Thursday, October 10, 2019

Tragedi Pos Dipang


Tragedi Pos Dipang adalah bencana banjir lumpur yang berlaku pada 29 Ogos 1996, berlaku pada lewat petang lebih kurang jam 6 petang di Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang yang terletak di sebuah kawasan pedalaman dalam daerah Kampar, Perak.

Tragedi Pos Dipang

Kejadian ini berlaku dua hari sebelum menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara Malaysia kali ke-39.

Tragedi Pos Dipang sudah lama berlalu, namun bagi mereka yang terlibat secara langsung, detik-detik penuh debaran sewaktu menghadapi banjir lumpur itu masih segar dalam ingatan.

Banjir lumpur yang berlaku telah meragut sebanyak 44 nyawa dan daripada jumlah itu, hanya 39 mayat yang berjaya ditemui manakala lima lagi gagal dikesan sehingga ke hari ini.

Perkampungan Orang Asli Pos Dipang mempunyai kira-kira 60 rumah yang dibina dengan bantuan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan mempunyai kira-kira 1,500 orang penduduk.

Penempatan itu dibuka pada 1978 apabila dusun buah-buahan yang mereka usahakan di situ mengeluarkan hasil.

Sebelumnya, penduduk kampung tersebut tinggal di Batu 19 Jalan Cameron Highlands yang berada tidak jauh dari situ.

Pada hari kejadian, hujan turun terlalu lebat sejak kira-kira jam 12 tengahari sehingga ke petang dan walaupun setelah 6 jam berlalu, hujan masih juga tidak berhenti.

Tiba-tiba kedengaran satu dentuman kuat yang berselang-seli dengan derauan hujan dari arah bukit di belakang kampung berkenaan.

Penduduk kampung yang terkejut, tertanya-tanya apakah bunyi aneh itu. Beberapa minit kemudian mereka sekali lagi mendengar satu bunyi pelik.

Belum sempat mereka memikirkan apa-apa, dinding rumah mereka terus pecah dan air bercampur lumpuh menerjah ke dalam.

Rempuhan arus yang deras menyebabkan ada penduduk tercampak keluar dari rumah masing-masing manakala beberapa rumah yang terletak di tebing Sungai Dipang terus runtuh dan dihanyutkan.

Sebaik menyedari banjir lumpur mula membaham perkampungan Orang Asli itu, penduduk mula panik, jeritan mula kedengaran di mana-mana dan ada antara mereka mula meluru keluar daripada kediaman untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, sebaik keluar dari rumah, dengan pantas juga arus deras menyambar. Ramai penduduk dibawa bergulungan sambil timbul tenggelam bersama arus, beberapa kali badan mereka terhentak dan tercucuk dahan kayu.

Keadaan berlaku tanpa diduga. Sebelum itu, tiada sesiapa menyangka bahawa sungai yang mengalir tenang, boleh bertukar menjadi teramat ganas.

Hentaman balak yang hanyut dan rempuhan banjir menyebabkan 30 buah rumah musnah, manakala 20 lagi rosak dan puluhan penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada Orang Asli hilang dalam tragedi itu.

Selain masyarakat Orang Asli yang mendiami kawasan sepanjang Sungai Dipang, turut menjadi mangsa ialah sebuah keluarga berketurunan Tionghua yang tinggal di kampung berdekatan.

Apabila menyedari tragedi buruk berlaku di kawasan berkenaan, pasukan penyelamat segera bergegas ke lokasi kejadian walaupun petang mula beranjak ke malam dan suasana sekitar mula menjadi gelap yang menyebabkan pandangan dihijab kelam.

Secara amnya, operasi mencari dan menyelamat melibatkan seramai 400 anggota penyelamat membabitkan polis daerah Kinta, pasukan bomba pusat, pasukan 2 Briged Rejimen Renjer Diraja Ipoh, Pasukan 69 Komando Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, Batalion Ketiga PPH Bidor, kakitangan Pejabat Daerah Kampar dan Pasukan Pertahanan Awam dari Ipoh serta pihak-pihak lain memulakan gerakan mencari mangsa banjir lumpur.

Kira-kira jam 1.30 pagi, mayat pertama iaitu seorang wanita Orang Asli berusia dalam lingkungan 30 tahun ditemui.

Operasi mencari terus dijalankan walaupun pasukan penyelamat menyedari operasi mencari bukanlah sesuatu yang mudah dijalankan lebih-lebih lagi apabila arus masih mengalir deras dan cuaca yang amat gelap berikutan terputusnya bekalan elektrik.

Mereka tetap menjalankan tugas mencari dan menyelamat dengan sedaya-upaya sementara menunggu malam bertukar siang bagi meneruskan kerja mencari mangsa.

Sebaik sahaja fajar menyinsing pada keesokan paginya, maka terpampanglah pemandangan yang begitu menggerunkan.

Selepas 24 jam berlalu, hujan lebat telah menukarkan landskap Perkampungan Orang Asli Pos Dipang menjadi sebuah kawasan bencana.

Dalam kesukaran, pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari. Mereka terpaksa menggali timbunan tanah yang bercampur lumpur setebal kira-kira 1.5 meter dan mengalihkan pokok yang tumbang untuk mencari kemungkinan mayat mangsa berada di bawahnya.

Keadaan tempat kejadian yang berselerak dipenuhi kesan runtuhan rumah dan pokok tumbang menyebabkan kerja mencari lebih sukar dilakukan sementelah pihak penyelamat hanya menggunakan tenaga manusia untuk mencari mayat mangsa.

Jambatan di Sungai Dipang yang menghubungkan kampung itu dengan Kampar pula roboh dilanda arus menyebabkan bantuan sukar disampaikan.

Keadaan ini membuatkan pasukan bantuan terpaksa melalui jalan jauh iaitu Chenderiang dari Tapah.

Sehingga berakhirnya hari kedua kejadian iaitu pada 30 Ogos 1996, tragedi banjir lumpur itu telah mencatatkan penemuan sebanyak 15 mayat mangsa manakala 27 lagi dipercayai masih hilang dihanyut banjir lumpur.

Operasi mencari yang dijalankan kemudiannya terus mencatatkan penambahan jumlah mangsa yang maut.

Mangsa yang terkorban dalam kejadian banjir lumpur ini terdiri daripada bayi berusia seawal tujuh bulan sehingga ke penduduk warga emas berusia 70 tahun.

Mengikut laporan, terdapat satu daripada mayat mangsa tragedi banjir lumpur itu ynag hanyut sehingga ke Sungai Kinta, Malim Nawar, kira-kira 48 kilometer dari tempat kejadian.

Selepas 13 hari berlalu iaitu pada 11 September 1996, operasi mencari mangsa dihentikan dengan jumlah angka korban tragedi banjir lumpur Perkampungan Orang Asli Pos Dipang, dicatatkan kepada 39 orang, manakala lima lagi masih hilang dan gagal ditemui.

Di sebalik kejadian luar jangkaan itu, ia telah membuka mata banyak pihak. Kerakusan manusia terhadap khazanah alam pasti akan membawa padah kepada sesiapa sahaja.

Tragedi Pos Dipang yang mencatatkan korban terbesar akibat banjir lumpur itu dilaporkan berkait rapat dengan aktiviti pembalakan yang berleluasa oleh pihak-pihak tertentu di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, dalam masyarakat Orang Asli, mereka percaya bahawa bencana buruk yang memusnahkan penempatan mereka dalam sekelip mata adalah isyarat kemurkaan Tuhan.

Mengikut kepercayaan orang asli, Dewa Dipang yang tinggal di atas pergunungan di kawasan itu telah mengamuk akibat dari kegiatan pembalakkan yang dilakukan secara berleluasa dan telah menganggu kediaman dewa itu.

Ini telah mengakibatkan Dewa Dipang marah dan terjadinya banjir lumpur yang dasyat dan mengorbankan nyawa ini.

Apa pun, tragedi Pos Dipang telah menuntut pelbagai agensi untuk bekerja keras melaksanakan tugas masing-masing.

Sejak cerita kejadian banjir lumpur yang dahsyat itu tersebar, pelbagai pihak mula membuka mata dan memberi tumpuan terhadap isu penempatan Orang Asli di negara ini.

Antara yang tidak dapat dipisahkan dengan masalah Orang Asli ialah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) atau kini lebih dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Selepas tragedi itu juga, hampir semua kerajaan negeri yang mempunyai ramai penduduk Orang Asli telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk mengenal pasti penempatan masyarakat itu yang terdedah kepada bahaya terutamanya banjir lumpur.

Berikutan bencana yang memusnahkan hampir keseluruhan Perkampungan Orang Asli Pos Dipang itu, sebuah penempatan baru dibina untuk mereka tidak jauh daripada penginapan asal.

Penempatan baru Orang Asli Pos Dipang itu juga menjadi penempatan contoh berikutan kajian kerajaan negeri mendapati penempatan itu sesuai dan selamat diduduki.

Penempatan baru seluas 1.5 hektar itu menempatkan 53 rumah dengan kos pembinaan setiap satu sebanyak RM7,000.

Banjir lumpur Pos Dipang ini mengorbankan 44 mangsa dan lima yang lain hilang gagal ditemui.

Semua mangsa, kecuali enam orang dari keluarga Cina yang tinggal di Bah Hon Hin kira-kira enam kilometer dari Perkampungan Orang Asli Pos Dipang merupakan penduduk Orang Asli.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: orangperak

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon