Friday, July 13, 2018

Memahami Penyimpangan Gerakan Ahmadiyyah (Qadiani)


Ahmadiyah merupakan sebuah gerakan Islam yang bermula di Punjab, India semasa negara itu masih lagi salah satu daripada koloni British, dimulakan oleh seorang individu Muslim bernama Mirza Ghulam Ahmad, nama gerakan Ahmadiya yang diambil sempena nama timangan Rasulullah SAW yang kerap kali digelar 'Ahmad.'

Memahami Penyimpangan Gerakan Ahmadiyyah (Qadiani)

Pengikutnya digelar dengan nama gelaran 'Ahmadi' memegang kepercayaan yang boleh dikatakan berlandaskan amalan Islam namun menyimpang jauh dalam beberapa bahagian.

Persoalannya, adakah Ahmadiya itu perlu diambil sebagai satu cabang atau mazhab lain dalam Islam atau sebenarnya satu agama lain, yang tidak boleh disamakan dengan Islam?

Mirza Ghulam Ahmad

Mirza Ghulam Ahmad adalah individu pengasas gerakan Ahmadiya yang disanjung pengikut ajaran beliau.

Beliau dikatakan seorang ulama yang terkenal pada zamannya, mempunyai ilmu yang cukup mendalam berkat lahir dalam sebuah keluarga yang dikenali alim perwatakan mereka.

Mirza dilahirkan pada 13 Februari 1835 di Qadian, Punjab. Sejak kecil beliau sudah belajar bahasa Arab serta diajarkan ayat-ayat Quran dan bahasa Parsi sehinggalah meningkat remaja.

Zaman mudanya dipenuhi dengan perdebatan bersama pendakwah-pendakwah Kristian yang dibawa masuk ke India oleh British, dalam menentukan kebenaran agama masing-masing.

Sejak kematian ayahnya ketika beliau berumur 40 tahun, Mirza mendakwa Tuhan mula berkomunikasi dengan beliau memberikan petunjuk.

Ketika berumur 51 tahun pada tahun 1886, Mirza dicabar oleh seorang pemimpin gerakan reformasi Arya Samaj yang beragama Hindu dalam menentukan kebenaran tentang agama yang dipegangnya, iaitu Islam.

Bagi mendapatkan petunjuk, Mirza mengurung dirinya berseorangan bagi berdoa kepada Allah SWT dan hanya ditemani tiga orang pengikutnya yang mengawasi keselamatan beliau selama 40 hari.

Memulakan bay'ah bersama pengikutnya

Memahami Penyimpangan Gerakan Ahmadiyyah (Qadiani)

Selepas melalui pengalaman bersendirian selama 40 hari, Mirza berkata Tuhan sudah memberikan petunjuk hala tuju yang perlu diambilnya.

Kini mengakui dirinya sebagai seorang Nabi yang meneruskan usaha Rasulullah SAW, serta dilantik sebagai Imam Mahdi dalam karyanya yang berjudu Barahin-e-Ahmadiya.

Beliau juga mendakwa sudah mengetahui kisah sebenar tentang apa yang berlaku kepada Nabi Isa as (Jesus) selepas digantung apabila mengumumkan yang Nabi Isa sebenarnya berjaya diselamatkan, berpindah ke Kashmir bagi menyelamatkan diri dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Konsep Imam Mahdi yang dibawakan beliau juga berbeza kerana katanya Imam Mahdi yang sebenar yakni dirinya, adalah seorang yang akan menegakkan Islam menggunakan minda dan pemikiran - bukannya menerusi konsep peperangan atau penaklukan dunia yang dipegang masyarakat Islam lain.

Berikutan pengakuan Mirza yang dia dilantik sebagai 'individu yang akan mereformasikan ajaran Islam' di seluruh dunia, upacara mengangkat sumpah kesetiaan atau bay'ah pertama diadakan pada tahun 1888, dengan kumpulan pertama pengikut beliau melafazkan ikrar sumpah setia di Ludhiana, Punjab.

Bay'ah di kalangan pengikut Ahmadiyya terdiri daripada lafaz kalimah syahadah, lafaz ikrar bertaubat serta janji untuk mengikut 10 arahan yang diwujudkan oleh Mirza Ghulam Ahmad, sebagai panduan untuk pengikutnya.

10 arahan yang disebutkan adalah;
  1. Larangan menyekutukan Tuhan.
  2. Larangan melakukan dosa.
  3. Kewajipan menunaikan solat.
  4.  Larangan menyakiti makhluk Allah dengan lisan atau fizikal.
  5. Percaya dengan Tuhan dalam apa jua keadaan.
  6. Larangan mengikut sebarang budaya atau amalan bukan berlandaskan Islam.
  7. Larangan untuk berbangga diri.
  8. Kewajiban meletakkan Islam sebagai perkara paling penting dalam hidup berbanding kesemua perkara lain termasuklah nyawa, harta benda, maruah, anak-anak dan keluarga.
  9. Wajib mengabdikan diri kepada Tuhan semata-mata.
  10. Larangan mengkhianati persaudaraan yang termateri bersama saudara lain yang memegang lafaz ikrar ini.

Ekoran daripada langkah berani ini, ajaran Ahmadiyyah yang diketuai Mirza ini mendapat tentangan ulama-ulama di India.

Walaupun begitu, Mirza serta pengikutnya mendapat perlindungan kerajaan British ketika itu menyebabkan ia terus wujud sehingga ke hari ini.

Atas tindakan itu, wujud dakwaan Mirza sebenarnya adalah ejen British yang diletakkan bagi melemahkan pengaruh Islam di India namun tuduhan itu dinafikan beliau serta pengikutnya yang setia.

Hujah yang kerap mereka gunakan - Mirza pernah menjemput Permaisuri Victoria, pemerintah Britain semasa zamannya memeluk Islam dan Mirza adalah individu yang bertanggungjawab melemahkan gerakan penyebaran Kristian di kawasan mereka.

Apakah status sebenar Ahmadiyya?

Memahami Penyimpangan Gerakan Ahmadiyyah (Qadiani)

Ahmadiyya di negara kita lebih terkenal dengan gelaran ajaran Qadiyani, yang merujuk kepada kawasan kelahiran Mirza Ghulam Ahmad iaitu Qadian, difatwakan sesat pada 24 September 1998, kerana menyalahi ajaran Islam yang sebenarnya dengan majoriti ulama Islam serata dunia menganggap pengikut ajaran ini sebahagian daripada orang kafir.

Semua pengikut Qadiani diwartakan sebagai murtad dan serentak dengan pengeluaran fatwa itu, beberapa bahan bacaan yang berpaksikan ajaran ini diharamkan daripada jualan atau pemilikan individu-individu di negara kita.

Antara penerbitan yang diharamkan adalah 'Invitation to Ahmadiyah' hasil karya Hazrat Hj. Mirza Bashir, Khalifah kedua ajaran Ahmadiyya, 'Alam Sebagai Saksi' karangan Mohamad Zaid bin Hasan serta 'Penawar Racun Fitnah Terhadap Ahamadiyyah' tulisan Pengurusan Besar Jemaah Ahmadiyyah.

Walaupun difatwakan sebagai kafir, ada juga pendapat mengatakan ajaran Ahmadiyyah sepatutnya diterima sebagai sebahagian daripada ajaran Islam, berikutan kewajipan mereka yang masih selari dengan tuntutan Islam.

Tidak ada bezanya cara mereka bersolat lima kali sehari, puasa pada bulan Ramadhan dan urusan haji di tanah suci masih lagi mengamalkan kaedah yang sama.

Secara asasnya, pengikut ajaran ini tetap wajib melakukan kesemua rukun Islam seta mempercayai rukun Iman dengan sempurna.

Selain itu, Al-Quran tetap menjadi kitab suci bagi seluruh pengikut Ahmadiyyah walaupun mereka mempunyai sebuah lagi kitab yang dinamakan 'Tadhkirah.'

Bagi pengikut Ahmadiyyah, kitab tersebut bukanlah kitab suci tetapi perlu dianggap hanya sebagai sebuah buku hasil tulisan Mirza Ghulam Ahmad yang mengandungi apa yang ingin disampaikan sahaja.

Qadiani bukan agama Islam

Memahami Penyimpangan Gerakan Ahmadiyyah (Qadiani)

Menurut keputusan mahkamah yang diumumkan pada 6 Julai 2018, jelaslah dan bertepatan sekali ajaran Ahmadiyyah atau Qadiani di negara tidak seharusnya dipandang sebagai sebahagian ajaran Islam, walaupun pengikut-pengikut ajaran ini percaya yang mereka adalah orang Islam.

Berdasarkan fatwa yang telah digazetkan serta pandangan pihak mahkamah tinggi dalam menentukan status sebenar ajaran ini di negara kita, tidak perlu lagi kita menganggap pengikut ajaran Qadiani ini sebagai seorang Muslim namun seharusnya dilihat sebagai golongan murtad yang telah pun jatuh kafir atas terpesongnya akidah mereka.

Keputusan yang dibuat walaupun mampu menimbulkan kontroversi serta pertanyaan, harus diterima dengan hati terbuka sama seperti bagaimana umat Islam di Malaysia dapat menerima ajaran Kristian, Hindu, Buddha dan pelbagai lagi, seperti itu jugalah kita harus melihat kedudukan ajaran Qadiani di Malaysia.

Memang amat sukar menerima keputusan ini tetapi apa lagi boleh dilakukan.

Apa yang jelas, mempercayai Mirza Ghulam Ahmad adalah Nabi yang menerima wahyu, Imam Mahadi sebenar, penjelmaan semula Isa al-Masih dan mempunyai mukjizat sendiri membuktikan Qadiani adalah satu lagi agama baru yang langsung tiada kaitan dengan Islam, walaupun namanya cuba dikaitkan dengan Rasulullah SAW.

Ini kerana sudah terang dan nyata, ajaran ini mengamalkan kepercayaan yang bercanggah dengan Islam serta perintah-perintah Allah SWT.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon