Tuesday, September 17, 2013

Bashar Assad Sembunyi Senjata Kimia Di Luar Syria

Bashar Assad Sembunyi Senjata Kimia Di Luar Syria

Presiden Bashar Assad dipercayai menyembunyikan senjata kimianya di luar Syria untuk menghalang ia dimusnahkan, kata seorang pemimpin pejuang antikerajaan semalam.

Krisis Syria
Anggota FSA berkumpul sebelum keluar berperang 
menentang rejim Bashar di Salaheddine, Aleppo semalam.

Tindakan itu, kata Jen Salim Idris, dilakukan selepas AS dan Russia bersetuju untuk mengambil dan memusnahkan senjata berkenaan melalui perjanjian yang dipuji rejim Bashar sebagai satu “kejayaan.”

Menurut anggota Majlis Tertinggi Tentera Pembebasan Syria (FSA) itu, senjata kimia berkenaan dipindahkan ke Lubnan dan Iraq untuk menghalang kemungkinan pemeriksaan pakar luar.

“Kami sudah memberitahu rakan yang lain bahawa rejim Syria mula memindahkan sebahagian daripada senjata kimia ke Lubnan dan Iraq.

“Kami memberitahu mereka supaya tidak diperbodohkan,” katanya.

Salim juga mengkritik perjanjian berkenaan kerana membenarkan Bashar dipertanggungjawabkan atas kematian ratusan orang awam di Syria.

Katanya, FSA tidak berminat terhadap semua inisiatif itu.

“Jenayah kemanusiaan dilakukan dan perjanjian berkenan tidak menyatakan mengenai pertanggungjawaban,” katanya.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

Gas sarin diguna di Ghouta

Pemeriksa PBB semalam berkata, ada “bukti jelas dan meyakinkan” senjata kimia digunakan meluas secara relatif dalam serang yang mengorbankan ratusan orang bulan lalu.

Pemeriksa itu berkata, “contoh alam sekitar, kimia dan perubatan” yang dikumpulkan membolehkan mereka menemui bukti kukuh bahawa roket darat ke darat membawa gas sarin digunakan di kawasan Ghouta pada 21 Ogos lalu.

Laporan itu turut menamakan kawasan lain iaitu Ein Tarma, Moadamiyeh dan Zamalka. Halaman pertama laporan disediakan untuk Setiausaha Agung PBB itu menyatakan, kesimpulan mereka ialah, senjata kimia telah digunakan dalam konflik berterusan di Syria.

“Ia digunakan ke atas orang awam, termasuk kanak-kanak, dengan meluas secara relatif,” katanya. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dijadual membentangkan laporan itu di badan dunia itu hari ini.

Serangan pada Ogos lalu itu terbongkar ketika pasukan penyiasat PBB berada di Syria menilai serangan lain yang lebih awal. -AP/Reuters

Wednesday, September 11, 2013

Turki Tambah Tentera Di Sempadan Syria

Turki Tambah Tentera Di Sempadan Syria

Turki menempatkan tentera tambahan di sempadan Syria susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mahu melancarkan perang terhadap negara itu.

Kereta perisai Rusia ditempatkan di Kilis Gaziantep.

Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan berulang kali menegaskan, negaranya sedia menghadapi sebarang ancaman pencerobohan tindakan AS di negara jirannya.

Ditanya adakah Turki akan campur tangan dalam krisis di Syria, beliau menjawab, pihaknya akan menentang habis-habisan termasuk bersedia mengerahkan anggota tentera dan memberi sokongan logistik mengikut keperluan semasa.

Press TV melaporkan, Turki telah bersedia dengan berapa pesawat pejuang Turki flied, menggerakkan kereta perisai di Kilis Gaziantep dan di wilayah-wilayah panas berhampiran sempadan Syria.

Sementara itu, Israel juga dikatakan telah menggerakkan sistem peluru berpandu Iron Dome di beberapa bandar berhampiran sempadan Syria.

Bekas pengarah perkhidmatan keselamatan Israel berkata, Tel Aviv juga membuat persediaan rapi untuk berperang pada bila-bila masa termasuk mengetatkan kawalan berhampiran sempadan Lubnan.

Bashar Al-Assad laung amaran terakhir

Krisis Syria
Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Presiden Syria, Bashar Al-Assad sekali lagi memberi amaran akhir untuk melancarkan tindak balas sekiranya diserang kuasa luar.

Bashar berkata, tindak balas juga akan dilakukan, sekiranya Amerika Syarikat (AS) berterusan menuduh rejimnya menggunakan senjata kimia.

"Tuduhan itu adalah propaganda ciptaan AS dan sekutunya," katanya.

Dalam temu bual dengan media CBS, beliau berkata, AS sengaja menggunakan motif penggunaan senjata sebagai alasan membolehkan serangan tindakan balas terhadap sekutu Syria.

“Tiada bukti kami guna senjata kimia dan mustahil kami mahu membunuh rakyat sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Turus Rumah Putih McDonough membuat kenyataan mengejut berhubung isu berkenaan.

“Tuduhan itu adalah ‘perkara biasa’ berbanding bukti kukuh terhadap penggunaan kimia oleh tentera rejim tetapi penggunaan itu tidak disangkal,” katanya dipetik dari laporan Press TV.

Beliau sebelum ini diarah ke Syria untuk menentukan momentum pertempuran dengan usaha terhad oleh pentadbiran Barack Obama.

Barack Obama berdolak-dalik

Krisis Syria
Penunjuk perasaan di Korea Selatan mengadakan protes menentang 
rancangan AS untuk menyerang Syria di Seoul, kelmarin.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama telah mendedahkan sifat beliau yang sebenarnya tidak berpendirian tetap.

Ketika diwawancara CNN, kelmarin pemimpin itu cuba memutar-belit kenyataan dengan memberitahu bahawa beliau sedia menangguhkan rancangan untuk melancarkan serangan ke atas Syria jika negara itu bersetuju menyerahkan bekalan senjata kimia mereka di bawah kawalan antarabangsa.

Menurutnya kepada AFP, beliau mahu memastikan norma berhubung penggunaan senjata dikekalkan dan jika Syria bersetuju ia kononnya dapat mengelakkan tindakan ketenteraan dilancarkan ke atas negara bergolak terbabit.

Sementara itu, Syria menyambut baik inisiatif Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov supaya meletakkan senjata kimia mereka di bawah kawalan antarabangsa untuk dimusnahkan.

Dalam perkembangan lain, kumpulan pemerhati hak asasi manusia (HRW) mendakwa Presiden Bashar al-Assad sebagai dalang bertanggungjawab melancarkan serangan senjata kimia di Ghouta, bulan lalu.

Perkara itu didedahkan menerusi laporan setebal 22 muka surat yang didakwa mengandungi bukti kukuh termasuk pengakuan saksi. -SinarOnline

-Sentiasapanas.com

Tuesday, September 10, 2013

Kami Akan Membantu Syria Jika Diserang! - Vladimir Putin

Kami Akan Membantu Syria Jika Diserang! - Vladimir Putin

Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa Moscow akan berpihak kepada Syria jika Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara sekutunya itu.


Beliau berjanji untuk 'membantu' Presiden Bashar al-Assad, jika AS melancarkan kempen tersebut, sekali gus menunjukkan bahawa kedua-dua pemimpin itu gagal mengurangkan perbezaan pendirian antara mereka berhubung isu Syria pada Sidang Kemuncak G20 di St. Petersburgh, minggu ini.

Putin berkata, dunia menentang tindakan ketenteraan ke atas Syria dan Rusia akan menyebelahi negara sekutunya itu.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

"Kami akan membantu Syria, kami akan melakukannya dan ketika ini pun kami telahpun membantu negara itu dengan menghantar senjata," katanya yang dipetik oleh The Telegraph.

Presiden Barack Obama berkata, 19 negara dalam G20 menyokong AS mengambil tindakan ketenteraan dengan 11 daripadanya telah menandatangani kenyataan menggesa 'tindak balas keras oleh antarabangsa' ke atas penggunaan senjata kimia di Damsyik.

Namun, Putin menafikannya dan menyatakan Perdana Menteri Britain, David Cameron mungkin telah menandatangani kenyataan tersebut, tetapi Parlimen negara itu menentang campur tangan tentera.

Katanya, hanya AS, Turki, Kanada, Arab Saudi dan Perancis yang menyokong campur tangan tentera dengan China, India, Indonesia, Argentina, Brazil, Afrika Selatan serta Itali menentangnya.

Rusia adalah pembekal senjata terbesar kepada Syria dan sejak beberapa minggu lalu, Moscow turut menghantar tiga kapal perang ke timur Mediterranean, dengan kapal keempat yang membawa 'kargo khas' kini dilaporkan dalam perjalanan ke kawasan berhampiran perairan Damsyik.

Serah kawalan gudang senjata kimia

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menggesa rejim Syria supaya menyerahkan kawalan gudang senjata kimia mereka kepada penyeliaan antarabangsa sebagai salah satu cara bagi mengelakkan daripada ancaman tindakan ketenteraan.

Lavrov berkata, pelan itu akan membantu mengelakkan serangan ketenteraan yang sedang dipertimbangkan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Syria, Walid al-Muallem di Moscow.

Tambah Lavrov, cadangan tersebut telah pun dikemukakan kepada Muallem dan berharap mendapat jawapan yang cepat dan positif dari Syria.

Nafi dalangi serangan kimia

Presiden Syria, Bashar al-Assad menafikan beliau mendalangi serangan kimia ke atas rakyatnya dalam satu kejadian serangan dekat Damsyik bulan lalu.

Assad membuat pengakuan itu dalam satu temu bual dengan stesen televisyen CBS, semalam.

CBS melalui program berita, Face the Nation melaporkan, Assad turut menyatakan bahawa bukti yang dikemukakan oleh Barat tidak kukuh bagi menunjukkan berlakunya serangan kimia itu.

''Tiada bukti menunjukkan saya menggunakan senjata kimia ke atas rakyat saya sendiri,'' katanya dalam temubual di Damsyik, Syria.

Temubual penuh tersebut akan disiarkan melalui jaringan CBS dan rancangan temubual PBS, Charlie Rose, hari ini.

Rose berkata, beliau bertemu dengan Assad di Damsyik.

Petikan laporan Face the Nation merupakan ringkasan temubual tersebut dan tidak mengandungi sebarang audio atau video Assad.

(Baca: Penemuan Epik Kuno Yang Menceritakan Perang Nuklear Pernah Terjadi!)

Sementara itu di London, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menolak dakwaan Assad yang menyatakan tiada bukti beliau menggunakan senjata kimia berkenaan.

''Bukti yang ada sudah jelas,'' kata Kerry kepada wartawan.

Beliau berkata, kawalan ke atas senjata kimia di Syria terletak di bawah kawalan Assad, abangnya, Maher dan seorang jeneral tentera.

''Senjata kimia di Syria dikawal dengan ketat oleh kerajaan pimpinan Assad. Tiga orang yang mengawal pergerakan dan penggunaan senjata kimia dan mereka adalah Assad, Maher dan seorang jeneral,'' katanya.

Menyalahi undang-undang

Serangan ketenteraan terhadap Syria yang bakal diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) adalah 'menyalahi undang-undang' berdasarkan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Luar Iran, Mohammad Javed Zarif di sini hari ini.

"Negara bertamadun 65 tahun lalu telah membuat pilihan dengan menolak piagam PBB untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

"Mengapa mereka yang menyokong serangan tersebut memanggil diri mereka sebagai negara bertamadun dan terus mendesak semua pilihan yang ada," kata Zarif dalam satu sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari Iraq, Hoshyar Zebari. -AFP/Reuters

-Sentiasapanas.com

Sunday, September 08, 2013

Pejuang Syria Berjaya Mencipta Peluru Berpandu Buatan Tangan!

Pejuang Syria Berjaya Mencipta Peluru Berpandu Buatan Tangan!

Mujahidin Syria mencipta roket peluru berpandu yang akan dilancarkan melalui lori. Mereka mencipta roket peluru berpandu yang agak besar itu dengan menggunakan air tangan mereka sendiri berserta peralatan yang mereka sedia ada.

Mujahidin Syria

Para Mujahidin tersebut tidak memerlukan senjata buatan Amerika, mahupun barat ataupun negara-negara yang maju untuk membantu mereka. Mereka hanya memerlukan pertolongan dan petunjuk daripada Allah S.W.T buat mereka.

Roket peluru berpandu buatan tangan ini mereka beri nama, "Arrow 3 Missile" dalam bahasa inggeris, manakala dalam bahasa melayu pula, cuba tafsirkan sendiri...

Masyarakat Muslim Syria sangat kreatif apabila mereka berdaya saing untuk berjuang kerana Allah S.W.T dan untuk tanah air mereka.

Namun begitu, rejim Assad telah menghentikan pembelajaran ilmu pengetahuan dan Sains untuk rakyat Syria berkembang maju selama 50 tahun, kerana keluarga Firaun Assad menginginkan rakyat Syria menjadi orang suruhan mereka.

Manakala Basyar Assad pula menginginkan rakyat Syria menyembah mereka dengan menjadikan rakyatnya sebagai hamba abdi.

Berikut adalah klip video mengenai demonstrasi roket peluru berpandu buatan tangan mujahidin Syria buat pertama kali dalam sejarah dunia:



Berikut adalah klip video mengenai Mujahidin FSA dari Liwa' Al-Islam meletupkan kereta kebal rejim Assad pada Ma'rakah Al-Khudhu' Lillahi 'Azza wa Jalla yang bermaksud peperangan yang hanya tunduk kepada Allah 'Azza wa Jalla.

Mereka berjuang hanyalah semata-mata kerana Allah S.W.T untuk beroleh kemenangan yang hakiki.



Alhamdulillah, Mujahidin FSA dari batalion Syuhada Ruknuddin dan batalion Ghouta timur mendapatkan ghanimah (harta rampasan perang) berupa sebuah gudang dipenuhi bekalan peluru senjata setelah mereka berjaya memenangi peperangan terhadap pasukan rejim Assad dengan berkat perjuangan mereka semata-mata kerana Allah S.W.T untuk beroleh kemenangan yang hakiki. Cukuplah Allah sebaik-baik Penolong dan Perancang. Hasbunallahu wani'mal wakiil.

Adakah Amerika atau kuasa Barat yang membantu mereka? Tidak sama sekali! Mereka hanya dibantu dengan berkat doa umat Islam seluruh dunia, berkat kesabaran mereka dan tawakkal mereka terhadap Allah S.W.T, maka Allah bukakan bagi mereka pintu-pintu pertolongan dan kemudahan yang mereka tidak menyangka akan boleh dapat.

Cukuplah Allah sebaik-baik Penolong. Hasbunallah hiwani'mal wakiil. Berikut adalah klip video berkenaan:



Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Mayat Pejuang Syria Yang Masih Segar!

sumber: nukeufo89

Friday, September 06, 2013

Negara Arab Menawarkan Untuk Membiayai Kos Ketenteraan Serang Syria!

Negara Arab Menawarkan Untuk Membiayai Kos Ketenteraan Serang Syria!

Negara Arab menawarkan untuk membiayai sepenuhnya kempen ketenteraan menyerang Syria bagi menggulingkan Presiden Bashar al-Assad dengan syarat usaha itu diketuai tentera Amerika Syarikat.

Aktivis anti perang membawa sepanduk menyindir Presiden Amerika, Barack Obama 
di depan kedutaan Amerika di Kiev ketika membantah rancangan menyerang Syria.

“Mengenai tawaran negara Arab untuk membiayai (kempen ketenteraan), jawapannya adalah ya. Mereka bersedia. Tawaran sudah dibuat,” kata Setiausaha Negara Amerika, John Kerry.

Ditanya oleh ahli Dewan Perwakilan parti Republikan, Ileana Ros-Lehtinen, mengenai sejauh mana pembiayaan itu, Kerry berkata, bantuan kewangan itu ditawarkan sepenuhnya untuk serangan besar-besaran.

“Malah, ada yang berkata, jika Amerika sedia bertindak sepenuhnya seperti di tempat lain sebelum ini, mereka akan menanggung semua kos,” kata Kerry.

Ada penganalisis memberitahu media, kempen 90 hari membabitkan penggunaan senjata ringan kepada pemberontak, pelancaran peluru berpandu dan pesawat kawalan jauh dari kapal perang di Laut Mediterranean selain penerbangan jet tempur dari Turki memerlukan belanja AS$5 hingga AS$21 bilion (RM17.5 hingga RM73.5 bilion).

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

Cadangan buat masa ini oleh pentadbiran Presiden Barack Obama melancarkan serangan terhad mendapat sokongan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Sepuluh anggotanya memberi sokongan dan tujuh menentang meluluskan resolusi serangan.

Obama juga dijangka tidak menghadapi masalah mendapat sokongan Senat minggu depan kerana kelebihan anggota Demokrat di dewan itu.

Sabtu lalu, Obama mengumumkan akan meminta kebenaran 433 anggota Kongres bagi melancarkan kekerasan terhadap Syria atas penggunaan senjata kimia.

Sebelum ini, Presiden Amerika itu dilihat akan mengumpulkan sokongan antarabangsa bagi tujuan itu apabila menghadiri sidang G20 di Saint Petersburg, Russia, mulai semalam.

Pegawai Rumah Putih berkata, Obama akan mengadakan mesyuarat di luar sidang itu dengan Presiden Perancis, Francois Hollande, penyokong utama serangan terhadap Syria, selain pemimpin China dan Jepun.

Sementara itu, Russia memberi amaran bahawa serangan Amerika ke atas lokasi loji atom Syria akan membawa bencana nuklear di rantau itu.

Moscow juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat analisis risiko senario berkenaan.

Amaran itu disuarakan jurucakap Kementerian Luar Russia, Alexander Lukashevich, di Vienna.

Jurucakap Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Gill Tudor, berkata agensi itu sedia menimbang langkah itu jika menerima permohonan rasmi Moscow. -Agensi

Panas! AS Rangka Draf Untuk Persediaan Menyerang Syria!

Panas! AS Rangka Draf Untuk Persediaan Menyerang Syria!

Wakil-wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) menyokong pelan Presiden Barack Obama untuk melancarkan serangan tentera ke atas Syria.

Krisis Syria
Gambar fail.

Perkembangan itu berlaku selepas Setiausaha AS, John Kerry merayu para pemimpin negara itu agar tidak hanya duduk di kerusi dan melihat sahaja serangan kimia yang berlaku di pinggir bandar raya Damsyik pada bulan lalu.

Wakil-wakil rakyat daripada Parti Demokrat dan Republikan kini merangka draf untuk AS melancarkan serangan ke atas Syria.

(Baca: Syria Tidak Gentar Biarpun Perang Dunia Ketiga Bakal Berlaku!)

Mereka menetapkan tarikh akhir 90 hari untuk AS berbuat demikian.

Namun, Senat menolak penghantaran askar AS ke bumi Syria.

Dua kaji selidik baru-baru ini mendapati, rakyat AS menentang tindakan ketenteraan ke atas Syria.

Konflik di negara Asia Barat itu yang memasuki tahun ketiga telah meragut lebih 110,000 nyawa.

Perkembangan dramatik itu berlaku ketika agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa lebih dua juta orang telah menjadi pelarian ekoran perang di Syria.

Obama sebelum ini menangguhkan sebarang tindakan ketenteraan ke atas Syria sehingga mendapat kelulusan Kongres pada sesi pengundian, 9 September ini.

"Ini bukan masa untuk kita duduk di kerusi malas. Ini bukan masa untuk kita sekadar menonton pembunuhan beramai-ramaiitu. Negara kita dan sanubari kita tidak boleh berdiam diri," kata Kerry kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Selepas wakil-wakil rakyat Britain mengundi untuk tidak terlibat dalam tindakan ketenteraan terhadap rejim Presiden Syria, Ba- shar Al-Assad, Washington kini mencari sekutu lain untuk membina perikatan antarabangsa bagi tujuan itu.

Perancis sebelum ini menyokong rancangan AS menyerang Syria.

Negara Eropah itu dijadual mengadakan perdebatan tergempar di Parlimen semalam berhubung krisis Syria tetapi Perdana Menteri, Jean-Marc Ayrault menolak sebarang pengundian.

Presiden Perancis, Francois Hollande boleh mengarahkan tindakan ketenteraan tanpa kelulu- san Parlimen tetapi sebahagian wakil rakyat menggesa supaya isu tersebut diundi di Parlimen

Pada masa yang sama, Paris turut menggesa negara-negara Kesatuan Eropah supaya bersatu dan menyokong tindakan menghukum rejim Bashar.

"Eropah perlu bersatu dalam isu ini," kata Hollande dalam satu sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Jerman, Joachim Gauck.

"Apabila pembunuhan beramai- ramai menggunakan senjata kimia berlaku, apabila wujud bukti dan apabila pihak yang bersalah dikenal pasti seterusnya perlu ada tindak balas," tambahnya.

Sementara itu, pihak penentang Syria menyatakan, ia bimbang tentera Bashar akan melancarkan serangan senjata kimia baharu.

Ia berikutan pihaknya melihat tiga konvoi kenderaan yang dipercayai membawa senjata pembunuh besar-besaran itu baru-baru ini.

Obama memberitahu, serangan senjata kimia pada 21 Ogos lalu yang melibatkan gas sarin itu menjadi ancaman terhadap AS dan sekutu-sekutunya.

"Bashar dan Syria perlu bertanggung jawab," kata Obama.

Dalam perkembangan berkaitan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pula memberi amaran serangan tentera oleh Barat akan memburukkan lagi krisis di rantau berkenaan. -AFP

Thursday, September 05, 2013

Dr. Mahathir Yakin AS Tidak Akan Menyerang Syria

Dr. Mahathir Yakin AS Tidak Akan Menyerang Syria

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya Amerika Syarikat (AS) tidak akan melakukan serangan ke atas Syria kerana tindakan itu disifatkan boleh memakan diri.


Dr. Mahathir berkata, ketegasan kerajaan pimpinan Barack Obama kononnya mahu menyerang Syria hanya bertujuan mengelak negara itu menanggung malu atas kenyataan sebelum ini.

Menurut beliau, AS sebelum ini mengugut akan menyerang Syria sekiranya negara itu menggunakan senjata pemusnah dan perkara tersebut sudah terbukti selepas beribu-ribu rakyat negara berkenaan dikatakan terbunuh kerana serangan senjata kimia baru-baru ini.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

"Jadi negara itu mahu mencari jalan keluar dengan menyatakan mahu bertanya kepada Kongres. Kongres AS mungkin membantah, rakyat AS sendiri tidak menyokong pembabitan negara mereka di Syria.

"Obama mahu lari sebab rakannya, Perdana Menteri Britain, David Cameron menyebut mahu menyerang Syria, tetapi Parlimen negaranya tidak setuju," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar mengenai Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, serangan AS ke atas Iraq dan Afghanistan sebelum ini memberi pengajaran perang jangka pendek adalah mustahil.

Menurut beliau, AS ketika menyerang Iraq mendakwa mampu menjalankan misi itu dalam tempoh hanya tiga bulan namun berlanjutan hingga lebih 10 tahun.

"Tetapi kini mereka mahu menyerang Syria pula. Apa sebenarnya yang mahu dilakukan di Syria? Mereka mendakwa mahu berperang secara terhad, tetapi bagaimana mahu mengehadkan perang?" katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir menasihatkan rakyat menyelaraskan cara hidup berikutan kenaikan harga minyak.

"Sekarang naik 20 sen, mula-mula rasa pedih tetapi buatlah sedikit penyelarasan. Minyak di Britain dijual dengan harga RM7 seliter," katanya.

Ditanya cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdialog dengan kerajaan, beliau berkata, dialog seperti itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. -Utusan