Tuesday, December 10, 2019

Kenapa Pokok Gaharu Sangat Mahal?


Pokok Gaharu atau nama saintifiknya Aquilaria malaccensis, adalah sejenis pokok yang hidup subur di hutan tropika dan telah dimanfaatkan oleh masyarakat dunia sejak zaman dahulu lagi, yang mana semua bahagian pokok ini, iaitu dari bahagian batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya sebenarnya telah digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi, ubat-ubatan, teh hijau dan kosmetik.

Daun Gaharu
Daun Gaharu.

Pokok gaharu terbaik didakwa daripada Malaysia dari hutan tebal tropika dimana ia telah menerima permintaan baik dari seluruh dunia.

Terdapat banyak keistimewaan pokok dan hasilan daripada gaharu, namun jumlah pengusahanya boleh dibilang dengan jari kerana tidak ramai yang berani untuk mengambil risiko walaupun diketahui hasilnya mampu memberi pulangan lumayan.

Hakikatnya, sebab tidak sabar menuai hasil adalah punca utama kebanyakan orang kita tidak berani menceburi projek itu.

Teras Gaharu

Apa yang penting bagi penanam pokok gaharu adalah bagaimana untuk mendapatkan teras dan kayu minyak gaharu dituai dan diproses untuk mengeluarkan produk air suling, minyak wangi, sabun, syampu, losen, teh dan kopi.

Proses pertama untuk mendapatkan teras dan kayu minyak gaharu adalah menebang dan meracik kayu minyak hingga nampak teras di bahagian dalam batang pokok gaharu.

Namun, ada kaedah rawatan khas memproses Inokulan untuk mendapatkan teras gaharu yang dipanggil proses ‘mencuci’ kerana perlu mengikis kayu minyak secara manual untuk mendapatkan teras di bahagian tengah.

Jika bernasib baik, pengusaha boleh menemui teras yang mempunyai reka bentuk luar biasa dan nilainya boleh mencecah sehingga RM4,300 hingga RM5,800 sekilogram.

Proses seterusnya adalah dimana batang gaharu yang dikikis tadi dimasukkan ke dalam mesin untuk dikisar dan terus dimasak di atas dapur khas selama tujuh hari.

Kayu minyak Gaharu yang dihancurkan dimasak bagi diproses untuk pengasingan minyak gaharu dan air suling, yang akan berterusan tanpa henti selama 24 jam selama tujuh hari.

Kemudian, selepas selesai proses pengasingan maka serbuk kayu gaharu akan ditapis dan dijemur untuk dijadikan setanggi atau dijual kepad pembeli dengan harga RM1,800 sekilogram.

Tetapi, perlu ada kemahiran khusus untuk melakukan semua perkara berkaitan agronomi dan aktiviti memproses pokok gaharu.

Sebatang pokok gaharu dilaporkan boleh menghasilkan 10 kilogram (kg) serbuk kayu minyak dan 48 mililiter (ml) minyak pati gaharu hasil daripada proses yang dijalankan.

Kemudian, minyak wangi gaharu dihasilkan menggunakan pati minyak gaharu yang sudah diasingkan tadi.

Selain menghasilkan minyak wangi, setitik pati gaharu juga boleh dijadikan sebagai makanan tambahan.

'Lagi Sakit Lebih Baik'

Isi Gaharu
Minyak Gaharu.

Untuk mendapatkan ekstrak minyak gaharu berkualiti, pokoknya perlu dicederakan menggunakan teknik tertentu atau disuntik bahan dipanggil inokulasi.

Lebih lama pokok ini sakit atau dijangkiti penyakit, maka kualiti minyaknya nanti menjadi lebih tinggi. Jika pokok lain memberi hasil apabila batangnya sihat, tetapi berbeza pula dengan pokok Gaharu.

Suntikan inokulasi biasanya dilakukan selepas pokok mencapai usia matang lima hingga 10 tahun ke atas dan mempunyai ukuran lilit pokok sekurang-kurangnya 15 sentimeter.

Lubang selebar enam inci akan ditebuk pada batang pokok untuk menyuntik inokulasi. Jumlah lubang ditebuk bergantung kepada kelebaran dan tinggi pokok.

Selepas setahun disuntik inokulasi, gaharu sudah terbentuk dan boleh ditebang untuk proses seterusnya iaitu mengekstrak pati minyak gaharu.

Karas dalam batang pokok yang diserang penyakit akan menyebarkan sejenis minyak bagi melindungi bahagian terjejas dan lama-kelamaan akan membentuk gaharu.

Ada dua kaedah digunakan untuk mencederakan pokok bagi mendapatkan hasil, antaranya melalui teknik semula jadi (dipanah petir atau ditimpa pokok lain), menakik, mengikat batang menggunakan dawai atau suntikan inokulasi.

Namun, kaedah untuk mencederakan pokok ini yang dinamakan inokulasi, sudah terbukti dapat menghasilkan gaharu dengan cepat serta berkualiti.

Penghasilan gaharu menerusi proses inokulasi adalah 90 peratus lebih berkesan berbanding kaedah semula jadi.

Antara bahan digunakan bagi teknik inokulasi adalah gula merah, air gaharu dan beberapa bahan mentah organik lain.

Bernilai Tinggi

Pokok Gaharu
Pokok Gaharu.

Pokok gaharu amat bernilai tinggi kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan minyak wangi bagi menghasilkan pelbagai haruman yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi sejak zaman dahulu, dengan harga setinggi RM100,00 sekilogram dipasaran dunia.

Pada masa sama, daun pokok gaharu juga dianggap amat berkhasiat dan boleh dijadikan produk teh hijau kerana mempunyai aroma yang menyegarkan selain khasiatnya untuk kesihatan.

Pati asli gaharu adalah produk yang sangat terhad dan boleh dikatakan hampir tiada persaingan.

Harganya adalah dalam lingkungan RM300 hingga RM15,000 dalam botol kecil.

Mengapa hingga RM15,000? Kerana kualiti, keaslian, ketahanan dan keistimewaannya seperti haruman kekal sehingga tiga hari dengan hanya satu calitan.

Pokok gaharu adalah tumbuhan paling dicari di hutan hujan kerana kulit dan damarnya mendapat permintaan tinggi dalam industri farmasi serta kosmetik.

Setiap pokok gaharu boleh mengeluarkan 30 mililiter (ml) minyak gaharu di mana setiap 12 ml minyak berkenaan dijual dengan harga RM600.

Sementara air suling yang diasingkan daripada pati minyak gaharu bermanfaat menghindarkan penyakit kanser, gout, alahan gatal dan paling berkesan merawat resdung.

Kopi dan teh gaharu turut membantu merendahkan tahap kolesterol, mengurangkan toksik dalam badan, masalah pelawasan dan masalah insomnia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon