Tuesday, September 10, 2013

Kami Akan Membantu Syria Jika Diserang! - Vladimir Putin


Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa Moscow akan berpihak kepada Syria jika Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara sekutunya itu.


Beliau berjanji untuk 'membantu' Presiden Bashar al-Assad, jika AS melancarkan kempen tersebut, sekali gus menunjukkan bahawa kedua-dua pemimpin itu gagal mengurangkan perbezaan pendirian antara mereka berhubung isu Syria pada Sidang Kemuncak G20 di St. Petersburgh, minggu ini.

Putin berkata, dunia menentang tindakan ketenteraan ke atas Syria dan Rusia akan menyebelahi negara sekutunya itu.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

"Kami akan membantu Syria, kami akan melakukannya dan ketika ini pun kami telahpun membantu negara itu dengan menghantar senjata," katanya yang dipetik oleh The Telegraph.

Presiden Barack Obama berkata, 19 negara dalam G20 menyokong AS mengambil tindakan ketenteraan dengan 11 daripadanya telah menandatangani kenyataan menggesa 'tindak balas keras oleh antarabangsa' ke atas penggunaan senjata kimia di Damsyik.

Namun, Putin menafikannya dan menyatakan Perdana Menteri Britain, David Cameron mungkin telah menandatangani kenyataan tersebut, tetapi Parlimen negara itu menentang campur tangan tentera.

Katanya, hanya AS, Turki, Kanada, Arab Saudi dan Perancis yang menyokong campur tangan tentera dengan China, India, Indonesia, Argentina, Brazil, Afrika Selatan serta Itali menentangnya.

Rusia adalah pembekal senjata terbesar kepada Syria dan sejak beberapa minggu lalu, Moscow turut menghantar tiga kapal perang ke timur Mediterranean, dengan kapal keempat yang membawa 'kargo khas' kini dilaporkan dalam perjalanan ke kawasan berhampiran perairan Damsyik.

Serah kawalan gudang senjata kimia

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menggesa rejim Syria supaya menyerahkan kawalan gudang senjata kimia mereka kepada penyeliaan antarabangsa sebagai salah satu cara bagi mengelakkan daripada ancaman tindakan ketenteraan.

Lavrov berkata, pelan itu akan membantu mengelakkan serangan ketenteraan yang sedang dipertimbangkan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Syria, Walid al-Muallem di Moscow.

Tambah Lavrov, cadangan tersebut telah pun dikemukakan kepada Muallem dan berharap mendapat jawapan yang cepat dan positif dari Syria.

Nafi dalangi serangan kimia

Presiden Syria, Bashar al-Assad menafikan beliau mendalangi serangan kimia ke atas rakyatnya dalam satu kejadian serangan dekat Damsyik bulan lalu.

Assad membuat pengakuan itu dalam satu temu bual dengan stesen televisyen CBS, semalam.

CBS melalui program berita, Face the Nation melaporkan, Assad turut menyatakan bahawa bukti yang dikemukakan oleh Barat tidak kukuh bagi menunjukkan berlakunya serangan kimia itu.

''Tiada bukti menunjukkan saya menggunakan senjata kimia ke atas rakyat saya sendiri,'' katanya dalam temubual di Damsyik, Syria.

Temubual penuh tersebut akan disiarkan melalui jaringan CBS dan rancangan temubual PBS, Charlie Rose, hari ini.

Rose berkata, beliau bertemu dengan Assad di Damsyik.

Petikan laporan Face the Nation merupakan ringkasan temubual tersebut dan tidak mengandungi sebarang audio atau video Assad.

(Baca: Penemuan Epik Kuno Yang Menceritakan Perang Nuklear Pernah Terjadi!)

Sementara itu di London, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menolak dakwaan Assad yang menyatakan tiada bukti beliau menggunakan senjata kimia berkenaan.

''Bukti yang ada sudah jelas,'' kata Kerry kepada wartawan.

Beliau berkata, kawalan ke atas senjata kimia di Syria terletak di bawah kawalan Assad, abangnya, Maher dan seorang jeneral tentera.

''Senjata kimia di Syria dikawal dengan ketat oleh kerajaan pimpinan Assad. Tiga orang yang mengawal pergerakan dan penggunaan senjata kimia dan mereka adalah Assad, Maher dan seorang jeneral,'' katanya.

Menyalahi undang-undang

Serangan ketenteraan terhadap Syria yang bakal diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) adalah 'menyalahi undang-undang' berdasarkan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Luar Iran, Mohammad Javed Zarif di sini hari ini.

"Negara bertamadun 65 tahun lalu telah membuat pilihan dengan menolak piagam PBB untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

"Mengapa mereka yang menyokong serangan tersebut memanggil diri mereka sebagai negara bertamadun dan terus mendesak semua pilihan yang ada," kata Zarif dalam satu sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari Iraq, Hoshyar Zebari. -AFP/Reuters

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon