Thursday, August 23, 2018

Misteri 26 Objek Pelik Di Langit Malaysia


Laporan akhbar 11 Oktober 1992 mencetuskan kegemparan yang amat luar biasa kepada ramai penduduk di Malaysia malah, sebaik membaca laporan berita berkenaan, ramai penduduk terutama yang beragama Islam diselubungi rasa gerun dan takut seolah-olah kiamat semakin hampir untuk memusnahkan dunia ini.

Misteri 26 Objek Pelik Di Langit Malaysia

Peristiwa dilaporkan itu ternyata pelik dan penuh misteri. Rentetan kisah dilaporkan akhbar itu berlaku lewat malam 26 Julai tahun itu apabila kira-kira 200 pelajar sekolah agama di Klang, Selangor, mendakwa melihat 26 bentuk objek aneh di langit!

Objek aneh itu dikatakan muncul secara tiba-tiba di langit malam apabila kumpulan pelajar terbabit dalam perjalanan pulang ke asrama selepas menghadiri kelas mengulang kaji pelajaran.

Bentuk misteri itu dikatakan muncul berturutan hampir empat jam bermula 11.30 malam sehingga membuatkan kumpulan pelajar itu kebingungan dan ketakutan untuk berhari lamanya.

Antara objek yang muncul adalah kalimah Allah, manusia berkepala anjing, batu nisan, janin, manusia, mayat dibungkus, sebiji mata merah (seperti orang marah), lidah panjang serta lidah dipotong dan disambung semula.

Bentuk lain ialah rambut perempuan berlari yang ditarik, sayap burung berkibar, perempuan berwajah babi, kala jengking, dua orang bergaduh kemudian bersalaman serta lelaki berserban sujud ke arah Kaabah manakala yang lain membelakangi Kaabah dan sujud ke arah belakang Kaabah.

Turut ditayang peta Malaysia terbalik dengan Singapura terletak sebelah atas, botol arak, salib bertukar menjadi kubah, ayam, seekor ikan, peta negara Arab, mayat berkafan, burung, orang berdoa dan tangan ingin mencapai sesuatu tetapi gagal dan di tapak tangannya ada tanda bulat.

Fenomena luar biasa itu kemudian dilaporkan akhbar tempatan sehingga menyebabkan ramai masyarakat Islam di negara ini gempar dan kegerunan.

Ramai menyangka bahawa kemunculan lakaran aneh itu adalah petanda kiamat sudah teramat hampir dan akan berlaku tidak lama lagi.

Maka ramai penduduk mula insaf dan bertaubat sehinggakan surau yang dahulunya kosong mula dipenuhi jemaah dan wanita yang membuka aurat mula memakai tudung.

Kalangan ahli agama berpendapat kejadian objek di langit itu tidak mustahil berlaku dengan kekuasaan Allah SWT.

Malah Allah SWT sudah menurunkan peringatan kepada umat Islam sejak dulu lagi seperti bala pada zaman Nabi, malah banyak perkara ghaib yang tidak dapat dijelaskan logik akal, boleh berlaku.

Objek di langit itu juga dikatakan amaran Tuhan supaya umat Islam kembali mengamalkan ajaran agama yang sebelum ini semakin diabaikan kebanyakan penduduk negara ini.

Selain itu, terdapat juga pihak yang skeptikal dengan kejadian itu dan mengandaikan bahawa ia mungkin propaganda ciptaan manusia.

Mereka berpandangan bahawa semua objek di langit itu tidak mustahil dihasil menggunakan kemajuan sains dan teknologi sedia ada.

Berikutan peristiwa aneh itu menggemparkan ramai penduduk Islam di negara ini, maka pihak berkuasa mula tampil melakukan siasatan menyeluruh bagi mencari satu kesimpulan terhadap kejadian berkenaan.

Maka Bahagian Penyelidikan Pusat Islam dan polis mula memanggil dan menyoal siasat guru sekolah agama yang mendakwa melihat 26 objek di langit berkenaan.

Ketika siasatan terhadap kesahihan isu objek di langit itu masih dijalankan, pihak berkuasa turut mengenal pasti kumpulan tertentu yang mengambil kesempatan daripada peristiwa itu untuk kepentingan mereka sendiri.

Antaranya sebuah kumpulan tarekat mendakwa satu daripada 26 objek yang muncul di langit itu ialah gambaran wajah pemimpin mereka yang akan muncul tidak lama lagi tetapi wajah itu tidak dilukis dengan betul dalam akhbar yang menyiarkan gambaran objek itu.

Anggota kumpulan itu juga dikatakan membuat salinan lukisan objek itu dan menyebarkan kepada umat Islam di beberapa kawasan di Selangor.

Selain itu, ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang mereka cerita kononnya bandar Klang akan dilanda banjir besar.

Justeru, mereka menjalankan kegiatan memungut derma secara tidak sah kononnya untuk membina kapal besar bagi membolehkan penduduk menyelamatkan diri ketika bencana itu muncul.

Selama beberapa minggu, penduduk Islam di Malaysia terus diasak kebingungan dan ketakutan dengan peristiwa aneh membabitkan kemunculan objek di langit itu.

Misteri 26 Objek Pelik Di Langit Malaysia

Bagaimanapun, teka-teki dan misteri itu akhirnya terjawab pada 1 November tahun itu apabila akhbar Berita Minggu menyiarkan satu laporan berita bertajuk `Objek di langit hanya khayalan.'

Laporan berita itu antara lain menyebut Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesahkan objek di langit itu hanyalah khayalan kumpulan pelajar sekolah agama terbabit hasil pendewaan mereka terhadap guru yang dipercayai menyebar ajaran sesat.

Siasatan JPM menunjukkan bahawa pemikiran pelajar itu dipengaruhi menerusi pendekatan pendewaan supaya apa saja yang diperkatakan guru itu dianggap benar.

Pihak berkuasa itu juga mengesahkan guru itu terbabit dengan sebuah kumpulan agama yang mengutip derma untuk membina kapal sebagai persediaan menghadapi kiamat.

Walaupun kisah objek di langit itu sudah lama berlalu dalam lipatan sejarah negara, tinjauan di laman sesawang mendapati masih ada pihak tertentu yang yakin bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku atas kekuasaan Allah SWT dan bukannya satu pembohongan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon