Friday, April 22, 2022

Ganjaran Pahala Berpuasa Pada 10 Muharram Dan Peristiwa Yang Terjadi Pada Hari Tersebut


Saban tahun apabila menjelang bulan Muharram, sudah tentu umat Islam akan mengingati tarikh 10 Muharram dengan pelbagai amalan dan ibadah yang dilakukan. Apakah keistimewaan dan kelebihan yang ada pada hari ke 10 dalam bulan Muharram?

Puasa 10 Muharram

Di Malaysia, apabila tibanya 10 Muharram, maka kebanyakan dari Ahli Jawatankuasa masjid dan surau bertungkus lumus membuat persiapan untuk menyediakan juadah khusus yang terkenal iaitu Bubur Asyura untuk diagih-agihkan kepada orang ramai.

Itulah antara adat atau tradisi yang baik yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia bahkan masih wujud sehingga ke hari ini disamping melakukan amal ibadah khusus yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW iaitu berpuasa.

Adakah puasa yang dilakukan oleh umat Islam pada 10 Muharram merupakan adat tradisi atau sebaliknya?

Ada di antara umat Islam di Malaysia yang menganggap ibadah puasa sunat pada hari tersebut sengaja diada-adakan dan tidak ada dalam Islam.

Malang sekali, kerana ada segelintir dalam kalangan umat Islam di Malaysia telah membawa masuk ajaran menyeleweng syiah ketika sambutan 10 Muharram dengan memukul-mukul dada sambil mengalunkan lagu-lagu dengan senikata untuk memperingati seseorang yang telah meninggal dunia, kononnya untuk mengenang kembali peristiwa Karbala.

Malah, ada umat Islam di beberapa negara Asia Barat yang menyambut hari 'Asyura' (10 Muharram) dengan memukul-mukul badan mereka menggunakan senjata tajam seperti pedang, pisau dan alatan lain sehingga luka dan mendatangkan kecederaan yang parah.

Kanak-kanak dan bayi kecil yang tidak tahu apa-apa turut menjadi mangsa kerakusan ajaran yang jauh tersimpang dari landasan Islam yang sebenar.

Adakah amal perbuatan sebegini dianjurkan oleh Islam?

Islam adalah agama Rahmatan Lil A'lamin (rahmat bagi sekelian alam) yang melarang umatnya daripada membinasakan dan mencederakan diri sendiri demi mendapatkan ganjaran dan keredhaan serta rahmat dari Allah SWT.

Mengimbau semula sejarah 10 Muharram yang dirujuk kepada hadis-hadis Rasulullah SAW adalah penting bagi mencari kebenaran dan merungkai keraguan ummah seterusnya memastikan amalan yang dilakukan oleh umat Islam hari ini bertepatan dengan kehendak syariat Islam dan menjauhi perkara atau amalan yang sengaja diada-adakan.

Salah satu daripadanya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn 'Abbas RA yang bermaksud: "Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura', lalu Baginda bertanya: Apakah ini? Mereka menjawab: "Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu." Maka Rasulullah SAW pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa. (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu terdapat sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada oleh Syaidatina Aisyah r.a. bermaksud; "Hari Asyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi SAW berpuasa pada hari Asyura dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan, baginda bersabda mafhumnya: "Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa Asyura)." (Riwayat: al-Bukhari dan Muslim)

MENGHAPUSKAN DOSA SETAHUN

Dapat difahami bahawa puasa pada hari Asyura adalah suatu perkara yang wajib sebelum difardhukan puasa Ramadhan.

Apabila puasa Ramadhan difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur, namun ia tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.

Malah, berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram) mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda: "Puasa hari Asyura itu; sesungguhnya Aku bermohon kepada Allah agar dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya." (Riwayat: al-Tirmizi).

Terbuktilah bahawa amalan berpuasa pada hari Asyura atau 10 Muharram ADALAH sunnah Nabi SAW.

Rasulullah SAW tidak pernah melakukan sesuatu yang boleh merosak dan membinasakan diri, apatah lagi menganjurkan kepada umatnya untuk melakukan sedemikian.

Ternyata amalan atau perbuatan melukai diri dan memukul dada serta perbuatan yang boleh memudaratkan diri dan orang lain, bukanlah datangnya daripada sunnah Rasulullah SAW. Sebaliknya, ia adalah amalan yang menyesatkan.

Sekiranya ada amalan sebegini daripada Rasulullah SAW, maka adalah lebih afdal Rasulullah SAW meminta para sahabatnya untuk mengingati para syuhada yang mati syahid dalam peperangan Badar, Uhud dan peperangan lain. Contohnya, Saidina Hamzah RA yang digelarAsadullah (Singa Allah), yang syahid dalam peperangan Uhud. Mengapa tidak ditemui hadis-hadis yang menganjurkan amalan sedemikian jika itulah kebenarannya seperti yang dilakukan oleh segelintir umat Islam hari ini ketika tibanya hari ke sepuluh dalam bulan Muharram?

Malangnya, ada di antara umat Islam yang menolak hadis, sekaligus menolak amalan berpuasa dan kelebihan yang ada pada hari kesepuluh dalam bulan Muharram konon kerana ia tidak terdapat dalam al-Quran.

Sama-samalah kita mencari keberkatan dengan berpuasa sunat bukan sahaja pada 10 Muharram tetapi juga berpuasa pada 9 Muharram berdasarkan hadis Nabi SAW yang maksudnya:

"Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani." Maka baginda bersabda: "Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu'a (hari ke-9 di bulan Muharam)." (Berkata Ibn Abbas, "Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah SAW telah wafat." (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati umat Islam dengan amalan-amalan yang diredhai-Nya dan menjauhkan dari perkara-perkara yang menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.

Wallahu a'lam

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon