap Hari

Tangan yang memberi pastinya lebih baik daripada yang menerima. Jadikan tangan anda sebagai tangan yang memberi.

Ajak suami atau isteri bersedekah setiap hari di mana sahaja sepanjang bulan puasa ini. Jadikan ini teladan pada bulan-bulan seterusnya.

5. Cahaya Tahajud

Mengejar malam lailatul qadar pastinya lebih indah bila dilakukan bersama suami dan isteri tercinta.

Ajak lembut pasangan anda untuk sama-sama bangun dan bersolat penuh khusyuk keduanya menghadap Ilahi. Ganjarannya bukan sedikit, kenikmatan pasti dirasai bersama.

6. Kucup Dahi

“Rasulullah SAW sentiasa mencium dahi isterinya dalam bulan Ramadhan. Ketika itu Baginda sedang berpuasa.”

Hadis ini jelas membuktikan, Nabi SAW tetap memberikan kasih sayang baginda kepada isteri tanpa mengira waktu. Tabiat ini wajar dicontohi oleh semua suami kerana ciuman itu tanda sayang sejati.

Rebutlah ganjaran pada bulan Ramadhan yang mulia ini untuk berubah. Jika ciuman sudah dianggap janggal untuk anda, mulakannya semula.

Tahukah Anda

Bacaan al-Qur'an secara tadarus suami dan isteri sememangnya digalakkan, malah besar manfaatnya.

Ajak suami mengambil sebahagian juz al-Qur'an dan selebihnya diberikan kepada isteri. Berusahalah untuk khatam al-Qur'an bersama-sama sambil merasa nikmatnya.

BACA INI JUGA: Posisi Hubungan Intim Mampu Kuruskan Badan!

Sumber: Mingguanwanita

Saturday, June 11, 2016

Kesilapan Yang Kerap Di Lakukan Ketika Bulan Ramadhan

Kesilapan Yang Kerap Di Lakukan Ketika Bulan Ramadhan

Kini bulan yang penuh keberkatan dan dijanjikan ganjaran yang tidak ternilai oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam iaitu bulan Ramadhan sudah tiba.

Kesilapan ramadhan.jpg

Bulan yang amat dirindui oleh mereka yang beriman dan akan mengambil kesempatan untuk mempelbagaikan amalan bagi menjadikan Ramadhan kali ini yang terbaik berbanding sebelumnya.

Selain membuat persiapan dari segi mental dan fizikal dalam usaha mengharungi cabaran ibadah, umat Islam harus peka dengan perbuatan yang kadang-kadang dilakukan dalam keadaan tidak sedar.

Kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini.

Antara yang saya maksudkan adalah:-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).

Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum.

Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda.

"Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469).

Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya: " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat: 18)

Ertinya: "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): Wahai Rasulullah: " Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t); jawab Nabi: Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" (Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa.

Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa.

Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu (samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari.

Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat.

Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.

Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dan didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki.

Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba.

Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan SAW:- Ertinya: menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit: Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram.. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (Riwayat Muslim, no 1015, 2/703; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?

Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut:-

Ertinya: "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

Ertinya: "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" (Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi: Sanadnya sohih)

Infografik disertakan ini boleh dijadikan panduan yang akan membantu kita mengelakkan diri dari melakukan kesilapan seperti yang dinyatakan ketika menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Kesilapan+Dibulan+Ramadhan.jpg

Sila kongsikan artikel ini untuk manfaat bersama.

Selamat berpuasa buat umat Islam.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Kelebihan Buah Kurma Berbanding Buah-buahan Lain?

Sumber: Zaharuddin