Tuesday, August 27, 2019

Menjadi Jutawan Selepas Gagal 348 Kali!

Menjadi Jutawan Selepas Gagal 348 Kali!

Pandora merupakan aplikasi saranan muzik online yang dilancarkan sejurus sebelum terletusnya dot-com bubble pada bulan March 2000, sewaktu krisis yang melihat banyak perusahaan online ditutup dan walaupun ketika ini Pandora merupakan penyedia servis muzik digital yang paling berjaya di dunia, kisah kejayaan Pandora tidak berlaku dalam masa sehari.

Tim Westergren Pandora
Tim Westergren.

Menurut Tim Westergren, salah seorang pengasasnya dan CSO perniagaan tersebut, pada mulanya ketika Pandora dikenali sebagai Savage Beast Technologies, para pengasasnya menghabiskan lebih daripada empat tahun bekerja keras tetapi sentiasa menemui kegagalan.

Usahawan berjaya ini pernah ditolak lebih 300 kali dan beliau tetap tidak mengalah sehingga berjaya!

“Kami gagal dan gagal. Seumpama kaki judi yang berjalan keluar dari kasino dengan seluar dalamnya.”

Jadi apakah tindakan Tim Westergren dan perusahaannya yang baru bermula ketika itu? Sebelum nasib berubah, empat tahun berlalu dengan pantas.

“Kami terus menrus melakukan perubahan untuk menjadi semakin bagus selama beberapa tahun,” kata Tim Westergren.

”Kami hanya berpegang erat dengan nyawa kami. Wang habis selepas setahun berlalu dan kami bekerja tanpa ganjaran.”

Beliau mengatakan bahawa demi mempertahankan perniagaan pada tahun-tahun awal, para pekerja bertahan hanya dengan “rasa tanggung jawab dan kepercayaan di antara satu sama lain.”

Pada saat inilah para eksekutif harus mempunyai kebolehan memberi motivasi kepada pekerja mereka dengan semangat bisnes yang kuat. Ketika itu, nasib mereka di hujung tanduk.

Mereka telah memaksimumkan penggunaan 11 kad kredit, mengumpul hutang peribadi sebanyak $500,000 dan hampir-hampir diusir dan bagi mencukupkan modal, Westergern bekerja tanpa gaji dan meyakinkan pekerja yang lain mengikut jejak langkahnya.

50 orang pekerja syarikat bekerja selama beberapa tahun tanpa gaji. Lima di antara mereka kemudian memegang syarikat.

Tim Westergren ingat bahawa beliau pernah memohon pelaburan daripada para pelabur dan venture capital sebanyak 348 kali tanpa hasil ketika zaman kegelapan itu. Ini kerana ketika itu para pelabur lebih berhati-hati dalam memberi komitmen setelah letusan dot-com bubble dan kerana industri muzik online yang tidak stabil.

Ketika itu, isteri Tim Westergren turut menggesa beliau untuk berhenti daripada menjadi usahawan dan ini merupakan nasihat terbaik yang pernah beliau terima: “Sebagai usahawan, seseorang akan selalu meminjam wang, kecualilah seseorang amat bernasib baik.”

Nasib berubah pada tahun kelima. Pada tahun 2004, hanya berbekal kecekalan, Pandora berjaya mengumpul dana $9 juta di bawah pimpinan Pengarah Urusan Walden Venture Capital, Larry Marcus.

Larry sendiri merupakan seorang ahli muzik yang pernah menolak Tim Westergren sebanyak lima kali dan sehari setelah berjaya mendapat dana, pihak pengurusan mengadakan mesyuarat besar.

Mereka memulakan mesyuarat dengan membahagikan sampul berisi $100 kepada para pekerja yang tinggal, kemudian mengagihkan pembayaran berjumlah $1.5 juta pada hari yang sama.

Sekarang, Pandora telah mengasaskan model bisnes paling berjaya dan berkembang menjadi perkhidmatan radio digital yang diminati ramai.

Setelah selesai versi pertama Radio Pandora, semua ahli team berkata pada diri sendiri, "Ini benar-benar hebat."

“Kami memang sentiasa yakin bahawa produk ini akan menemui "rumahnya" (finds its home),” kata Tim Westergren. Keyakinan inilah yang membuatkannya terus bertahan.

“Sehingga ke hari ini, kami mengirim ratusan ribu e-mail setiap bulan kepada pendengar. Kami menjawab setiap pertanyaan mereka secara peribadi dan kebanyakannya untuk menunjukkan rasa terima kasih kami kepada mereka."

Jika anda pernah gagal sekali, ingat, usahawan berjaya ini pernah gagal sebanyak 348 kali!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

Sunday, June 30, 2019

Kisah Kenapa Helang Di Gelar Raja Segala Burung

Kisah Kenapa Helang Di Gelar Raja Segala Burung

Pada usia 40 tahun, burung helang perlu membuat keputusan samada akan mati pada usia itu atau ingin terus hidup dan untuk terus hidup lebih lama, burung ini perlu 'menyeksa' dirinya terlebih dahulu. Bukan kerja mudah.

Rahsia Helang umur panjang

Dalam proses itu, burung helang perlu terbang tinggi ke puncak gunung untuk membuat sarang bagi mengasingkan diri.

Di sarang tersebut burung helang tua itu akan mencabut pelepah bulunya satu demi satu menggunakan paruhnya sehingga togel seperti baru menetas dari telur.

Bezanya, kali ini badannya dipenuhi dengan darah yang keluar dari liang roma setiap kali bulunya dicabut.

Burung helang tidak boleh terbang sementara menunggu bulu tumbuh normal. Paruh dan kuku kaki juga akan tumbuh berganti baru.

Proses yang menyusahkan ini berlaku disarang selama 150 hari dan selepas itu, burung helang tersebut akan terbang bebas melawan angin kencang di angkasa raya sesekali menjunam ke bawah mencari mangsa untuk hidup 40 tahun lagi.

Pernah dengar kisah ini?

Bukan mudah untuk menjadi burung helang, kerana itulah burung ini di anggap raja burung tidak sama berbanding ribuan jenis burung yang lain.

ALLAH juga yang menjadikan burung itu berbeza-beza sebagai tamsilan kehidupan manusia yang juga ada bezanya.

Beza bukan untuk disombongkan tetapi setiap golongan burung ada tanggungjawabnya yang berbeza.

Apabila semua golongan burung menjalankan tanggungjawab masing-masing dan tidak cuba membuat kerja burung lain, maka harmonilah dunia burung. Tiada perang dan sengketa.

Kalau hendak menjadi seperti burung helang, pastikan kita juga sanggup berkorban seperti burung ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:



sumber: denaihati

Wednesday, June 26, 2019

Bacalah 8 Nasihat Henry Ford Ini Jika Mahu Berjaya Dalam Bisnes

Bacalah 8 Nasihat Henry Ford Ini Jika Mahu Berjaya Dalam Bisnes

Kereta pertama telah dicipta sebelum Henry Ford, tetapi dia tidak pernah berputus asa dan mengimpikan bahawa sebuah kereta mampu digunakan oleh semua orang dan dia tidak pernah berhenti bergerak maju ke hadapan, apabila akhirnya berjaya mencipta enjin pertamanya, 'Quadricycle', selepas berhadapan dengan banyak kegagalan.

Nasihat terbaik Henry Ford

Bagaimana Henry Ford akhirnya berjaya mencapai impian? Jawapannya mudah, dia percaya, menetapkan dirinya dan tidak berhenti untuk mencapainya.

Rahsia kejayaan Henry Ford terletak pada hakikat bahawa dia menyukai pekerjaannya, taksub dengan realisasi rancangan dan impiannya.

Kali ini, kami ingin kongsikan 8 nasihat yang sangat bermanfaat dari Henry Ford, bagaimana untuk menghadapi cabaran untuk menjadi orang yang berjaya.

1- Minta Nasihat Daripada Orang Lain

Menurut Henry Ford, salah satu kesilapan yang beliau lakukan sepanjang bergelar usahawan adalah tidak mendengar nasihat beberapa individu yang dipercayainya.

Ramai orang termasuk anaknya telah memberi nasihat dan amaran mengenai kereta keluaran syarikat lain yang semakin popular.

Dia mengenepikan nasihat ini dan memandang rendah kepada potensi syarikat lain dan tidak membuat inovasi pada kereta keluaran syarikatnya.

Akibatnya, walaupun dia masih lagi antara lelaki terkaya di dunia, namun syarikatnya Ford Motor Company tidak lagi menjadi pemimpin dalam industri automobile sebaliknya jatuh di tangga ketiga berbanding syarikat lain.

Jika dia tidak begitu selesa dengan kedudukan sedia ada dan kekal menjalankan inovasi bagi produknya, pasti mereka masih mendahului rekaan inovasi syarikat lain dan menjadi ikutan dalam industri.

Dia mulai faham sesiapa yang berhenti belajar akan menjadi sangat tua dan akan ketinggalan tidak kira usia.

2- Cipta Untuk Semua

Ramai usahawan yang berjaya telah mengungguli kelasnya yang tersendiri dan mereka memberi fokus untuk mencipta atau menjual produk bagi golongan kelas atasan sahaja.

Sebaliknya, Henry Ford telah mencipta produk mampu milik yang boleh dimiliki oleh semua orang jika mereka berusaha mahu membelinya.

Malah, dia turut menaikkan gaji para pekerjanya untuk membolehkan mereka akhirnya mampu untuk membeli kereta yang mereka sendiri telah buat, menyebabkan pekerjanya setia bekerja dengan syarikat Ford.

3- “Whether you think you can, or you think you can’t — you’re right”

Ini adalah falsafah kegemaran yang dipetik daripada Henry Ford sendiri. Dia sememangnya percaya bahawa kejayaan yang dicapai semuanya bermula dengan minda.

Falsafah ini merupakan prinsip dan ideologi yang dipegang oleh beliau dalam bisnes. Ramai usahawan baik lelaki atau wanita percaya yang apa sahaja yang anda fikir akan dapat dimanifestasikan dalam realiti.

Jadi, untuk berjaya, perkara pertama yang kita harus lakukan adalah mengubah ‘minda’ untuk jadi positif agar kita juga berjaya mendapat keputusan yang bagus.

4- Melabur Dengan Relevan

Apa yang membuatkan Henry Ford adalah satu nama yang berjaya adalah, dia mengusahakan idea bisnesnya dengan lebih besar dan memastikan ia berjaya.

Setiap kali dia mahu memajukan syarikatnya, dia akan melaburkan wang untuk membesarkan kilangnya terlebih dahulu, kerana kilang yang besar akan mampu menampung keperluan pengeluaran dan permintaan produk yang lebih tinggi.

Jika dia masih beroperasi di kilang lama dan beroperasi pada skala kecil pasti dia tidak akan berjaya malah, dia juga turut mempelbagaikan perkhidmatan syarikatnya selain daripada menjual kereta.

Walaupun kos untuk membesarkan kilang dan operasi syarikat adalah sangat tinggi namun dia sanggup mengambil risiko dan melabur bagi perkara yang berpotensi untuk mendatangkan keuntungan.

5- Lakukan Sesuatu Dengan Penuh Minat

Minat adalah kata kunci bagi setiap kejayaan orang lain yang kita dengar. Sama ada anda lakukan sesuatu yang anda minati atau lakukan sesuatu dengan penuh minat.

Jika mendapati anda tiada minat untuk meneruskannya, maka anda harus berhenti dan lakukan sesuatu yang lain. Tiada fasa yang mudah dalam bisnes dan hanya dengan minat yang tinggi anda dapat bersabar semasa menghadapi detik-detik kesukaran dan meneruskannya.

6- Semuanya Mungkin Jika Anda Mahukannya

Henry Ford adalah bukti di mana jika ada kemahuan, pasti ada jalan. Dia telah membina empayar automobil ternama di dunia. Semuanya bermula daripada usahanya sendiri daripada bawah. Dia bukanlah berasal daripada seorang yang kaya dan mempunyai harta yang banyak.

Dia berusaha mencari pelabur dan mengembangkan bisnes sedia ada setiap tahun perlahan-lahan. Dia turut membuat kajian dan belajar daripada usahawan terkenal yang lain dan buat inovasi untuk produk syarikatnya.

Ternayata, dia seorang inovator yang sangat mementingkan perkembangan dan kemajuan insan. Dia melayan pekerjanya dengan baik dan memahami kesukaran mereka kerana dia sendiri pernah berada dalam situasi yang sama.

7- Sentiasa Kekalkan Prestasi Kerja Yang Berkualiti

Henry Ford pernah berkata yang kualiti adalah melakukan sesuatu perkara dengan betul walaupun tiada orang melihatnya.

Jadi, sentiasa memberi hasil kerja yang terbaik walaupun majikan, rakan sekerja, ahli keluarga dan orang lain tidak melihatnya, itulah kualiti kerja bagus yang sebenar. Ini juga akan menjadi satu tabiat yang bagus bagi seorang usahawan yang ingin berjaya.

8- Jangan Cari Kesalahan, Cari Penyelesaian

Sememangnya senang untuk kita menyalahkan orang lain di atas kesilapan kita sendiri. Henry menasihatkan, antara kemahiran mahal yang anda boleh pelajari adalah bertanggungjawab dengan kesilapan diri sendiri.

Sebaiknya, cari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah dengan baik. Dengan itu, barulah anda dapat menjadi seorang yang benar-benar berjaya pada masa akan datang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahniaga

Wednesday, June 12, 2019

Anda Terlalu Was-was dan Ragu-ragu, Bagaimana Cara Mengatasinya?

Anda Terlalu Was-was dan Ragu-ragu, Bagaimana Cara Mengatasinya?

Ali berumur 25 tahun dan sejak kebelakangan ini beliau kerap berasa ragu-ragu (tidak yakin) ketika beribadat serta apa sahaja yang beliau lakukan setiap hari. Dia pernah berpatah balik walaupun telah keluar meninggalkan rumah sejauh 3km kerana berasa was-was sama ada pintu rumah sudah berkunci ke tidak. Rupa-rupanya telah dikunci.

Bahaya was-was

Begitu juga semasa solat dimana selalu ada rasa ragu-ragu bilangan rakaat yang telah ditunaikan. Masa wuduk tidak kurang hebatnya, selalu berasa ragu-ragu sudah atau belum membasuh anggota wuduk.

Anda pernah tak mengalami rasa ragu-ragu atau dengan kata lain was-was seperti Encik Ali?

Apa itu was-was sebenarnya?

Perasaan ragu-ragu, tidak yakin atau was-was merupakan satu fenomena yang melanda kebanyakan manusia.

Individu yang diserang penyakit ragu-ragu selalunya akan menghadapi kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian.

Perasaan was-was ini amat berbahaya kerana ia bukan sahaja akan menyukarkan seseorang itu dalam aktiviti kehidupan sehariannya malah sampai satu tahap boleh mengakibatkan hati tidak tenteram.

Bagi orang Islam, ia akan mengganggu tumpuan dalam aspek keimanan dan amal ibadah seperti solat dan kepercayaan kepada Allah SWT.

Ada sejenis jin bernama Al-Maraddah yang bertugas hanya untuk membisik di hati dan mengganggu perasaan agar manusia ragu-ragu atas was-was.

Jenis jin Al-Maraddah ini membisikkan perkara bukan-bukan supaya timbul kecelaruan di dalam hati, malah kadangkala mempengaruhi keputusan akal.

Ia membuatkan suatu perasaan tidak sempurna dan menghilangkan keyakinan terhadap ibadat yang dilakukan.

“Katakanlah (Wahai Muhammad), “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.” – Surah An-Nas: 1-6

Seorang sahabat Rasulullah, Utsman bin Abil ‘Ash pernah ditimpa gangguan was-was dan telah pergi kepada Rasulullah SAW dan mengadu kepada Baginda:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam shalatku dan membuat bacaanku terganggu.”

Rasulullah menjawab, "Itulah syaitan ‘Khinzib’. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah.’ Aku pun melakukan hal itu dan Allah menghilangkan gangguan itu dariku.” – HR. Muslim

Penyakit was-was boleh menjadi satu masalah yang kronik sehingga ke peringkat di mana pesakit berasa putus asa dalam menjalankan ibadat dan meninggalkan ketaatan dalam beribadat.

Jenis Was-Was

Secara umumnya penyakit was-was terbahagi kepada dua, iaitu was-was dalam ibadah dan was-was dalam akidah.

Was-was Ibadah biasa pada perkara-perkara seperti:
  • Ambil wudhu berulang-ulang kali seperti tiada kesudahan.
  • Mengangkat takbirratulihram (niat) yang berulang-ulang dengan muka yang amat tertekan.
  • Bersuci dengan sabun pencuci terutama selepas membuang air besar dan setiap kali dia akan terasa seperti masih ada lagi najis yang terkeluar dan proses basuhan berlanjutan seperti tiada kesudahannya.
  • Mandi hadas dengan basuhan berulang-ulang kerana tidak yakin dengan sahnya mandi hadas tersebut.
  • Membaca basmalah dan Al-Fatihah dalam keadaan yang amat sukar serta berulang-ulang sebutan ayat-ayat tersebut.
  • Ragu dan terlalu berhati hati dengan kebersihan tempat dan barangan.
  • Was-was bilangan tawaf mengelilingi kaabah.
  • Was-was akidah dari syaitan seperti berikut:
  • Mula terfikir sesuatu yang batil (palsu) yang bersangkut dengan ketuhanan seperti timbul persoalan kewujudan tuhan.
  • Memikirkan sesuatu yang batil tentang kenabian dan perkara-perkara yang ghaib.
  • Memikirkan sangkaan buruk.

Bahaya Was-Was

1. Terganggu Aktiviti Harian

Seseorang yang terkena penyakit was-was biasanya akan mengganggu kerana setiap perbuatan perlu dilakukan secara berulang-ulang kali sehingga terpaksa menggunakan lebih masa dalam melaksanakan sesuatu perkara.

2. Hidup tak tenang

Rasa resah dan gelisah akan menghantui hidup pesakit penyakit was-was kerana dirasakan setiap tindak tanduknya tidak sempurna. Akhirnya menghadapi tekanan perasaan.

3. Mengganggu ketenteraman orang lain

Bila semasa solat berjemaah, masalah was-was ini akan menyebabkan seseorang berkali-kali melakukan takbir, maka akan mengganggu tumpuan makmun lain.

4. Meninggalkan sunnah Rasul dan mengikuti was-was syaitan

Inilah yang sangat ditakuti kerana apabila penyakit was-was ini menyerang, ia boleh menyebabkan pembaziran, membuang masa dan melakukan perkara yang merugikan.

5. Merosak akidah

Ini yang paling ditakuti. Was-was yang boleh membawa kepada meragukan keesaan Allah SWT.

“Syaitan akan selalu mendatangi salah seorang dari kalian seraya bertanya, ‘Siapa yang menciptakan ini?’ ‘Siapa yang menciptakan ini?’ Sampailah kepada pertanyaan: ‘Siapa yang menciptakan Allah?’ Barang siapa yang mendapati dalam dirinya pertanyaan tersebut, maka berlindunglah kepada Allah (membaca isti’adzah) dan hendaklah menghentikannya (mengakhirinya)’.“ (HR. Bukhari)

Bagaimana Menentang Dan Merawat Was-Was?

Bagi mengelak daripada perasaan was-was berlaku kepada diri, boleh mencuba amalan berikut:-

Beribadatlah mengikut kemampuan dan ingat kerja kita adalah melakukan ibadat dan bukan menentukan menentukan sah atau tidak ibadat kita.

Jangan patuh dan layan pada was-was dan bila ia datang biarkan ia berlalu.

Setiap kali was-was, fikirkan dalam minda dan hati, yang anda sudah LAKUKANNYA!

Bila was-was datang sematkan pada diri bahawa ianya adalah bisikan syaitan dan jangan dengar bisikan syaitan.

Banyakkan berzikir dan berdoa kepada Allah kerana Dialah yang Maha Penyembuh.

“Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.“ – Surah al-A’raaf: 200

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: el-hajj

'Aku Tahu Engkau Pasti Datang..'

'Aku Tahu Engkau Pasti Datang..'

Perang Dunia Pertama sedang memuncak. Disuatu medan perang, pertempuran antara dua ketumbukan tentera sudah berlarutan sehari suntuk. Seorang perajurit menyusup di celah-celah rimbunan belukar dan tanah berlurah dalam desingan peluru yang bersimpang-siur. Dia menuju ke arah musuh.

Berjuang di medan perang
Gambar hiasan.

Malang, kehadirannya disedari dan ketika berlari ke arah sebatang pokok besar, beberapa butir peluru menembusi tubuhnya. Dia terhumban ke tanah. Sahabat baiknya yang melihat kejadian itu tergamam.

Perasaan sedih, marah dan segala kenangan manis yang telah dilalui bersama bertimpa-timpa datang menggodam jiwanya.

"Tuan, saya mesti selamatkan dia!" pinta anggota tentera itu.

"Boleh, kau boleh pergi," balas ketuanya, seorang leftenan.

"Tapi, saya rasa sia-sia. Kawan kau itu mungkin sudah mati dan engkau cuba bawa mayatnya ke sini, mungkin engkau juga akan menerima nasib yang sama, atau sekurang-kurangnya cedera."

Anggota tentera itu mengangguk kepala. Baginya perkataan 'boleh' itu lebih besar maknanya berbanding 'mati' dan 'cedera'.

Selepas mengucapkan terima kasih kepada ketuanya, dia terus berlari ke tengah medan, menyusup dicelah-celah belukar ke arah sahabatnya yang terbaring ditanah dengan badan dipenuhi darah.

Peluru menghambat setiap langkahnya. Beberapa butir daripadanya berdesing ditelinga tetapi dia tetap tidak berundur. Tanpa disangka, anggota tentera itu berjaya membawa sahabatnya itu balik ke kubu mereka!

Leftenan menggeleng kepala. Dia melihat paha dan lengan anggotanya itu ditembusi peluru, kemudian memeriksa nafas dan nadi askar yang diselamatkan tadi.

"Saya dah cakap, sia-sia. Tengok, kawan kau ni dah mati. Kau pula cedera!" kata leftenan dengan suara keras.

Tentera itu menggeleng kepala.

"Tidak, tuan," katanya sambil terbaring lemah.

"Kawan kau meninggal dan kau sendiri cedera, kau kata bukan sia-sia?" leftenan meninggikan suaranya.

"Ya, tuan," jawab tentera itu.

"Masa saya sampai, dia masih hidup. Bila saya pangku kepalanya, dia tersenyum dan berkata, "Aku tahu engkau pasti datang.."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, May 17, 2019

Kenapa Allah Tidak Menjadikan Semua Orang Jutawan?

Kenapa Allah Tidak Menjadikan Semua Orang Jutawan?

Cuba bayangkan kalau semua orang di Malaysia, bangun pagi, cek akaun melalui online banking, punyalah terkejut sebab ada berjuta wang dalam akaun sebab, rupa-rupanya malam semalam Allah bagi RM10,000,000.00 setiap seorang terus masuk ke dalam akaun bank masing-masing.

Tiba-tiba Jutawan

Kita pun merancang untuk masukkan duit dalam pelaburan, bagi emak dan ayah, bayar hutang, beli kereta baru, beli rumah baru, shopping sakan dan pergi Melancong dan Umrah.

Kita pun call emak di kampung, emak cakap tak perlu bagi emak duit lagi sebab emak pun rupa-rupanya sudah menjadi seorang jutawan.

Kita keluar rumah untuk pergi selesaikan urusan kita tadi. Keluar rumah, baru nak hidupkan kereta myvi, kereta pula rosak. Terus terbayang nak tukar dengan BMW 328i Sport.

Sebelum tu, kena ada kereta lain dulu untuk ke Auto Bavaria. Kita pun call 012-xxxxxxx untuk sewa kereta, "Maaf, kami tidak beroperasi selama setahun kerana semua staff cuti. Mereka sudah jadi jutawan."

Kita pun terus membuka applikasi Grab dan MyCar. Ternyata tiada yang available kerana semua sudah jadi jutawan.

Kita mula melangkahkan kaki keluar untuk mendapatkan teksi. Ternyata teksi juga tiada kerana semua pemandu teksi sudah jadi jutawan.

Kita teruskan melangkah ke bank untuk mengeluarkan duit. Bank juga tutup kerana semua pegawai bank sudah jadi jutawan.

Duit di dalam mesin Atm juga sudah habis kerana kita lewat dan tiada penghantaran duit kerana mereka yang bekerja dengan Securiforce juga sudah jadi jutawan.

Kita mula buntu dan cuba melangkah longlai ke kedai mamak berhampiran untuk pekena teh ais kaw bagi menghilangkan rasa tertekan. Ternyata kedai mamak juga tutup kerana semua pekerjanya sudah jadi jutawan.

Kita semakin buntu. Kelihatan banyak projek pembinaan bangunan tidak berjalan kerana semua pekerja Indonesia dan Bangla juga sudah jadi jutawan.

Kita melangkah masuk ke kedai 24 jam, 7 eleven. Buat kali pertama kedai 7 eleven juga tutup kerana semua pekerjanya sudah jadi jutawan.

Banyak stesen minyak yang tutup kerana terputus bekalan minyak kerana pemandu lori minyak juga sudah jadi jutawan.

Keadaan jalan menjadi semakin sesak, tetapi tiada Polis Trafik yang bertugas menjaga lalu lintas kerana semua Polis Trafik juga sudah jadi jutawan.

Jadi, bagaimana dengan kita?

Kesimpulannya, Allah menjadikan setiap perkara itu adil dan sempurna.

Kepada mereka yang Allah berikan nikmat rezeki dan pangkat yang lebih, jangan sesekali sombong, berlagak dan memandang hina pada orang yang serba kekurangan atau biasa-biasa sahaja ini.

Kerana tanpa disedari, mereka inilah yang banyak memudahkan urusan harian anda dengan izin Allah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM