Wednesday, January 31, 2018

Panduan Cara Solat Sunat Gerhana Bulan


Kejadian gerhana bulan mengajak kita untuk menambahkan lagi keimanan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah SWT sebagai pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya.

Solat Sunat Gerhana Bulan

Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah SWT.

Ia mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri antaranya bagi tujuan membolehkan manusia untuk bekerja pada siang hari dengan mudah dan pada malam hari pula dapat berehat dan bermunajat kepada Allah dengan tenang.

Pergerakan matahari dan bulan yang teratur dan tetap juga dapat digunakan oleh manusia untuk dijadikan kalendar tahunan samada berdasarkan pergerakan matahari bagi kalendar Masihi dan mengikut peredaran bulan bagi taqwim Hijrah.

Oleh itu setiap kejadian yang berlaku termasuk gerhana bulan pada malam ini adalah untuk mengetuk hati kita agar bersyukur dan mengingati Allah sepanjang masa dan tempat.

Kita sentiasa diminta agar berfikir tentang kejadian alam ciptaan Allah dalam mengenali sifat-sifat Allah dan juga mengakui diri kita sebagai hamba yang serba lemah.

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya: As-Solatu Jaami’ah (Solat berjemaah)

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari

أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya: “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

Cara Dan Bilangan Rakaat

Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;

i. Yang terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2 qiyam yang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat.

(Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana).

Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang.

Kadar panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama, sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat).

Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100 ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga dan sekadar bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.

ii. Yang lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat. Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.

iii. Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.

Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)

Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang sederhana iaitu sekitar 30-40 minit berdasarkan pengalaman menunaikan solat gerhana bulan pada hari Selasa 15 Syaaban 1428 bersamaan 28 Ogos 2007 lalu.

Turut dicadangkan bacaan surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 yang lebih dikenali di kalangan masyarakat kita dengan ’ayat-ayat lazim’.

(Rakaat Pertama)

1. Takbiratul Ihram.

2. Membaca doa iftitah.

3. Membaca Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ)

4. Membaca surah al-Fatihah.

5. Membaca surah dalam qiyam pertama. Dicadangkan membaca surah surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’laa (19 ayat).

6. Ruku’ (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).

7. Iktidal dan qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghaasyiyah (26 ayat).

8. Ruku’ (kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih).

9. Iktidal.

10. Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).

11. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).

12. Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih).

13. Berdiri ke rakaat kedua.

(Rakaat Kedua)

1. Qiyam ketiga dan membaca surah al-Fatihah.

2. Membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah al-Syams (15 ayat).

3. Ruku’ (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).

4. Iktidal dan qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah al-Zalzalah (8 ayat).

5. Ruku’ (keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih).

6. Iktidal.

7. Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).

8. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).

9. Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih).

10. Membaca tasyahhud akhir.

11. Memberi salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.

RUJUKAN

Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia hukum wanita dan keluarga, Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam. Pustaka Dini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Fenomena Gerhana Bulan Penuh

sumber: islamituindah

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon