Wednesday, August 01, 2018

Kisah 8 Warga Emas Merompak Bilik Kebal Terbesar Dalam Sejarah British


Apa yang anda nampak pada warga emas yang berusia 60 hingga 70 tahun? Mereka kelihatan lemah, tak bermaya dan lesu namun, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Berlaku di London, United Kingdom, sekumpulan 8 orang warga emas telah melakukan satu rompakan barang kemas terbesar dalam sejarah British.

Rompakan Bilik Kebal

Insiden ini dikenali sebagai "The Hatton Garden Safe Deposit Box Robbery" berlaku pada April 2015 ketika hujung minggu Easter.

Mereka telah memasuki premis berkenaan yang dikatakan lokasi yang paling ketat dikawal di seluruh England, dan telah berjaya merompak barang kemas dan wang tunai.

Dengar macam kelakar, namun perompak-perompak warga emas ini telah mengosongkan 73 peti simpanan, sebelum melarikan diri.

Ia dikatakan satu rompakan yang mempunyai kelas tersendiri dengan dari segi matlamat yang tinggi, perancangan yang sangat teliti, tahap persediaan dan cara melaksanakannya serta jumlah rompakan yang luar biasa.

Kami ingin berkongsi fakta-fakta menarik mengenai rompakan ini.

1. Dilakukan oleh warga emas

Apa yang membuatkan rompakan ini sangat pelik, popular dan ramai orang ternganga adalah kerana umur si pelaku-pelaku ini yang berusia seperti seorang datuk.

Perompak-perompak tersebut adalah:
  • Hugh Doyle - 49 tahun
  • Carl Wood - 59 tahun
  • William Lincoln - 60 tahun
  • Daniel Jones - 61 tahun
  • Terry Perkins - 67 tahun
  • John Collins - 75 tahun
  • Brian Reader - 76 tahun
  • Basil - masih belum ditemui

Sebagai yang paling tua, Brian Reader merupakan dalang dan ketua kepada rompakan ini, yang ketika itu sudah bersara.

Perompak-hatton-gardern

Mereka yang mengenali perompak-perompak ini menggambarkan sebagai baik, mudah mesra dan tak berbahaya, serta langsung tidak menyangka akan melakukan rompakan ini. Faktor usia memainkan peranan penting dalam rompakan ini.

2. Jumlah keseluruhan rompakan

Jika ia merupakan rompakan barang kemas terbesar dalam sejarah British, pastilah jumlahnya sangat besar. Terdapat beberapa laporan mengenai jumlah rompakan.

Ada yang mengatakan RM228 juta dalam bentuk barang kemas, dan ada yang mengatakan RM40 juta. Bukan sahaja barang kemas, malah wang tunai juga lesap.

Sebanyak 73 peti dikosongkan mereka dalam bentuk barang berharga, permata, dan wang tunai, dengan jumlah keseluruhan 1.14 billion, menurut sumber lain.

Rompakan ini dikatakan sangat "cool", namun ia telah memberi kesan yang sangat dahsyat, kepada pihak bank dan pendeposit.

Bukan sahaja barang kemas dan wang tunai lesap, barang-barang berharga lain yang tidak dapat diganti semula juga dirompak.

Sehingga kini hanya 1/3 daripada hasil rompakan ditemui yang mana kebanyakannya adalah barangan yang murah.

Hatton Garden Safe Deposit telah dibubarkan dan ditutup buat selama-lamanya berikutan kejadian ini.

3. Artifak sejarah juga dirompak

Kebanyakan berlian dan permata adalah daripada mereka yang berdagang permata. Namun, bagi sesetengah pendeposit, ia lebih daripada itu.

Salah seorang mangsa adalah pengedar berlian Yahudi, yang keluarganya berjaya melepaskan diri Nazi Jerman.

Berlian-berlian dijahit di dalam pakaian bagi memastikan ia selamat, dan disimpan di Hatton Garden namun, berlian-berlian dirompak dan tak lagi dijumpai.

Sebuah keluarga India kehilangan barang kemas untuk perkahwinan anak perempuan mereka, dan bimbang akan masa depa anak mereka tanpa barang kemas tersebut.

Jadi insiden ini bukan sahaja memberi kesan kepada bank, tetapi kepada ramai orang yang terlibat termasuklah pekerja-pekerja yang kehilangan tempat mencari nafkah.

3. Menyamar sebagai tukang selenggara

Menurut polis, ia bukan kerja orang dalam. Selain itu, tiada tanda pecah masuk, dan pintu belakang juga tidak dibuka secara paksa, jadi bagaimana warga-warga emas ni masuk?

Disebabkan tiada orang akan mengesyaki pekerja selenggara tua, atau tukang cuci yang tua, ia memudahkan kerja mereka.

Mereka kelihatan tidak berbahaya dan melihatkan pada usia, pastilah mereka tak mampu untuk melakukan rompakan. Jadi kesempatan ini digunakan mereka sebaik-baiknya.

Mereka memasuki bangunan ini sebagai pekerja perbandaran dengan memakai ves kuning, topi dan topeng putih bagi mengelakkan identiti terbongkar.

Salah seorang daripada mereka, Basil, kekal berada dalam bank tersebut sehingga semua staf pulang dan memberikan jalan masuk kepada yang lain melalui pintu kecemasan.

4. Menuruni lubang kecil melalui lif

Tak ada yang mudah dalam dunia ini, termasuk rompakan. Walaupun sudah berjaya memasuki premis, masih banyak yang perlu dilakukan.

Setelah berada dalam premis, mereka menaiki lif dan berhenti di tingkat dua. Lif tersebut kemudiannya digodam dan dibawa turun ke bawah tanah, di mana terletaknya bilik kebal.

Pintu keluli yang memisahkan lif dan bilik kebal dikopak dan penggera kecemasan dipadamkan dengan memotong wayar telefon.

Walaupun penggera tersebut memberikan amaran kepada syarikat terlibat, namun rompakan itu tak sempat dihalang. Sebanyak 3 lubang ditebuk yang mampu dilepasi oleh mereka.

Mereka kemudiannya merangkak memasuki lubang yang ditebuk bersaiz 25 x 45 sentimeter.

Perompak yang melepasi lubang itu kemudiannya memecahkan peti besi dan memberikan barangan tersebut kepada mereka yang di luar bilik kebal.

5. Gerudi rosak dan perlu kembali semula

Gerudi rosak

Menurut ketua perompak, Brian Reader, yang berpengalaman dalam rompakan ketika muda, jika anda ingin merompak berlian, anda perlukan gerudi berlian. Jadi beliau mencari gerudi apa yang boleh dibeli online dan menjumpai gerudi Hilti DD350.

Pada cubaan pertama, mereka melakukan gerakan seperti di atas dan menggerudi 3 lubang pada dinding bilik kebal yang setiap satunya mengambil masa 30 minit.

Namun, mereka tersilap langkah apabila lubang yang digerudi terhalang oleh sebuah kabinet keluli, menyebabkan lubang itu terhalang.

Mereka ingin menebuk lubang kedua, namun gerudi tersebut mengalami kerosakan, menyebabkan mereka terpaksa datang semula keesokan harinya dengan gerudi baru.

6. Sorok hasil rompakan dalam tong sampah

Ketika mula-mula sampai di premis itu, kumpulan ini keluar dari sebuah van putih, beg plastik, alatan dan tong sampah. Barang-barang ini kemudiannya ditinggalkan di pintu kecemasan, tempat mereka masuk kemudiannya.

Kamera Litar Tertutup (CCTV) menujukkan mereka kemudian keluar semula dari premis dan memasukkan semula barang-barang tersebut ke dalam van, dan tong sampah tersebut kelihatan lebih berat dari sebelumnya.

Disebabkan mereka berpakaian seperti pekerja selenggara, tak ada siapa yang menyesyaki apa-apa.

7. Tak dapat dikesan selama sebulan

Walaupun akhirnya datuk-datuk ini berjaya diberkas, namun mereka sempat menikmati hidup sebagai jutawan selama lebih daripada sebulan.

Pihak berkuasa terus melakukan siasatan selepas kejadian itu berlaku, dan tak mengambil masa yang lama untuk mendapat mengetahui identiti mereka.

Namun disebabkan perancangan yang rapi, agak sukar untuk pihak polis menemukan penjenayah ini.

Polis terpaksa menjejaki kereta, memeriksa gambar-gambar dan memasang kamera serta mikrofon untuk merakam perbualan bagi memerangkap warga emas ini.

8. Perancangan yang sangat lama

Jenayah ini bukannya biasa-biasa dan memerlukan perancangan yang rapi dan menguji kesabaran. Ia mengambil masa 3 tahun.

Orang pertama yang mencadangkan idea ini adalah Daniel Jones. Ia bermula sebagai angan-angan, namun beliau asyik teringatkan idea tersebut. Disebabkan beberapa yang lain berminat, tinjaun mula dilakukan.

Mereka melakukan tinjaun mengenai waktu bekerja Hatton Garden, bagaimana pekerja bergerak dan salah seorang daripada mereka pernah berpura-pura untuk menyewa peti besi di premis tersebut. Ia memberikan mereka gambaran bagaimana susur galur bilik kebal itu. Setelah bersedia, David Jones mula mencari dan membeli peralatan melalui atas talian.

9. Salah seorang daripada mereka menaiki bas warga emas ke tempat kejadian

Ketika yang lain sedang sibuk untuk menyewa kereta untuk ke tempat rompakan, Brian Reader, ahli paling tua, hanya tenang mencari laluan bas yang perlu dinaikinya. Disebabkan usianya yang cukup tua, beliau menerima pas bas warga emas percuma.

Pada 2 April 2015, malam pertama cubaan merompak, ahli lain bergerak dalam beberapa kumpulan.

Namun Brian bergerak seorang diri, dengan menunggu di perhentian bas No.96 di Kent, berdekatan dengan rumahnya.

Beliau kemudiannya menaiki bas, meleretkan kad warga emas, dan mengharungi perjalanan selama 80 minit ke Hatton Garden.

Banyak kebaikan menjadi orang tua. Salah satunya adalah kemudahan pengangkutan awam percuma.

Sebagai yang paling tua dalam kumpulan, Reader hanya menggunakan bas sebagai medium bergerak ke lokasi rompakan dan menggunakan sepenuhnya kemudahan percuma yang sedia ada.

10. Rujuk buku bagi menyempurnakan rompakan

Forensics For Dummies

Walaupun mereka profesional, namun ia tidak membuatkan mereka tidak perlukan bantuan bagi melakukan jenayah besar ini.

Selepas mereka ditangkap, pihak polis melakukan serbuan ke rumah-rumah ahli ini dalam misi mencari hasil rompakan.

Apa yang mereka jumpa dalam serbuan itu agak mengejutkan, dan lucu. Sebuah buku "Forensics For Dummies" dijumpai, dipercayai digunakan untuk mengkaji teknik penyiasatan pihak polis, dan cara untuk elak diri daripada ditangkap. Memang bijiak.

11. Melakukan perancangan di pub

Jika anda menonton filem rompakan, biasanya perancangannya dilakukan di tempat-tempat rahsia dan tersembunyi, apatah lagi perancangan rompakan terbesar dalam sejarah British.

Namun, bagi kumpulan datuk ini, mereka lebih selamba dan relaks dengan berbincang di pub, atau di kedai mamak jika di Malaysia.

Pub "The Castle" di Islington menjadi lokasi pilihan perbincangan sebelum melakukan rompakan. Dan selepas berjaya merompak, mereka kembali ke pub itu untuk berbincang bagaimana untuk membahagikan hasil rompakan dan apakah yang akan mereka lakukan dengan hasil tersebut. Pub ini kini masih dibuka dan para pekerja dilarang untuk bercakap mengenai rompakan itu.

Namun, ia menjadi lokasi hangat oleh pengunjung, bagi mereka yang kagum dan ingin melihat tempat yang menjadi lokasi perancangan rompakan itu.

12. Rekod jenayah masa lalu

Kebanyakan daripada ahli kumpulan ini adalah penjenayah profesional yang pernah meringkuk dalam penjara akibat kes rompakan.

Brian Reader pernah dipenjarakan selama 8 tahun setelah didapati bersalah merompak jongkong emas bernilai RM147 juta di Lapangan Terbang Heathrow pada tahun 1983.

Terry Perkins juga adalah satu nama yang terkenal kerana terlibat dalam rompakan Security Express dan RM34 juta wang tunai lesap, pada tahun yang sama.

Terry dipenjarakan selama 22 tahun disebabkan kesalahan itu dan apabila keluar, beliau seolah-olah bersedia untuk melakukan jenayah yang lebih besar.

Manakala John Collins dan Danny Jones juga mempunyai banyak sabitan jenayah dan mempunyai rekod jenayah yang sangat kuat.

13. Menyimpan hasil rompakan

Selepas berjaya merompak, cabaran seterusnya adalah mencari di mana untuk menyimpan hasil rompakan yang bernilai jutaan ringgit.

Ada di antara mereka yang menyimpan hasil rompakan di rumah, dan ironinya, ada yang menyimpannya di peti besi.

Namun, salah seorang daripada mereka lebih bijak. Danny Jones telah mengambil bahagian rompakannya dan menanam kesemuanya di kubur ahli keluarganya. Ia kekal di situ sehingga polis mengorek dan menemukannya.

14. Kesilapan yang membawa kepada penahanan

Merompak bilik kebal

Pada cubaan pertama merompak, mereka menggunakan kereta dan van yang disewa, manakala Brian menaiki bas.

Mereka sangat teliti dalam menyembunyikan identiti termasuklah menggunakan walkie-talkie dan mengelak wajah daripada dirakam CCTV.

Namun ketika cubaan kedua, mereka melakukan satu kesalahan yang paling asas, iaitu salah memilih kereta untuk melarikan diri.

Mereka menggunakan kereta yang didaftarkan atas nama Kenny Collins. Kereta tersebut digunakan banyak kali melalui Hatton Garden ketika mereka melakukan tinjauan dan perancangan.

Lebih buruk, kereta itu dipandu ke tempat kejadian pada malam rompakan kedua. Jelas kelihatan no plat kereta dan pihak penyiasat berasakan ia adalah klu terbaik bagi mereka dan sebulan kemudian, perompak-perompak ini diberkas.

15. Seorang ahli masih bebas

Walaupun kumpulan ini berjaya ditumpaskan, namun masih terdapat seorang suspek yang masih dikehendaki polis.

Disebabkan ahli kumpulan yang lain setiap dan tak buka mulit, beliau dikenali sebagai Basil masih bebas di dunia luar. Dia mempunyai rambut kemerahan yang cerah, tinggi dan kelihatan lebih muda daripada yang lain.

Sebanyak £20,000 (RM114,000) ditawarkan kepada mereka yang boleh memberi maklumat mengenai Basil.

Ada teori mengatakan beliau kini di Rusia dan sedang diburu mafia oleh kerana kumpulan mafia itu juga menyimpan barangan di Hatton Garden.

Ada juga mengatakan beliau di Panama, dan juga di London, walaupun ada yang memberi petunjuk mengenai Basil, namun beliau masih bebas sehingga kini.

16. Disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman

3 daripada mereka iaitu Kenny Collins, Daniel Jones dan Terry Perkins didapati bersalah atas konspirasi melakukan rompakan dan dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun.

Carl Wood dan William Lincoln pula didapati bersalah atas konspirasi menyembunyikan, menukarkan atau memindahkan harta jenayah dan dijatuhkan hukuman 6 dan 7 tahun penjara.

Hugh Doyle yang didakwa atas kesalahan yang sama walaubagaimanapun dihukum 21 bulan penjara.

Ketua kumpulan ini, Brian Reader dijatuhkan hukuman 6 tahun penjara, dan ahli ke-8, Jon Harbinson didapati tidak bersalah.

17. Kisah ini difilemkan

The Hatton Garden Job film

Disebabkan kisah ini tersangat popular, ia telah dilakonkan semula dalam sebuah filem "The Hatton Garden Job" yang ditayangkan pada April 2017.

Walau bagaimanapun, ia mendapat ulasan dan maklum balas yang teruk, membuatkan ramai berfikiran masih ada peluang untuk menghasilkan filem ini kali kedua dengan lebih menarik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon