Friday, December 18, 2020

Vaksin Pfizer Covid-19 Berkesan 95 Peratus!

Vaksin Pfizer Covid-19 Berkesan 95 Peratus!

Pemilihan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer oleh kerajaan Malaysia, adalah berdasarkan laporan interim ujian klinikal yang menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus dalam mencegah jangkitan wabak itu.

Vaksin Pfizer

Laporan interim ujian itu telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember 2020 lalu, malah kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin itu.

Vaksin ini juga telah mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin itu di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan sebelum ini, sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa tiga ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok sehingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Vaksin Covid-19: Agama tuntut cegah penularan wabak

Pengambilan vaksin penting dan menjadi langkah pencegahan yang dituntut mana-mana agama untuk mengelakkan penularan penyakit atau wabak seperti Covid-19 menjejaskan populasi manusia, kata pemimpin agama.

Mereka senada berpendapat, pengambilan vaksin itu adalah sifat yang dituntut dan dikategorikan sebagai amalan baik untuk menjaga kesihatan diri sendiri, orang sekeliling, masyarakat, dan negara.

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah berkata pandemik Covid-19 itu berisiko tinggi membawa mudarat kepada orang Islam justeru langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak ia terus menular dan membahayakan.

"Seperti kita tahu, tiada lagi undang-undang khusus agar pengambilan vaksin (apabila ada di pasaran) itu jatuh sebagai hukum wajib. Jadi kita kena bergerak dalam rangka undang-undang.

"Vaksin itu harus, tapi digalakkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai keperluan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Kalau penggambilan atau penggunaan vaksin itu tidak diutamakan, akan wujud kemungkinan hadirnya penyakit lain, yang dibimbangi akan membawa keseriusan atau masalah yang sama seperti Covid-19.

"Jadi apabila ada vaksin, ia akan membanteras perkara itu dari berlaku. Pencegahan dituntut dalam agama," katanya.

Penting dari sumber halal

Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja berhubung fatwa penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu telah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Vaksin Covid-19 juga akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia, manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan KKM.

Pada masa yang sama kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin itu sebaliknya hanya diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela, terutama golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

Luqman yang juga bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, perlu dipastikan juga sumber vaksin itu dari bahan yang halal dan diperakui KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), bagi mengelakkan berlakunya polemik berpanjangan.

"Kerana itu pentingnya saintis Muslim seluruh dunia menggerakkan usaha mencipta vaksin 100 peratus dari bahan atau sumber yang halal, agar tidak lagi menjadi pendebatan.

"Sumber yang halal itu penting kerana adalah perkara pokok yang akan menjadi buah mulut kita semua.

“Selain itu, perlu dipastikan juga ia tiada kesan sampingan atau negatif kepada penerima vaksin,” katanya.

Penerimaan vaksin dari sumber lain (tidak halal) dibenarkan mengikut kesesuaian dan keadaan tertentu sahaja, asalkan ia tidak menyimpang daripada syariat Islam yang jelas mementingkan maslahat manusia di dunia dan akhirat.

Jadikan dunia lebih selamat

Presiden Malaysia Hindu Sangam RS Mohan Shan berkata pengambilan vaksin itu mesti diambil dan perlu diutamakan kerana ia amalan yang baik untuk kesejahteraan hidup seseorang tanpa mengira agama, bangsa, dan negara.

"Ia adalah langkah yang penting untuk kesihatan. Manusia yang baik ialah orang yang tidak menyusahkan orang lain dan tidak mementingkan diri, malah berfikiran sebagai seorang yang rakyat yang pentingkan negara berbanding diri sendiri.

"Janganlah mati sia-sia disebabkan Covid-19. Kita perlu utamakan kesihatan dan pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan yang terbaik," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Dhammaduta Malaysia Sister Loh Pai Ling berkata menurut Buddha, amalan berbuat baik dan mengelak kejahatan itu penting.

Justeru katanya, pengambilan vaksin yang memberi kesan yang baik untuk seseorang individu dan juga masyarakat adalah termasuk dalam amalan tersebut.

Jelasnya, ketika negara dan dunia sedang mengalami pandemik Covid-19, kehadiran vaksin mampu menjadikan dunia selamat, sihat dan stabil untuk didiami.

"Kita perlu ada niat yang suci murni dan tujuan yang baik untuk menjadikan negara atau dunia dengan komuniti yang selamat (aman bebas dari pandemik), sihat dan stabil, dapat dicapai dengan sempurna.

"Bagaimanapun, mereka yang enggan menerima atau menolak pengambilan vaksin (atas apa jua alasan/sebab), mesti mengikut prosedur operasi standard, sama ada untuk diri mereka sendiri atau komuniti rapat yang mempunyai hubungan dengan mereka," tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Sardar Jagir Singh berkata dari segi agama Sikh, tiada larangan untuk pengambilan vaksin sebagai langkah untuk memelihara diri daripada ancaman Covid-19.

"Penting juga bagi masyarakat mengambil vaksin untuk keselamatan diri dan juga bagi kebaikan serta keselamatan masyarakat.

"Jika kita tak mahu mengambilnya maka kita akan mengancam diri sendiri dan mengancam keselamatan masyarakat dan keluarga," tambahnya.

Alahan Teruk

Sementara itu, individu dengan alahan teruk mungkin dilarang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 yang dihasilkan firma Pfizer dan BioNTech.

Amaran tersebut disampaikan oleh saintis pemerintah yang juga penasihat utama program vaksin dan rawatan Covid di Amerika, Dr Moncef Slaoui.

Dr Slaoui berkata, "Pesakit dengan alahan teruk telah dikecualikan daripada menjalani uji kaji klinikal. Saya jangkakan, disebabkan FDA akan membuat keputusan, perkara ini akan dipertimbangkan.

"Jangkaannya ialah, pesakit dengan alahan teruk akan diminta supaya tidak mendapatkan suntikan itu sehingga kami betul-betul memahami kedudukan perkara sebenar."

Menurut laporan Reuters, Agensi Kawalan Produk Ubat-Ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) mencatat dan menyiasat dua kes alahan teruk (anafilaksis) dan satu kes yang mungkin menunjukkan alahan ekoran program suntikan Covid-19 di Britain dan beberapa kes di seluruh dunia.

Anafilaksis berlaku ekoran tindak balas daya ketahanan tubuh manusia yang boleh menjadi teruk dan ada kalanya membawa maut. Pihak Pfizer dan BioNTech menyokong siasatan MHRA.

Sehubungan itu, FDA mungkin akan meminta pembekal supaya memerhatikan sama ada penerima vaksin akan menghadapi sakit lumpuh pada wajah yang dinamakan palsi Bell atau tidak.

Palsi Bell secara am jarang berlaku, bersifat sementara dan tidak serius.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2 | 3

Monday, October 12, 2020

Covid-19: Menteri Kayangan Malaysia Punca Gelombang Ketiga Meletus!

Covid-19: Menteri Kayangan Malaysia Punca Gelombang Ketiga Meletus!

Semasa saya menulis warkah ini, terdapat 400 pesakit positif Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth, hospital rujukan tertiari Sabah di Kota Kinabalu termasuk merawat Ketua Menteri Sabah (Hajiji Mohd Noor).

Covid-19


Semua pesakit bukan Covid-19 yang tidak mempunyai penyakit yang mengancam nyawa tidak diterima untuk menyalurkan semua sumber bagi menangani Covid-19.

Bahkan ujian makmal rutin biasa telah dikurangkan untuk membolehkan lebih banyak ujian untuk Covid-19.

Pekerja penjagaan kesihatan letih dan kepenatan. Sumber seperti PPE dan peralatan penting lain hampir habis. Kakitangan dipanggil untuk bertugas di jabatan lain kerana ramai daripada mereka dikuarantin.

Kerja keras selama berbulan-bulan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama telah dipandang sambil lewa dan diketepikan!

Kita telah mencapai jumlah kes pecah rekod berjumlah 691 pada 6 Oktober 2020.

Malaysia Memasuki Gelombang Ketiga!

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Malaysia kini memasuki gelombang ketiga pandemik Covid-19 selepas mencatatkan angka tiga digit kes baharu selama beberapa hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam Facebook rasminya mengingatkan orang ramai supaya bekerjasama memutuskan penularan rantaian wabak itu.

"Kita sekarang sudah memasuki gelombang ketiga #COVID19.

"Sekali lagi kita mesti bersama berpadu tenaga memutuskan rantaian penularan jangkitan ini. #KitaJagaKita," katanya.

Sabah Jadi Kambing Hitam

Pada masa ini terdapat 3439 kes positif di Malaysia, di mana 1901 (55 peratus), lebih daripada separuh berasal dari Sabah.

Dari 1 September 2020 ke 10 Oktober 2020, Sabah mempunyai 3423 kes, ini mengejutkan kerana ia bersamaan dengan 22 peratus daripada 15,096 kes yang direkodkan Malaysia sejak awal!

Terdapat 21 kematian yang merupakan 13.5 peratus daripada jumlah 152 kematian setakat ini.

Sedarlah wahai Perdana Menteri Muhiyiddin Yassin yang dikasihi, anda ialah seorang "abah" yang mahu "merotan" rakyatnya kerana berkelakuan buruk dan tidak mematuhi SOP, tetapi menutup mata terhadap menteri-menteri kerajaan pintu belakang.

Anda gagal menyedari bahawa fakta menyedihkan mengenai gelombang baru Covid-19 yang disenaraikan di atas bukan disebabkan oleh Covid-19, tetapi kegagalan pentadbiran anda untuk mengutamakan kesihatan rakyat di atas segalanya.

Dengan mengabaikan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan membiarkan pilihan raya negeri berlangsung, kempen tanpa kawalan oleh jentera yang terlalu bersemangat (pada semua parti yang bertanding) ini telah menyebabkan penderitaan ramai orang pada hari ini.

Kasta Tinggi Punca COVID-19 Merebak

Faktanya bahawa ketua menteri Sabah sendiri telah dijangkiti menunjukkan sejauh mana menularnya virus itu.

Menteri dan banyak pegawai atasan lain yang tidak mengikuti SOP dan dilepaskan adalah punca sebenar berlakunya peningkatan kes yang mendadak ini.

Kelewatan dalam melaksanakan perintah penutupan pula ibarat 'luka disirami garam' memperburuk keadaan yang sudah teruk.

Sedar dan lihatlah bahawa ramai orang tidak akan menganggap anda sebagai "Abah" kerana didakwa telah membiarkan "anak-anak anda" menderita dengan menyebabkan gelombang baru wabak ini dan menambah buruk keadaan dengan mengamalkan pilih kasih melalui hukuman selektif terhadap mereka yang tidak mematuhi SOP.

Seret VIP (orang kenamaan) yang menjadi penyebab gelombang Covid-19 ini dan singkirkan mereka daripada jawatan.

Mereka telah membawa lebih banyak penderitaan kepada orang-orang yang memilih mereka untuk berkuasa. Ini penyelewengan kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada mereka.

Kematian yang berlaku akibat gelombang baru Covid-19 ini berkaitan secara langsung dengan mereka semua dan mereka mesti bertanggungjawab! Cukuplah bercakap.

Tinggalkan kiasan anda dan perutusan rasmi, bertindak pantas. Kami letih dengan ucapan panjang lebar yang tidak mempunyai isi yang nyata selain dijadikan sindiran di internet dan jenaka media sosial.

Jumlah masa dan sumber daya yang digunakan oleh "perutusan khas" anda dapat disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk digunakan dengan lebih baik lagi.

Ambil tindakan sebenar.

Sedar akan kesalahan dan kegagalan serta betulkan dengan segera. Salurkan sumber ke Sabah dengan secepatnya.

Ketua menteri Sabah kini dirawat di wad di Hospital Queen Elizabeth tetapi seperti semua VIP lain, tidak perlu berbaring di jabatan kecemasan menunggu tempat tidur di wad.

Terdapat kekurangan rasa empati dan tindakan sebenar daripada pentadbiran tertinggi negara, yang mengakibatkan ketidakpedulian terhadap keadaan sebenarnya di lapangan.

Segera, bekalkan PPE yang mencukupi untuk bertahan sehingga akhir tahun kerana banyak pusat di Sabah akan kehabisan PPE tidak lama lagi dan kita akan melihat keadaan PPE DIY yang pernah terjadi jika ini tidak dilakukan.

Sistem pengedaran PPE terpusat yang diselaraskan perlu menggantikan sistem semasa yang perlahan dan tidak telus.

Elaun Covid-19 untuk pekerja penjagaan kesihatan di barisan hadapan perlu diberikan sepanjang tempoh ini dan bukan beberapa bulan selepas itu.

Banyak pengorbanan yang dibuat, ibu bapa kepada bayi yang baru lahir terpaksa bekerja; cuti tahunan telah dibekukan; ramai yang bekerja lebih masa dengan mengurangkan tidur dan rehat.

Arahkan sektor swasta untuk membantu dalam pengurusan kes Covid-19 dan membayar balik dengan dana yang diperlukan. Jika perlu, gunakan dana kecemasan.

Apakah penderitaan "anak-anak abah" tidak dapat menggerakkan hati anda?

Bodoh Tidak Bertempat

Menteri Pertahanan (Ismail Sabri Yaakob) telah mengumumkan majlis perkahwinan yang dihadiri tetamu lebih 250 orang dibenarkan dengan menunjukkan kad jemputan perkahwinan (pada sekatan jalan).

Ini benar-benar tidak masuk akal dan bodoh.

Apa gunanya mendapat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) manakala perhimpunan sebegitu masih dibenarkan?

Tolong gunakan akal sihat semasa melaksanakan SOP, dengarlah nasihat Kementerian Kesihatan daripada mendorong mereka dan memujuk mereka untuk melakukan sebaliknya.

Jangan putus asa

Kepada rakyat, sama ada di Sabah atau di manapun, saya menggesa anda untuk mengamalkan SOP seketat mungkin.

Jangan mematuhi SOP yang tidak masuk akal - perkahwinan boleh ditunda ke kemudian hari; perhimpunan besar tidak boleh diadakan sehingga kita dapat mengawal keadaan.

Sudah sampai waktunya untuk bangkit dan memutuskan bagaimana kelangsungan hidup "keluarga" perlu diteruskan kerana "abah" kita seakan tidak mampu.

Berikan sokongan anda kepada mereka yang berada di barisan hadapan, sama ada dalam bentuk wang, makanan, atau alat bantuan lain.

Mereka yang diberkati kerana lebih berada perlu membantu golongan yang serba kekurangan.

Kepada mereka yang berada di barisan hadapan, jangan berputus asa. Seluruh rakyat negara ini berada di belakang anda dan menyokong anda, melalui bantuan material dan yang lain bila-bila yang boleh memanjatkan doa.

Kebodohan individu tertentu mungkin telah mensia-siakan usaha beberapa bulan yang lalu dan membuang semua masa dan tenaga anda; tetapi Malaysia lebih memerlukan anda sekarang.

Semoga Tuhan memberi anda kekuatan, kesabaran dan ketabahan melalui saat-saat ini. Sama-samalah kita berdoa.

Nota: Penulis adalah DR TACHDIJAN ialah nama samaran. Beliau ialah seorang doktor pakar di Kementerian Kesihatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Monday, August 17, 2020

Apa Itu Covid-19 'Super Spreader' (D614G )?

Apa Itu Covid-19 'Super Spreader' (D614G )?

Mutasi sentiasa berlaku secara semula jadi dan rawak, manakala kebanyakan mutasi tidak memberi apa-apa kesan walaupun ada juga yang mengancam organisma yang menjadi hosnya, bagaimanapun sebilangan kecil mutasi boleh memberikan kelebihan besar dan pantas menjadi varian yang dominan.

Mutasi D614G

Itulah yang berlaku kepada virus SARS-CoV-2 yang menjadi punca kepada Covid-19 menerusi mutasi yang dinamakan sebagai D614G.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah mengumumkan bahawa mutasi itu dikesan dalam sampel yang diambil daripada beberapa pesakit dalam kluster Sivagangga dan Bukit Tiram.

Beliau menggesa semua pihak lebih berwaspada memandangkan mutasi itu menyebabkan virus Covid-19 sepuluh kali ganda lebih mudah menjangkiti individu lain.

Kenali D614G
Covid-19 Cell

Untuk menjangkiti sel manusia dan akhirnya menyebabkan wabak Covid-19, virus SARS-CoV-2 bergantung kepada 'spike protein' (S-protein) pada permukaannya untuk menempel pada sel.

Dalam model 3D virus tersebut, S-protein digambarkan sebagai objek berbentuk piramid terbalik (warna merah) yang melekat pada permukaan virus.

Sebaik saja virus melekat pada permukaan sel, ia akan masuk ke dalamnya dan memulakan proses jangkitan.

Nombor 614 merujuk kepada tempat spesifik (i.e "codon") dalam bahagian kod genetik virus yang mengaturkan bentuk dan fungsi S-protein.

Dalam kes ini, codon 614 pada asalnya adalah kod untuk penghasilan asid amino yang dikenali sebagai asid aspartik (dipendekkan sebagai "D"), untuk dihasilkan dalam lokasi khusus dalam struktur S-protein.

Mutasi D614G membuatkan kod tersebut sebaliknya menghasilkan satu lagi asid amino, dikenali sebagai glycine (dipendekkan sebagai "G").

Mutasi ini nampaknya muncul tidak lama selepas SARS-CoV-2 mula menjangkiti manusia pada akhir tahun 2019 lalu dan telah disedari para saintis.

Bagaimanapun kesannya baru jelas mutakhir ini dengan varian D614G menjadi kian meluas di seluruh dunia.

Bila mutasi ini muncul?

Covid-19 S-protein

Saintis telah menerbitkan kod genetik virus SARS-CoV-2 daripada sampel yang dikumpul di seluruh dunia sejak wabak Covid-19 mula menular.

Berdasarkan maklumat ini, mereka dapat menyusun "salasilah" virus dengan generasi SARS-CoV-2 tersebar di seluruh duni.

Pada peringkat awal penularan, iaitu pada akhir 2019 di China, sampel virus telah mengandungi viarian 614D. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya satu generasi virus yang seterusnya bertukar kepada varian 614G pada Januari tahun 2020.

Beberapa sampel terawal yang mengandungi mutasi D614G dikumpul pada akhir bulan tersebut. Sampel-sampel ini diambil daripada pesakit yang dijangkiti Covid-19 di negara seperti China, Arab Saudi dan Jerman.

Di Malaysia, salah satu sampel terawal yang diketahui setakat ini diambil daripada seorang wanita berusia 30 tahun pada 30 Mac 2020, yang mendapat jangkitan di Kuala Lumpur.

Sampel itu diambil pada 30 Mac tetapi hanya dimasukkan dalam laman nextstrain.org - yang boleh diakses semua - pada minggu lalu (pertengahan Ogos 2020).

Laman itu menggunakan pangkalan data jujukan genetik SARS-CoV-2 untuk mengesan penularannya di seluruh dunia.

Bagaimanapun tidak seperti di seluruh dunia, mutasi D614G tidak menjadi varian virus yang dominan di Malaysia.

Berdasarkan data dalam nexstrain.org, hanya satu daripada sepuluh sampel di Malaysia membawa mutasi itu, sementara bakinya membawa gen asal iaitu 614D.

Bagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa penjujukan genetik bagi virus ini merupakan usaha yang memerlukan ketelitian dan hanya dibuat terhadap sejumlah kecil daripada 9,175 kes Covid-19 di Malaysia, sebelum dimasukkan ke laman itu.

Maka, data yang ada tidak semestinya memberi gambaran lengkap terhadap keadaan genetik Covid-19 di Malaysia.

Apa kesan mutasi?

Pada mulanya, varian asal iaitu 614D adalah venis dominan bagi virus ini, tetapi varian 614G kemudian menjadi kian menular di banyak negara seperti di benua Eropah, Amerika dan Afrika.

Terdapat dua hipotesis tentang bagaimana ia boleh berlaku.

Pertama - secara kebetulan, varian 614G berada di tempat yang betul di masa yang tepat untuk menjadi dominan menerusi penularan meluas di Eropah awal tahun 2020. Ia kemudian tersebar di negara-negara lain dan segera mengatasi varian 614D.

Satu lagi hipotesis ialah mutasi D614G memberikan kelebihan tertentu yang menjadikan virus lebih mudah berjangkit.

Walaupun belum ada jawapan muktamad untuk persoalan ini, ada banyak bukti yang menyokong hipotesis kedua.

Satu draf jurnal pada 4 Ogos 2020 melihat varian 614D dan 614G secara lebih mendalam dan menyimpulkan kluster Covid-19 yang berkaitan dengan varian 614G cenderung merebak dengan lebih meluas.

Satu draf jurnal bertarikh 12 Jun 2020 pula mendapati mutasi tersebut menjadikan S-protein lebih stabil dan lebih mudah untuk menempel pada sel manusia.

Jurnal yang diterbitkan dalam jurnal Cell pada 2 Julai 2020 mendapati pesakit yang memiliki varian 614G turut memiliki virus tersebut dalam jumlah yang lebih banyak, menyebabkan pesakit itu lebih mudah menjangkiti orang lain.

Bagaimanapun, kajian-kajian ini - dan juga beberapa lagikajian lain - tidak menunjukkan mutasi tersebut memburukkan keadaan pesakit dan meningkatkan kebarangkalian maut.

Namun perlu dinyatakan bahawa wabak yang menular dengan lebih cepat meningkatkan risiko sistem penjagaan kesihatan berdepan kes yang jauh lebih banyak sehingga menjejaskan keupayaan untuk menjaga setiap pesakit, termasuk mereka yang tidak dijangkiti Covid-19.

Adakah vaksin semasa mampu atasinya?

Ketika mutasi D614G dalam peringkat awal peningkatannya, sejumlah saintis telah menyuarakan kebimbangan bahawa ia boleh menjadikan vaksin yang sedang dikaji tidak dapat melawannya.

Namun beberapa bulan kemudian, antibodi yang dihasilkan oleh pelbagai vaksin Covid-19 didapati menyasarkan bahagian berbeza pada S-protein yang tidak mengalami perubahan dek mutasi yang berlaku.

Satu jurnal yang diterbitkan dalam Cell pada 17 Julai 2020 membandingkan lebih seratus varian virus SARS-CoV-2 dan mendapati D614G lebih tahan terhadap antibodi, seperti yang mungkin dihasilkan oleh vaksin atau pesakit yang sembuh.

Draf jurnal bertarikh 24 Julai mendakwa vaksin yang sedang dibangunkan Pfizer dan BionNTech dapat menghasilkan antibodi yang berkesan untuk melawan 17 varian SARS-Cov-2, termasuk yang mengalami mutasi D614G.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, July 23, 2020

Cara Pakai Topeng Muka Yang Betul Menurut Pakar Kesihatan

Cara Pakai Topeng Muka Yang Betul Menurut Pakar Kesihatan

Dengan berlakunya penyebaran wabak Coronavirus yang kini merebak ke seluruh dunia, seorang pakar dari World Health Organization (WHO) Collaboration Centre, Seto Wing Hong tampil memberitahu cara yang betul untuk memakai 'face mask' ataupun topeng muka.

Pakai topeng muka

Dalam satu video yang dikongsikan oleh Bloomberg di laman Facebook QuickTake by Bloomberg, Wing Hong mendemonstrasikan cara pemakaian tersebut dengan beberapa langkah penting yang perlu diambil.

Ini langkah-langkah yang telah dikongsikan doktor tersebut dalam video dibawah;

1. Anda mestilah mempunyai topeng muka yang betul. (Sambil menunjukkan topeng yang ada di tangannya sebagai topeng yang betul)

"Ia berwarna biru di luar kerana ia kalis air. Dan ia mempunyai bahagian berwarna putih yang menyerap. Jadi jika saya batuk, ia akan menyerap," katanya.

2. Kemudian, anda perlu memakainya begini. Dengan bahagian yang berwarna biru di hadapan dan bahagian berwarna putih berada di dalam (menghadap mulut).

3. Pastikan 'strip' di bahagian paling atas menutup bahagian hidung dan menarik bahagian bawah topeng sehingga menutup dagu.

Ini katanya adalah bagi mengelakkan topeng terbuka ketika sedang menggunakannya.

4. Membuang face mask yang telah dipakai juga adalah sangat penting menurutnya.

"Bila anda memakai topeng, anda harus ingat ia adalah kotor. Jadi bila anda ingin mengalihkan atau membuangnya, jangan sentuh topeng tersebut," jelasnya.



Beliau juga mengingatkan penonton agar membasuh tangan selepas membuang face mask yang telah dipakai.

Bagi anda yang masih mengalami masalah untuk mengikuti cara pemakaian face mask yang betul, di bawah ini juga ada disediakan langkah-langkah yang telah disediakan oleh laman Facebook Public Health Malaysia.

Cara pakai topeng muka

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Kasih Anak Kepada Ibu Yang Di Jangkiti Covid-19

Kasih Anak Kepada Ibu Yang Di Jangkiti Covid-19

Seorang anak lelaki, Jihad Al- Suwaiti, sanggup memanjat dan duduk ditepi tingkap sebuah hospital demi mahu memastikan ibunya yang dijangkiti COVID-19, mendapat penjagaan dan perhatian sebaik mungkin, menyentuh hati ramai pengguna media sosial.

Jihad Al- Suwaiti

Lelaki berusia 30 tahun dari Hebron, Palestin, itu dilaporkan berada di situ selama berjam-jam setiap hari, sehinggalah ibunya, Rasma Salama, menghembuskan nafas terakhir, Khamis lalu (16/7/2020).

"Dia memanjat saluran paip untuk membolehkan dia memantau ibunya yang di tempat di tingkat dua hospital ini.

"Dia menghabiskan hampir keseluruhan harinya di situ, memerhatikan keadaan ibunya dari luar tingkap, sebelum turun apabila yakin ibunya sudah tidur lena," kata seorang pegawai hospital seperti yang dilaporkan portal berita Al Araby.

Jihad Al- Suwaiti

Abang Jihad, Rasmi, memberitahu media, biarpun dilarang berbuat demikian oleh pihak hospital atas faktor keselamatan, adiknya itu tetap berdegil.

"Jihad anak bongsu dan memang rapat dengan ibu, apatah lagi selepas kematian bapa kami 15 tahun lalu.

"Ibu menghidap leukimia dan disahkan dijangkiti COVID-19 beberapa minggu lalu. Ketika dimaklumkan tentang kematian ibu, Jihad marah dan tidak percaya.

"Tetapi kini dia nampaknya sudah boleh terima kenyataan," ujar Rasmi.

Saksikan video di YouTube.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Wednesday, July 22, 2020

Bahaya Letak Face Mask Di Bawah Dagu, Jangan Lakukan!

Bahaya Letak Face Mask Di Bawah Dagu, Jangan Lakukan!

Topeng muka ataupun face mask kini hampir menjadi perkara yang wajib ada bersama kita ketika ini terutamanya apabila keluar dari rumah dan berada di tempat awam, demi untuk kebaikan kepada nyawa masing-masing dalam usaha berterusan mencegah bahaya Covid-19.

Face Mask Di Bawah Dagu

Walaupun masih ada sebilangan kecil yang enggan mematuhi saranan tersebut namun sebahagian besar masyarakat kita dilihat sudah terbiasa dengan pemakaian pelitup muka di musim penularan COVID-19.

Bagaiamanapun, tahukah anda pemakaian penutup muka bukan sahaja mempunyai caranya yang betul namun turut mempunyai 'pantang larang' seperti yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham di akaun media sosialnya.

Dalam kiriman itu Dr Noor Hisham menasihati mereka yang gemar menurunkan topeng muka ke bahagian dagu ketika melakukan aktiviti seperti makan dan minum yang memerlukan mereka membuka face mask tersebut.

"Sama ada anda memakai pelitup muka dengan betul atau alihkan kesemuanya," tulis beliau sambil berkongsikan poster yang menerangkan kenapa topeng muka tidak boleh diturunkan ke bahagian dagu.

Poster tersebut yang bertajuk, "Jangan Turunkan Topeng Muka Anda Ke Bahagian Dagu" itu menceritakan dengan ringkas kenapa perbuatan tersebut tidak boleh dilakukan.

Topeng muka yang diturunkan terutama yang berada di bahagian dalam akan tercemar kerana bersentuhan dengan bahagian tekak yang telah terdedah.

Ia akan bertambah teruk apabila bahagian dalaman topeng muka yang bersentuhan itu dinaikkan kembali dan menutupi bahagian mulut dan hidung.

Anda boleh fikirkan sendiri bagaimana kedua-dua bahagian hidung dan mulut boleh dijangkiti virus, kuman dan bakteria yang telah melekat di topeng muka tadi.

Jadi, kepada anda yang sering menurunkan topeng muka sebelum ini, mungkin pesanan daripada ketua pengarah kesihatan ini akan mengubah cara pemakaian face mask anda.

Abaikan saranan yang telah diberikan oleh pakar ini dan jadikan pemakaian topeng muka anda hanya sia-sia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Thursday, July 16, 2020

Covid-19 Mampu Terapung Di Udara!

Covid-19 Mampu Terapung Di Udara!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa (7 Julai 2020) mengatakan bahawa ia akan mengkaji bukti baharu mengenai penularan COVID-19 melalui udara, susulan sekumpulan saintis antarabangsa menyimpulkan bahawa virus itu boleh merebak lebih daripada dua meter.

Covid-19 Mampu Terapung

Organisasi itu akan mengeluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat, mengumpulkan pengetahuan mengenai bagaimana virus itu dapat disebarkan dan memastikan petunjuknya sesuai dengan bukti.

Garis panduan jarak fizikal sejauh dua meter telah menjadi faktor utama dalam memerangi pandemik COVID-19, yang telah membunuh lebih 538,000 orang dan menjangkiti lebih 11.6 juta sejak wabak itu muncul di China pada Disember 2019 lalu.

Sekumpulan 239 saintis antarabangsa pada Isnin mendakwa COVID-19 merebak di udara sejauh dua meter.

Apabila orang yang dijangkiti menghembus nafas, mereka mengeluarkan titisan dan titisan yang berukuran di bawah lima mikrometer mampu terapung di udara selama beberapa jam dan bergerak hingga puluhan meter, kata mereka.

Ketua Teknikal WHO, Benedetta Allegranzi, memberitahu sidang media maya, "Kami mengakui bahawa ada bukti yang muncul di bidang ini.

"Oleh itu, kami percaya bahawa kami harus terbuka terhadap bukti ini dan memahami implikasinya terhadap kaedah penularan dan juga mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil," katanya.

Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, mengatakan bahawa agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sedang menghasilkan satu dapatan ilmiah yang menggabungkan penemuan dan pengetahuan mengenai kaedah penularan.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan bahawa wabak itu tidak menunjukkan tanda- tanda untuk berkurangan.

Dunia mengambil masa 12 minggu untuk mencapai 400,000 kes COVID-19 pertama.

"Wabak itu semakin cepat dan jelas kita belum mencapai puncak wabak," kata Tedros.

SAINTIS TEMUI COVID-19 DALAM TITISAN KECIL DI RUANG UDARA

Covid-19 Terapung Di Udara

Sebelum ini, sekumpulan ahli saintis China mendakwa berjaya mengenal pasti petunjuk genetik berhubung kewujudan COVID-19 dalam titisan di ruang udara, sebahagian besarnya memiliki diameter lebih kecil dari satu perseribu setiap inci.

Mereka berjaya mengesan titisan kecil mengandungi petunjuk genetik COVID-19 dalam ruang udara di dua hospital di Wuhan, China dan penemuan kajian itu telah diterbitkan dalam jurnal Nature pada penghujung April 2020 yang lalu.

Tidak dapat dipastikan jika sampel virus yang diambil itu boleh berjangkit, namun titisan terbabit adalah amat kecil, dikeluarkan menerusi pernafasan dan percakapan, serta boleh terapung atau disedut individu lain.

Ia akan kekal terapung di ruang udara sekurang-kurangnya selama dua jam dan kami mendapati ada potensi virus ini disebarkan melalui udara, kata Linsey Marr, profesor kejuruteraan awam dan alam sekitar di Virginia Tech, yang tidak terbabit dengan akhbar Nature.

Marr dan ramai lagi saintis berkata, bukti bahawa COVID-19 disebarkan oleh titisan kecil dikenali sebagai aerosol semakin bertambah.

Malangnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menolak kemungkinan berkenaan dan berkata, Covid-19 sebahagian besarnya disebarkan menerusi titisan lebih besar, selain tidak berada di ruang udara untuk tempoh lama atau menerusi sentuhan pada permukaan tercemar.

Wabak Baharu Lebih Bahaya Dari Covid-19, 1772 Kematian Di Kazakhstan

Sekiranya awal tahun 2020 ini kehadiran wabak COVID-19 sudah cukup membuatkan ramai orang meninggal dunia serta menjadi mangsa, kini selang beberapa bulan timbul pula sebuah virus baharu yang dikatakan lebih berbahaya daripada COVID-19, sekali lagi dari China.

Berdasarkan amaran yang dikeluarkan Kedutaan Besar China di Kazakhstan, penularan virus baharu ini bakal memberi kesan kepada radang paru-paru mangsa sekali gus meningkatkan jumlah pesakit penumonia di kawasan sekitar tanpa sedar.

Apa yang lebih merisaukan, angka kematian daripada serangan virus ini dilaporkan lebih tinggi daripada wabak COVID-19.

Berdasarkan penularan virus baharu yang dikenali, pihak jabatan kesihatan di Kazakhstan sedang berusaha keras membuat kajian namun masih belum dapat mengenal pasti secara terperinci.

Setakat Jun sahaja, negara Kazakhstan telah menyaksikan 1,772 kematian berikutan masalah melibatkan radang paru-paru sepanjang enam bulan pertama tahun ini dimana separuh daripadanya berlaku pada bulan Jun sekali gus menunjukkan peningkatan penyakit radang paru-paru disebabkan kehadiran virus ini.

Berdasarkan isu yang sedang berlaku, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev menasihatkan orang ramai di kawasan sekitar untuk berhati-hati bagi mengelakkan daripada penularan wabak baru ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3