Rabu, Februari 26, 2020

Misteri Meriam Keramat Segamat


Loading...

Bunyi dentuman kuat yang mengejutkan dan mencetuskan tanda tanya dikalangan penduduk terutamanya kawasan perkampungan di Segamat, terus kekal misteri dan ada yang mendakwa ia adalah petanda banjir besar akan berlaku.

Meriam Segamat

Seorang penduduk Kampung Jawa, Segamat berkata, ketika berada di rumahnya sekitar 9.30 malam, dia terdengar dentuman kuat yang tidak diketahui puncanya.

Bunyi berturutan didengari itu seolah-olah letupan meriam, tetapi sudah pasti bukan letupan dari kuari kerana kedudukan kuari jauh dari situ.

Tidak mungkin bunyi letupan itu daripada aktiviti meletup batu kerana ia hanya dibenarkan pada waktu siang sahaja.

Cuaca pada masa itu juga baik dan mustahil untuk mengaitkannya dengan dentuman guruh atau petir.

Meriam Misteri

Kisah meriam misteri di daerah Segamat yang dikatakan akan meletup sendiri sebelum banjir melanda turut dikaitkan dan diceritakan sejak turun temurun.

Orang lama Segamat tentunya arif dengan kisah bunyi letupan meriam misteri itu dan sekiranya meriam itu meletup, mereka bersiap sedia kerana ia petanda banjir bakal melanda dan kebetulan ia berlaku pada 2006.

Kisah bunyi letupan meriam sebagai petanda awal banjir adalah berdasarkan cerita mulut ke mulut oleh generasi waris keluarga terdahulu.

Mitos Meriam Lama

Meriam Bendahara Tepuk
Meriam dipercayai milik Bendahara Tepuk ditemui pada bulan Disember 1981.

Cerita mengenai Bendahara Tepok atau juga dikenali sebagai Bendahara Lubok Batu tidak asing lagi bagi warga Segamat namun misteri cerita dan mitos sentiasa menjadi bualan sehingga kini.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa meriam yang dijumpai pada tahun 80an di bawah tapak Masjid Makam Lubok Batu kini dijaga dan disimpan rapi oleh pihak Muzium Melaka.

Apabila kita menceritakan tentang meriam keramat tersebut secara tidak langsung hal ini berkaitan tentang sejarah Masjid Makam Lubok Batu dan kisah sejarah Bendahara Tepok.

Masjid Makam Lubok Batu ini asalnya adalah pondok singgah untuk berteduh dan berehat bagi penziarah makam tersebut.

Penduduk kampung mempercayai pondok itu didirikan oleh pengikut-pengikut Bendahara Tepok.

Sebelum tahun 1918, orang-orang luar yang menyusur atau memudik sungai Segamat akan bersolat di Masjid Tebing Sungai di Pengkalan Esah.

Sebagaimana yang diceritakan oleh Allahyarham Tuan Haji Yahya Bin Kubu, Ahli Pakar Sejarah Tempatan, bahawa Tuan Haji Ibrahim Bin Kindang, Imam Masjid Teluk Belanga telah balik sementara ke Kampung Lubok Batu lalu mencadangkan supaya dibina sebuah surau untuk penduduk Kampung Lubok Batu.

Dengan terbinanya surau itu, Tuan Haji Dasil bin Mahmud telah dilantik menjadi imamnya, manakala bilal disandang oleh A. Bakar Bin Sudin.

Sekitar tahun 20an, Sungai Segamat masih menjadi laluan penting bagi orang-orang luar datang ke Segamat.

Secara tidak langsung aktiviti-aktiviti perniagaan telah bertambah pesat kerana wujudnya "Pasar Tepi Sungai" di Pengkalan Lubok Batu.

Kemudian, surau itu diserahkan sebagai wakaf oleh Sultan Ibrahim dan tiada sesiapa yang berani merobohkan surau tersebut kerana surau itu dijaga oleh Istana Johor.

Pada tahun 1928, atas usaha Mohd Tap, Pegawai Daerah Segamat ketika itu, sebuah surau baru dari binaan batu yang pelan tapak dan reka bentuknya diambil dari Kota Tinggi telah dibina setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Ibrahim Al-Marhum Sultan Johor.

Semasa pengubahsuaian surau tersebut, jemaah surau telah menemui sebuah meriam lama yang diperbuat daripada batu berukuran empat kaki panjang yang tertanam dibawah mimbar masjid serta peluru-peluru diperbuat daripada batu (buat masa ini penulis masih tidak ketahui dimana simpannya meriam yang dijumpai pada tahun 1930).

Hal ini menyebabkan wujudnya mitos meriam keramat tersebut oleh orang-orang kampung.

Bah Merah

Sebelum meriam itu dijumpai, cerita-cerita mengenai meriam keramat tersebut sudah lama menjadi bualan cerita rakyat daerah Segamat khususnya penduduk Kampung Lubok Batu.

Ini kerana pada tahun 1926, banjir besar telah melanda daerah Segamat yang dikenali sebagai Bah Merah 1926.

Banjir itu telah menyebabkan harta benda dan nyawa terkorban, menyebabkan sungai Segamat menjadi lengang dan tidak berfungsi lagi sebagai laluan orang-orang luar datang ke sana.

Menurut orang-orang tua, terdapat beberapa petanda sebelum berlakunya banjir besar itu, antaranya orang-orang kampung akan terdengar bunyi tembakan meriam tiga hari berturut-turut pada waktu Asar (kononnya bunyi meriam keramat).

Meriam Masjid Lubok Batu
Meriam yang dijumpai di Masjid Lubok Batu pada bulan Mac 1979.

Pada tahun 1943, ketika penjajahan Jepun, surau tersebut dinaiktaraf kepada masjid, yang dirasmikan oleh Tuan Syed Ahmad Bin Syed Abdullah Al-Habshee, Kadi Daerah Segamat.

Pegawai-pegawai pula telah bertukar dan digantikan oleh Tuan Haji Ibrahim Bin Kindang sebagai Imam manakala Tuan Haji Abdul Samad bin Haji Karim sebagai bilal.

Ketika perasmian itulah nama masjid itu diberi nama Masjid Makam Lubok Batu.

Pada bulan Mac 1977, YB Dato Haji Ahmad Bin Arshad didalam ucapannya sebagai Pengerusi Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Gemereh, telah memohon dana bagi peruntukan membangunkan semula Masjid Makam Lubok Batu kerana penduduk Kampung Lubok Batu telah bertambah ramai dan masjid tersebut tidak dapat lagi menampung jemaah sedia ada.

Permohonan beliau telah dipersetujui oleh YAB Dato Haji Othman Bin Saat, Menteri Besar Johor pada ketika itu dalam ucapan balasnya pada hari perasmian Sambutan Jubli Emas sekolah tersebut.

Pada awal tahun 1980 masjid lama dirobohkan dan dibina bangunan masjid yang baharu.

Sekali lagi berita mengenai meriam keramat tersebut menggempar dan mengejutkan penduduk Kampung Lubok Batu setelah hampir 50 tahun berlalu mitos meriam lama dijumpai.

Setelah hampir keseluruhan masjid dirobohkan, ahli jemaah masjid menjumpai sebuah lagi meriam pada bulan Disember 1981.

Meriam tersebut dipercayai sebahagian daripada senjata Bendahara Tepok serta pengikut-pengikutnya ketika menentang Portugis.

Sejak puluhan tahun lagi penduduk Kampung Berata, Jalan Temenggong, Kampung Paya Dalam dan Taman Bendahara seringkali mendengar bunyi meriam berdentum sebelum turunnya hujan lebat dan banjir.

Hampir keseluruhan penduduk telah mendengar tembakan meriam keramat tersebut yang dahulu hanya dipercayai mitos semata-mata, kini menjadi bualan cerita benar rakyat daerah Segamat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon