Wednesday, December 04, 2013

Mayat Pejuang Syria Yang Masih Segar!

Mayat Pejuang Syria Yang Masih Segar!

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.” [Surah Al-Baqarah, 2:154]


Ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Baqarah di atas dapat menjelaskan apa yang bakal anda lihat di dalam video yang kami kongsikan.

Dua jenazah ini ialah jenazah Syahid yang terbunuh ketika peperangan dengan askar rejim Presiden Syria Bashar Al-Assad.

Kisahnya, dua lelaki ini meninggal dunia ketika peperangan dengan aksar Bashar apabila tempat kediaman mereka Kampung Tariq Sad, Balad di wilayah Dara’a di Syria dibom.

Para penduduk kampung telah menanam buat sementara kedua-dua jenazah di sebuah liang lahad sementara berhampiran kawasan rumah kerana peperangan masih berlaku.

Penduduk bimbang jika jenazah itu dibiarkan, askar rejim Bashar akan merampas jenazah itu dan akan dirosakkan dengan kejam.

Selepas pengeboman reda beberapa hari kemudian, penduduk kampung menggali semula kubur sementara itu untuk memindahkan kedua-dua syahid ke tanah perkuburan awam. Orang kampung menggali kubur mereka dengan cangkul dan penyodok.

Semasa dua mayat ditarik naik, bau minyak wangi kasturi yang kuat telah dihidu oleh semua penduduk kampung dan wartawan yang mengikuti proses penggalian kubur.

“Mayat-mayat para Syuhada ini masih kelihatan hidup dan segar dalam kubur mereka. Wangian Kuat minyak kasturi telah dihidu daripada badan-badan mereka,” kata wartawan yang mengulas kejadian itu.

Ia telah dilaporkan oleh wartawan laman web Ash-Sham yang membuat liputan secara langsung proses penggalian semula kubur syuhada ini.

“Kubur mengeluarkan bau minyak wangi yang sangat harum. Seolah-olah kedua-duanya hanya mati beberapa minit yang lalu,” katanya. Sumber: Mynewshub

BACA INI JUGA: Dracula, Kisah Benar Yang Cuba Disembunyikan



Wednesday, November 27, 2013

Wanita Syria Jadi Mangsa Rogol Tentera Syiah

Wanita Syria Jadi Mangsa Rogol Tentera Syiah

Satu laporan terbaharu daripada pertubuhan hak asasi manusia melaporkan, wanita Syria menjadi mangsa kekejaman perang saudara di negara itu termasuk menjadi mangsa rogol, dijadikan perisai manusia dan diculik oleh tentera kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad.

Rogol
Gambar hiasan.

Laporan yang disiarkan oleh Rangkaian Hak Asasi Manusia Eropah-Mediterranean menyatakan penganiayaan terhadap wanita di Syria dijadikan sebagai taktik untuk menewaskan pihak lawan, sekali gus menjadikan wanita sebagai sasaran ketika konflik di Syria semakin meruncing.

Jelas laporan berkenaan, kejadian wanita Syria dirogol berlaku di pusat tahanan dan pusat pemeriksaan di tujuh wilayah termasuk di Damsyik, terutamanya ketika tentera kerajaan melancarkan serbuan.

"Wanita Syria sering dirogol ketika tentera kerajaan melancarkan operasi ketenteraan.

"Kebanyakan mangsa penderaan seksual memilih atau dipaksa meninggalkan Syria dengan mengalami penderitaan fizikal dan psikologi," jelas laporan berkenaan.

Wanita turut dijadikan sebagai perisai manusia dan peningkatan kes penculikan yang dilakukan tentera kerajaan dan kumpulan penentang.

Laporan itu berkata, wanita yang diculik sering digunakan sebagai pertukaran tahanan atau memaksa saudara lelaki mereka menyerah diri.

"Sepanjang tempoh Disember hingga Mei 2012, sebanyak 125 wanita dan dua kanak-kanak menjadi tebusan," kata laporan tersebut.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 11 orang terbunuh termasuk tiga kanak-kanak, manakala 20 orang lagi cedera dalam serangan mortar di bandar Aleppo, utara Syria, semalam.

Agensi berita SANAA melaporkan, serangan terbabit dilancarkan oleh kumpulan penentang ke atas kedudukan tentera kerajaan di barat bandar Aleppo. -AFP

BACA INI JUGA: Krisis Syria, Satu Lagi Percaturan CIA dan Yahudi Israel

Wednesday, November 20, 2013

Krisis Syria, Satu Lagi Percaturan CIA dan Yahudi Israel

Krisis Syria, Satu Lagi Percaturan CIA dan Yahudi Israel

Lari dari kisah dalam negara Malaysia sejenak untuk melihat isu Syria yang kelihatan sekarang semakin jelas semuanya yang terjadi adalah hasil dari perancangan CIA.

syria

Kita lihat sewaktu awalnya terjadi krisis perang saudara di Syria pada 2011 segalanya bermula apabila Kartunis terkemuka Syria yang menentang rejim Bashar, Ali Farzat telah ditangkap dan diculik oleh sekempulan mereka yang tidak dikenali yang dipercayai adalah terdiri dari pihak perisikan rahsia kerajaan Syria pada 25 Ogos 2011 di Umayyad Square, Damascus.

Ali Farzat telah dicederakan kedua belah tangannya sambil diberi amaran untuk tidak lagi melukis karikatur yang mencerca Bashar.

Ali Farzat adalah seorang kartunis yang pernah suatu ketika di ancam bunuh oleh Allahyarham Saddam Hussein kerana mengkritik Saddam dan pemimpin arab lain yang didakwanya mementingkan kekuatan tentera dari memikirkan masalah rakyat yang kelaparan.

Ia didakwa oleh Ali Farzat sebagai polisi yang mementingkan kedudukan kerusi Presiden masing masing. Ali Farzat, juga sebelum itu telah diiktiraf oleh majalah TIME sebagai antara 100 orang paling berpengaruh di dunia.

Ali Farzat
Ali Farzat Kartunis diiktiraf Majalah TIME antara 100 orang paling berpengaruh di dunia.

Berbalik kepada peristiwa penculikan Ali Farzat tersebar kepada masyarakat Syria dan selepas itu pihak pembangkang Syria mula mengambil kesempatan atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia, mula menghasut rakyat Syria dengan membuat bantahan di jalanan menuntut reformasi dalam politik Syria.

Rakyat Syria mula bangkit menentang Bashar dan Bashar juga telah respon kepada penentangan tersebut dengan berjanji untuk memberikan lebih ruang bersuara dan demokrasi kepada rakyat tapi penunjuk perasaan mahu Bashar meletakkan jawatan dan penentangan berlaku berterusan sehingga menganggu ekonomi negara Syria itu sendiri.

Pelbagai tuduhan mula timbul terhadap Bashar dan yang paling utama adalah tuduhan terhadap Bashar adalah seorang Penganut Syiah, tuduhan yang paling mudah untuk membangkitkan kemarahan rakyat Syria yang mempunyai 2/3 populasi Sunni.

Jika disorot kembali pendirian pendirian sebelum ini yang diambil oleh Bashar dalam isu antarabangsa , seperti membantu penentang Hamas menentang Yahudi Israel, menyokong kuat kepimpinan Saddam dan juga penyokong allahyarham Presiden Libya, Muammar Gadaafi, maka tidak hairanlah mengapa Bashar dijadikan sasaran seterusnya oleh CIA untuk sekali lagi menyelamatkan kepentingan Israel.

Peristiwa penculikan Ali Farzat digunakan sebaik mungkin untuk menuduh Bashar tidak menjalankan demokrasi dan menyekat hak bersuara dikalangan rakyat Syria.

Bagaimana mungkin untuk menuduh Bashar seorang Syiah sedangkan semasa pemerintahan sebelum ini beliau mempunyai hubungan yang baik dengan ulama Sunni malah Isteri beliau Asma Assad juga adalah seorang yang lahir dan dibesarkan oleh keluarga Sunni, suatu keadaan dimana isu sunni dan syiah ini adalah isu yang amat sensitif di Syria.

Melihatkan senario senario mutakhir ini yang berlaku di Syria termasuklah serangan senjata kimia di Damascus yang didakwa dilakukan oleh rejim Bashar walau beliau sendiri menafikannya, dengan keadaan di Damascus juga sudah dikuasai oleh tentera Kerajaan Bashar, tiada sebab bagi Bashar menggunakan senjata kimia di tempat kelahirannya sendiri untuk membunuh orang awam dan kemasukan pemeriksa senjata PBB yang tidak ubah seperti bagaimana nasib yang berlaku di Iraq dalam isu tuduhan memiliki Senjata Pemusnah Besar besaran (WMD), peristiwa penculikan Ali Farzat ada kemungkinan dilakukan mereka yang sudah membuat pakatan dengan CIA.

Penentang Bashar juga yang lengkap bersenjata sudah tentu ada pihak luar dari Syria yang membantu dan akhir sekali serangan senjata kimia keatas rakyat Syria yang mengakibatkan ramai terbunuh termasuk kanak kanak dan wanita mungkin dilakukan oleh pihak ketiga yang mahu mempercepatkan serangan Amerika keatas Syria dan seterusnya mendirikan kerajaan boneka di Syria yang lebih pro kepada Israel. Semoga Allah memberi petunjuk yang jelas kepada kita semua dalam berpendirian.

Bashar

Tuduhan Bashar seorang Syiah adalah sebenarnya hanya untuk dijadikan alasan oleh rakyat Syria bangkit menentang, dan saya amat bersetuju dengan kenyataan beberapa pemerhati politik antarabangsa bahawa perang saudara di Syria bukanlah berkenaan Sunni dan Syiah sebenarnya ia tidak lebih hanya dari percaturan CIA dan Yahudi Israel.

Kita renung kembali bagaimana peristiwa 911 WTC yang menimbulkan banyak keraguan untuk mewajarkan kemasukan tentera Amerika ke Afganistan, Isu hak asasi di Mesir hingga membawa kepada kejatuhan Hosni Mubarak dan apabila pengantinya Presiden Morsi juga dilihat mengancam Israel, beliau juga dijatuhkan.

Kita di Malaysia juga harus berhati hati dalam mengambil pendirian, kebanyakan malah hampir semua usaha CIA dalam menjatuhkan kerajaan yang menjadi ancaman kepada kepentingan Yahudi adalah beralaskan alasan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara, suatu alasan klise dalam menghuru harakan rakyat sesebuah negara.

Semoga Allah memberikan petujuk dan hidayah kepada pemimpin pemimpin politik di Malaysia supaya bersatu dan tidak melihat sesuatu isu hanya dari dalam tempurung, lihatlah dari mata burung.

BACA INI JUGA: MH370: Bukti Mossad Dan CIA Terlibat!

Sunday, November 03, 2013

Umat Islam Ditegah Pergi Berperang Di Syria

Umat Islam Ditegah Pergi Berperang Di Syria

Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz al-Sheikh menggesa golongan muda negara itu dan umat Islam, supaya tidak menyertai kumpulan militan menentang kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad.

Sheikh Abdulaziz al-Sheikh

“Semua ini adalah salah dan tidak diwajibkan. Konflik di Syria adalah pertelagahan puak dan kita tidak patut pergi ke sana. Saya tidak mencadangkan sesiapa ke negara itu.

“Jika anda pergi ke wilayah yang anda tidak tahu dan tiada pengalaman, anda hanya akan menjadi beban kepada mereka. Apa yang mereka mahu adalah doa anda semua,” katanya yang dipetik akhbar al-Hayat.

Ketika menyampaikan ceramah mengenai ‘masalah penyelewengan dalam kalangan belia’ di sebuah masjid di sini, Sheikh Abdulaziz juga mengkritik pemimpin agama yang menggalakkan rakyat negara itu berperang di Syria.

“Umat Islam hanya perlu takut kepada Allah, tidak wajar menipu warga muda dan mengeksploitasi kelemahan serta ketiadaan pengalaman dengan mengajak mereka pergi berperang.

“Saya meminta ulama menasihati belia negara ini sama seperti mereka menasihati anak lelaki masing-masing,” katanya yang dipetik akhbar tempatan.

Kerajaan Arab Saudi yang menyokong penentangan ke atas Presiden Bashar al-Assad, secara terbuka menggesa kuasa dunia membantu Syria mempertahankan sendiri kedaulatannya.

Bagaimanapun, pada masa sama kerajaan negara itu bimbang jika pejuang yang kembali dari Syria akan bertindak melancarkan perang ke atas pemerintah.

Puak Islam di Arab Saudi, mengecam pemerintahan Assad dan menganggapnya sebagai kafir kerana berfahaman Alawiyyin, sebahagian daripada fahaman puak Syiah.

-REUTERS

Tuesday, September 24, 2013

Bashar Al-Assad Arah Lancarkan Serangan Senjata Kimia!

Bashar Al-Assad Arah Lancarkan Serangan Senjata Kimia!

Bekas ketua persenjataan Syria, Brigadier Jeneral Zaher al-Sakat mendakwa Presiden, Bashar al-Assad pernah mengarahnya melancarkan serangan senjata kimia sebanyak tiga kali ke atas rakyat negara itu.

Bashar al-Assad
Bashar al-Assad.

Bagaimanapun, Zaher yang bertanggungjawab ke atas senjata kimia di selatan Syria mendakwa beliau tidak sanggup melakukannya dan menggantikan agen kimia itu dengan bahan tidak berbahaya.

“Presiden (Assad) mahu saya menggunakan gas berbahaya ke atas penentang kerajaan,’’ katanya dalam temu bual dengan akhbar The Sunday Telegraph.

Jeneral yang telah berpaling tadah dan kini menetap di Jordan itu percaya, kerajaan Syria melancarkan 34 serangan senjata kimia, berbanding 14 serangan yang dilaporkan sebelum ini.

Kerajaan Assad menafikan pihaknya mengarahkan penggunaan senjata kimia, namun mengaku memiliki senjata itu, selain bersetuju memusnahkannya dalam perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

Zaher turut mendakwa Assad cuba ‘menipu’ dalam perjanjian itu dengan menghantar sebahagian daripada senjata kimia milik Syria kepada sekutunya di Lebanon dan Iran.

Jelasnya, beliau diarahkan untuk menyerang orang awam di daerah Sheikh Masqeen, Herak dan Busra yang dikawal penentang kerajaan menggunakan campuran dikenali sebagai phosgene dan gas berasaskan klorin, bahan yang kurang berbahaya berbanding gas sarin.

Bagaimanapun katanya, sebelum melancarkan serangan tersebut antara Oktober 2012 dan Januari lalu, beliau secara rahsia telah menukar bahan kimia berkenaan dengan campuran air dan bahan peluntur yang masih berbau seperti bahan kimia berbahaya, namun tidak beracun.

Zaher berkata, dia melarikan diri ke Jordan selepas orang atasannya mengesyaki sesuatu apabila tiada kematian berlaku dalam serangan tersebut.

Plot menggulingkan Presiden Syria Bashar Al-Assad telah dirancang sejak bertahun

Michael Oren

Plot menggulingkan Presiden Syria Bashar Al-Assad telah dirancang sejak bertahun, menurut Duta Israel ke Amerika Syarikat (AS) Michael Oren.

Oren berkata, Israel sentiasa mahu menggulingkan Bashar dan rancangan itu dibuat sebelum perang saudara pada Mac 2011.

“Mesej awal mengenai isu Syria adalah Israel sentiasa mahu Bashar digulingkan. Kami sentiasa mengutamakan ‘orang jahat’ yang tidak disokong oleh Iran dan untuk ‘orang jahat’ yang disokong oleh Iran,” katanya.

Menurutnya, ‘orang jahat’ disokong Islam adalah lebih jahat buat Israel daripada yang tidak disokong olehnya.

“Kami tidak hirau sekiranya terdapat kumpulan anti rejim bergabung dengan Al-Qaeda. Apa yang pasti, kami membiarkan Bashar bebas bertindak sesuka hati terhadap kerajaan dan rakyatnya terlebih dahulu,” katanya.

Pemerhati antarabangsa sentiasa percaya, Al-Qaeda adalah ciptaan AS dan Washington menggunakannya untuk memajukan agenda tersendiri dalam dunia Islam.

“Pertemuan Al-Qaeda, AS, Israel dan Arab Saudi di Syria adalah bukti jelas tentang pakatan ini,” katanya.

Beliau berkata, ancaman paling besar adalah melihat strategik Tehran, Damsyik dan Beirut. Kami lihat rejim Bashar adalah boneka dalam strategi itu sehingga tercetusnya perang saudara yang dahsyat. Dengan tekanan ini, Israel mahu melihat Bashar terus digulingkan,” katanya, laporan dipetik dari www.crescent-online.net.

-Sentiasapanas.com

iPad Untuk Lancarkan Mortar Yang Mengejutkan Dunia!

iPad Untuk Lancarkan Mortar Yang Mengejutkan Dunia!

Sekeping gambar yang dirakamkan seorang jurugambar agensi berita Reuters baru-baru ini telah mendapat perhatian banyak media antarabangsa.

Seorang anggota Briged Ansar Dimachk menggunakan iPad semasa 
menlancarkan serangan mortar di Jobar, Damsyik pada 15 September lalu.

Gambar itu menunjukkan seorang anggota Briged Ansar Dimachk menggunakan sebuah komputer iPad semasa dia melakukan persediaan untuk melancarkan serangan mortar buatan sendiri ke arah tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad di Jobar, Damsyik pada 15 September lalu.

Briged Ansar Dimachk itu beroperasi di bawah kawalan tentera Pembebasan Syria yang menentang pemerintahan Bashar sejak Mac 2011.

Peperangan saudara yang berlaku di negara tersebut telah mengakibatkan lebih 100,000 orang terbunuh manakala lebih empat juta orang menjadi pelarian.

Kumpulan penentang itu mahu menggulingkan Bashar yang didakwa melakukan kekejaman dan gagal membawa demokrasi di negara tersebut.

Namun, gambar Reuters itu menggamit perhatian beberapa perunding ketenteraan dan bekas askar AS kerana mereka terkejut komputer tablet iPad digunakan untuk membantu melancarkan serangan mortar.

Komputer tablet itu dikeluarkan ketika Steve Jobs masih menerajui syarikat gergasi komputer di Amerika Syarikat (AS), Apple.

Pengeluaran iPad diumumkan pertama kali oleh Jobs pada 27 Januari 2010 pada satu sidang media di Pusat Kesenian Yerba Buena di San Francisco, AS.

Jobs yang meninggal dunia pada 5 Oktober 2011 selepas diserang penyakit kanser pankreas tidak dapat menyasikan produk keluaran syarikat itu telah dijadikan sebahagian daripada peralatan dalam peperangan.

Komputer tablet itu dicipta untuk merakamkan video, gambar, mendengar muzik, melayari internet dan menghantar e-mel.

Namun, ia turut dilengkapi dengan sistem kedudukan sejagat (GPS) bagi membantu para pengguna mencari destinasi yang hendak ditujui.

Seorang perunding isu-isu ketenteraan untuk portal berita ABC News, Stephen Ganyard berkata, para penentang itu mungkin menggunakan GPS yang terdapat pada iPad dan menyambungkannya dengan aplikasi pemetaan.

Menurutnya, data-data tersebut akan membolehkan para penentang itu mengetahui kawasan rejim Bashar.

Ganyard menjelaskan bahawa, penentang Bashar itu akan membuat pengiraan bagi menentukan arah terbaik untuk menghalakan mortar tersebut ke arah kedudukan askar-askar rejim Bashar.

Penggunaan iPad tersebut mengejutkan seorang bekas pengajar sebuah sekolah infantri untuk tentera marin AS, Paul Szoldra yang menyatakan, dia tidak pernah mendengar iPad mengandungi aplikasi yang boleh digunakan untuk melancarkan serangan mortar.

Menurutnya, setakat yang diketahuinya, komputer keluaran Apple itu mempunyai aplikasi untuk membantu para pengguna menembak ke arah sasaran dengan menggunakan raifal.

Penggunaan gajet seperti telefon iPhone juga pernah dilaporkan digunakan oleh para pejuang Libya yang menentang tentera Muammar Gaddafi pada tahun 2011.

Para pejuang itu menggunakan kompas dan kemudahan aplikasi Peta Google yang terdapat pada iPhone yang juga keluaran syarikat Apple untuk bertempur dengan askar-askar Gaddafi.

Ketika ini, kedua-dua keluaran syarikat Apple itu menjadi popular dalam kalangan orang awam yang berjuang untuk menentang askar-askar yang terlatih dalam pertempuran.

Kekangan kewangan dan akes untuk memperoleh senjata api canggih itu telah digantikan dengan penggunaan komputer tablet serta telefon bimbit.

Teknologi yang diperoleh dengan harga murah itu digunakan sepenuhnya bagi berdepan dengan kumpulan askar-askar yang dilengkapi peralatan perang yang mahal dan canggih.

Ia mungkin akan menjadi trend dalam peperangan kini.

Sumber: Kosmo

Monday, September 23, 2013

Pejuang Syria Cipta Kereta Perisai Buatan Sendiri

Pejuang Syria Cipta Kereta Perisai Buatan Sendiri

Dari jauh kelihatan seperti kotak besi yang besar berkarat, tetapi ketika dilihat dari dekat ianya adalah sebuah kereta perisai yang menunjukkan prestasi baru Mujahidin Syria, kereta perisai buatan sendiri (dengan izin Allah) sedang menanti untuk dikerahkan.


Syam II, diambil dari nama arab Syria, dibina dari kerangka kereta dan diubahsuai oleh Mujahidin menjadi sebuah kenderaan seperti kereta perisai yang biasa digunakan oleh tentera.

Syam II dipuji oleh para Mujahidin dengan menyebutnya "100 peratus buatan Syria."

Untuk mencipta Syam II, memakan masa selama sebulan untuk merancang, memasang dan mengembangkan kenderaan tersebut kata pereka Syam II, Mahmud Abud dari brigade Al-Ansar yang berpusat di bandar Aleppo, dilaporkan SaudiGazette.

Mujahidin di atas Syam II

Dari luar rupa bentuk Syam II ringkas tetapi hampir setara dengan kereta perisai buatan kilang. Syam II dilengkapi lima kamera, terletak tiga di bahagian depan, satu di bahagian belakang dan selebihnya di dipasang di senjata.

Kru di dalam kabin sepenuhnya dilindungi, pemandu menjalankan Syam II dengan melihat skrin yang memaparkan video dari kamera yang dipasang tersebut.

Mujahidin memandu Syam II

Sementara penembak duduk di samping pemandu dan dapat mengaktifkan senjata mesin dengan melihat skrin untuk melihat sasaran dan menggunakan stick yang mengawal peralatan dilengkapi dengan butang-butang.

Dinding logam badan Syam II setebal 2.5 cm dan dikatakan boleh menahan tembakan meriam 23 mm. Namun begitu Syam II dikatakan belum mampu menahan tembakan kereta kebal atau senjata anti-tank RPG.

"Saudara saya, seorang jurutera terlatih yang mengemukakan idea ini. Kami ada kereta, enjin dieselnya dibuang dari kerangkanya dan membina mesin tersebut," kata Abud, yang berpusat di pusat komando Mujahidin di Bishqatin.

Alat kawalan Syam II

Kos yang dikeluarkan untuk mencipta Syam II, tidak termasuk senjata, mencapai USD 10,000.

"Tidak termasuk senjata, kenderaan ini bernilai sekitar USD 10.000," kata Abud.

Mujahidin Syria dengan segala kelengkapan yang terhad secara kreatif mencipta senjata dan peralatan tempur sendiri dengan menggunakan barang-barang yang ada.

Bagaimanapun, bagi Mujahidin senjata canggih bukan faktor utama untuk memenangi pertempuran kerana mereka sepenuhnya yakin bahawa kemenangan datangnya dari pertolongan Allah.

Mereka akan tetap bertempur walaupun dengan peralatan tidak secanggih milik musuh.

Sumber: Arrahmah.com