Monday, August 27, 2018

Menyingkap Misteri Dan Rahsia Bigfoot


Penduduk Orang Asli di Johor kononnya mengetahui satu rahsia besar yang tersembunyi di sebalik rimbunan hutan Khatulistiwa di negara ini sejak berpuluh tahun lalu.

Menyingkap Misteri Dan Rahsia Bigfoot

Selama tempoh berkenaan, rahsia itu sekadar disimpan dan dijadikan cerita bualan dalam puak mereka tanpa diketahui ramai masyarakat moden di bandar.

Sehinggalah sekitar awal tahun 2006, kisah rahsia itu mula dilaporkan akhbar tempatan dan dengan pantas mencetuskan fenomena menggemparkan, bukan sahaja di Malaysia, malah hingga ke peringkat antarabangsa.

Mengikut cerita penduduk Orang Asli terbabit, dalam belantara luas di negara ini terutama sekitar Johor, wujud sejenis hidupan misteri yang mereka gelar sebagai `Orang Mawas' atau `Hantu Jarang Gigi'.

Spesies hidupan misteri itu hidup secara tersembunyi dalam hutan yang jauh dari penempatan manusia tetapi segelintir penduduk Orang Asli mendakwa pernah terserempak dengan makhluk terbabit.

Antaranya pada November 2005, pemuda Orang Asli dari Kampung Punjut mendakwa melihat makhluk seakan-akan manusia tetapi setinggi hampir empat meter dan badan dipenuhi bulu perang ketika mencari katak di Sungai Cemerlang di hutan Johor.

Selain itu, seorang kanak-kanak Orang Asli yang hilang selama enam hari di Hutan Simpan Lenggor pada Disember 2005 juga mendakwa terserempak makhluk berbulu hitam yang tinggi ketika berada dalam belantara berkenaan.

Lalu rahsia kewujudan Orang Mawas atau Hantu Jarang Gigi dilaporkan akhbar sehingga menggemparkan ramai penduduk tempatan dan luar negara.

Berdasarkan gambaran penduduk Orang Asli terbabit, penyelidik tempatan dan luar negara yakin Orang Mawas atau Hantu Jarang Gigi sebenarnya sejenis spesies hidupan misteri yang masyhur di seluruh dunia iaitu Bigfoot.

Misteri Bigfoot sebenarnya sudah menjangkau lebih 200 tahun dan menjadi antara teka-teki terbesar dalam sejarah dunia lantaran masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.

Kewujudan makhluk misteri itu mula dilaporkan pada tahun 1811 apabila seorang juruukur menemui jejak kaki besar di Jasper, Kanada.

Gelaran Bigfoot (kaki besar) kemudian digunakan meluas oleh media selepas satu lagi penemuan dilaporkan di Bluff Creek, California, Amerika Syarikat pada tahun 1959.

Kesan tapak kaki besar itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ramai pihak yang bingung memikirkan spesies hidupan apakah yang memiliki telapak kaki aneh seperti itu.

Misteri berkenaan kemudian semakin menggemparkan apabila beberapa pihak tampil mendakwa terserempak dengan spesies hidupan yang meninggalkan tapak kaki besar itu.

Lebih menghairankan ialah mereka mendakwa makhluk misteri berkenaan adalah sejenis spesies hidupan yang tidak pernah dijumpai di mana-mana pelosok dunia sebelum ini.

Makhluk itu kemudian digelar Bigfoot dan digambarkan memiliki fizikal seperti manusia tetapi setinggi antara dua meter hingga empat meter, bertubuh tegap dengan bulu perang atau hitam panjang meliputi seluruh tubuh.

Hidup berkumpulan Bigfoot juga digambarkan bermata merah, memiliki gigi besar dan makan pucuk kayu muda, anai-anai, ikan serta labi-labi.

Makhluk misteri itu juga didakwa hidup dalam kumpulan dan sering berpindah kawasan untuk bersembunyi daripada dilihat manusia.

Sejak tahun 1959, semakin ramai individu tampil mendakwa terserempak dengan Bigfoot, malah ada yang mendakwa berjaya merakamkan gambar makhluk terbabit.

Foto Bigfoot paling terkenal dirakam pada tahun 1967 di California Utara, Amerika Syarikat tetapi kesahihan gambar berkenaan masih diperdebatkan.

Lebih menarik, kelibat makhluk misteri itu tidak saja didakwa dilihat di Kanada atau Amerika Syarikat tetapi di pelbagai negara yang berlainan benua.

Selain dikenali sebagai Bigfoot, ia juga dikenali sebagai Sasquatch di Amerika Utara manakala di Amazon, Amerika Selatan, gelarannya adalah Mapinguari. Di Asia, terutama kawasan Himalaya, makhluk itu digelar Yeti dan di Australia ia dipanggil Yowie.

Pelbagai pendapat dikemukakan berhubung kewujudan makhluk misteri terbabit, antaranya teori Bigfoot-Giganto, menyatakan makhluk itu mungkin sejenis monyet gergasi prasejarah yang hidup pada Zaman Pertengahan Pleistocene.

Monyet gergasi itu dipercayai hidup di Asia, termasuk China dan Asia Tenggara selain Amerika Utara sejak zaman purba. Bagaimanapun, akibat faktor tertentu, spesies purba itu pupus daripada muka bumi sekitar 200,000 hingga 500,000 tahun dulu.

Akan tetapi, ada segelintir kumpulan monyet gergasi itu terselamat daripada pupus dan menyembunyikan diri daripada pengetahuan dunia sehingga kini. Kumpulan monyet itu kini dikenali sebagai Bigfoot.

Bagaimanapun, selama ratusan tahun, masih tiada jasad sebenar Bigfoot yang berjaya ditangkap untuk dipertontonkan kepada umum sekali gus menimbulkan persoalan sama ada makhluk itu memang benar wujud atau sekadar momokan.

Justeru, apabila tersebarnya berita Bigfoot turut dilihat di hutan Semenanjung, ramai pihak, termasuk pengkaji antarabangsa menjejakkan kaki di belantara negara ini untuk memburu makhluk berkenaan.

Malah, sepasukan saintis dan pakar tempatan juga ditubuhkan Kerajaan Johor pada Januari 2006 bagi menjalankan ekspedisi mengesan makhluk itu. Sepasukan penyelidik di peringkat antarabangsa turut `turun padang' bagi memburu Bigfoot di Malaysia.

Bagaimanapun, seperti juga buruan di kebanyakan kawasan lain di seluruh dunia, misteri kewujudan Bigfoot di hutan Semenanjung masih kekal misteri sehingga kini lantaran masih tiada jasad makhluk aneh itu ditemui.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon