Isnin, Februari 24, 2020

Maksud Perdana Menteri Interim


Loading...

Dari segi bahasa undang-undang, interim bermaksud sementara, manakala dari segi Bahasa Melayu, ia bererti tidak rasmi, dan Perdana Menteri interim tidak memerlukan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Baharu Malaysia 2020

Seorang perdana menteri interim hanya menjalankan tugas untuk sementara waktu, tanpa boleh membuat sebarang keputusan membabitkan pentadbiran negara.

Bagaimanapun, pelantikannya diperlukan bagi menguruskan negara sekiranya timbul sebarang masalah.

Sebabnya, tanpa perdana menteri, bayangkan, siapa yang akan menguruskan andai kata berlaku sesuatu masalah negara, rusuhan dan sebagainya?

Dalam situasi cemas dan sebagainya, kita memerlukan seorang perdana menteri untuk menggerakkan jentera kerajaan. Itulah sebabnya diperlukan seorang perdana menteri interim.

Ini yang anda perlu tahu berkenaan apa itu Perdana Menteri Interim setakat ini:

1. Kabinet kerajaan pusat bubar secara automatik

Menurut pakar undang-undang, kabinet kerajaaan pusat secara automatiknya bubar sebaik sahaja Perdana Menteri meletak jawatan.

Bagaimanapun, peguam terkenal, Datuk N. Sivananthan berkata baginda boleh melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu atau menunggu keputusan pilihan raya umum jika diadakan.

2. Pelantikan Perdana Menteri Interim

Pada Isnin, Baginda telah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Malah selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan juga, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen, yang baginda berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan rakyat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Interim akan dibantu oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Zuki Ali bagi menjalankan pentadbiran negara, kata Presiden Majlis Peguam Negara, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor.

Ketua Setiausaha setiap kementerian pula, kata Abdul Fareed, berperanan menjalankan tanggungjawab dalam pentadbiran mengikut polisi sedia ada.

Pelantikan Perdana Menteri Interim adalah tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, jadi tempoh masanya tidak ada dan ia terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan tempoh masa pelantikan Dr Mahathir sebagai PM Interim.

Berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan juga, Perdana Menteri Interim tidak tertakluk kepada parti tetapi mengikut Ahli Dewan Rakyat.

Perdana Menteri dipilih melalui seseorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat mandat ataupun kepercayaan kepada beliau. Ia juga mengikut budi bicara Yang Di-Pertuan Agong.

3. Bidang kuasa Perdana Menteri Interim

Perdana Menteri secara praktikalnya akan menggalas tanggungjawab kesemua menteri dengan bantuan Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kementerian sedia ada.

Selagi tiada seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi mandat oleh ahli-ahli dewan yang lain, Yang di-Pertuan Agong juga berhak menyuarakan nasihat dan pendapatnya untuk menyelesaikan kemelut politik.

4. Pemilihan individu menggalas jawatan Perdana Menteri

Bagi pemilihan seseorang individu itu untuk menggalas jawatan Perdana Menteri, ia tertakluk kepada sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri.

Perdana Menteri boleh dipilih dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang mendapat mandat ataupun kepercayaan kepada beliau namun, ia juga masih mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri

Pelantikan seorang Menteri Besar dan Ketua Menteri juga tertakluk kepada bilangan sokongan Ahli Dewan kepada seseorang individu bagi menggalas jawatan tersebut dan ia tidak tertakluk kepada parti.

5. Pembubaran Parlimen & pelaksanaan pilihan raya

Bagi isu pembubaran Parlimen, kebiasaannya ia dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat Perdana Menteri.

Namun, dalam situasi ketiadaan Perdana Menteri dan kemelut politik yang bellum berakhir ketika ini, Yang di-Pertuan Agong berhak menggunakan inisiatifnya sendiri untuk membubarkan Parlimen.

KERAJAAN PERPADUAN BERI PERDANA MENTERI KUASA MUTLAK?

Bercakap dalam sebuah forum awam, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, mendedahkan bahawa PH mengetahui mengenai rancangan Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, selepas DAP memberi sokongan kepadanya sebelum itu.

Beliau berkata, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng telah bertemu Mahathir untuk meminta beliau terus menjadi perdana menteri Pakatan Harapan, tetapi kemudian diberitahu mengenai rancangan Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Kata Kit Siang, PH tidak dapat menerima cadangan itu kerana perdana menteri akan mempunyai kuasa mutlak dan pihak yang menyebabkan tumbangnya PH mungkin memegang jawatan tinggi.

Kerajaan perpaduan yang terdiri daripada ahli parlimen terbaik dan paling bijak adalah idea yang baik, tetapi jika anda mempunyai kerajaan perpaduan, orang yang memusnahkan PH mungkin akan memegang kedudukan penting.

Jadi, bagaimana ia boleh berlaku? Bagaimanakah ada perpaduan nasional? Bagaimana ada perdamaian nasional?

KERAJAAN TERGANTUNG

Ketika ini, seluruh rakyat Malaysia sedang kebingungan dan tertanya-tanya dengan senario politik yang sedang bergolak dan tertanya-tanya siapakah bakal Perdana Menteri baharu yang akan menggantikan Tun Mahathir yang telah meletakkan jawatan.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini telah mengumumkan Bersatu keluar PH, begitu juga Azmin yang mengumumkan beliau dan 10 ahli parlimen PKR lain keluar dari parti serta meninggalkan PH bagi membentuk blok bebas di parlimen.

Dan tanpa ahli parlimen Bersatu yang memegang 26 kerusi dan Mohamed Azmin Ali serta 10 lagi ahli parlimen yang setia kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, PH kini hanya mempunyai 102 kerusi. Bagaimanapun, langkah seterus PH untuk membentuk kerajaan masih tidak jelas.

Senario yang mungkin berlaku menunjukkan bahawa pakatan yang bakal ditubuhkan untuk menggantikan PH masih tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk mendapat 112 majoriti daripada 222 kerusi parlimen.

Sebagai contoh, sekiranya Bersatu serta kumpulan Azmin berpakat dengan Umno dan PAS, mereka hanya mempunyai 94 kerusi.

Namun, sekiranya pakatan itu turut disertai parti-parti negeri dari Sabah dan Sarawak, pakatan itu akan mampu membentuk kerajaan baru dengan majoriti selesa yang memegang 126 kerusi.

Pakatan itu juga akan bertambah kukuh sekiranya tiga ahli parlimen dari MCA dan MIC turut serta, menjadikan jumlah kerusi mereka 129.

Bagaimanapun, senario itu dilihat sukar kerana ia memerlukan Gabungan Bersatu Sabah dan Gabungan Parti Sarawak bekerjasama dengan PAS, dan mengenepikan perbezaan ideologi mereka.

Tanpa PAS, pakatan itu cuma mempunyai 111 kerusi, satu kerusi kurang untuk membentuk majoriti.

Untuk menambah sokongan, pakatan itu juga boleh menarik ahli parlimen PKR lain, atau ahli parlimen Amanah, namun senario itu tidak dapat disimulasikan buat masa ini kerana belum ada petunjuk ia akan berlaku, juga dibuat dengan tanggapan tiada ahli DAP akan meninggalkan PH.

Apa terjadi jika tiada pihak peroleh majoriti?

Bubar Parlimen 2020

Simulasi ini menunjukkan kemungkinan "parlimen tergantung" kerana tiada parti atau gabungan parti yang mempunyai majoriti jelas di parlimen.

Sekiranya parti-parti yang terlibat tidak berunding dan mencapai persetujuan untuk membentuk pakatan, perdana menteri perlu menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen, bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Namun, Seri Paduka mungkin menggunakan budi bicaranya untuk menolak cadangan perdana menteri dan mengarahkan parti politik terus berunding dan mencapai persetujuan.

Dalam keadaan itu sekali pun, menurut Artikel 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Agong mempunyai hak membubarkan parlimen. Pilihan raya umum perlu menyusul.

'Kingmaker' Sabah, Sarawak kemuka syarat pada PH

Sejumlah 56 anggota parlimen dari Sabah dan Sarawak bersedia untuk memainkan peranan penentu 'king maker' dalam keadaan kerajaan Pakatan Harapan runtuh.

Sumber PH mendakwa kehadiran PAS dalam gabungan baru politik yang digerakkan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali mungkin menjadi penghalang.

Menurut sumber lagi, kedua-dua kumpulan MP itu telah menyatakan syarat kerjasama mereka dalam gabungan baru politik itu.

"Shafie Apdal tidak mahu Bersatu terlibat di Sabah yang merupakan tawaran yang lebih mudah untuk dicapai bersama Anwar.

"Apa yang lebih sukar untuk dirundingkan ialah Gabungan Parti Sarawak mahu kerusi timbalan perdana menteri dan lebih banyak hak di bawah perjanjian MA63.

"Mereka juga akan menggesa diwujudkan keadaan pembangkang sifar di Sarawak," kata sumber itu.

GPS mempunyai 18 MP, manakala parti Warisan pimpinan Shafie dan sekutu Upko mempunyai 10 MP. Jumlah MP ini membolehkan mereka mengemukakan tuntutan kepada kedua-dua belah pihak.

Pemimpin GPS, James Masing, yang mengetuai Parti Rakyat Sarawak ketika ditanya mengenai kerjasama dengan PAS berkata, "Saya fikir kita lebih selesa dengan PAS berbanding keangkuhan DAP."

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga telah menyerahkan peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Bersatu, yang mempunyai 26 anggota parlimen.

Terdahulu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya keluar daripada PH.

Langkahnya diikuti oleh timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang mengetuai 10 orang MP keluar parti.

Dengan PH kehilngan 37 MP, kedua-dua gabungan pro Azmin dan Anwar cuba mendapatkan sokongan anggota parlimen dari Malaysia Timur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

Sda di lucutkan ..berdebar jg politik Malaysia bergolak

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon