Monday, July 02, 2018

Syed Saddiq Menteri Paling Muda Malaysia Memadam Rekod Najib


Syed Saddiq Abdul Rahman, 25, mencatatkan rekod baharu dalam legasi kepemimpinan muda dan menempa sejarah negara apabila dilantik menyandang jawatan menteri penuh termuda di Malaysia, sekali gus mencerminkan gagasan Malaysia Baharu diterajui Pakatan Harapan (PH).

Syed Saddiq Menteri Paling Muda Malaysia Memadam Rekod Najib
Syed Saddiq.

Pentas urus tadbir kerajaan sebelum ini menyaksikan rekod pemimpin paling muda dalam Kabinet disandang Najib Razak ketika dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978, ketika beliau berusia 25 tahun sebelum memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan ketika berumur 33 tahun.

Mengulas pelantikan itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, penampilan beberapa pemimpin muda dalam barisan Kabinet membuktikan corak pentadbiran kerajaan secara menyeluruh, selain sentiasa mengutamakan merit dalam idea dan sumbangan tanpa mengira umur serta latar belakang.

Dilantik menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, komitmen dicerminkan kerajaan adalah bukti usaha untuk mengangkat suara anak muda akan terus dihargai.

"Saya baru saja selesai mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai anggota Jemaah Menteri dan bakal menggalas tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi penggal ini.

"Saya memanjatkan rasa penuh syukur dan takzim ke hadrat Ilahi atas pelantikan ini, sesungguhnya ia adalah amanah yang amat berat untuk saya pikul, namun ia berupaya digalas serta percaya kejayaan akan diraih bersama-sama seluruh anggota Kementerian Belia dan Sukan sebagai satu pasukan," katanya dalam kenyataan.

Tuntas menggariskan tumpuan dalam menerajui kementerian, Syed Saddiq berkata, pelbagai dasar dan rancangan untuk belia akan diangkat, selain dijadikan hala tuju Malaysia bagi memastikan golongan muda menjadi peneraju utama agenda pembangunan negara.

Katanya, kerajaan sentiasa menaruh kepercayaan bahawa nasib dan masa depan belia harus ditentukan oleh mereka sendiri, sekali gus menyaksikan ruang serta peluang secukupnya disediakan dalam membuktikan kemampuan golongan berkenaan sebagai penggerak hala tuju negara.

"Kerajaan juga berazam untuk memperjuangkan sukan tempatan secara lebih menyeluruh dan adil, malah Malaysia akan terus menempa kejayaan dalam pelbagai bidang seperti aspek pengurusan, kemudahan dan hal ehwal atlet yang menjulang kejayaan di arena tempatan dan antarabangsa.

"Nasib golongan atlet akan terus dibela dan dijaga," katanya.

Syed Saddiq mahu bukti kemampuan kepada pengkritik

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut bertekad membuktikan kemampuannya terhadap mereka yang ragu-ragu dengan pelantikannya mengemudi Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam, pemuda berusia 25 tahun itu berkata keraguan sama turut muncul sebelum ini ketika beliau dilantik sebagai ketua pemuda BERSATU, satu-satunya wakil pemuda dalam Majlis Presiden HARAPAN, serta calon kerusi Parlimen Muar bagi berdepan bekas menteri Razali Ibrahim pada PRU 2014 yang lalu.

"Saya fikir respons terbaik kepada mereka yang ragu-ragu adalah dengan membuktikan saya mampu berkhidmat untuk mereka, mampu membangkitkan suara anak muda dan tiada anak muda yang tertinggal," katanya yang menyertai barisan anggota parlimen HARAPAN dalam majlis angkat sumpah di Istana Negara.

"Saya berbesar hati, pada masa sama pelantikan ini meletakkan tanggungjawab besar di bahu saya," katanya ketika ditanya berhubung reaksi awalnya berhubung pengumuman ditunggu-tunggu itu, yang mengakhiri pelbagai spekulasi berhubung barisan kabinet HARAPAN.

Beliau berkata pelantikan itu bukan saja menandakan pengiktirafan kerajaan HARAPAN terhadap kepampuan pemimpin muda, tetapi boleh meningkatkan keyakinan golongan muda untuk memainkan peranan pemimpin dalam kapasiti masing-masing.

"Kepada anak muda di luar sana, akan ada yang mengatakan anda terlalu muda, kurang pengalaman dan tidak matang untuk menyertai proses membina negara.

"Tetapi jangan bimbang, selagi anda bersemangat dan bermotivasi, selagi kita anak muda kekal bersatu dan cintakan negara, impian saja boleh menjadikan perkara mustahil menjadi nyata," katanya lagi.

Beliau menyatakan penghargaan, antara lain, terhadap aktivis Adam Adli Abdul Halim yang menurutnya menjadi inspirasi untuknya bersuara dalam pelbagai isu.

"Jika kerajaan sekarang boleh mengiktiraf nilai seorang yang berusia 25 tahun, saya yakin mereka akan turut mengiktiraf suara anak muda di pelbagai peringkat usia, kaum dan agama."

Berbeza dengan bekas menteri sebelum ini Khairy Jamaluddin yang dikenali terlibat aktif dalam sukan, Syed Saddiq lebih dikenali dengan pencapaiannya sebagai pendebat ketika belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ditanya sama ada beliau melihat dirinya mampu mengambil alih peranan Khairy dalam mempromosikan gaya hidup sihat, Syed Saddiq hanya tersenyum dan berkata, "Tunggu dan lihat, dan sertai saya."

"Saya tidak masuk ke Maktab Tentera Diraja tanpa sebarang sebab," katanya lagi.

Mengupaya anak muda

Syed Saddiq Menteri Paling Muda Malaysia Memadam Rekod Najib
Biodata Syed Saddiq.

Berhubung perancangan segeranya sebagai menteri, Syed Saddiq berkata beliau ada senarai idea yang akan dilaksanakan tetapi tidak mendedahkannya kerana mahu berunding dengan pegawai kanan kementerian itu yang lebih berpengalaman.

Berikrar untuk melaksanakan dasar tiada tolak ansur terhadap korupsi, beliau bagaimanapun menjamin tidak akan segera melakukan "pemburuan" bagi membangkitkan kesalahan yang dibuat pentadbiran terdahulu.

"Saya ingin jelaskan - saya tidak mahu kemasukan saya hanya dilihat sebagai usaha memburu (witch hunt) kesilapan kerajaan dulu. Saya tak mahu hanya fokus kepada kesilapan lalu, itu bukan cara yang baik untuk bermula.

"Akan ada pembersihan tetapi ia tak akan tertumpu kepada 'pemburuan' (kesilapan lalu)," katanya.

Beliau mahu kejayaan kementeriannya diukur dengan kebolehan mengupayakan golongan muda untuk menyertai proses pembinaan negara.

Selain berjumpa pegawai kanan kementerian, beliau berkata rancangan segeranya adalah untuk mengadakan lawatan rasmi ke Sabah dan Sarawak bagi menilai kemudahan sukan sedia ada dan menentukan sama ada ia memerlukan penambahbaikan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini | bharian

1 comment

  1. Sekalung tahniah buat Yb Syed Saddiq.. semoga belia Malaysia bertambah maju dan berwibawa!

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon