Thursday, May 10, 2018

Pihak Yang 'Hutangnya Wajib' Di Balas Budi Oleh PAKATAN HARAPAN

Hari ini matahari bangkit seperti biasa, namun dinikmati dengan cara sangat luar biasa. Ada orang yang kekurangan tidur, malah ada yang mungkin tidak tidur langsung pun. Pagi ini dia punya cerahnya akan terasa lain macam.

Pihak Yang 'Hutangnya Wajib' Di Balas Budi Oleh PAKATAN HARAPAN

Mungkin ada yang tidak terkejut, tetapi secara nisbahnya lebih ramai akan terpempan dengan apa yang boleh dilakukan oleh kira-kira 14 juta rakyat Malaysia.

Rupa-rupanya dengan gerakan serentak dan sekata, ada sesuatu yang nampak mustahil boleh dilakukan. Dan apa yang berlaku itu menjadi lebih berseni kerana ia terjadi seakan api di dalam sekam.

Apakah yang sudah berlaku di Malaysia?

Banyak, namun semuanya boleh disimpulkan kepada muafakat yang terjalin ketika banyak pihak cuba menggagalkannya. Ikatan yang terbina tidak benar-benar kukuh, tetapi dijaga sebaiknya.

Selebihnya Pakatan Harapan wajar berterima kasih kepada pihak-pihak yang membantu mereka secara tidak langsung.

Siapakah mereka?

1. Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS)

Agensi ini banyak menyumbang kepada kelangsungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Sebagai sebuah parti yang masih bertatih, ROS mengasuh BERSATU dengan baik.

ROS tidak memanjakan BERSATU sebaliknya bertegas. Dengan rejim latihan yang spontan BERSATU cepat menjadi dewasa dan matang.

Untuk seketika BERSATU mungkin kelihatan seperti ayam kehilangan ibu. Namun dengan sikap budiman ditunjukkan ROS, BERSATU cepat belajar. Daripada bertatih, tiba-tiba pertubuhan itu pantas dan lihai gerakan silatnya.

Selebihnya adalah kebimbangan yang mungkin bersarang di hati ketua pengarahnya.

2. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Badan ini ditubuhkan dengan niat yang sangat baik. Ia adalah pengasuh kepada demokrasi yang baru lahir selepas negara merdeka.

Kemudian ia mengalami proses evolusi yang menyedihkan. Kewibawaannya mula diragui. Dalam keadaan itu pun SPR tetap angkuh mempertahankan apa yang dirasakannya betul.

Bukan salah mempertahankan pendirian. Ia menjadi salah apabila SPR tidak pernah berasa dia salah. Tidak ada yang tidak benar kecuali benar segala-galanya buat SPR.

Lalu dia melakar sempadan pilihan raya baru. Hentam dan kejilah macam mana pun, SPR akan kata dia tidak melakukan kesalahan walaupun kebanyakan kawasan parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) itu adalah lelucuan.

Kalau anda mengundi PRU14, ingatlah - bukan mudah untuk melihat jari anda bertanda dengan dakwat hitam itu.

Ia adalah usaha yang jerih dan panjang sebelum akhirnya SPR bersetuju menerima cadangan orang.

Kemudian ketika orang berasa rimas daripada segenap sudut, ia pun berbincang untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU).

Daripada tujuh hari yang diciptakan Tuhan, SPR memilih Rabu yang berada di tengah-tengah minggu.

Dan apabila pengundian berlangsung, orang yang marah semakin marah apabila dipaksa berbaris panjang-panjang.

Anda mungkin bertuah jika di pusat pengundian itu tidak dilonggokkan dengan ribuan pengundi.

Tapi di sesetengah pusat mengundi orang 'dipaksa' berbaris berjam-jam. Dan hati masing-masing yang sedia geram, menjadi lebih dendam. Kemarahan itu kemudian dimaknakan dengan dua garis yang bersilang membentuk tanda 'X'.

3. Pasukan keselamatan

Kawalan keselamatan sangat baik. Tidak ada sebarang kejadian buruk berlaku seperti yang pernah kita ketahui sebelum ini.

Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera menjadi sangat waras dan tidak menunjukkan sebarang aksi yang boleh disalah tafsir oleh masyarakat umum.

Kenyataan mereka bahawa pengundian boleh berlangsung secara bebas memang tidak mampu memadamkan kecurigaan ramai, tetapi memadailah untuk permulaan.

4. PAS

Parti ini tidak boleh diketepikan daripada senarai terima kasih HARAPAN. Ketika PAS berada di arus perdana politik Malaysia, pemimpinnya memilih untuk menapak ke belakang.

Keadaan itu memungkinkan munculnya kesedaran bahawa PAS bukanlah Islam dan sebaliknya Islam bukanlah PAS. Islam ialah Islam dan PAS ialah PAS.

Lebih daripada itu percaturan PAS meletakkan calon-calon mereka di kerusi yang sepatutnya boleh dimenangi HARAPAN juga mudah dibaca oleh orang biasa.

Tidak ada keperluan untuk rakyat diajar mana-mana profesor atau pemegang ijazah doktor falsafah bagi memahamkan mereka bahawa susunan calon PAS kali ini sangat ketara mahu memecahkan undi HARAPAN.

Dengan perasaan geram itu jugalah pengundi mengajar PAS yang selama ini mungkin belajar daripada mimpi dan kata-kata bidalan seorang dua pemimpin serta penasihat mereka.

Ketika muncul bahaya amalan takfiri, sebahagian rakyat memilih untuk bersikap lebih tenang dan teduh.

Bukanlah tidak ada langsung penyokong fahaman keras itu ada, cuma ia menanti untuk dikuarantin daripada orang ramai.

Mudah-mudahan sakit itu akan sembuh, atau sekurang-kurangnya kebah. Bagaimana? Sudah tentu bukan melalui ilham daripada mimpi.

Perlu ada keterbukaan sikap di kalangan anggotanya. Rawatlah sakit yang ada selagi mampu.

Adakah ia mungkin? Ya, kerana sebahagian daripada anggota PAS itulah yang memenangkan HARAPAN semalam.

5. Pemikir Umno/BN

Ada ramai cerdekiawan yang perlu diingati oleh rakyat. Mereka berjasa benar menanamkan kesedaran di kalangan masyarakat.

Badan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Jabatan Komunikasi Strategik BN, Biro Tatanegara (BTN) dan menteri tertentu berperanan dengan baik sepanjang masa sehinggalah ke detik 9 Mei.

Mereka memahamkan rakyat bahawa wang cukai yang dipungut daripada orang ramai sebenarnya bukan saja boleh dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur atau kebajikan, malah dapat digunakan sebagai gaji kepada petugas kerajaan yang menyerang pembangkang.

Lebih daripada itu ada kemungkinan juga cukai daripada rakyat itu digunakan bagi mengapi-apikan perasaan perkauman secara sesat dan menyesatkan.

Ia berjaya membentuk kepercayaan bahawa ada satu bangsa lebih mulia daripada bangsa lain hanya kerana faktor "bangsa" itu.

Malah, ada sesetengah orang yang berserban dan berjubah turut menyambar umpan yang dilontarkan mereka.

6. Media dan media sosial

Sesuatu PRU adalah pertembungan strategi. Pihak yang lebih cerdiklah yang selalu menang. Kuat saja belum memadai untuk menjadi juara.

Lalu media dan media sosial adalah wadah yang tersedia untuk digunakan. Bagaimana ia dimanfaatkan - terserah kepada pemikir yang ada di sebalik sesebuah parti.

Langkah yang cerdik ialah menggunakannya mengikut kesesuaian semasa. Zaman sekarang komunikasi bukan lagi sehala, sebaliknya bersifat interaktif.

Komunikasi sehala yang akan kekal relevan cuma ketika seseorang khatib bercakap menyampaikan khutbah di atas mimbar.

Selebihnya adalah komunikasi pancahala, waima ketika seseorang menyampaikan kuliah agama.

Hegemoni ke atas rakyat melalui media dan media sosial adalah tidak berkesan lagi - sekurang-kurangnya ketika ini. Media konvensional semakin bergelut untuk kekal diterima masyarakat.

Ketika penolakan semakin kuat, media konvensional tekal dengan cara dan pendekatan yang menjadi bahan ketawa.

Lalu orang ramai menjauh, sekali gus menyebabkan maklumat daripada kerajaan BN hanya berlegar di kalangan orang yang tidak lagi perlu didakyahkan.

Atau kelompok yang boleh diabaikan oleh HARAPAN.

7. Pegawai-pegawai kanan kerajaan

Mereka jangan dilupakan. Sebagai kakitangan kerajaan, kadang-kadang pegawai kanan kerajaan juga menunjukkan sikap yang sangat cemerlang.

Menempelak seseorang yang mengeluh kerana kesempitan hidup, misalnya. Atau bersungguh-sungguh menggembirakan menteri yang bercokol di Putrajaya sana.

Sesekali mereka melayan rakyat seperti anak-anak kecil yang baru belajar mewarna di tadika.

Daripada satu segi beban HARAPAN untuk menjelaskan sesuatu isu kepada rakyat diringankan oleh pegawai-pegawai kanan yang dimaksudkan itu.

Ia semakin mudah dengan adanya media baru yang digunakan secara meluas oleh masyarakat.

Ada beberapa lagi pihak yang perlu dibalas budinya oleh HARAPAN.

Ia adalah tugas yang berat namun keutamaan yang perlu diberikan oleh kerajaan baru nanti ialah melaksanakan janji-janji yang diikrarkan mereka.

Ingat, masa sentiasa berjalan dan tempoh empat atau lima tahun adalah singkat.

Ketika bau dakwat di jari masih segar ini, orang ramai menunggu harapan yang dijaja itu untuk dilaksanakan.

Melayu sekarang bukan lagi semuanya Melayu zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri kali pertama dulu. Melayu sekarang tidak mudah lupa.

Lakukan pengislahan menyeluruh dalam kerajaan. Demokrasi dibaja dan disuburkan. Jangan menyeksa rakyat lagi. Biarlah kita bangun setiap pagi dengan jiwa yang tenang dan hati yang lapang.

Terima kasih Malaysia.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

2 comments

8.SAYA, sayalah yang mengundi pakatan Harapan, sebelum mengundi saya solat zuhur berjemaah dahulu, dan berdoa pakatan harapan menang. Alhamdudillah, syukur pada Allah S.W.T dan selawat pada Rasulullah yang tercinta. Doa hambamu dimakbulkan.PH ingat tu, kembalikan pada yang, kami bersamamu.

Alhamdulillah. Tapi belum ada keputusan siapa perdana menteri kerana menurut najib pakatan harapan TIDAK SAH!

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon