Jumaat, Mei 11, 2018

Menutup Aib Orang Lain Dengan Cara Rasulullah SAW


Pada zaman yang serba canggih ini, menyebar aib manusia lain sudah menjadi begitu mudah dan pantas ke serata dunia angkara kemajuan dunia internet.

Menutup Aib Orang Lain Dengan Cara Rasulullah SAW

Namun, menutup keburukan orang lain sebenarnya satu perbuatan mulia yang sangat dituntut dalam agama walaupun sukar bagi kita untuk tidak menyebar perbuatan orang lain yang boleh memalukannya.

Tapi, bagaimana cara Rasulullah SAW menutup aib para sahabatnya agar mereka tidak malu? Kami kongsikan buat pembaca sekalian.

Kisah 1

Dikisahkan, bahawa suatu hari para sahabat sedang berkumpul di masjid. Lalu terciumlah bau kentut diantara mereka, sehingga membuatkan para sahabat tidak tahan dengan bau tersebut.

Salah seorang dari mereka berdiri dan berkata, “Barangsiapa yang kentut, sila bangun!!"

Suasana jadi hening, tak seorang pun berdiri.

Ketika datang waktu Isya', mereka berkata, “Orang yang kentut pasti akan berwudhu' selepas ini."

Selepas itu, para sahabat saling menoleh untuk melihat siapa yang keluar. Masih seperti tadi, tiada seorang pun yang berganjak dari tempat duduknya kerana malu.

Lalu Bilal bangun untuk mengumandangkan azan.

Kemudian Nabi Muhammad SAW berkata, “Tunggu dulu, aku belum batal, tapi aku hendak berwudhu' lagi."

Lalu para sahabat pun ikut berwudhu' dan tidak diketahui siapa yang kentut waktu itu.

Kisah 2

Usai solat Asar di Masjid Quba, seorang sahabat mengundang Nabi SAW beserta jamaah untuk menikmati hidangan daging unta di rumahnya. Ketika sedang makan, tercium aroma tidak enak.

Rupa-rupanya di antara yang hadir ada yang buang angin. Para sahabat saling menoleh. Wajah Nabi sedikit berubah tanda tidak senang.

Maka, tatkala waktu solat Maghrib hampir masuk, sebelum bersurai, Rasulullah SAW berkata, "Barangsiapa yang makan daging unta, hendaklah ia berwudhu'!"

Mendengar perintah Nabi tersebut, maka seluruh jamaah mengambil air wudhu dan terhindarlah aib orang yang membuang angin tadi.

Sungguh, dalam diri Nabi Muhammad SAW terdapat teladan yang baik bagi kita semua.

Kisah 3

Kisah tentang menjaga perasaan saudara seiman juga terjadi pada seorang ulama, iaitu Syeikh Abdurrahman Hatim bin Alwan.

Beliau merupakan salah seorang ulama besar di Khurasan pada zamannya dan dikenali dengan nama Hatim Al A’sham, yang ertinya "Hatim Si Tuli".

Suatu ketika, ada seorang wanita yang datang menemui beliau namun, tanpa sengaja, wanita itu kentut dengan bunyi yang cukup kuat. Wanita itu salah tingkah, menahan malu.

Namun, Syeikh Hatim berpura-pura tuli dan meminta wanita mengulangi pertanyaannya.

Dengan sikap Syeikh tersebut, wanita itu pun merasa sedikit lega. Ia menyangka Syeikh Hatim benar-benar tuli. Lalu mereka berbicara dengan saling meninggikan suara.

Wanita itu hidup selama 15 tahun selepas kejadian tersebut. Selama itu jugalah Syeikh Hatim pura-pura tuli.

Dan sehingga wanita itu meninggal dunia, dia tidak pernah tahu kepura-puraan Syeikh Hatim.

Kesimpulan

Mudah-mudahan ketiga-tiga kisah di atas menceritakan bagaimana seharusnya seorang Muslim menjaga kehormatan saudaranya. Bukan mentertawakan atau menyebarkan aibnya.

Abu Hurairah berkata, Nabi SAW bersabda, “Siapa yang menutup (aib) seorang muslim, Allah akan tutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba-Nya mahu menolong saudaranya.”

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: sarkub

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon