Selasa, September 10, 2019

Knights Templar: Tentera Elit Yang Musnah Kerana Kekayaan


Loading...

Setelah pakatan Tentera Salib Eropah berjaya menawan Jerusalem dari pemerintahan umat Islam pada 1099, maka berbondong-bondong masyarakat Kristian di Eropah ingin melakukan 'haji' melawat Tanah Suci Jerusalem.

Tentera elit Knights Templar
Gambar hiasan.

Namun, rombongan haji yang menempuh perjalanan yang jauh itu telah menyebabkan mereka sering menjadi sasaran mudah para perompak dan penyamun di jalanan.

Habis harta benda yang mereka bawa dalam perjalanan dirampas, malah pada satu tahap mereka juga telah dibunuh oleh penjenayah keji itu.

Atas faktor itulah maka sebuah pasukan ketenteraan elit ditubuhkan bagi menjaga rombongan haji ke Jerusalem ini sepanjang perjalanan mereka – itulah Knights Templar.

Templar atau Knights Templar (nama rasminya Poor Fellow-Soldiers of Christ and the Temple of Solomon) telah ditubuhkan oleh seorang tentera berbangsa Perancis, Hugues de Payens pada 1118.

Pada awal-awal penubuhan pasukan ini, ia mendapat banyak kritikan dari pelbagai agamawan Kristian yang mendakwa pasukan ini bertindak ingin mengaut keuntungan semata-mata.

Namun pada 1129, Knights Templar mendapat sokongan daripada Bernard of Clairvanx, seorang agamawan Perancis yang sangat berpengaruh.

Sepuluh tahun kemudian, ketua Gereja Katolik pada ketika itu, Pope Innocent II telah mengeluarkan satu perintah Papal Bull yang menyatakan sokongan gereja terhadap fungsi Knights Templar.

Dalam perintah itu dinyatakan pelbagai keistimewaan Knights Templar. Antaranya pengecualian pembayaran cukai, dibenarkan untuk membina markas di mana-mana kawasan monarki Kristian dan tidak tertakluk di bawah mana-mana kerajaan.

Sejak dari itu, kesetiaan Knights Templar hanya untuk Pope sahaja, tidak berpihak kepada mana-mana monarki di Eropah.

Reputasi Knights Templar

Penubuhan Knights Templar telah mengubah pandangan spektikal masyarakat Eropah terhadap tentera.

Sebelum kehadiran Knights Templar, masyarakat melihat tentera sebagai golongan samseng yang suka menindas rakyat serta sering kali melakukan peras ugut.

Namun situasi ini berubah dengan wujudnya Knights Templar yang dianggotai oleh alim-alim agama.

Ahli-ahli Knights Templar mempunyai peraturan-peraturan yang sama seperti biarawan atau paderi. Mereka tidak boleh berkahwin, tidak dibenarkan menyentuh perempuan hatta ibu sendiri, tidak minum arak serta pelbagai syarat ketat yang dikenakan.

Templars dihormati kerana ketaatan mereka kepada ajaran Kristian. Ahli Knights Templar juga dikehendaki mengangkat sumpah supaya menjalani kehidupan yang zuhud, miskin dan setia hanya kepada Pope.

Mereka juga dilarang memakai kasut yang mempunyai muncung dihadapan, sebagai simbolik kezuhudan mereka.

Atas sebab itu tentera Knights Templar dilihat sebagai benteng Kristian dan mereka juga sering dipanggil sebagai Tentera Jesus.

Knights Templar sangat mahir berperang serta merupakan pakar strategi yang hebat. Kesemua ahli Templar dilatih dengan tahap kemahiran yang tinggi.

Mereka juga terkenal kerana sifat keberanian yang luar biasa. Hal ini dapat dilihat melalui prinsip perang mereka, dimana Knights Templar diharamkan untuk berundur di medan perang kecuali bilangan mereka sangat sedikit jika dibandingkan dengan pihak musuh.

Antara kejayaan ulung mereka adalah berjaya menewaskan panglima agung umat Islam, Salahuddin Al Ayyubi dalam Pertempuran Montgisard.

Tentera Miskin Yang Sangat Kaya

Walaupun kebanyakan ahli Knights Templar merupakan ahli-ahli yang miskin dan juga telah bersumpah menjalani kehidupan miskin, namun secara kolektifnya mereka merupakan sebuah organisasi yang sangat kaya. Lebih kaya berbanding kerajaan monarki Eropah pada ketika itu.

Hal ini berikutan mereka dikecualikan daripada membayar cukai serta keuntungan urusan perbankan melalui misi keselamatan rombongan haji.

Knights Templar juga mendapat sumber kewangan daripada derma orang ramai yang menganggap ia sebagai kerja Tuhan.

Bukan itu sahaja, Alfonso I (Pemerintah Aragon) telah mengurniakan 1/3 daripada wilayahnya kepada Knights Templar.

Kayanya mereka sehingga mampu untuk membeli pulau Cyprus serta memberikan pinjaman kepada para raja.

Kejatuhan Knights Templar

Setelah Salahuddin (semoga Allah memberkatinya) berjaya membebaskan kembali Jerusalem pada 1187, itu menandakan permulaan bagi pengakhiran Knights Templar.

Kekalahan demi kekalahan yang dialami dalam siri Perang Salib menyebabkan Knights Templar terpaksa bertukar markas.

Kemuncaknya, Kejatuhan Acre pada 1291 pada Kesultanan Mamluk telah membersihkan Timur Tengah daripada jejak-jejak Knights Templar.

Pada 1303, Knights Templar yang telah diusir dari dunia Islam itu telah menubuhkan markas operasinya di Paris yang ketika itu diperintah oleh Raja Philip IV Si Adil.

Ketika itu, baginda raja mempunyai hutang yang sangat banyak dengan Knights Templar lebih-lebih lagi pembiyaan kewangan yang besar ketika perang Perancis dengan Inggeris.

Philip IV

Mengetahui bahawa baginda tersepit dalam hutang yang banyak, ditambah pula kantung kerajaan semakin menguncup akibat perang, maka Philip IV menyasarkan Knights Templar sebagai sasaran utama.

Keterdesakan Philip IV amat jelas apabila pada tahun-tahun sebelumnya iaitu pada 1292, baginda telah menangkap sekumpulan pedagang Itali yang kaya raya lalu merampas harta benda mereka. Baginda juga memaksa agar mereka semua membeli barang keluaran Perancis.

Philip IV sedar akan kekayaan luar biasa Knights Templar yang disimpan di markas yang terletak di ibu kota Paris. Maka baginda telah merancang satu plot untuk menjatuhkan organisasi ketenteraan tersebut.

Hubungan Knights Templar-Perancis pada masa itu sememangnya dingin sejak Templar enggan meminjamkan wang kepada kerajaan Perancis akibat tunggakan hutang yang begitu banyak.

Kematian Pope Boniface VIII dalam tahanan Raja Philip IV telah menandakan krisis yang kian meruncing antara raja dan gereja.

Boniface VIII sememangnya dikenali sebagai tokoh yang sangat kuat mempertahankan Knights Templar.

Kenyataan beliau banyak mengguris hati keluarga diraja Philip IV di mana akhirnya beliau mati dalam tahanan kerajaan.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan kematian Pope merupakan komplot terancang Philip IV bagi menaikkan Pope yang lebih berpihak kepadanya, iaitu Clement V (bekas Bishop Perancis).

Plot Penganiyaan Bermula

Rancangan untuk menghapuskan Knights Templar telah lama berjalan antara Raja Philip IV dan Pope Clement V.

Pada 1307, Clement V yang berada di Paris menghantar surat kepada Jacques de Molay (Grand Master Templar yang terakhir) agar menyuruh dia bermesyuarat dengannya perihal misi ketenteraan Knights Templar untuk melancarkan Perang Salib yang baru.

Tanpa syak wasangka, De Molay patuh dengan arahan tersebut dan terus bersiap ke Paris dengan rombongan yang terdiri daripada 60 Templar.

Sesampainya rombongan Knights Templar di Paris, kesemua mereka telah ditangkap dan disoal siasat.

Clement V telah melakukan pembohongan dengan menyatakan bahawa kehadiran De Molay adalah untuk membantu siasatan dakwaan Knights Templar telah menjadi sesat dan jauh tersimpang dari agama.

Bermula dari itulah penyeksaan dan segala macam bentuk kezaliman telah dikenakan ke atas Knights Templar atas titah Philip IV.

Baginda telah melakukan soal siasat diiringi dengan tekanan fizikal yang hebat ke atas Templar – antaranya langsung tidak diberi makan, kekurangan tidur, soal siasat tanpa henti dan satu bentuk mesin hukuman yang dipanggil strappado (menyebabkan bahu seseorang patah).

Knights Templar dituduh telah melakukan ritual-ritual menyembah syaitan. Mereka juga didakwa telah melakukan zina, meludah palang salib, meliwat sesama ahli dan mengungkapkan kata-kata kufur ke atas Jesus.

Oleh kerana tidak tahan dengan soal siasat yang penuh seksa, maka hampir semua Templar telah membuat pengakuan ke atas dakwaan tersebut, termasuklah Grand Master mereka sendiri, De Molay.

Dengan pengakuan kontroversi tersebut, maka Pope Clement V bersama-sama dengan Philip IV telah membubarkan Knights Templar secara rasmi pada 1312.

Awalnya, De Molay telah membuat pengakuan terhadap segala dakwaan yang telah dilemparkan ke atasnya namun, apabila tiba giliran Pope melalui delegasinya untuk melaksanakan perbicaraan mahkamah, De Molay menarik balik pengakuan dengan mengatakan dia telah dipaksa membuat pengakuan melalui seksaan yang sangat teruk.

Keadaan yang menyusul selepas itu menyaksikan wujudnya perkelahian dan kenyataan yang tidak konsisten dari ahli Templar.

Dalam situasi yang rumit sedemikian, Philip IV memberi kata akhir dengan menjatuhkan hukuman bakar hidup-hidup ke atas De Molay dan beberapa pemimpin kanan Knights Templar. Habis cerita!

Maka pada tanggal 18 Mac 1314, De Molay bersama pengikutnya telah dihukum mati dengan cara tersebut.

Di saat kematiannya, De Molay telah melakukan kutukan sumpahan ke atas Philip IV dan Pope Clement V di atas ketidakadilan mereka dalam memberikan hukuman. Dia juga menegaskan semua tuduhan adalah palsu.

Tidak sampai setahun dari peristiwa tersebut, kedua-dua watak yang menzalimi Knights Templar telah mati, seolah-olah sumpahan De Molay adalah benar belaka.

Maka berakhirlah riwayat Knights Templar di tangan seorang raja yang tamakkan harta.

Namun, terdapat spekulasi terbaharu yang timbul hasil daripada penemuan manuskrip bertajuk Chinon Parchment yang bertarikh Ogos 1308.

Manuskrip itu menyatakan De Molay sebenarnya sudah diberi pengampunan oleh pihak Gereja Katolik pada awalnya.

Namun, keputusan Philip IV yang melaksanakan hukuman bunuh ke atas De Molay dipercayai dilakukan di luar rangka perundangan.

Pope Clement V juga menerima pelbagai cemuhan dan kritikan dari agamawan seluruh Eropah yang percaya bahawa pembubaran Templar merupakan satu konspirasi terancang pihak diraja Perancis.

Yang pasti, Philip IV ingin merampas semua kekayaan luar biasa Knights Templar dengan cara menghapuskan organisasi mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon