Monday, April 02, 2018

4 Bola Rasmi Piala Dunia FIFA Paling Kontroversi


Setiap kali tiba kejohanan berprestij Piala Dunia FIFA, bola rasmi yang akan digunakan pasti mencuri perhatian dan ada bola mendapat kritikan terutamanya oleh penjaga gol.

Bermula pada edisi 1970 di Mexico, Adidas merupakan pembuat bola rasmi bermula dengan bola hitam putih 32 panel heksagon dan pentagon yang diperbuat daripada kulit.

Sejak itu, bola-bola rasmi bagi edisi seterusnya melalui pelbagai revolusi teknologi yang mengubah teknik pembuatan bola sepak dan permainan itu sendiri.

Pada edisi Piala Dunia 2014 di Brazil, tidak ramai pemain yang mengadu mengenai bola rasmi yang digunakan pada ketika itu, iaitu Brazuca.

Isu penggunaan Brazuca hanya dibangkitkan di peringkat liga termasuk Bundesliga Jerman dan MLS Amerika Syarikat.

Berikut adalah 4 bola yang mencetuskan kontroversi sebelum Piala Dunia bermula.

1. Fevernova

4 Bola Rasmi Piala Dunia FIFA Paling Kontroversi

Isu bola rasmi yang digunakan pada Piala Dunia bermula apabila pembuat rasmi bola bagi kejohanan itu Adidas, memperkenalkan Fevernova pada Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun.

Pada ketika itu, David Beckham yang merupakan duta bagi jenama Adidas menyifatkan bola tersebut adalah yang terbaik pernah dibuat selepas terlibat secara langsung dalam menguji bola tersebut.

Bagaimanapun, penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon tidak menyukai bola tersebut dengan menyamakannya dengan bola yang digunakan kanak-kanak kerana ia lebih ringan daripada bola yang digunakan dalam edisi sebelum ini.

2. Teamgeist

4 Bola Rasmi Piala Dunia FIFA Paling Kontroversi

Pada tahun 2006, Adidas memperkenalkan Teamgeist untuk Piala Dunia di Jerman yang hanya menggunakan 14 panel berbanding 32 panel yang digunakan sebelum ini.

Seperti Fevernova, kebanyakan penjaga gol menyifatkan pergerakan Teamgeist amat sukar dibaca dan memberi kelebihan kepada penyerang untuk menjaringkan gol dari jarak jauh.

3. Jabulani

4 Bola Rasmi Piala Dunia FIFA Paling Kontroversi

Namun, bola yang paling tidak digemari penjaga gol dalam Piala Dunia adalah Jabulani, yang digunakan pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Daripada 14 panel, Adidas berjaya mencipta Jabulani dengan hanya menggunakan lapan panel, menjadikannya lebih sukar untuk dibaca apabila bola tersebut dirembat dari jarak jauh.

Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) turut mengambil bahagian dalam menguji bola tersebut dan mendapati bahawa Jabulani memulakan teknik rembatan ‘knuckle ball’ yang lebih pantas.

Teknik tendangan yang menyaksikan bola mengubah arah semasa berada di udara dengan lebih pantas itu boleh berlaku kerana permukaan Jabulani lebih rata berbanding bola sebelum ini, apabila tidak menggunakan sebarang jahitan untuk mencantum bola tersebut.

4. Telstar

4 Bola Rasmi Piala Dunia FIFA Paling Kontroversi

Bagi edisi Piala Dunia Rusia 2018, Adidas kembali kepada rekaan tradisi dengan nama dan rekaan grafik yang diinspirasikan daripada negara tuan rumah itu sendiri.

Bola rasmi Piala Dunia FIFA Rusia 2018, Telstar 18, mempunyai asas berwarna putih, hitam dan kelabu, interpretasi moden daripada rekaan asal Telstar yang digunakan pada edisi 1970 dan 1974.

Setiap logo dan nama Telstar 18 berwarna emas, sepertimana Telstar yang asal pada 1970.

Buat pertama kalinya, bola rasmi yang bakal digunakan di Rusia bakal memperkenalkan bentuk panel terbaharu.

Masih dibentuk dengan enam panel seperti bola rasmi edisi sebelumnya iaitu Brazuca yang digunakan di Brazil, ia disatukan dengan teknologi tanpa jahitan selain menampilkan tekstur permukaan 3D untuk kawalan lebih baik.

Selain itu, Telstar 18 juga menjadi bola rasmi pertama yang mengandungi teknologi cip NFC, menjadikannya bola Piala Dunia paling inovatif setakat ini.

Dengan bola ini, pengguna boleh berinteraksi dengan aplikasi yang disediakan Adidas menggunakan telefon pintar, dengan menyentuh peranti itu pada bahagian cip bola tersebut.

Pengguna akan dibawa terus ke laman kandungan eksklusif dan mendapatkan akses kepada cabaran yang boleh disertai pengguna dengan menggunakan bola itu.

Bagaimanapun ia tidak seperti bola Adidas miCoach yang membolehkan pengguna mengetahui maklumat permainan mereka seperti kekuatan, kelajuan, lencongan dan trajektori bola yang disepak.

Bola Telstar 18 dipamerkan untuk pertama kalinya oleh Lionel Messi dan beberapa pemenang Piala Dunia termasuk Zinedine Zidane, Kaka, Alessandro Del Piero, Xabi Alonso, dan Lukas Podolski di Moscow pada 10 November 2017.

Sukar ditangkap

“Ia sangat pelik. Ia sepatutnya dibuat dengan lebih baik,” rungut David De Gea selepas Jerman menyamakan kedudukan pada minit ke-35, mengikat Sepanyol dengan Jerman untuk seri 1-1 dalam aksi persahabatan Sepanyol vs Jerman sebelum perlawanan FIFA 2018.

David De Gea mengatakan pergerakan bola rasmi yang bakal digunakan di Rusia dalam edisi terbaharu temasya itu bakal memberi mimpi ngeri kepada penjaga gawang.

Kenyataan itu turut disokong rakan sepasukan di posisi sama, Pepe Reina di mana katanya bola baharu itu sukar dibaca terutamanya daripada sepakan jarak jauh.

“Ia diselaputi lapisan filem plastik yang membuatkannya sukar untuk dipegang dengan kemas.

“Saya beri jaminan bahawa kita bakal menyaksikan sekurang-kurangnya 35 gol dari jarak jauh di Rusia nanti, kerana ia memang sukar dikendalikan,” jelas pemain jersi No.1 Napoli itu.

Namun, bagi penjaga gol Barcelona dan Jerman, Marc-Andre ter Stegen melihat ia sebagai satu cabaran yang perlu diatasi sebelum bermulanya Piala Dunia Jun 2018.

“Bola itu mungkin akan menjadi lebih baik, kerana ia bergerak dengan mudah.

“Kita tidak ada pilihan lain,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: aa1 | aa2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon