Monday, November 26, 2018

Dulu Pelajar Tercorot, Kini Miliki PhD

Dulu Pelajar Tercorot, Kini Miliki PhD

Pernah menjadi pelajar tercorot, gagal mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)cemerlang juga dikatakan masa hadapanya gelap. Itu pengalaman dilalui oleh Prof. Madya Dr Midhat Nabil apabila mengenang kembali kisah perjalanannya ketika dibangku sekolah dan kisahnya tular di media sosial.

Prof. Madya Dr Midhat
Prof. Madya Dr Midhat bersama isteri.

Katanya, dia terpanggil untuk berkongsi pengalaman ketika belajar kerana mahasiswanya menyangkakan dirinya adalah seorang pelajar cemerlang. Tetapi realitinya adalah tidak.

Memetik Facebook miliknya, beliau memberitahu, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah baik dengan memperolehi 2A 2C.

Selepas itu, prestasi akademik terus merundum, disebabkan oleh sifat malas belajar yang ada pada dirinya.

Bagi keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), beliau hanya mendapat 2A sahaja dan C bagi subjek Matematik, sekali gus meranapkan impiannya untuk memasuki aliran Sains.

Tanpa kerelaan, beliau mengambil aliran perakaunan tetapi nasib menyebelahinya apabila pihak sekolah membuka peluang pelajar aliran lain untuk mengambil aliran Sains.

Pada awalnya, beliau dikatakan tidak layak memasuki kelas aliran Sains tetapi telah berjanji kepada gurunya untuk belajar bersunguh-sungguh.

Sebaik mengikuti aliran Sains, beliau berasa kesal kerana membuat keputusan silap berikutan subjek Sains Tulen sukar terutama subjek Metamatik Tambahan yang dianggap sebagai 'killer subject'.

Hidupnya diselubungi kegelapan apabila setiap tahun, keputusan peperiksaan sangat teruk dan antara tercorot di dalam kelas.

Akhirnya, keputusan SPM sebenar, beliau tidak memperolehi satu A dan guru memberitahu, masa hadapannya gelap gara-gara sikapnya tidak mahu berubah.

Susulan menerima keputusan itu, Dr Midhat, cuba menyambung pelajar di pelbagai institusi, malangnya ditolak dan bermulalah episod dirinya bergelar seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di Bangi.

Selepas enam bulan, beliau telah bertukar kerja sebagai pembantu jualan pula di farmasi.

Pelbagai rintangan diharungi termasuk pernah gagal dalam program diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi kursus Pra-Sains.

Setelah berjaya memasuki program di UiTM Jengka Pahang, beliau hanya memperolehi keputusan CGPA 1.92.

Bagaimanapun, tuah berpihak kepadanya, apabila diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.

Bermula dengan langkah kanan, dirinya nekad untuk berjaya dan telah memperolehi CGPA 3.25.

Pelbagai usaha dilakukan seperti rajin berjumpa dengan pensyarah, banyak mengulangkaji, mencari maklumat di perpustakaan dan menyertai 'study group'.

Beliau telah melanjutkan pengajian diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis, kemudian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dan berjaya menjadi pelajar pertama yang memperolehi keputusan Kelas Pertama bagi fakulti tersebut.

Tidak terhenti di situ sahaja, beliau juga mengikuti Masters dalam bidang Biochemical Engineering (by Coursework) di School of Chemical Engineering, University of Birmingham, Amerika Syarikat dan dinobatkan antara dua pelajar terbaik dalam program tersebut sekaligus menawarkan pengajian PhD di dalam bidang Chemical Engineering oleh universiti yang sama.

Meskipun dulu, beliau pernah menjadi pelajar tercorot, tetapi dia kini berjaya menamatkan pengajian PHD dalam tempoh empat tahun malah dicalonkan untuk anugerah Tesis Terbaik.

"Yang paling penting adalah belajar dari kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa.

"Insya-ALLAH kalau saya boleh berjaya, semua pun pasti boleh melakukannyam," katanya.

Jadi, apa yang adik-adik mampu pelajari dari kisah diatas? Jawabnya, jangan berputus asa. Semoga berjaya.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Wednesday, November 07, 2018

Anak Umur 7 Tahun Belum Pandai Membaca, Adakah Ibu Bapa Perlu Risau?

Anak Umur 7 Tahun Belum Pandai Membaca, Adakah Ibu Bapa Perlu Risau?

Setujukah anda, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca? Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya.

Anak membaca
Gambar hiasan.

Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak sama perkembangan pembelajarannya.

Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya.

***

Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.

Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah?

Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?

Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.

Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun.

Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri dan matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.

Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.

Apa Yang Saya buat?

Antaranya saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat;
  • Mengadakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini.
  • Adakan kelas tambahan membaca.
  • Latih tubi membaca setiap hari.

Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR!

Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik.

Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.

Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh membaca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai.

TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh membaca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa.

Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.

Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh membaca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi.

Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.

Saya juga perasan, anak-anak yang tidak pandai membaca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.

Saya Mula Tertanya Mengapa?

Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar kesilapan saya.

Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.

Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.

Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN.

Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.

Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah. Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak.

Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu.

Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu menggilap potensi tersebut.

Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat memberi galakan, sokongan dan dorongan untuk anak.

Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
  • Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
  • Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
  • Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
  • Perkembangan kerohanian - terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
  • Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
  • Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.

Malah, mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.

Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah?

Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja. Bukankah bermain kerja hakiki anak?

Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain jadi, biarkan anak-anak bermain;
  • Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi.
  • Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
  • Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
  • Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
  • Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
  • Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.

Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca?

Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah?

Mengapa pihak TADIKA perlu stres mengajar anak-anak membaca dan memberi pula kerja rumah yang banyak.

Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh membaca dengan baik sebelum masuk tahun 1.

Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1.

Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh membaca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.

Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh membaca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.

Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun

Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ini, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya.

Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah. Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin.

Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.

Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar.

Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.

Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.

Pendidikan Awal Anak Di Jepun

Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.

Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila anak masuk tahun 1, sebolehnya anak mesti sudah boleh membaca dengan baik.

Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.

Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya.

Bukankah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca.

Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan. Lain orang mungkin lain pandangan.

Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.

Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya.

Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka.

Tugas kita adalah memberi dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja.

Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat mereka.

Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan sebagai ibu bapa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mingguanwanita

Wednesday, June 06, 2018

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Tahukah anda graduan berkemahiran apa yang susah hendak mendapatkan peluang pekerjaan? Berikut adalah 6 bidang kemahiran yang graduannya sukar mendapatkan peluang pekerjaan, menurut laporan Kementerian Pengajian Tinggi.

1. Perakaunan

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Jawatan Akauntan adalah satu bidang yang memerlukan kelulusan professional namun tidak memerlukan sumber pekerja yang ramai.

Memerlukan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan Inggeris yang cekap, graduan perakaunan mempunyai kemahiran yang sangat spesifik jika dibandingkan dengan graduan-graduan lain seperti perbankan atau perniagaan.

Pendapatan seorang akauntan yang berkelayakan ACCA sebenarnya menarik namun persaingan yang sengit membuatkan ramai graduan akauntan tiada peluang pekerjaan.

2. Sains Sosial

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Sains sosial meliputi pelbagai bidang seperti sejarah, komunikasi, geografi, sosiologi, hubungan antarabangsa dan hubungan industri sebagai contoh, namun permintaan untuk bidang-bidang ini semakin lama semakin menguncup.

Kekurangan keperluan pakar dalam bidang ini terutamanya pada sektor swasta menyukarkan graduan mendapat tempat dalam industri yang kini bergerak ke arah lebih mencari pakar-pakar yang mempunyai kemahiran praktikal.

3. Seni

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Tidak ada perincian kursus tentang kemahiran seni mana yang dimaksudkan tetapi kami merasakan melihat keadaan ketika ini, kebanyakan graduan yang susah hendak mendapatkan peluang pekerjaan adalah graduan yang mengambil seni halus dan seni reka, yang melibatkan hasil pertukangan seperti tekstil, logam dan lain-lain.

Graduan yang keluar sebenarnya mempunyai kemahiran yang cukup tinggi tetapi dengan kemajuan teknologi yang semakin banyak menggantikan kemahiran tangan, persaingan ini nampaknya semakin tidak menguntungkan graduan-graduan.

4. Pengurusan Sumber Manusia

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Kursus ini sebenarnya adalah satu cabang lain dalam ilmu perniagaan cuma bezanya difokuskan lebih kepada aspek komunikasi dan etika perniagaan.

Kita semua Jabatan Sumber Manusia atau HR Department adalah Jabatan yang bertindak menyelia dan menguruskan semua perkara tentang pekerja dari aspek pengambilan, gaji, disiplin, latihan sehinggalah menguruskan pemberhentian pekerja.

5. Sains Gunaan

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Program Sains Gunaan sebenarnya cukup penting dalam pembangunan sesebuah negara kerana ini merangkumi 4 cabang penting dalam bidang penyelidikan iaitu biologi, kimia, geologi dan fizik.

Tidak ada penjelasan khusus dari KPT berkenaan mana satu cabang yang dimaksudkan terjejas teruk.

Bidang sains gunaan bergantung kepada cabang sains yang dipilih dan kebanyakan graduan yang terhasil dilatih untuk mempunyai kemahiran dalam bidang penyelidikan, yang mungkin kurang diperlukan dalam industri negara kita setakat ini.

6. Pengurusan perniagaan/Pengajian perniagaan

6 Bidang Pengajian Paling Ramai Graduan Menganggur di Malaysia

Kebanyakan kursus perniagaan bertujuan menghasilkan graduan yang arif tentang amalan perniagaan dan pentadbiran.

Graduan dilatih untuk menjadi pengurus, perunding, pentadbir atau mungkin juga usahawan yang professional.

Semasa melalui kursus, graduan telah pun disediakan ilmu dalam bidang pengurusan, perakaunan, kewangan, pemasaran, ekonomi, undang-undang dan pelbagai lagi cabang lain.

***

Sebagai maklumat tambahan, bukan sahaja di Malaysia mengalami masalah ini.

Di Australia juga, masalah graduan sains yang menamatkan pengajian tanpa mendapat peluang pekerjaan juga berlaku.

Di negara-negara United Kingdom juga dilaporkan, hampir 50 ribu graduan dalam pelbagai bidang terpaksa bekerja dalam bidang yang langsung tidak memerlukan kelulusan pendidikan tinggi, seperti pekerja kilang, penghantar barang dan pekerja am.

Daripada keseluruhan jumlah graduan pada tahun 2016, 14 ribu graduan langsung tidak bekerja.

Jelaslah, fenomena ini bukan sekadar berlaku di negara kita, tetapi juga di negara-negara lain.

Saya pasti KPT mempunyai idea untuk menangani permasalahan ini namun persoalannya, adakah pendidikan tinggi patut dibentuk oleh kehendak industri yang akan menempatkan graduan-graduan ini selepas tamat belajar atau pendidikan tinggi sepatutnya mencorakkan industri yang akan dibentuk dalam negara?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, May 25, 2018

Sistem Pendidikan Baru Gantikan KBAT, Pelajar Tidak Lagi Jadi Robot!

Sistem Pendidikan Baru Gantikan KBAT, Pelajar Tidak Lagi Jadi Robot!

Dr Maszlee Malik telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan bagi menggantikan Tun Mahathir yang diumumkan sebelum ini dan melihat kepada latar belakangnya yang agak akademik iaitu bekas pensyarah UIAM, penceramah motivasi, seorang yang kuat pendidikan agama, sudah tentu ideanya amat dinanti-nantikan oleh ibu bapa dan golongan pelajar khususnya.

Sistem Pendidikan Baru Gantikan KBAT, Pelajar Tidak Lagi Jadi Robot!

Dalam satu temuramah beliau bersama Astro Awani, Dr Maszlee akan menerapkan konsep pembelajaran dari filem 3 Idiots dalam Malaysia baru dalam tempoh 5 tahun ini.

Mungkin bagi pelajar yang tak berapa nak faham, dalam erti kata lain, korang dah tak payah jadi robot lagi kerana sebelum ini asyik exam, exam dan exam sehingga anak-anak berasa stres kerana sistem pendidikan kita berorentasikan peperiksaan dan bukan mengenal pasti apa minat pelajar.

Insya Allah, selepas ini pelajar akan dinilai berdasarkan minat dan bukannya berdasarkan kecemerlangan dalam pendidikan semata-mata.

Baca perkongsian yang ditulis oleh saudara Akhi Fairuz Al-Jengkawi dalam facebooknya.

Ada yang tak dapat tangkap, maksud Dr Maszlee Malik dalam Astro Awani tadi, “Kita akan terapkan konsep pembelajaran dari filem 3 Idiots dalam Malaysia baharu, 5 tahun ini.”

Yang kurang jelas, mesti tak pernah tonton filem lakonan Amir Khan ini.

Baik, mari saya jelaskan pengisian dalam filem berkenaan:

1. Amir Khan mahu mengajak masyarakat untuk memandang anak-anak berdasarkan bakat dan kemahiran yang mereka ada.

Jika anak minat fotografi, jangan paksa anak untuk jadi engineer.

2. Berlumba-lumba untuk dapatkan keputusan cemerlang.

Mahu straight A, dapat nombor 1 dalam kelas, menjawab soalan berdasarkan skema jawapan yang diberikan, akhirnya pelajar menjadi robot, tak kreatif, takut, stress, mengalami depression dan bunuh diri.

3. Ada satu babak yang sangat menarik dalam filem ini.

Prof Virus mengamuk di pejabat bila mana Amir Khan mencabar pegangannya selama ini.

Maka, ditarik tangan Amir Khan masuk ke bilik kuliah dan disuruh mengajar.

Scene ini sangat menarik, Amir Khan mahu beritahu, dia bukan mahu tunjuk pandai, tetapi menunjukkan cara mengajar yang sebenar. Win!

4. Subjek yang kita belajar di sekolah harus diterjemahkan di dalam kehidupan.

Macam Amir Khan di awal babak masuk ke kampus, hingga senior di situ terkena renjatan elektrik.

Rakannya Farhan dan Raju memberitahu, mereka belajar bab itu, tetapi Amir Khan praktikkannya. Genius!

5. Mahu belajar engineering harus berdasarkan minat, bukan paksaan dari sesiapa.

Inilah prinsip yang Amir Khan pegang hingga menjadi seorang Profesor terbilang di hujung cerita.

6. Setiap pelajar berhak untuk menyatakan pendapat, walau pandangan pengajarnya salah.

Sebagai contoh, babak Prof Virus menunjukkan pen yang dicipta dengan nilai jutaan ringgit dan ia hanya digunakan untuk menulis di angkasa.

Akhirnya, Amir Khan kata kenapa tak guna pensel sahaja, kan boleh jimat duit tu. Win!

7. Pelajar yang beria-ia fokus dalam kelas, anak emas guru serta ulat buku tidak semestinya bagus dalam semua perkara.

Dalam filem ini, Amir Khan paparkan watak Silencer yang berlagak konon dirinya paling pandai, tetapi kerjaya yang dibina tak mampu melawan Amir Khan, yang betul-betul minat dalam bidang kejuruteraan.

Cukup 7 point ini rasanya.

Sangat jelas gagasan yang Dr Maszlee Malik mahu bawa dalam pendidikan di negara.

Setiap murid akan dilayan sama rata, tiada yang lebih, tiada yang kurang dan paling penting tugas guru akan diringankan.

Jangan lupa sign petition di sini menyokong Dr Maszlee ya, https://bit.ly/2KAeN06

(Ada pihak yang tak berpuas hati, dilabel Dr Maszlee terlalu Islamik, ekstrimis agama, liberal dan gelaran yang sewaktu dengannya).

Semoga maju jaya Tuan!

Kami bersamamu! Dan saya berharap semua ibubapa juga bersetuju.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Thursday, November 23, 2017

Semakan Keputusan UPSR 2017 Online Dan SMS

Semakan Keputusan UPSR 2017 Online Dan SMS

Semakan keputusan UPSR. Kepada pelajar dan ibu bapa yang mahu mengetahui keputusan peperiksaan UPSR bagi sesi 2017, semakan bolehlah dilakukan melalui online dan juga sms bermula pada 23 November 2017.

Semakan Keputusan UPSR 2017

Calon-calon juga boleh mendapatkan keputusan UPSR mereka di sekolah masing-masing selepas 10 pagi pada hari berkenaan.

Cara semakan keputusan UPSR melalui SMS

Calon UPSR juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan UPSR 2017 melalui mySMS 15888.
  • Taipkan: UPSR < jarak > [Angka Giliran]
  • Contoh: UPSR AZ1122888
  • Hantarkan SMS ke 15888

Caj perkhidmatan akan dikenakan untuk setiap penghantaran dan penerimaan sms.

Cara semakan keputusan UPSR melalui ONLINE

Calon-calon UPSR juga boleh membuat semakan keputusan UPSR melalui online dilaman web Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), https://sapsnkra.moe.gov.my/ibubapa2/index.php

Perkhidmatan semakan keputusan UPSR 2017 ini akan mula diaktifkan bermula 10 pagi pada 23 November dan akan ditamatkan pada 6 petang pada 29 November 2017.

Seramai 443,794 calon menduduki UPSR untuk tahun 2017 membabitkan 8,085 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Semoga berjaya diucapkan.

BACA INI JUGA: 6 Sebab Kenapa UPSR Tak Penting Dan Bukan Penentu Masa Depan

sumber: dialograkyat

Thursday, March 16, 2017

Semakan Keputusan SPM 2016

Semakan Keputusan SPM 2016

Check SPM 2016 Results (16 March 2016) | Bagi pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2016 yang lalu, anda kini sudah boleh menyemak keputusan SPM 2016 secara online dan sms untuk mengetahui keputusan yang diperolehi.

Keputusan SPM 2016

Calon-calon SPM 2016 juga boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada (khamis) hari yang sama keputusan sebenar dikeluarkan.

Manakala bagi calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos atau boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar dahulu.

Disamping itu, Kementerian Pendidikan Malaysia juga menyediakan perkhidmatan semakan keputusan peperiksaan SPM 2016 melalui cara mySMS bermula jam 10.00 pagi.

Panduan Semakan Keputusan SPM 2016 melalui perkhidmatan mySMS:
  • Taip: SPM < jarak > No Kad Pengenalan < jarak > Angka Giliran dan hantar SMS ke 15888
  • Contoh: SPM 990511088536 AG012K018 hantar ke 15888

Panduan Semakan Keputusan SPM 2016 melalui Online:

Sila masukkan No Kad Pengenalan tanpa tanda (–) dan Nombor Angka Giliran tanpa “selang” dalam ruangan yang tersedia dan klik "Papar keputusan".

Semakan keputusan menerusi laman web hanya akan memaparkan ringkasan keputusan. Keputusan penuh boleh diperoleh di sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri.

Semoga berjaya buat adik-adik semua.

SPM 2016 mencatat indeks Gred Purata Nasional (GPN) 5.10

Sejumlah 102 daripada 434,535 calon Sijil Pelajaran Malaysia 2016 (SPM 2016) mendapat keputusan semua A+, iaitu bersamaan 1.94 peratus dan juga penurunan 0.66 peratus berbanding tahun 2015.

SPM 2016 mencatat indeks Gred Purata Nasional (GPN) 5.10, lebih baik berbanding 5.15 pada 2015.

Jurang GPN antara calon bandar dan luar bandar juga mengecil kepada 0.47 berbanding 0.50 pada 2015.

Sementara itu, sejumlah 8,647 pelajar mendapat keputusan semua A, iaitu sebanyak 2.13 peratus. Angka itu menurun 0.25 peratus berbanding tahun 2015, yang pada ketika itu seramai 9,721 (2.38 peratus) daripada 440,682 pelajar memperoleh semua A.

Dalam analisis yang diumumkan, empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sains menunjukkan peningkatan prestasi, manakala Matematik, Sejarah, Pendidikan Moral mencatatkan penurunan.

Selain itu, seramai 340, 698 (85.21 peratus) calon layak dianugerah sijil selepas lulus matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah lapor astro awani.

BACA INI JUGA:

sumber: myschoolchildren

Tuesday, November 22, 2016

Apa Itu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)?

Apa Itu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)?

Dengan hanya 4,896 calon UPSR daripada 452,721 murid mendapat semua A bagi enam subjek dalam UPSR 2016, iaitu cuma 1.11 peratus daripada keseluruhan calon, keputusan itu pasti mencetuskan polemik.

KSSR

Mungkin ibubapa terutamanya anak-anak mereka yang bakal mendaftar bagi tahun 1 ingin mengetahui secara lebih mendalam tentang apa yang diperkatakan dengan KSSR.

Begitu juga ibu bapa yang anak mereka mendapat keputusan UPSR 2016 yang sangat teruk hasil uji kaji terbaru sistem pendidikan Malaysia, tertanya-tanya apa sebenarnya KSSR?

Kerana generasi ini adalah generasi pertama yang akan menggunakan KSSR mengantikan KBSR yang telah digunapakai hampir 3 dekad yang lalu.

Jadi, artikel ini akan cuba menerangkan serba sedikit mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan KSSR.

Apa Itu KSSR?

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.

Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari 2011, bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.

KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.

Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Latar Belakang

1. Gagasan ke 3 Ucapan Dasar Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 menuntut supaya pendidikan Negara memberi penekanan kepada:
  • Pembangunan modal insan
  • Penghasilan pelajar celik minda
  • Pembentukan warganegara yang menguasai ilmu, kemahiran dan maklumat
  • Program yang membangunkan akal manusia dalam melahirkan insan Ulul al-bab

2. Teras ke 2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan:
  • Dasar. Membangunkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni.
  • Matlamat. Memastikan anak bangsa Malaysia dipupuk semangat menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi, menerap nilai.

3. Oleh itu, kurikulum kebangsaan perlu dikaji semula bagi memastikan kurikulum yang holistik dan sentiasa releven bagi melahirkan modal insan yang seimbang yang dapat menangani cabaran semasa dan masa depan.

Sejarah Kurikulum Sekolah Rendah
  • 1983 - Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)
  • 1993 - Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
  • 2003 - KBSR (semakan)
  • 2011 - Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Konsep Kurikulum Transformasi Sekolah Rendah
  • Berteraskan Falsafah Pendidikan Negara (FPN)
  • Berasaskan Prinsip KBSR:
  • Pendekatan bersepadu
  • Perkembangan individu secara menyeluruh
  • Peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid
  • Pendidikan seumur hidup

Perbezaan Antara KSSR Dan KBSR

KSSR

Adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi, Sains dan Teknologi, Perkembangan Fizikal dan Estetika, Kerohanian, Sikap dan Nilai, Kemanusiaan serta Keterampilan Diri.

KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).

KBSR

Adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi, Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu.

Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)

Bentuk Kurikulum Transformasi

1. Komunikasi
  • Penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi

2. Sains Dan Teknologi
  • Penguasaan pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
  • Penguasaan pengetahuan dan kemahiran matematik
  • Penguasaan pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi

3. Perkembangan Fizikal Dan Estetika
  • Perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri
  • Pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi

4. Kerohanian, Sikap Dan Nilai
  • Penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai

5. Kemanusiaan
  • Penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global
  • Penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan

6. Keterampilan Diri
  • Pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum

Kurikulum Berasaskan Standard

Kurikulum Transformasi Sekolah Rendah digubal berasaskan standard kandungan dan standard pembelajaran

Penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Mengapa Standard?
  • Memastikan SEMUA murid melepasi standard yang ditetapkan
  • Penetapan ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu diukur dengan jelas
  • Mengenal pasti strategi penambahbaikan (assessment for learning)
  • Mengatasi masalah murid keciciran dalam pembelajaran
  • Pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Terikat dengan cara pembelajaran tradisional yang lebih menumpukan kepada teknik menghafal selain kekurangan pendedahan guru mengenai format peperiksaan baru antara punca kejatuhan peratusan murid memperoleh 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan bagi UPSR 2016.

Ini ditambah dengan pengenalan pemarkahan 40 peratus soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenalkan buat pertama kali dikatakan turut menjadi faktor kegagalan murid memperoleh keputusan lebih cemerlang.

Menerusi format baru itu, murid dan guru tidak boleh lagi terlalu fokus kepada konsep pembelajaran secara menghafal semata-mata tapi juga perlu memberi penekanan terhadap pemahaman.

Murid perlu menjawab kertas peperiksaan berkaitan kefahaman dan penulisan yang memerlukan asas kemahiran berbanding soalan berbentuk objektif sebelum ini.

Masalahnya kini, jika guru berterusan mengajar murid dengan cara menghafal, mereka pastinya tidak berpeluang menguasai KBAT dan akhirnya perkara sama akan berulang pada UPSR seterusnya.

Dan berdasarkan keluk normal pencapaian murid, seharusnya murid-murid yang benar-benar cemerlang, peratusannya kecil iaitu maksimum lima peratus daripada keseluruhan pelajar.

Kesimpulan

Transformasi kurikulum persekolahan merupakan usaha untuk menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa untuk menghadapi cabaran abad ke-21 yang kian rumit sekali gus menuntut murid bukan sahaja bijak dan cerdik tetapi pandai dalam semua aspek kehidupan.

KSSR diharapkan mampu melahirkan murid yang matang dan berupaya untuk bersaing dengan murid di negara maju lain dalam sistem pendidikan global kini.

BACA INI JUGA: 5 Permainan Terbaik Untuk Melatih Anak Asas Subjek Pengkodan Seawal Tadika

Sumber: Sklubokbuntar