Tuesday, November 22, 2016

Apa Itu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)?


Dengan hanya 4,896 calon UPSR daripada 452,721 murid mendapat semua A bagi enam subjek dalam UPSR 2016, iaitu cuma 1.11 peratus daripada keseluruhan calon, keputusan itu pasti mencetuskan polemik.

KSSR

Mungkin ibubapa terutamanya anak-anak mereka yang bakal mendaftar bagi tahun 1 ingin mengetahui secara lebih mendalam tentang apa yang diperkatakan dengan KSSR.

Begitu juga ibu bapa yang anak mereka mendapat keputusan UPSR 2016 yang sangat teruk hasil uji kaji terbaru sistem pendidikan Malaysia, tertanya-tanya apa sebenarnya KSSR?

Kerana generasi ini adalah generasi pertama yang akan menggunakan KSSR mengantikan KBSR yang telah digunapakai hampir 3 dekad yang lalu.

Jadi, artikel ini akan cuba menerangkan serba sedikit mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan KSSR.

Apa Itu KSSR?

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.

Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari 2011, bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.

KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.

Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Latar Belakang

1. Gagasan ke 3 Ucapan Dasar Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 menuntut supaya pendidikan Negara memberi penekanan kepada:
  • Pembangunan modal insan
  • Penghasilan pelajar celik minda
  • Pembentukan warganegara yang menguasai ilmu, kemahiran dan maklumat
  • Program yang membangunkan akal manusia dalam melahirkan insan Ulul al-bab

2. Teras ke 2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan:
  • Dasar. Membangunkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni.
  • Matlamat. Memastikan anak bangsa Malaysia dipupuk semangat menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi, menerap nilai.

3. Oleh itu, kurikulum kebangsaan perlu dikaji semula bagi memastikan kurikulum yang holistik dan sentiasa releven bagi melahirkan modal insan yang seimbang yang dapat menangani cabaran semasa dan masa depan.

Sejarah Kurikulum Sekolah Rendah
  • 1983 - Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)
  • 1993 - Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
  • 2003 - KBSR (semakan)
  • 2011 - Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Konsep Kurikulum Transformasi Sekolah Rendah
  • Berteraskan Falsafah Pendidikan Negara (FPN)
  • Berasaskan Prinsip KBSR:
  • Pendekatan bersepadu
  • Perkembangan individu secara menyeluruh
  • Peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua murid
  • Pendidikan seumur hidup

Perbezaan Antara KSSR Dan KBSR

KSSR

Adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi, Sains dan Teknologi, Perkembangan Fizikal dan Estetika, Kerohanian, Sikap dan Nilai, Kemanusiaan serta Keterampilan Diri.

KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).

KBSR

Adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi, Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu.

Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)

Bentuk Kurikulum Transformasi

1. Komunikasi
  • Penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi

2. Sains Dan Teknologi
  • Penguasaan pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
  • Penguasaan pengetahuan dan kemahiran matematik
  • Penguasaan pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi

3. Perkembangan Fizikal Dan Estetika
  • Perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri
  • Pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi

4. Kerohanian, Sikap Dan Nilai
  • Penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai

5. Kemanusiaan
  • Penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global
  • Penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan

6. Keterampilan Diri
  • Pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum

Kurikulum Berasaskan Standard

Kurikulum Transformasi Sekolah Rendah digubal berasaskan standard kandungan dan standard pembelajaran

Penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Mengapa Standard?
  • Memastikan SEMUA murid melepasi standard yang ditetapkan
  • Penetapan ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu diukur dengan jelas
  • Mengenal pasti strategi penambahbaikan (assessment for learning)
  • Mengatasi masalah murid keciciran dalam pembelajaran
  • Pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Terikat dengan cara pembelajaran tradisional yang lebih menumpukan kepada teknik menghafal selain kekurangan pendedahan guru mengenai format peperiksaan baru antara punca kejatuhan peratusan murid memperoleh 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan bagi UPSR 2016.

Ini ditambah dengan pengenalan pemarkahan 40 peratus soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenalkan buat pertama kali dikatakan turut menjadi faktor kegagalan murid memperoleh keputusan lebih cemerlang.

Menerusi format baru itu, murid dan guru tidak boleh lagi terlalu fokus kepada konsep pembelajaran secara menghafal semata-mata tapi juga perlu memberi penekanan terhadap pemahaman.

Murid perlu menjawab kertas peperiksaan berkaitan kefahaman dan penulisan yang memerlukan asas kemahiran berbanding soalan berbentuk objektif sebelum ini.

Masalahnya kini, jika guru berterusan mengajar murid dengan cara menghafal, mereka pastinya tidak berpeluang menguasai KBAT dan akhirnya perkara sama akan berulang pada UPSR seterusnya.

Dan berdasarkan keluk normal pencapaian murid, seharusnya murid-murid yang benar-benar cemerlang, peratusannya kecil iaitu maksimum lima peratus daripada keseluruhan pelajar.

Kesimpulan

Transformasi kurikulum persekolahan merupakan usaha untuk menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa untuk menghadapi cabaran abad ke-21 yang kian rumit sekali gus menuntut murid bukan sahaja bijak dan cerdik tetapi pandai dalam semua aspek kehidupan.

KSSR diharapkan mampu melahirkan murid yang matang dan berupaya untuk bersaing dengan murid di negara maju lain dalam sistem pendidikan global kini.

BACA INI JUGA: 5 Permainan Terbaik Untuk Melatih Anak Asas Subjek Pengkodan Seawal Tadika

Sumber: Sklubokbuntar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon