Sunday, November 05, 2017

15 Fakta Khasiat Epal Untuk Kesihatan Ramai Tidak Tahu


Epal terdapat dalam beberapa warna termasuk kekuningan, hijau dan merah menyala, selain mempunyai rasa masam manis ataupun manis gula.

Epal antioksidan

Selalunya ia akan dimasak sebagai hidangan pencuci mulut tetapi kebanyakan masanya ia dimakan begitu saja.

Sama seperti buah lain, epal menawarkan banyak manfaat kepada kesihatan kerana ia kaya dengan antioksidan.

Antioksidan diperlukan dalam tubuh kerana ia mampu meningkatkan sistem imun untuk melawan penyakit.

Ia juga kaya dengan serat dikenali sebagai pektin. Sebiji epal bersaiz sederhana mempunyai kira-kira empat gram serat.

Pektin adalah sejenis serat larut yang mampu ditapai dan mempunyai struktur likat iaitu gabungan yang memberi manfaat besar pada kesihatan.

Dua jenis epal iaitu ‘Red Delicious’ yang berwarna merah dan ‘Granny Smith’ berwarna hijau, antara yang paling digemari ramai.

Di sini disenaraikan manfaat yang boleh diberikan epal kepada tubuh kita jika diamalkan selalu.

1. Epal tidak mampu menggantikan sepenuhnya penggunaan berus serta ubat gigi tetapi menggigit dan mengunyah epal menggalakkan pengeluaran air liur, seterusnya mengelak masalah gigi reput, menurunkan paras bakteria dalam mulut dan menjadikan gigi lebih sihat dan putih.

2. Epal juga mampu membantu melindungi kita daripada penyakit pelupa ataupun Alzheimer’s. Satu kajian yang dijalankan menunjukkan tikus yang diberikan jus epal tidak mendapat Alzheimer’s. Ini menunjukkan epal mampu melawan kesan penuaan pada otak. Malah tikus yang diberi makan epal dalam kajian itu menunjukkan tahap aktiviti perhubungan neuro lebih tinggi dan mampu lulus ujian dengan lebih baik berbanding tikus tanpa diet epal.

3. Kandungan serat epal yang tinggi juga boleh melindungi seseorang daripada penyakit Parkinson’s. Saintis berpendapat ia disebabkan kuasa antioksidan yang mampu melawan radikal bebas.

4. Kandungan flavanol yang tinggi dalam epal boleh membantu menurunkan risiko kanser pankreas. Malah, kulit epal juga mempunyai keupayaan menghalang aktiviti kanser pada hati, kolon dan dada.

5. Mereka yang mengambil sebiji epal setiap hari mempunyai risiko lebih rendah mendapat diabetes kerana kandungan serat yang tinggi menstabilkan gula dalam darah, selain rasa kenyang lebih lama mengelak makan terlalu banyak.

6. Serat larut yang ada dalam epal juga mampu mengikat lemak yang ada dalam usus, seterusnya mengelak penyerapan kolesterol yang tinggi ke dalam tubuh.

7. Bahan yang terdapat pada kulit epal boleh membantu menyihatkan jantung kerana ia me­ngelak pembentukan plak kolesterol pada dinding arteri (salur darah), seterusnya melancarkan peredaran darah ke jantung.

8. Apabila kandungan kolesterol menurun dalam tubuh, secara tidak langsung dapat mengelak pembentukan batu hempedu. Selalunya masalah batu karang banyak berlaku pada golongan yang mengalami kegemukan melampau. Batu hempedu terbentuk apabila terdapat terlalu banyak kolesterol dalam pundi hempedu dan ia bertukar menjadi pepejal.

9. Serat boleh membantu mengelak masalah cirit-birit ataupun sembelit. Ini kerana ia mampu menarik keluar air daripada usus ataupun menyerap air berlebihan bagi membantu melancarkan pembuangan air besar.

10. Pengambilan kandungan serat yang tinggi misalnya daripada epal mampu melegakan sakit perut dan masalah perut kembung.

11. Epal boleh membantu mencegah masalah buasir iaitu keadaan di mana salur darah pada laluan dubur bengkak dan sangat menyakitkan. Pengambilan serat yang banyak mampu menyelesaikan masalah ini.

12. Banyak penyakit dikaitkan dengan berat badan berlebihan antaranya sakit jantung, strok, darah tinggi, diabetes dan masalah sukar tidur. Kandungan serat yang tinggi dalam epal mampu membantu mengurangkan rasa lapar, seterusnya dapat mengawal berat badan dalam jangka panjang.

13. Epal memberi alternatif yang murah dan mudah untuk menyingkirkan toksin daripada hati. Ini kerana hati yang sihat mampu menjalankan tugas menyingkirkan pelbagai toksin daripada badan, seterusnya menjadikan tubuh lebih sihat.

14. Epal merah memiliki sejenis antioksidan dikenali sebagai quercetin yang membantu meningkatkan sistem pertahanan badan terutama ketika anda sedang berada dalam keadaan tertekan.

15. Kajian mendapati mereka yang mengambil buah-buahan kaya dengan bahan antioksidan seperti epal mempunyai risiko lebih rendah untuk mendapat katarak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Benarkah Epal Mampu Tingkatkan Seksual Wanita?

sumber: hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon