Thursday, October 12, 2023

Tertib Kedatangan Imam Mahdi Dan Kemunculan Dajjal


Imam Mahdi dikatakan seorang manusia biasa yang akan lahir dari keturunan Muhammad. Dia akan dibai'ah di Mekah oleh para ulama yang akan datang dari Syam dan Iraq untuk melantiknya sebagai pemimpin.

Tertib Kedatangan Imam Mahdi

Rasulullah SAW bersabda bahawasanya al-Mahdi tidak akan keluar hingga jiwa-jiwa yang tak berdosa (suci) terbunuh.

Apabila jiwa-jiwa suci itu terbunuh maka penduduk langit dan bumi marah atas kematian mereka. Lalu orang-orang mendatangi al-Mahdi. Mereka mengaraknya seperti seorang pengantin diarak kepada suaminya pada malam pesta pernikahannya. (Musannif Abu Syaibah)

Dari sekian banyak tanda-tanda kemunculan al-Mahdi, ada satu di antara tanda-tanda tersebut yang harus diperhatikan dan difahami secara serius oleh seorang cendikiawan muslim agar tidak salah dalam memahami topik ini, tanda itu ialah tegaknya khilafah di Baitul Maqdis!

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Wahai anak Hawalah, apabila engkau melihat kekhilafahan telah turun di bumi yang disucikan maka sungguh telah dekat bencana gempa dan berbagai kesedihan serta perkara-perkara besar. Pada saat itu Hari Kiamat lebih dekat kepada orang-orang daripada tanganku ini dari kepalaku." (HR: Abu Daud)

Hadits di atas dijelaskan oleh hadits lain.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Dari Abu Sa'id al-Khudri, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Aku berikan khabar gembira kepada kalian dengan datangnya al-Mahdi, ia diutus kepada umatku ketika terjadi perselisihan dan kegoncangan di antara manusia." (HR: Ahmad)

Maka petanda munculnya Imam Mahdi adalah terjadi goncangan (gempa) dan perselisihan (kesedihan) antara manusia terlebih dahulu, maka sebelum terjadi gempa dan perselisihan akan diawali dengan tegaknya khilafah di Baitul Maqdis.

Kenapa khilafah harus di Baitul Maqdis? Kerana Baitul Maqdis merupakan benteng terakhir kaum muslimin, selain itu kota Madinah menuju fasa kehancuran.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Dari Malik bin Yukhamir dari Mu'adz bin Jabal ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Ramainya Baitul Maqdis adalah tanda kehancuran kota Madinah, hancurnya kota Madinah adalah tanda terjadinya peperangan besar, terjadinya peperangan besar adalah tanda dari pembukaan kota Konstantinopel dan pembukaan kota Konstantinopel adalah tanda keluarnya Dajjal." (HR: Abu Daud)

Syekh Ismail al-Muqaddam dalam Fiqih Asy-Rati as-Sa'ah menyatakan bahawa Imam al-Mahdi tidak akan muncul bila khilafah belum tegak di Baitul Maqdis.

Khilafah tidak akan tegak jika Baitul Maqdis masih terjajah. Maka bagi beliau, kemerdekaan Baitul Maqdis adalah suatu keharusan sebelum kedatangan al-Mahdi.

Lebih jauh beliau menukil perkataan Syekh Sa'id Hawa, "Negeri kaum Yahudi sekarang ini (Israel) akan berakhir. Berakhirnya itu bukan setelah Nabi Isa AS turun." Wallahu a'lam.

TENTERA IMAM MAHDI

Setelah itu, Imam Mahdi akan menghimpunkan tenteranya dan akan menentang musuh yang bakal menyerang umat Islam. Tetapi untuk mencapai kemenangan, tentera Mahdi sewaktu itu perlu berkerjasama dengan tentera Rom Kristian dahulu untuk menentang musuh yang dikatakan akan "menyerang dari belakang". Hadis tidak menyebut siapakah tentera musuh ini.

Setelah menang ke atas musuh itu, pakatan tentera Islam dan Rom itu pula yang akan bergaduh sesama sendiri. Ia berlaku kerana pasukan Kristian akan mula mendakwa mereka menang kerana salib dan ini tidak disenangi oleh tentera Islam.

Pasukan Kristian mula meninggalkan tentera Muslim dan akan bergabung dengan tentera musuh dan akan menentang pula tentera Imam Mahdi. Tentera Rom akan menyerang kembali tentera Islam di bawah 80 panji (Hadis Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad).

Dua pasukan ini akan bertemu di Dabiq, Syria dan tentera Islam pimpinan Imam Mahdi yang akan menang. Perang dahsyat ini menyaksikan 1/3 tentera Islam lari dari medan perang, 1/3 terbunuh dan 1/3 lagi akan mencapai kemenangan.

Selepas kemenangan ini, Dajjal akan muncul. Tetapi sebelum Dajjal keluar, akan ada tiga jenis gelombang fitnah yang akan berlaku.

FITNAH BESAR

Fitnah Ahlas, iaitu perang dan pertempuran (yakni perang pimpinan Imam Mahdi di atas).

Kedua, fitnah Sarra', nikmat yang melalaikan manusia seperti kekayaan, kesihatan dan keselamatan dari bencana yang menjadikan seseorang itu lalai dan terjerumus kepada maksiat (umat Muhammad akan dilalaikan oleh seorang dari keturunan Muhammad sendiri).

Duhaima, fitnah di mana manusia akan terbahagi kepada dua kelompok jelas. Kelompok beriman yang langsung tiada kemunafikan di dalam hati dan kelompok kufur termasuk mereka yang murtad dan akan menjadi pengikut Dajjal. (hadith riwayat Abu Daud 4/4242). Fitnah ini akan berlaku mengikut turutan.

Tidak disebut bila sebenarnya fitnah ini akan terjadi dan berapa lama tempohnya, tetapi setelah kemenangan tentera Mahdi dan fitnah Duhaima berlaku, maka Dajjal akan muncul.

KELUARNYA DAJJAL

Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar Kiamat.

Daripada Abdullah ibn Umar R.Anhuma beliau berkata, sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: "Ketika aku sedang tidur, aku melihat diriku bertawaf di Ka'bah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus (berada) diantara dua lelaki. Kepalanya (seperti) menitiskan air. Aku bertanya: "Siapakah orang ini?" Mereka menjawab: "(Isa) putera Maryam." Kemudian aku menoleh dan (melihat) seorang lelaki berkulit merah, bertubuh besar, berambut keriting, cacat mata kanannya, seakan-akan matanya seperti sebutir anggur yang menonjol keluar. Aku berkata: "Siapa ini?" Mereka berkata: "Ini ialah Dajjal!" Orang yang paling mirip dengannya ialah Ibnu Qathn." Riwayat al-Bukhari (6508)

Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan, sebuah tempat yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur).

Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Mekah dan Madinah.

Dajjal tidak dapat memasuki Mekah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu.

Selain itu juga, Imam Ibn Hajar mengatakan bahawa Dajjal ini pasti akan muncul dari arah timur. (Lihat Fath al-Bari) Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan beberapa buah hadis sahih, antaranya:

Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: "Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan." Riwayat al-Tirmizi (2237)

Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Wabil menyebut bahawa Dajjal akan keluar dari arah timur dari Khurasan dari Perkampungan Yahudiyah di Kota Asfahan.

Ini berdasarkan kepada hadis Fatimah bint Qais R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Bahkan dia akan datang dari arah timur. Apa itu dari arah timur? Dan baginda berisyarat dengan tangannya menunjuk ke arah timur." Riwayat Muslim (7573)

Dalam riwayat yang lain menunjukkan ia berada di sebuah pulau sebagaimana hadis Tamim al-Dari.

Maksudnya: "Bahawa dia belayar bersama 30 orang dari Kabilah Lakham dan Juzam dengan sebuah kapal laut. Kemudian mereka terumbang-ambing oleh ombak selama satu bulan. Hingga mereka terdampar di sebuah pulau di tengah laut di kawasan tempat terbenamnya matahari. Lalu mereka berehat di suatu tempat yang dekat dengan kapal. Kemudian, mereka masuk ke pulau tersebut." Riwayat Muslim (7496)

Dajjal dikatakan akan muncul dan akan hidup selama 40 hari. Hari pertama dirasai seperti setahun, hari kedua seperti sebulan, hari ketiga seperti seminggu dan hari keempat seperti hari-hari biasa.

Dajjal mempunyai kuasa yang luar biasa seperti mampu bergerak sepantas angin, mampu menghidupkan orang mati dan sebagainya.

Fitnah Dajjal adalah fitnah paling dahsyat pernah berlaku sejak Allah SWT menciptakan Nabi Adam hingga hari kiamat.

Ia disebabkan peristiwa luar biasa yang dimilikinya sehingga dapat menghilangkan kewarasan akal. Seperti diriwayatkan, Dajjal membawa syurga dan neraka.

Hakikatnya, syurganya adalah neraka dan neraka adalah syurga. Dia membawa sungai yang dipenuhi dengan air dan gunung roti.

Dia boleh mengarahkan langit supaya menurunkan hujan dan arahan itu dipatuhi oleh langit. Jika dia memerintahkan bumi supaya menumbuhkan tumbuhan, maka tumbuhan akan tumbuh.

Dia diikuti oleh kekayaan perbendaharaan bumi. Dia boleh menempuh perjalanan secepat kilat bagaikan hujan mengejar angin dan pelbagai lagi keajaiban lain.

Dalam riwayat Muslim Rasulullah SAW bersabda: "Dajjal itu buta pada mata sebelah kiri, berambut tebal serta mempunyai syurga dan neraka. Tetapi nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka."

Dalam riwayat Muslim juga Rasulullah SAW bersabda: "Akulah yang paling mengetahui tentang Dajjal. Dia membawa dua sungai yang mengalir, sungai yang pertama terlihat aliran air yang putih, sedangkan sungai kedua lagi terlihat aliran api yang berkocak. Oleh itu sesiapa yang berjumpa dengannya, hendaklah mendatangi sungai yang berupa api, lalu pejamkan matanya. Kemudian menunduk sambil meminumnya kerana sebenarnya ia adalah air yang terasa sejuk."

Dalam riwayat Ibn Majah, Rasulullah SAW bersabda: "Antara fitnah yang dilakukan, Dajjal berkata kepada seorang Arab Badwi: "Jika aku mampu membangkitkan semula bapa dan ibu kamu, adakah kamu bersaksi bahawa aku ini adalah tuhan kamu? Arab Badwi menjawab: "Ya! Kemudian datanglah dua syaitan yang menyerupai bentuk rupa ibu dan bapanya serta kedua-duanya berkata: "Wahai anakku, ikutilah dia (Dajjal) sebab dia adalah tuhan kamu."

MENGALAHKAN DAJJAL

"Daripada Uthman bin Abi al Ash R.A, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: (ketika kemunculan Dajjal), orang-orang Islam terbahagi kepada 3 kelompok.

"Sekelompok berada di antara pertemuan dua laut, sekelompok lain di Hirah (sebuah kawasan di persisiran pantai 3 batu daripada Kufah), dan sekelompok lagi berada di Syam. Maka, manusia (seluruh dunia) berlindung di bawah 3 perlindungan.

"Ketika ini muncullah Dajjal di tengah-tengah masyarakat, dan menyerang dari arah Timur. Tempat yang mula-mula diserang ialah kelompok yang berada di antara pertemuan dua laut.

"Lalu berpecahlah manusia di situ kepada 3 kumpulan pula. Sekumpulan berkata: Kita perhatikan dulu apakah tindakannya. Sekumpulan yang lain bergabung dengan bangsa-bangsa Arab.

"Kumpulan yang ketiga bergabung dengan kelompok yang berada selepas mereka (di tempat lain – Hirah – yang akan dikunjungi oleh Dajjal selepas mereka).

"Turut bersama dengan Dajjal seramai 70,000 tentera berselendang hitam (atau berpakaian serba hitam). Kebanyakan yang mengikutnya (Dajjal) dari kalangan Yahudi dan golongan wanita.

"Kemudian, Dajjal menyerang pula kelompok yang berada (di Hirah) pula. Lalu kelompok yang berada di situ berpecah pula kepada 3 kumpulan. Sekumpulan berkata: "Kita perhatikan dulu apakah tindakannya."

"Sekumpulan yang lain bergabung dengan bangsa-bangsa Arab. Kumpulan yang ketiga bergabung dengan kelompok yang berada selepas mereka di Barat Syam.

"Lalu kesemua orang Islam menuju ke Aqabah Afiq (di Damsyik). Lalu mereka menghantar beberapa tentera untuk berhadapan dengan Dajjal.

"Namun mereka pula diserang, lalu diperhebatkan lagi serangan terhadap mereka (umat Islam di Damsyik). Mereka diuji dengan kelaparan yang teruk dan keperitan.

"(Ia berlarutan) sehinggalah seseorang itu sanggup membakar busur panahnya, lalu memakannya. Ketika dalam keadaan demikian, terdengarlah satu seruan dari arah gurun, "Wahai manusia! Akan sampai kepada kamu bantuan, sebanyak tiga kali."

"Lalu mereka berkata sesama mereka, "Ini adalah suara dari seorang lelaki yang kenyang (mendapat bantuan)..."

"Ketika ini, turunlah Nabi Isa A.S ketika mereka baru sahaja ingin mengerjakan Solat Subuh (di Masjid Umawi, Damsyik). Pemimpin umat Islam (Imam Mahdi) ketika itu berkata kepadanya: "Persilakanlah wahai kekasih Allah untuk menjadi imam."

"Nabi Isa menjawab: "Umat ini terdapat pimpinan di kalangan mereka..."

"Lalu pemimpin mereka itu tadi (Imam Mahdi) tampil menjadi imam, dan mengerjakan solat. Setelah selesai solat, Nabi Isa mengambil tombaknya dan menuju ke arah Dajjal (bersama tentera Islam).

"Apabila Dajjal ternampak Nabi Isa A.S, hancurlah mukanya sepertimana cairan timah. Lalu Nabi Isa A.S membuat sasaran, lalu membunuhnya.

"Lalu berkecailah tenteranya dan pada ketika itu tiada satu pun yang melindungi mereka. Sehinggakan pohon juga akan berkata: "Wahai orang beriman, di sini ada seorang kafir..."

"Batu juga akan berkata: "Wahai orang beriman, di sini ada seorang kafir..." (Musonnaf Ibn Abi Syaibah 38633)

HANCURNYA YAHUDI

Nabi Isa A.S akan turun ketika umat Islam dalam keadaan dikepung oleh Dajjal. Wallahu a'lam.

Umat Islam bertahan di kawasan Damsyik dan berpusat di Masjid Umawi. Mereka lari ke Aqabah Afiq, sebuah tempat di Damsyik dan ketika mereka ingin mengerjakan solat Subuh di Masjid Umawi, Nabi Isa A.S turun.

Kawasan terakhir yang akan diserang oleh Dajjal ialah Damsyik dan di sana Dajjal dibunuh 17 hasta sebelum Pintu Lud yang terletak di sebuah Daerah Uqbah Afiq, Damsyik.

Setelah Dajjal dibunuh oleh Nabi Isa a.s, serta merta tentera Yahudi mengalami kekalahan teruk. Mereka melarikan diri, tetapi tiada satu makhluk pun yang mahu melindungi mereka.

Apabila mereka bersembunyi di sebalik pokok atau batu, kedua-duanya akan memanggil orang Islam supaya membunuh si Yahudi yang sedang bersembunyi di sebalik mereka.

Kecuali sejenis pokok yang dinamakan Gharqad.

Perkara ini telah disebutkan di dalam hadis lain sepertimana berikut:

"Maka, Allah memusnahkan tentera Yahudi. Tiada satu makhluk Allah pun yang dapat menjadi tempat perlindungan bagi Yahudi, melainkan kesemuanya didedahkan kedudukan (lokasi bersembunyi mereka) oleh Allah S.W.T. Tiada satu batu pun, atau pokok, atau teduhan, atau binatang (yang melindungi mereka), melainkan Gharqad. Ia adalah sejenis pokok keagungan mereka, yang tidak berkata-kata langsung. Yang lain kesemuanya berkata: Wahai hamba Allah yang Muslim, di sini ada Yahudi, marilah ke sini dan bunuhlah dia." (At Tazkirah Imam Qurtubi)

Mengapakah Tidak Disebut Lafaz Dajjal di dalam al-Qur'an?

Dajjal disebut atau terkandung di dalam beberapa ayat al-Qur'an.

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya." (Surah al-An’am: 158)

Di dalam ayat ini, tidak disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda (آيات) yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabbah (الدابة). Ini disebut di dalam kitab-kitab tafsir.

Selain itu di dalam riwayat Muslim terdapat sebuah hadith yang menjelaskan berkaitan makna ayat di atas dan ini adalah antara tafsiran yang terbaik iaitu menafsirkan ayat al-Qur’an dengan hadith Nabi SAW.

Hadith tersebut adalah: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: "Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya. (Tiga perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan juga al-Dabah yang melata di bumi." Riwayat Muslim (158)

Al-Qur'an tidak menyebut Dajjal bagi menghina atau memperkecilkannya, kerana Dajjal apabila turun ke dunia akan mendakwa ketuhanan (uluhiyyah) dan ketuanan (rububiyyah) sedangkan dia adalah manusia biasa.

Oleh sebab itu, Allah SWT tidak menyebut namanya di dalam al-Qur'an bagi menghina dan memperlekehkannya.

Persoalan yang timbul, mengapa al-Qur'an menyebut Firaun sedangkan Firaun juga mendakwa dirinya sebagai Tuhan.

Jawapannya adalah kerana Firaun zamannya telah berlalu dan berakhir.

Di samping itu juga, agar kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut. Adapun Dajjal kisahnya belum terjadi dan akan berlaku apabila tiba waktu dan ketikanya.

CARA MENGHADAPI FITNAH DAJJAL

Antara cara untuk berdepan dengan fitnah Dajjal adalah: Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith, memperbanyakkan doa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah serta memperbanyakkan amalan soleh, beruzlah (menjauhkan atau mengasingkan diri) daripada fitnah yang berlaku, menyertai dan sentiasa bersama dengan jemaah Islam yang ada pada waktu itu, memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT, berlindunglah di Mekah dan Madinah kerana Dajjal tidak boleh memasukinya serta memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan sentiasa ingat kepada-Nya berdasarkan hadis di atas.

Berdoa Dari Fitnah Dajjal

Terdapat hadis Rasulullah SAW mengajar kita membaca selepas tahiyyat akhir:

Maksudnya: "Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara: Dengan berdoa: (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ) Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal." Riwayat Muslim (588)

Dikatakan Thawus bin Kaisan, apabila anaknya selesai solat akan bertanya: "Adakah beliau sudah membaca doa tersebut. Jika dijawabnya tidak, nescaya diminta untuk mengulangi solat dan membaca doa ini.

Dalam doa ini, terdapat empat yang diminta untuk berlindung dengan Allah: Azab Neraka Jahannam, azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.

Ini menunjukkan bahawa kejahatan fitnah Dajjal dapat dielak dengan cara berdoa kepada Allah dan memohon kepada-Nya.

Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

"Allahummainni a'uuzubika min 'azaabi jahannama, wamin 'azabil qabr, wamin fitnatil mahyawal mamaaat, wamin syarri fitnatil masih al-Dajjal."

Maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal." Riwayat Muslim (588)

Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadis.

Baginda berpesan lagi: "Sesiapa yang hafal sepuluh ayat daripada permulaan surah al-Kahfi, dia terpelihara daripada fitnah dajal." (Riwayat Muslim)

Ini bermakna Surah al-Kahfi memang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang luar biasa sehingga Baginda SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya sehingga hari Jumaat berikutnya." (Riwayat al-Hakim)

Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.

Wallahu a'lam.

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon