Sunday, May 31, 2020

Zahra Fielding, Wanita Australia Yang Masuk Islam Selepas Main 'Game Of Sultans'


Seorang wanita dari Australia, Zahra Fielding tidak menyangka dia akan menjadi muslim selepas bermain permainan dalam talian, di mana dia berkenalan dengan beberapa kenalan baru yang membawanya kepada agama Islam.

Zahra Fielding masuk Islam
Zahra Fielding.

Dia yang pada mulanya hanya bermain permainan tersebut kerana rasa ingin tahu, akhirnya membawa kepada satu episod kehidupan yang lain.

"Saya melihat satu iklan (permainan dalam talian) di Facebook, yang pada pendapat saya tidak berada di tempat yang tepat," kata Zahra, yang menganggap iklan itu seksis.

Permainan dalam talian yang disertai oleh Zahra adalah "Game of Sultans", yang merupakan simulasi permainan dalam membentuk sebuah kerajaan.

Setelah mula bermain, ternyata apa yang dia fikirkan sebelum ini meleset. Permainan itu tidak seksi, malah memberi kesan pada kehidupannya.

"Permainan ini hadir pada saat-saat terpenting dalam hidup saya. Sebelumnya saya merasa kesepian dan tidak mempunyai arah.

"Saya tidak merasa bangga dengan karier, atau kehidupan peribadi saya dan sudah lama membujang."

Dalam 'permainan' yang melibatkan kerja berpasukan untuk menewaskan musuh, Zahra bertemu dengan sekumpulan lima pemain wanita lain dari Australia dan Asia.

"Dalam permainan ini, saya bertemu sekumpulan orang dari pelbagai negara yang mungkin tidak pernah saya temui," kata Zahra kepada ABC.Net.

Salah seorang pemain dalam kumpulan Zahra ialah Kim Assikin, seorang wanita dari Singapura yang beragama Islam.

"Ketika kami mulai bertukar khabar, saya segera merasa selesa untuk berbicara dengannya. Saya tidak tahu mengapa dan bagaimana, tetapi kami benar-benar rapat," katanya.

Semakin Zahra dekat dengan Kim, semakin dia beranikan diri membincangkan topik tentang agama.

Walaupun sebelum ini Zahra tidak beragama atau ateis, dia merasakan bahawa pandangannya tentang Islam telah dicemari oleh pengalaman pada masa lalu.

Bagi Zahra, gambaran negatif mengenai Islam di media, membuatnya berprasangka buruk terhadap wanita yang memakai hijab.

"Saya fikir tudung adalah simbol penindasan. Tetapi saya tidak pernah berpeluang untuk bertanya kepada orang lain mengenai hal ini. Jadi, saya bertanya kepada Kim, dan ternyata saya salah," katanya.

Kini, Zahra faham bahawa ketika seorang wanita muslim mengenakan hijab, tujuannya adalah untuk mengenal diri dan Tuhannya, bukan kerana mahu menjaga penampilan mereka.

Tambahnya lagi, pandangan ini sesuai dengan dirinya yang selama ini selalu dihakimi berdasarkan penampilan fizikal.

Dan sejak awal tahun 2020 ini, Zahra banyak menghabiskan masa beribadah di Masjid Kuraby yang terletak di Brisbane, di mana Masjid ini telah menjadi saksi bagaimana dia mengucapkan kalimah syahadah sebagai tanda memeluk agama Islam.

Tambah Zahra lagi, dia tidak pernah menukar agama, tetapi sebenarnya kembali kepada agama kerana bagi dia, setiap orang sebenarnya dilahirkan sebagai seorang Muslim.

Zahra kini sudah bertunang, dengan seorang lelaki dari Malaysia yang bekerja sebagai penyunting kandungan digital. Pertemuan mereka terjadi di dalam aplikasi mencari jodoh.

"Tunang saya bertugas menyunting kandungan digital dalam organisasi (Muslim) di Kuala Lumpur.

"Setelah beberapa hari berbual, saya akhirnya berfikir, 'ok, saya ingin mencuba dan menjaga hubungan ini dengan lebih halal. Tetapi bagaimana mahu melakukannya jika dia tinggal di Malaysia dan saya di Australia?"

Bagi Zahra dan pasangan, jarak bukanlah halangan. Melalui panggilan video, mereka saling mengenali satu sama lain.

Apabila penutupan sempadan Australia ditarik nanti, Zahra merancang untuk segera berpindah ke Malaysia untuk berkahwin dengan tunangnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon