Wednesday, July 03, 2019

Madu Asli Di Pasaran Malaysia


Disebabkan khasiat madu lebah yang sangat tinggi dan juga menjadi antara makanan sunnah terbaik, ia menjadi pilihan masyarakat sebagai makanan tambahan untuk kesihatan kerana umum tahu bahan pemanis yang terhasil dalam madu lebah banyak dijual dipasaran Malaysia dan sangat mudah didapati di mana-mana sahaja.

Madu Asli di Malaysia

Namun begitu, ramai yang tidak menyedari bahawa kebanyakan madu yang dijual dalam pasaran adalah madu tiruan yang boleh membahayakan kesihatan dan agak sukar untuk dibezakan dengan madu asli.

Madu tiruan berbahaya kerana mengandungi gula berlebihan dan kandungan hidroksimetilfurfural (HMF) yang tinggi.

Kesan daripada pengambilan gula dan HMF berlebihan boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia dengan risiko pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.

Bukan itu sahaja, dengan adanya madu tiruan dalam pasaran yang tidak terkawal disebabkan tiada penguatkuasaan, tindakan atau akta yang melindungi madu asli serta menghalang pembuatan madu tiruan, ia juga boleh merosakkan industri madu asli.

Melihat kesan negatif akibat penjualan madu tiruan yang berleluasa, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), telah menjalankan kajian mengesan ketulenan madu.

Usaha yang dijalankan oleh agensi itu merupakan salah satu platform untuk memulihkan kembali industri madu selain membuka peluang untuk menghasilkan teknologi yang dapat mengesan ketulenan dan kualiti madu di Malaysia.

Madu yang dihasilkan dari perut lebah adalah berasal dari sumber nektar atau air sap tumbuhan yang menjadi makanan lebah tersebut dan disimpan di dalam sarang sehingga ia matang.

Disebabkan proses penghasilan madu asli agak lambat selain memerlukan teknik khusus dan modal yang besar, ramai pengusaha madu mengambil jalan mudah meningkatkan bekalan madu mereka dengan mencampurkan madu asli bersama sirap sukrosa dan beberapa campuran lain.

Pelbagai kaedah tradisional juga telah digunakan untuk membezakan madu asli dan madu tiruan misalnya dengan menggunakan semut, telur dan sudu besi.

Walau bagaimanapun, kesemua kaedah tradisional itu bukanlah penunjuk yang tepat dalam pengujian keaslian madu.

Mengenali Madu Asli

Sehingga kini, hanya ujian makmal sahaja yang boleh memberikan ketepatan sehingga 99 peratus apabila ketulenan sesuatu jenis madu diukur dengan kehadiran enzim dalam madu tersebut.

Teknik yang dibangunkan ini adalah dengan mencampurkan madu herba terpilih dan dibiarkan dalam tempoh masa tertentu.

Madu seterusnya dianalisis menggunakan alat HPLC MS MS (high performance liquid chromatography mass spectrometry).

Jika madu tersebut tulen, ia boleh memecahkan bahan berkhasiat tertentu dalam herba terpilih dengan membentuk struktur yang lebih kecil kerana madu tulen mengandungi enzim.

Kehadiran bahan antioksidan seperti bahan fenolik dalam madu juga boleh dijadikan sebagai kayu pengukur ketulenan madu, kerana bahan ini hadir dalam bunga dan buah yang menjadi makanan utama lebah.

Jika madu ditambah dengan sumber gula lain, biasanya bahan fenolik ini akan diikat dengan gula yang ditambah dan ia akan berkurang atau tidak dapat dikesan lagi apabila diuji menggunakan HPLC MS MS tersebut.

MARDI juga sedang dalam usaha untuk membangunkan kaedah biasa yang lebih mudah dan murah untuk menentukan keaslian madu dan diharap dapat membantu pengusaha madu dan juga pengguna untuk membezakan madu asli dan juga tiruan.

Pihak berwajib juga perlu mewujudkan pensijilan khas atau hologram yang hanya dapat diperoleh daripada jabatan tertentu seperti MARDI sebelum meluluskan sesuatu jenama madu itu boleh dipasarkan.

Dalam pada itu, biasanya madu tulen berbau sedikit wangi dan kelat disebabkan kehadiran flavanoid dan asid fenolik.

Madu asli biasanya tidak dikerumuni semut jika masih segar selepas dituai, walau bagaimanapun, semut boleh datang jika bau wangi hilang tetapi cara ini belum dapat dibuktikan secara saintifik sebaliknya perlu diuji di makmal.

Persepsi salah orang ramai mengenai ketulenan madu:
  • Madu asli dikatakan mempunyai warna, rasa dan bau tertentu.
  • Madu yang asli tidak dihurungi semut.
  • Madu asli tidak beku dalam peti sejuk.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon