Wednesday, April 10, 2019

Punca Menteri Besar Johor Letak Jawatan, Terlalu Banyak Kontroversi


Datuk Osman Sapian yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor, merupakan menteri besar yang dipercayai paling singkat mentadbir kerajaan negeri iaitu tidak sampai 11 bulan dari tarikh lantikan.

MB Johor letak jawatan

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene pada 12 Mei tahun 2018 lepas, susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Osman yang bertanding di kerusi DUN Kempas memperoleh 21,137 undi mengalahkan lawannya dengan majoriti 9,178 undi iaitu calon BN, Datuk Ramlee Bohani yang menerima 11,959 undi manakala calon PAS, Dzulkifli Suleiman menerima 2,321 undi.

Pengerusi PH Johor dan Bersatu Johor itu, pernah menyandang jawatan sebagai ADUN Kempas di bawah BN selama tiga penggal mulai 1999 hingga 2013 sebelum digugurkan daripada bertanding pada PRU-13.

Kontroversi

Walaupun tempoh menerajui pentadbiran kerajaan negeri terlalu singkat, Osman merupakan Menteri Besar yang agak kontroversi.

Sebaik dilantik, beliau membuat kenyataan bahawa kerajaan PH tidak akan memberi sebarang peruntukan kepada ADUN pembangkang di Johor, berbeza dengan pendirian PH di peringkat pusat yang mahu memberi peruntukan kepada semua wakil rakyat, tanpa mengira sama ada kerajaan atau pembangkang.

Bagaimanapun, Osman kemudian menjelaskan hasrat awal kerajaan negeri untuk tidak menyalurkan peruntukan pembangunan kepada pembangkang, adalah keputusan yang belum lagi dimuktamadkan.

Sultan Murka

Akhbar News Straits Times (NST) turut mendakwa Osman Sapian didesak melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Johor selepas terpalit dengan beberapa kontroversi sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati beberapa pihak termasuk pihak istana.

Akhbar berkenaan memetik satu sumber sebagai berkata, kontroversi itu timbul selepas Osman dikatakan gagal menangani krisis pencemaran Sungai Kim Kim sehingga mengakibatkan 5,848 penduduk Pasir Gudang terpaksa mendapatkan rawatan selepas menyedut udara beracun.

Bukan itu saja, prestasi Menteri Besar itu juga telah diteliti sejak beberapa bulan lalu namun sehingga kini beliau dilihat masih gagal membentangkan pelan tindakan ekonomi negeri itu.

Sultan tidak berpuas hati kerana negeri Johor diperintah seperti tiada arah dan tindakan beliau melawat Batam, Indonesia ketika krisis Sungai Kim Kim berlaku adalah kemuncak segala-galanya.

Beliau dilihat seperti tidak bertanggungjawab kerana tidak mengumumkan sebarang peruntukan sebaliknya Sultan pula yang mengumumkan peruntukan RM1 juta.

Insiden ini menyebabkan beliau hilang kepercayaan pihak istana, dakwa sumber itu.

Susulan krisis Sungai Kim Kim, seramai 120 penduduk di Pasir Gudang mengambil tindakan saman terhadap kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan kilang-kilang kerana kecuaian dalam menangani kes pencemaran berkenaan.

Dakwaan Sijil Palsu

Osman, ketika dilantik merupakan Setiausaha PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor, menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin daripada Barisan Nasional (BN) sebagai menteri besar.

Osman sebelum ini dilaporkan mempunyai ijazah dan diploma perakaunan dari Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia (UPM).

Namun, pemeriksaan warganet mendapati UPM hanya mula menawarkan ijazah sarjana muda perakaunan pada 1985 manakala diploma perakaunan tidak ditawarkan di universiti tersebut.

Februari 2019 lalu, Osman mengakui beliau tidak menamatkan pengajian ketika menuntut di Kolej Pertanian Malaysia.

Osman turut menjelaskan yang beliau tidak tahu mengenai beberapa laman sesawang yang mengatakan dirinya berkelulusan diploma dan ijazah perakaunan daripada UPM.

Osman merupakan pemimpin ke-3 daripada PH yang terpalit dengan kontroversi itu selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon