Friday, March 30, 2018

Tamak Itu Lebih Berbahaya Daripada Dua Ekor Serigala Yang Kelaparan


Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ka'ab ibnu Malik al-Ansari r.a. beliau berkata, "Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tidaklah dua ekor serigala yang lapar dikirimkan pada seekor kambing itu lebih berbahaya daripada tamaknya seseorang pada harta dan kedudukan dalam membahayakan agamanya." (Hadis bertaraf hasan sahih)

Tamak Itu Lebih Berbahaya Daripada Dua Ekor Serigala Yang Kelaparan

Harta dunia adalah ujian untuk menguji keimanan. Harta juga adalah fitnah terbesar kepada manusia.

Berkaitan dengan hadis ini juga, Ibnu Rajab rahimahullah berkata, "Ini adalah contoh agung yang diumpamakan oleh Nabi SAW bagi kerosakan agama seorang Muslim akibat kerakusannya terhadap harta dan kedudukan dunia.

Kerakusan manusia terhadap harta dan kedudukan lebih teruk daripada rakusnya dua ekor serigala membaham seekor kambing.

Bayangkanlah betapa buruknya perangai manusia sehingga berperangai lebih buruk daripada binatang yang tidak berakal.

Firman Allah dalam surah al-Taghabun ayat 15 yang bermaksud, "Sesungguhnya harta dan anak-anak kamu hanyalah fitnah (cubaan) dan di sisi Allah-lah pahala yang besar."

Fitnah Harta dan Wanita

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri daripada NNabi SAW, "Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau. Dan sesungguhnya Allah SWT menyerahkannya kepada kamu untuk kamu menguruskannya kemudian Allah ingin melihat bagaimana sikap kamu terhadapnya. Maka berhati-hatilah daripada fitnah dunia dan wanita. Sesungguhnya fitnah pertama yang menimpa Bani Israel adalah wanita."

Allah juga telah memberi amaran kepada manusia seluruhnya, khususnya orang-orang beriman agar tidak terlena dengan kesenangan dunia, agar segala nikmat dan kesenangan dunia yang diberikan Allah tidak melalaikan seseorang daripada beribadah kepada-Nya.

Allah berfirman dalam surah Fatir ayat 5 yang bermaksud, "Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah sekali-kali syaitan itu memperdayakan kamu tentang Allah."

Dengan demikian, maka tamak merupakan sifat cinta dunia yang mendatangkan banyak kerosakan.

Dan kerosakan yang terbesar adalah kerosakan yang menimpa pegangan agama seseorang disebabkan dunia lebih dicintai daripada segalanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 17 Pintu Syaitan Untuk Memasuki Tubuh Manusia

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon