Thursday, September 05, 2013

Dr. Mahathir Yakin AS Tidak Akan Menyerang Syria


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya Amerika Syarikat (AS) tidak akan melakukan serangan ke atas Syria kerana tindakan itu disifatkan boleh memakan diri.


Dr. Mahathir berkata, ketegasan kerajaan pimpinan Barack Obama kononnya mahu menyerang Syria hanya bertujuan mengelak negara itu menanggung malu atas kenyataan sebelum ini.

Menurut beliau, AS sebelum ini mengugut akan menyerang Syria sekiranya negara itu menggunakan senjata pemusnah dan perkara tersebut sudah terbukti selepas beribu-ribu rakyat negara berkenaan dikatakan terbunuh kerana serangan senjata kimia baru-baru ini.

(Baca: Perang Akhir Zaman Bermula Dengan Peperangan Di Syria?)

"Jadi negara itu mahu mencari jalan keluar dengan menyatakan mahu bertanya kepada Kongres. Kongres AS mungkin membantah, rakyat AS sendiri tidak menyokong pembabitan negara mereka di Syria.

"Obama mahu lari sebab rakannya, Perdana Menteri Britain, David Cameron menyebut mahu menyerang Syria, tetapi Parlimen negaranya tidak setuju," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar mengenai Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, serangan AS ke atas Iraq dan Afghanistan sebelum ini memberi pengajaran perang jangka pendek adalah mustahil.

Menurut beliau, AS ketika menyerang Iraq mendakwa mampu menjalankan misi itu dalam tempoh hanya tiga bulan namun berlanjutan hingga lebih 10 tahun.

"Tetapi kini mereka mahu menyerang Syria pula. Apa sebenarnya yang mahu dilakukan di Syria? Mereka mendakwa mahu berperang secara terhad, tetapi bagaimana mahu mengehadkan perang?" katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir menasihatkan rakyat menyelaraskan cara hidup berikutan kenaikan harga minyak.

"Sekarang naik 20 sen, mula-mula rasa pedih tetapi buatlah sedikit penyelarasan. Minyak di Britain dijual dengan harga RM7 seliter," katanya.

Ditanya cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdialog dengan kerajaan, beliau berkata, dialog seperti itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. -Utusan

1 comment

  1. Percaya atau tidak...mkin lama mkin bkin mluat prangai dr mahathir...suda retired tu diam2 jak la...biar org yg ada hak bersuara...jga jantung baik2 jak...da senja d pun...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon