Isnin, November 12, 2018

Apa Itu Bon Samurai?


Pengumuman kerajaan untuk menerbitkan bon Samurai berjumlah JPY200 bilion (RM7.9 bilion) menimbulkan perbezaan pendapat awam mengenai keperluan dan kepentingan menambah jumlah hutang negara. Bon merupakan satu nota atau kupon hutang yang dikeluarkan oleh pihak yang memerlukan wang kepada para pelabur.

Bon Samurai

Misalnya kerajaan atau institusi wibawa memerlukan sejumlah wang bagi tujuan projek tertentu, maka mereka mempunyai pilihan untuk membuat pinjaman komersial atau menerbitkan bon.

Bon yang dikeluarkan berdasarkan perjanjian antara penerbit bon dengan pelabur. Penerbit bon secara amnya mengumumkan berapa jumlah bon yang akan diterbitkan, yang juga bermaksud jumlah yang diperlukan oleh penerbit bon.

Penerbit bon juga akan mengumumkan tempoh matang yakni tarikh mereka akan membayar semula wang yang telah diberi oleh pembeli bon. Bon juga mempunyai kadar faedah tahunan yang dikenali sebagai kadar kupon (coupon rate).

Apa itu bon Samurai?

Bon Samurai ialah penerbitan bon di Jepun dalam bentuk mata wang Yen. Kebaikan bon Samurai ialah kadar kupon yang sangat rendah antara 0.345 – 2.3% bergantung kepada penerbit bon dan tempoh kematangan bon.

Dari perspektif kadar faedah bon Samurai sangat menguntungkan. Justeru tidak sukar memahami keputusan kerajaan untuk menerbitkan bon ini. Apatah lagi Kerajaan Malaysia mendapat kadar 0.65% setahun yang boleh dianggap antara termurah.

Perdana Menteri Tun Mahathir sering membuat perbandingan kadar faedah bon Samurai 0.65% setahun selama 10 tahun dengan kadar pinjaman komersial kerajaan sebelum ini antara 3%-7% setahun.

Jika dibandingkan dengan bon-bon terbitan 1MDB atau bon-bon antarabangsa lain yang mencecah antara 4%-6% setahun, bon Samurai ini umpama syurga pinjaman kerajaan.

Namun, dalam penerbitan bon masih ada beberapa perkara yang begitu teknikal seperti “face value” berbanding “purchased value” dan lain-lain syarat penerbitan yang jika dikaji mungkin tidaklah terlalu indah seperti cuba digambarkan.

Selain itu, kos pertukaran mata wang juga perlu diambil kira kerana wang ini akan digunakan di Malaysia.

Menukar JPY200 bilion ke dalam mata wang Ringgit tentulah akan mempunyai yuran yang perlu dibayar.

Isu bon berbanding pinjaman ialah pinjaman dibayar secara ansuran dan kadar faedah juga berdasarkan baki pinjaman setiap tahun.

Manakala dengan bon, selain membayar kadar faedah semi tahunan, kerajaan hanya akan membayar secara penuh pada penghujung kematangan bon.

Di sinilah selalunya kerajaan akan membuat kerja “korek lubang dan tutup lubang” dan sepuluh tahun akan datang tidak mustahil kerajaan akan menerbitkan bon baharu bagi membayar bon yang telah matang.

Penerbitan bon Samurai juga mempunyai implikasi peningkatan hutang akibat susut nilai Ringgit pada masa depan.

Pada 1990-an Dr Mahathir sendiri pernah berhenti meminjam dalam Yen kerana merasa rugi kenaikan Yen berkali ganda berbanding Ringgit. Ini menyebabkan peningkatan drastik hutang negara.

Sama ada mengikut mazhab ekonomi Bank Dunia yang meletakkan hutang Malaysia pada tahap RM688 bilion (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11, 18 Oktober 2018); atau mazhab ekonomi luar biasa Lim Guan Eng yang menyatakan hutang negara pada tahap RM1.1 trilion, kedua-duanya bersetuju bahawa keadaan hutang negara terkawal kerana 97.7 peratus hutang adalah dalam denominasi Ringgit.

Laporan terbaru Bank Negara Malaysia mencatatkan hutang kerajaan dalam denonimasi asing ialah RM15.7 bilion. Ini meletakkan kedudukan kewangan negara dalam keadaan sangat baik kerana pendedahan kepada tukaran asing sangat rendah.

Kita boleh berbahas baik buruk bon Samurai ini, namun persoalan utama dalam penerbitan bon Samurai ini ialah untuk tujuan apa?

Pada suatu ketika kerajaan menyatakan bagi membayar hutang. Kemudian ada juga keluar kenyataan untuk membayar hutang 1MDB yang tinggi kadar faedahnya.

Terbaharu pula Perdana Menteri menyatakan, “Jika kita dapat tukar daripada faedah tinggi dengan yang rendah kita akan dapat kurangkan beban negara untuk membayar balik pinjaman. Bon itu boleh diguna untuk apa-apa projek yang kita ada.”

Tampak kerajaan sendiri tidak mempunyai pendirian jelas untuk apa bon RM7.4 bilion ini. Jika mahu bayar hutang, elok dijelaskan hutang apa.

Kita khuatir kerana bon ini dikeluarkan tanpa tujuan spesifik, maka ia akan dibelanjakan sesuka hati oleh kerajaan untuk pengurusan dan pengenalan projek baharu bagi keuntungan pihak tertentu. Nanti apa yang terjadi bukanlah kerajaan mengurangkan hutang tetapi menambah hutang.

Menulis mengenai bon Samurai teringat haiku (puisi Jepun),
Samurai itu
menghunus katana
demi Hachiman
Hachiman itu
di kayangan bertakhta
pentaksub buta

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon