Wednesday, November 08, 2017

'Hanya Tuhan Mampu Membalas Jasa Surau Taman Free School'


"Hanya Tuhan saja mampu membalas jasa warga Surau Taman Free School," ungkap salah seorang mangsa banjir yang menumpang surau tersebut ketika kejadian banjir kilat, Ahad lalu (5/11/2017).

'Hanya Tuhan Mampu Membalas Jasa Surau Taman Free School'

K Thulasiammal, 40an berkata, tiada apa yang mampu diungkapkan kepada bilal dan ahli kariah surau itu kerana sudi menumpangkan dia dan lima ahli keluarganya di rumah ibadat tersebut.

Menurutnya, dalam keadaan genting itu, dia buntu untuk meminta pertolongan kerana air naik dengan begitu cepat.

"Pada waktu itu, hujan lebat dan disusuli angin yang sangat kencang. Kira-kira jam 2 pagi, air sudah mula naik. Dalam setengah jam kemudian, air sudah paras pinggang dan arus sangat deras.

"Saya mula cemas kerana tidak tahu bagaimana mahu menyelamatkan bapa saya yang sudah berusia dan uzur," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Lee Swee Cheng, 50 berkata, jirannya yang juga bilal Surau Taman Free School, Sapno Tukijo merupakan orang yang paling berani kerana telah menyelamat beberapa penduduk ketika kejadian, 5 November lalu.

Menurutnya, dia dan rakannya yang tinggal di perumahan Lengkuk P Ramlee itu amat terhutang budi dengan Sapno dan ahli kariah surau tersebut yang sudi menumpangkan mereka di situ.

"Terima kasih kepada mereka yang menawarkan pertolongan ketika semua orang dalam keadaan terdesak. Kami tiada pilihan melainkan menerima pelawaan Sapno," katanya.

Swee Cheng yang menyifatkan Sapno sebagai jiran yang baik turut berharap agar niat baik bilal surau itu tidak di manipulasi sehingga mencetuskan perbalahan.

"Jika boleh, jangan salah tafsir niat baik Sapno. Mereka yang tidak berada dalam situasi kami, mereka tidak akan faham.

"Air naik sampai ke paras dada, apa lagi pilihan lain yang kami ada? Terima kasih, Sapno," katanya.

Terdahulu, gambar tular yang memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita dewasa berbangsa Cina yang menumpang di Surau Taman Free School mendapat pelbagai reaksi di media sosial, termasuk beberapa ahli agama.

Sementara itu, Pengerusi Surau Taman Free School, Zakaria Mydin, 53 berkata, mangsa yang berlindung di surau tersebut bukan hanya bangsa Cina, malah ada yang berbangsa Melayu dan India.

Zakaria berkata, beliau tidak mahu mengambil serius tentang apa yang diperkatakan dalam media sosial kerana tahu niat pertolongan itu dihulurkan.

"Mereka hanya buat kesimpulan berdasarkan sekeping gambar. Mereka tidak tahu keadaan sebenar kami (mangsa banjir) pada ketika itu.

"Jangan terburu-buru buat kesimpulan. Saya yang memuat naik gambar itu, sepatutnya tanya kepada saya dahulu," katanya.

BACA INI JUGA: Politik Perkauman 1Malaysia?

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon