Thursday, April 04, 2019

SUHAKAM Perlu Tunjuk Bukti Polis Culik Paderi Raymond Dan Amri Che Mat


Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) memberikan bukti yang menunjukkan Cawangan Khas terlibat dalam kehilangan paderi Raymond Koh Keng Joo dan aktivis Amri Che Mat.

Paderi Raymond - Amri Che Mat

Dr Mahathir berkata dakwaan SUHAKAM akan dianggap khabar angin jika tiada bukti.

“Mereka (SUHAKAM) perlu kemukakan bukti. Setakat ini ia hanya sekadar khabar angin.

“Dan ingat ini tidak berlaku ketika kerajaan kini sebaliknya ia berlaku ketika kerajaan terdahulu," katanya ketika sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dr Mahathir juga menjelaskan kerajaan sedia menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk kes ini jika SUHAKAM dapat mengemukakan bukti yang kukuh.

"Saya tidak tahu jika mereka ada bukti untuk dikemukakan dan dengan apa yang berlaku sudah tentu kami sedia untuk tubuhkan pasukan petugas khas.

“Biarkan Ketua Polis Negara sekarang ini bersara dahulu dan kita serahkan kepada Ketua Polis Negara yang baharu untuk teruskan,” katanya lagi.

Sebelum ini, SUHAKAM mendakwa polis Cawangan Khas (SB) bertanggungjawab di atas kehilangan paderi Raymond Koh Keng Joo dan aktivis Amri Che Mat.

Dakwaan itu dibuat berdasarkan rumusan panel inkuiri awam yang dibentangkan pada Rabu (3 April 2019).

Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Mah Weng Kwai bersama anggota panel, Prof. Datuk Aishah Bidin dan Nik Salida Suhaila membentangkan hasil inkuiri awam itu.

Panel SUHAKAM menegaskan bahawa kehilangan kedua-dua individu tersebut bukan kes kehilangan secara sukarela, tetapi secara paksaan yang melibatkan campur tangan ajen-ajen kerajaan, khususnya daripada Cawangan Khas, Bukit Aman.

Bekas menteri dalam negeri, Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan dakwaan berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, tiada arahan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri yang ketika itu di bawah terajunya kepada cawangan khas untuk bertindak ke atas Koh serta Amri.

Kehilangan Secara Paksa

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bersedia untuk menghantar laporan hasil inkuiri awam kepada pihak kerajaan dan badan berkaitan mengenai kehilangan paksa membabitkan Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo.

Laporan tersebut membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas (SB) bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan kedua-dua individu tersebut.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai berkata, laporan hasil inkuiri awam itu akan dihantar dalam masa terdekat kepada kerajaan dan badan terlibat termasuk Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Pihak kami akan menghantar laporan ini kepada pejabat perdana menteri, kementerian dalam negeri, peguam negara dan polis pada bila-bila masa.

“Kes Amri melibatkan 24 saksi, 97 bahan bukti dan laporan setebal 101 muka surat serta mengambil masa selama 27 hari.

“Sementara paderi Raymond melibat 16 saksi, 117 bahan bukti dan laporan setebal 97 muka surat serta perbicaraan selama 20 hari,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan Suhakam perlu memberikan bukti yang menunjukkan Cawangan Khas terlibat d alam kehilangan dua individu tersebut, jika tidak ia hanya dianggap sebagai khabar angin.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyambut baik kesediaan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja berkaitan kedua-dua kes seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen.

Selain itu, Mah mencadangkan agar kerajaan turut menubuhkan Pasukan Khas Siasatan bagi menyiasat secara telus berkenaan perkata itu.

Jelasnya, Pasukan Khas Siasatan itu perlu ditubuhkan di bawah Pejabat Peguam Negara.

Terdahulu, Raymond yang merupakan pengasas persatuan Harapan Komuniti, dipercayai diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

Rakaman kejadian menunjukkan ia ia dipercayai satu rancangan rapi membabitkan lebih daripada sepuluh lelaki dan tujuh kenderaan.

Sementara Amri, 44 tahun, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Sejak beberapa bulan lalu, isteri Raymond, Susanna Koh dan isteri Amri, Norhayati Mohd Arifin menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit dalam kes kehilangan suami masing-masing.

Sebelum ini Norhayati dipetik berkata ada saksi ternampak lima kenderaan menghalang laluan kereta Amri, sebelum dia dibawa pergi, kira-kira 550 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Keterangan Mengikut Keadaan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyifatkan keterangan yang dikumpul oleh mereka membabitkan kes kehilangan paksa paderi Raymond Koh Keng Joo dan Amri Che Mat adalah keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence).

Pengerusi panel siasatan berkenaan kehilangan dua berkenaan, Datuk Mah Weng Kwai berkata walaupun ia hanya keterangan mengikut keadaan, namun ia kukuh bagi melakukan pendakwaan.

“Selain keterangan langsung (direct evidence), keterangan mengikut keadaan juga kukuh. Jika saya mengambil contoh kes pertuduhan terhadap Sunny Ang, setiap ‘utas benang’ keterangan (mengikut keadaan) yang dikumpul dan disatukan, ia cukup kuat untuk membentuk ‘seutas tali’ sebagai keterangan pendakwaan.

“Lelaki itu dihukum gantung atas kesalahan yang dilakukannnya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu.

Justeru katanya, setiap keterangan perlu diperhalusi tidak kira sama ada ia merupakan keterangan langsung, keterangan mengikut keadaan mahupun andaian.

Pihaknya juga yakin, menerusi hasil keterangan yang diperolehi, ia akan membantu dalam menyelesaikan kes ini.

Untuk rekod, dalam kes Ang, mayat mangsa, Jenny Cheok tidak ditemui, namun Ang yang merupakan teman lelaki mangsa didapati bersalah.

Ang disabitkan kesalahan membunuh teman wanitanya itu semasa mereka menyelam skuba di perairan Singapura pada 1963 atas keterangan mengikut keadaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon