Wednesday, June 01, 2022

Dilarang Lakukan Seks Jika Dijangkiti Cacar Monyet!


Ketua-ketua kesihatan di Britain memberi amaran kepada pesakit cacar monyet supaya berhenti melakukan hubungan seks kerana dibimbangi boleh membantu penyebaran virus, lapor akhbar Mirror UK.

Cacar Monyet Malaysia

Menerusi panduan baharu yang dikeluarkan, agensi-agensi kesihatan awam di Britain menetapkan langkah baharu itu untuk menangani penularan penyakit cacar monyet.

Antaranya termasuk me­minta pesakit berhenti melakukan hubungan seks sementara masih dijangkiti virus tersebut.

Pihak berkuasa kesihatan Britain meminta orang ramai untuk berhenti melakukan hubungan seks sehingga lapan minggu, termasuk menasihati pesakit supaya memakai kondom sepanjang tempoh tersebut sekiranya terlibat dalam sebarang aktiviti seksual.

Panduan baharu itu dipersetujui oleh empat agensi kesihatan awam Briatin termasuk Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), Kesihatan Awam Scotland (PHS), Kesihatan Awam Wales (PHW) dan Agensi Kesihatan Awam Ireland Utara (PHA).

Pesakit perlu menahan diri daripada berhubungan intim semasa tempoh permulaan gejala dan tidak menyentuh sebarang jenis luka.

Walaupun ketika ini tiada bukti virus cacar monyet ada dalam cecair alat kelamin, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks atau menggunakan kondom selama lapan minggu selepas jangkitan.

Panduan ini akan dikemaskini apabila terdapat bukti baharu, menurut agensi-agensi ber­kenaan.

Sebelum ini, mereka mene­gaskan bahawa cacar monyet tersebar melalui sentuhan fizikal terutamanya melalui luka dan kudis.

Dalam pada itu, pesakit turut dinasihatkan untuk me­ngasingkan diri di rumah sehingga mereka didapati cukup sihat.

Penyakit mula dikesan di Congo

Penyakit cacar monyet mula dikesan di Republik Demokratik Congo pada 1979 selepas seorang kanak-kanak didapati mempunyai gejala menyerupai cacar air (smallpox), namun ujian makmal menunjukkan ia jangkitan disebabkan virus cacar monyet.

Selepas penemuan berkenaan, terdapat kes dikesan, namun terbatas di beberapa negara Afrika sahaja iaitu yang berdekatan seperti Cameroon, Republik Afrika, Gabon, Cote d'Ivoire, Liberia, Nigeria, Sierra Leone dan Sudan.

Wabak dilaporkan di luar Afrika iaitu di benua Amerika dan Eropah baru-baru ini bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku. Ini kerana sepanjang tempoh dari 1990-an dan era 2000 terdapat kes cacar monyet dilaporkan berlaku di luar Afrika.

Namun, apa yang perlu diberikan perhatian untuk wabak terkini yang dilaporkan itu berlaku dalam jumlah atau bilangan agak tinggi daripada yang biasa dilaporkan.

Individu ada kontak dengan monyet

Jangkitan cacar monyet berlaku dalam kalangan individu yang tinggal di persekitaran mempunyai kontak dengan monyet melalui aktiviti domestik, perladangan, pemburuan, deforestasi dan sebagainya, yang mana ia tersebar melalui gigitan haiwan atau sentuhan langsung cecair tubuh dari haiwan atau individu yang dijangkiti.

Bendalir tubuh boleh menular menerusi bendalir daripada lesi kulit berupa ruam 'makulapapular' (vesikel) yang biasanya berisi cecair, atau daripada bahagian lapisan mukosa mulut yang turut mempunyai lesi berkenaan melalui air liur dan kahak.

Tularan juga boleh berlaku melalui darah (melalui gigitan) dan sebarang bendalir tubuh daripada haiwan atau individu dijangkiti. Kumpulan umur terdedah dengan jangkitan ini ialah mereka yang aktif dalam aktiviti harian serta mempunyai potensi kontak rapat dengan haiwan atau dengan kumpulan individu berisiko.

Laporan menyebut mereka dalam kumpulan umur kurang 50 tahun berisiko terhadap jangkitan, manakala sebahagian negara melaporkan terdapat kecenderungan agak tinggi dalam kalangan kanak-kanak berusia 10 tahun.

Jangkitan ditandai demam tinggi, diikuti muncul ruam 'makulapapular' pada kulit, biasanya dalam bentuk vesikel berisi cecair dan majoritinya berlaku pada bahagian muka serta tangan dan kaki.

Penyebaran ruam jarang berada pada bahagian badan. Selain demam dan ruam, individu dijangkiti turut mengalami bengkak bahagian kelenjar limfa, berasa letih, sakit dan kejang otot.

Gejala dimanifestasikan dalam tempoh enam hingga 21 hari selepas mula terdedah pada punca jangkitan. Majoriti dijangkiti mempunyai gejala dan tanda klinikal selama tempoh dua hingga empat minggu.

Kebanyakan mereka pulih sepenuhnya tanpa sebarang komplikasi melainkan individu tertentu mempunyai masalah sistem pertahanan tubuh lemah.

Kadar kematian akibat jangkitan cacar monyet dicatatkan sekitar tiga hingga enam peratus berbanding cacar air yang merekodkan kadar kematian sehingga 30 peratus.

Kematian akibat cacar monyet biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak, dewasa yang 'terimunokompromi' atau mempunyai masalah komorbid. Ia turut dikaitkan dengan komplikasi organ dalaman iaitu radang di paru-paru dan otak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon