Tuesday, January 15, 2019

Derita Bersuamikan 'Biawak Hidup'


Daripada pandangan mata kasar, kehidupan rumah tangga yang dilalui Maria, 34 dan suaminya, Nasir, 39 tampak sempurna. Justeru, tidak hairanlah jika kebahagiaan yang dikecapi oleh pasangan suami isteri ini sering dicemburui kenalan rapat.

Suami Biawak Hidup

Bagaimanapun, siapa sangka di sebalik kebahagiaan yang dipamerkan, Maria sebenarnya menyembunyikan penderitaan kerana terpaksa menanggung suami yang tidak bekerja.

“Saya tidak tahu sampai bila boleh bertahan dengan situasi ini.

“Sebagai isteri, pastinya saya mengimpikan nafkah bulanan diberikan suami. Jika tidak banyak sekalipun, sekurang-kurangnya ia dapat menampung duit perbelanjaan harian saya.

“Tetapi sebaliknya, saya pula yang terpaksa memikul tanggungjawab sebagai suami dan memberikannya nafkah sejak berkahwin kira-kira tiga tahun lalu,” jelas Maria membuka bicara.

Cerita wanita ini lagi, disebabkan terlalu tertekan dengan nasib malang yang menghimpit dirinya, dia pernah beberapa kali ingin menuntut cerai.

Bagaimanapun, memikirkan pandangan serong rakan sekerja dan keluarganya, dia terpaksa membatalkan hasrat tersebut.

“Mana saya mahu letak muka jika mereka sedar kebahagiaan yang selama ini dikecapi hanyalah lakonan semata-mata.

“Sehingga kini, saya sukar menerima hakikat bahawa perkahwinan ini hanya mengundang penderitaan.

“Di hadapan keluarga dan kenalan, kami mungkin kelihatan begitu mesra hingga makan pun kadangkala bersuap. Namun sebaliknya di rumah, kami diumpamakan seperti musuh,” jelasnya.

Menurut Maria lagi, sewaktu di awal perkenalan, suaminya mempunyai pekerjaan tetap dan disifatkan sebagai seorang yang begitu bertanggungjawab.

Hutang bank

Bagaimanapun, siapa sangka, karakter suaminya berubah sekelip mata kira-kira dua bulan selepas mendirikan rumah tangga.

“Dahulu, Nasir bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang.

“Biarpun dia sendiri memaklumkan bahawa gajinya agak kecil berbanding saya, namun itu tidak jadi penghalang untuk meneruskan hubungan yang dibina.

“Seminggu sebelum mendirikan rumah tangga, syarikat tempat Nasir bekerja mengalami masalah kewangan dan dia terpaksa diberhentikan. Sejak itu, Nasir bergelar penganggur,” jelasnya.

Disebabkan kekangan kewangan dan situasi Nasir yang tidak bekerja, Maria terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk perbelanjaan majlis perkahwinan mereka.

“Bayangkan majlis perkahwinan hampir tiba tetapi dia tiada wang yang cukup untuk dijadikan hantaran.

“Oleh kerana tidak mahu perkara ini diketahui ibu dan ayah, saya terpaksa membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000 bagi membantunya.

"Nasir berjanji akan melunaskan bayaran bulanan pinjaman tersebut,” jelasnya.

Menurut Maria lagi, karakter sebenar Nasir mula terbongkar sedikit demi sedikit selepas mereka selamat dinikahkan.

Nasir yang sebelum ini disifatkan sebagai bertanggungjawab bertukar sebaliknya. Janji untuk membayar wang pinjaman Maria juga tidak ditunaikan.

“Seminggu selepas bernikah, kami berpindah ke kediaman sendiri.

"Bayangkan, ketika saya sedang bersiap untuk bekerja, Nasir masih lagi lena diulit mimpi.

“Sekembalinya saya dari tempat kerja, Nasir sedang bermain permainan komputer. Rumah pula dibiarkan bersepah,” jelasnya.

Gadai barangan kemas

Disebabkan rasa sayang yang masih menebal, Maria hanya membiarkan kelakuan Nasir dan menganggap suaminya itu tertekan kerana diberhentikan.

Biarpun begitu, rasa sayang dan sangka baik Maria terhadap lelaki itu berubah apabila Nasir berani mengherdiknya ketika meminta wang untuk membayar pinjaman peribadi.

“Sebulan berkahwin saya sudah menanggung hutang yang banyak. Semua perbelanjaan rumah saya yang tanggung.

"Ini termasuk pinjaman peribadi, duit rumah, kereta sehinggalah wang saku Nasir yang masih lagi tidak mahu bekerja.

“Walaupun bergaji besar, namun itu tidak cukup untuk menampung segala perbelanjaan tersebut.

"Pernah sekali saya terpaksa menggadaikan barangan kemas yang ada termasuk cincin perkahwinan hanya kerana kesempitan wang.

“Nasir pula masih tidak mahu berusaha mencari kerja dan hanya tahu meminta wang,” tuturnya.

Ujar Maria lagi, kesempitan hidup selepas berkahwin menyebabkan dia kini terpaksa melakukan dua pekerjaan.

“Siang saya bekerja sebagai pegawai bank, manakala di sebelah malam bertungkus-lumus di dapur menyiapkan kek ditempah pelanggan.

“Biarpun tidak mewah, namun ia mencukupi untuk membayar hutang dan menanggung suami.

“Mental dan fizikal saya memang penat, tetapi mengenangkan pandangan orang luar terhadap kami, saya gagahkan diri,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon