Friday, August 24, 2018

Yakjuj Makjuj Membawa Kerosakan Besar


Persoalan membabitkan Yakjuj dan Makjuj menjadi misteri yang paling hangat diperdebatkan pengkaji, termasuk ilmuwan Islam sejak ribuan tahun berikutan ia menyimpan rahsia terbesar mengenai pengakhiran hidup manusia di dunia ini.

Yakjuj dan Makjuj

Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah wujud ribuan tahun lalu dan terus hidup pada waktu ini serta akan muncul semula untuk memusnahkan manusia ketika dunia terlalu hampir dengan kiamat.

Cerita berkenaan bukanlah dongeng lantaran peristiwa itu dicatatkan dalam hadis dan nas al-Quran yang diimani seluruh umat Islam, antaranya menerusi ayat ke-96 dan 97, surah al-Anbiya, Allah berfirman bermaksud, "Hingga apabila dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. Dan sudah dekatlah kedatangan janji yang benar (kiamat) maka tiba-tiba terbeliaklah mata orang kafir. (Mereka berkata): "Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian tentang ini, bahkan kami adalah orang yang zalim."

Zulkarnian bina dinding

Asal kewujudan Yakjuj dan Makjuj pula tertera dalam ayat ke-92 hingga 98 daripada surah al-Kahfi yang bermaksud, "Kemudian dia (Zulkarnain) menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai di antara dua buah gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan.

"Mereka berkata, `Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?'.

"Zulkarnain berkata, 'Apa yang dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan besi."

"Hingga apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain, Tiuplah (api itu). Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: "Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atas besi panas itu.

"Maka mereka tidak boleh mendakinya dan mereka tidak boleh (pula) melubangkannya. Zulkarnain berkata, 'Ini (dinding) adalah rahmat daripada Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku (kiamat), Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Tuhanku itu adalah benar."

Keyakinan terhadap adanya Yakjuj dan Makjuj tidak sahaja dipercayai seluruh umat Islam tetapi turut dipercayai penganut agama lain. Justeru, kewujudan Yakjuj dan Makjuj terus dikaji penyelidik yang bingung memikirkan pelbagai misteri yang menyelubunginya - apakah ia sebenarnya? Di manakah ia berada ketika ini serta benarkah ia memiliki kemampuan luar biasa yang dapat memusnahkan manusia.

Bagi merungkai segala misteri itu, penyelidik menggunakan pelbagai petunjuk antaranya menerusi al-Quran, jelas dinyatakan Yakjuj dan Makjuj pernah hidup di suatu lokasi yang menjadi laluan Zulkarnain dan mereka `dikurung' di sebalik tembok besi di wilayah berkenaan.

Cari lokasi tembok

Lokasi Yakjuj dan Makjuj

Kawasan yang dikatakan menjadi lokasi Yakjuj dan Makjuj dikepung oleh Iskandar Zulkarnian mengikut kajian para ilmuan.

Justeru, penyelidik berusaha mencari lokasi berkenaan dengan harapan menggunung untuk melihat sendiri apa atau siapakah Yakjuj dan Makjuj itu.

Akan tetapi, walaupun banyak kajian dan ekspedisi dijalankan, tiada satu pun lokasi yang benar-benar disepakati sebagai lokasi tembok penghadang Yakjuj dan Makjuj.

Beberapa lokasi yang berkemungkinan menjadi wilayah Yakjuj dan Makjuj, antaranya terletak dari Samarkand dan India; sekitar Pergunungan Kaukasus dan di Turki.

Berikutan lokasi tembok besi binaan Zulkarnain gagal ditemui secara pasti, maka identiti sebenar Yakjuj dan Makjuj tidak dapat disahkan dan hanya dibayangi pelbagai teori dan spekulasi.

Terbaharu, terdapat pandangan mengatakan Yakjuj dan Makjuj sebenarnya bukan berupa makhluk, sebaliknya ia adalah lava gunung berapi.

Keturunan Nabi Nuh

Pandangan yang disebarkan menerusi internet itu dikemukakan berdasarkan logik akal dan pandangan geosains terhadap sifat Yakjuj dan Makjuj yang antara lain terletak antara dua gunung, merosakkan bumi, bersifat gelombang yang menyala, boleh disekat menggunakan tembok dan akan turun dari tempat yang tinggi.

Bagaimanapun, majoriti ulama silam dan pengkaji Islam termasuk Yusuf Abdullah Yusuf Al-Wabil, meyakini bahawa Yakjuj dan Makjuj ialah manusia berdasarkan penerangan mengenainya yang tertera dalam banyak hadis termasuk hadis sahih.

Dalam kitabnya Tanda-tanda Kiamat, Yusuf menjelaskan Yakjuj dan Makjuj berasal daripada keturunan Nabi Nuh as menerusi anak baginda iaitu Yafitz. Antara ciri bangsa Yakjuj dan Makjuj ialah bermata sepet, hidung kecil, berambut perang, dahi lebar dan tidak fasih berbicara.

Kekuatan luar biasa

Selain itu, terdapat juga pandangan bahawa Yakjuj dan Makjuj terus hidup dan berkembang biak hingga kini sebagai bangsa tertentu. Ilmuwan Islam, Sayyid Quthub misalnya berpandangan Yakjuj dan Makjuj mungkin bangsa Tartar dan Mongol.

Kronologi kemunculan Yakjuj dan Makjuj pada akhir zaman bermula selepas kematian Dajal yang dibunuh Nabi Isa as.

Selepas tembok binaan Zulkarnain hancur, Yakjuj dan Makjuj muncul dan mendatangkan kerosakan yang teramat di muka bumi.

Kekuatan mereka dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada sesiapa yang mampu menewaskan makhluk itu.

Nabi Isa as memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di kawasan pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj.

Selepas itu baginda berdoa kepada Allah SWT dan Allah membinasakan mereka dengan mengutuskan ulat yang menyerang bahagian belakang badan mereka sehingga mati.

Selepas bangsa Yakjuj dan Makjuj mati dan menjadi busuk, Allah mengutuskan seekor burung besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat itu dari bumi.

Yakjuj Makjuj meluru turun dari tempat tinggi

Peristiwa turunnya Nabi Isa ke atas muka bumi pada akhir zaman adalah iktibar utama yang perlu diimani umat Islam.

Mengimbas lembaran kisah pada minggu lalu, tatkala Nabi Isa membunuh Dajal dan kematian 70,000 orang Yahudi disebabkan mereka tercium bau Nabi Isa itu.

Pada minggu ini, satu lagi perbincangan yang dikupas dalam rancangan Ibrah oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman mengenai kisah Yakjuj dan Makjuj. Kebenaran ini dapat difahami melalui firman Allah yang bermaksud, "Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat kelak). (Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi." (Surah Anbiyaa', ayat 95-96)

Permohonan Nabi Isa

Sebelum berlakunya kedatangan Yakjuj dan Makjuj itu, Allah memerintahkan Nabi Isa untuk ke satu lokasi gunung dan Allah akan memakbulkan doa Baginda di sana.

Kemudian, pergilah Nabi Isa memohon agar Allah memberikan keamanan dan menjawab persendaan orang Yahudi itu yang menyatakan bahawa mereka itu telah menyalib Nabi Isa.

Maka, apabila Dajal terbunuh, maka Nabi Isa pun pergi bertemu dengan orang beriman serta Baginda pun mematahkan salib. Kemudian, pada waktu itulah, orang Yahudi pun beriman kepada Nabi Isa.

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa sewaktu Rasulullah SAW tidur di rumah Zainab, Baginda bangun daripada tidur, Baginda dalam keadaan merah mukanya dan mengucapkan, 'tiada Tuhan selain Allah' dan diulangi sebanyak tiga kali kemudian Baginda bersabda, 'Celakalah bagi kaum Arab daripada bala yang sangat hampir; pada hari ini sudah terbuka empangan Yakjuj dan Makjuj seperti ini.'

Nabi Muhammad SAW pun menunjukkan sepuluh jarinya. Zainab berkata, "Wahai Rasulullah, adakah kita tetap akan binasa meskipun di sisi kita masih ada orang salih?" Jawab Rasulullah: 'Ya, bahkan sekiranya terlalu banyak kemaksiatan berlaku.'

Kemudian Baginda menunjukkan tanda bulatan dengan mengenakan hujung ibu jari dengan hujung jari telunjuk sambil berkata, "Hari ini sebuah lubang sudah dibuat tembok."

Tembok yang dimaksudkan adalah tembok yang dibina oleh Zulqarnain. Maknanya ketika itu, pelepasan Yakjuj dan Makjuj sedang berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Al-Quran menegaskan dalam Surah al-Kahfi bahawa mereka itu dilepaskan sedikit demi sedikit seperti gelombang.

Dalam hadis sahih Muslim, Rasulullah SAW menceritakan bahawa gerombolan pertama yang keluar, akan melalui Tasik Tabariyah di Palestin.

Mereka akan meminum airnya. Apabila gerombolan yang terakhir melaluinya mereka akan berkata, "Dahulu pernah terdapat air di sini."

Pelepasan Yakjuj Makjuj ambil masa panjang

Oleh sebab perkara itu mengambil masa yang lama untuk menghabiskan semua air di dalam tasik itu, ini bermakna pelepasan Yakjuj dan Makjuj akan mengambil satu jangka masa yang amat panjang. Mereka tidak dilepaskan serentak dalam satu waktu.

Permohonan Nabi Isa untuk diselamatkan daripada Yakjuj dan Makjuj itu dikabulkan oleh Allah SWT.

Biarpun kita tidak mengetahui apakah telah datang atau tidak Yakjuj dan Makjuj itu, tetapi keimanan terhadap perkara ini sebagaimana dirakamkan Allah dalam al-Quran menjadi pedoman dalam memahami peristiwa sebelum kewafatan Nabi Isa.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian | bharian2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon