Tuesday, November 21, 2017

Sejarah Penciptaan Televisyen


Di peringkat terawal pembangunannya, televisyen menggunakan gabungan teknologi optik, mekanik dan elektronik untuk merakam, memancarkan dan memaparkan imej visual.

Sejarah Televisyen

Menjelang akhir 1920-an, diusahakan pula sistem televisyen yang menggunakan teknologi optik dan elektronik sahaja yang menjadi asas kepada semua sistem televisyen masa kini.

Sungguhpun demikian, pengetahuan yang diperoleh dari usaha sistem berteknologi mekanik adalah penting demi pembangunan televisyen yang elektronik sepenuhnya.

Kali pertama imej bergerak dipancarkan secara elektrik adalah melalui mesin faks mekanik yang terawal, termasuk pantelegraf yang dimajukan pada akhir abad ke-19.

Konsep pemancaran imej bergerak televisyen yang berkuasa elektrik mula-mulanya dilakarkan sebagai "telefonoskop" (konsep gabungan telefon dan gambar bergerak) pada tahun 1878, sejurus selepas terciptanya telefon.

Pada ketika itu, para pengarang cereka sains sudah pun membayangkan pada suatu hari kelak cahaya juga boleh dipancarkan melalui wayar seperti bunyi.

Cara pengimbasan untuk memancarkan imej dipraktikkan dengan penggunaan pantelegraf pada tahun 1881, dengan menggunakan mekanisme imbasas berasaskan bandul.

Semenjak itu, teknik pengimbasan dalam apa jua caranya digunakan dalam hampir setiap teknologi pemancaran imej yang digunakan sehingga hari ini, termasuk televisyen.

Inilah konsep yang bernama "perasteran", iaitu proses menukar imej visual menjadi searus denyut elektrik.

1880-an: Cakera Nipkow

Pada tahun 1884, Paul Gottlieb Nipkow, seorang penuntut universiti berusia 20 tahun di Jerman, mematenkan sistem televisyen elektromekanik yang menggunakan sejenis cakera pengimbas berputar yang ditebuk lubang-lubang yang membentuk lingkaran ke pusat untuk proses perasteran.

Lubang-lubang cakera dijarakkan bersudut sama agar cakera tersebut dalam satu putaran dapat membolehkan cahaya melalui setiap lubang hingga mencapai pengesan buatan selenium peka cahaya yang menghasilkan denyut elektrik.

Apabila imej difokuskan pada cakera yang berputar, setiap lubang mengimbas "sehiris" mengufuk dari seluruh imej.

Rekaan Nipkow tidak dapat dipraktikkan sehingga kemajuan dalam teknologi tiub penguat dicapai pada tahun 1907.

Walaupun demikian, ciptaan tersebut hanya berguna untuk memancarkan gambar "hafton" pegun yang terdiri daripada bintik-bintik pelbagai saiz yang terjarak sama rata, melalui talian telegraf atau telefon.

Rekaan-rekaan selanjutnya menggunakan pengimbas gelendong cermin berputar untuk merakam imej, dan tiub sinar katod (CRT) sebagai peranti paparan, namun gambar bergerak masih tidak boleh dihasilkan kerana kepekaan pengesan selenium yang tidak memadai.

1920-an: Penemuan John Logie Baird

Pencipta berbangsa Scotland, John Logie Baird menunjuk cara pemancaran imej bayang-bayang bergerak di London pada 1925, diikuti imej monokrom pada tahun 1926.

Cakera imbasan Baird menghasilkan imej berleraian 30 baris yang cukup untuk memperlihatkan muka manusia dari pilin kembar kanta.

Penting sekali pada tahun 1927, Baird turut mencipta sistem rakaman video pertama di dunia, iaitu "Phonovision" yang mana isyarat output kamera TV-nya dimodulatkan kepada julat audio di mana beliau dapat merakamkan isyarat tersebut pada cakera audio 10 inci dengan menggunakan teknologi rakaman audio biasa.

Pada hari ini masih wujudnya sebilangan kecil rakaman 'Phonovision' ciptaan Baird itu yang berjaya ditafsirkan dan dipaparkan dalam bentuk imej yang boleh ditonton dengan menggunakan teknolgi pemprosesan isyarat digital pada tahun 1990-an.

Pada tahun 1926, jurutera Hungary, Kálmán Tihanyi mereka sistem televisyen yang menggunakan unsur-unsur imbasan dan paparan elektronik sepenuhnya, menggunakan prinsip "storan cas" dalam tiub imbasan (atau "kamera").

Pada tahun 1927, pencipta Rusia, Léon Theremin membangunkan sistem televisyen berasaskan gelendong cermin yang menggunakan teknik selang-seli untuk mencapai leraian imej 100 baris.

Juga pada tahun 1927, Herbert E. Ives dari Bell Labs memancarkan imej bergerak dari cakera 50 bukaan yang menghasilkan 16 bidang seminit melalui kabel dari Washington, D.C. ke Bandaraya New York, dan juga melalui pancaran radio dari Whippany, New Jersey. Ives menggunakan layar tayangan sebesar 24 kali 30 inci (60 kali 75 sentimeter). Bahan-bahan rakamannya termasuk Setiausaha Perdagangan Herbert Hoover.

Pada tahun 1927 juga, Philo Farnsworth menjayakan sistem televisyen berhasil yang pertama di dunia dengan imbasan elektronik kedua-dua peranti penerimaan dan paparan, yang ditunjukkan kepada media akhbar pada 1 September 1928.

1930-an: Penerimaan orang ramai

Televisyen julung kalinya digunakan secara praktikal di Jerman, apabila siaran televisyen seharian dimulakan di negara tersebut pada tahun 1929.

Pada tahun 1936, Sukan Olimpik di Berlin disiarkan kepada stesen televisyen di Berlin dan Leipzig di mana orang awam boleh menyaksikan acara-acara temasya sukan secara langsung.

Pada zaman awal televisyen, peti televisyen elektromekanik komersil dijual dari tahun 1928 hingga 1934 di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia.

Televisyen komersil terawal yang dijual oleh Baird di UK pada tahun 1928 berbentuk penerima radio ditambah dengan peranti TV yang terdiri daripada tiub neon di belakang cakera berputar mekanik berlubang (cakera Nipkow) yang menghasilkan imej kemerahan bersaiz setem pos, yang boleh dibesarkan lagi dengan kanta pembesar.

"Televisor" ciptaan Baird ini juga boleh digunakan tanpa radio. Televisor yang dijual pada tahun 1930–1933 merupakan televisyen keluaran besar-besaran yang pertama. Kira-kira 1,000 unit Televisor berjaya dijual.

Peti televisyen elektronik komersil pertama dengan tiub sinar katod dikilangkan oleh Telefunken di Jerman pada 1934, diikuti oleh pembuat elektronik yang lain di Perancis (1936), Britain (1936) dan Amerika Syarikat (1938).

Peti TV keluaran kilang Amerika yang termurah sebelum Perang Dunia II, iaitu model imej sahaja tahun 1938 berskrin 3 inci (8 cm), berharga AS$125, bersamaan dengan AS$1,863 pada tahun 2007. Model termurah yang berskrin 12 inci (30 cm) berharga $445 ($6,633).

Pada tahun 1936, Kálmán Tihanyi menerangkan prinsip televisyen plasma, iaitu sistem panel rata yang pertama.

Kira-kira 19,000 unit televisyen elektronik telah dikilangkan di Britain, dan 1,600 unit lagi di Jerman, sebelum Perang Dunia II. Lebih kurang 7,000–8,000 peti TV elektronik dihasilkan di AS sebelum War Production Board menghentikan pengilangan TV pada April 1942.

Penggunaan TV di Amerika Syarikat naik melangit selepas Perang Dunia Kedua setleah didorongi pengilangan TV dibenarkan semula pada Ogos 1945, kemajuan teknologi dari peperangan, peluasan rangkaian penyiaran TV ke rantau barat, kejatuhan harga TV hasil pengeluaran besar-besaran, bertambahnya masa lapang dan pendapatan boleh guna.

Peratusan pemilik peti TV di A.S. meningkat dari 0.5% pada tahun 1946, kepada 55.7% pada tahun 1954, dan 90% pada tahun 1962. Di Britain, bilangan pemilik TV meningkat dari 15,000 pada tahun 1947, 1.4 juta pada tahun 1952, kepada 15.1 juta pada tahun 1968.

Komponen

Peti TV moden terdiri daripada peranti paparan, antena atau input frekuensi radio (RF) (biasanya penyambung F), dan penting sekali, penala TV yang membezakan peti TV dari monitor yang menerima isyarat yang sudah diproses, tidak lupa juga pembesar suara.

Kebanyakan peti TV juga dilengkapi terminal input tambahan untuk peranti lain seperti pemain DVD, konsol permainan video dan fon kepala.

Terminal input yang paling kerap dijumpai termasuk RCA (untuk video komposit dan komponen), mini-DIN (untuk S-Video), HDMI, SCART (Eropah) dan D-terminal (Jepun).

Sesetengah peti TV mewah dilengkapi port Ethernet untuk menerima maklumat dari Internet, seperti nilai saham, cuaca atau berita. Kebanyakan peti TV yang dibuat sejak awal 1980-an juga dilengkapi pengesan inframerah untuk mengesan isyarat yang dihantar oleh alat kawalan jauh.

Teknologi paparan

Peti TV masa kini menggunakan pelbagai teknologi paparan seperti CRT, LCD, Plasma, DLP, dan OLED. Sesetengah projektor yang dipasang penala juga dianggap sebagai televisyen.

Langganan

Sesetengah saluran TV dibiayai oleh langganan, oleh itu isyarat yang disiarkan adalah dienkrip sulit untuk memastikan hanya pelanggan yang berbayar mencapai kod nyahsulit. Kebanyakan perkhidmatan langganan juga dibiayai oleh pengiklanan.

Kesan kepada kesihatan

Menonton televisyen secara berlebih-lebihan boleh mengakibatkan kesihatan badan dan minda terganggu. Penyakit-penyakit seperti kegemukan, masalah jantung dan diabetes.

Jadi, para doktor selalunya mengehadkan tontonan TV kepada kanak-kanak kepada 1-2 jam sehari.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon